Lama sudah aku mencari, terjumpa kamu seperti singa
PELANGGAN di kedai makan Puan Nik ramai seperti biasa. Hanin di bahagian dapur. Buat kerja mencuci pinggan mangkuk. Seperti yang telah dipersetujui bersama, Salmah dengan paksa rela berhenti kerja. Dua hari lepas merupakan hari terakhir Salmah bekerja di kedai Puan Nik. Hanin sunyi bekerja di situ tanpa Salmah, dalam masa yang sama dia turut berasa gembira. Tak perlu lagi dia susah hati memikirkan kesihatan Salmah. Salmah sudah berada di tempat yang jauh lebih selamat di rumah sewa mereka.
“Hanin.”
Hanin menoleh sekilas sebagai tanda dia dengar Puan Nik panggil dirinya.
“Pakwe Hanin datang.”
Hanin diam. Nak beritahu Huzir bukan seperti yang Puan Nik katakan pun dia dah malas. Membazir air liur dia terangkan pada Puan Nik. Diam lebih baik. Satu kedai makan, daripada pekerja sampai ke Puan Nik sudah tahu tentang Huzir. Lelaki itu bermuka tembok, tak malu pandang-pandang Hanin di hadapan orang lain. Mengaku-ngaku Hanin aweknya. Huh, sakit sungguh hati Hanin!
“Dia pesan banyak makanan.”
Buat apa Puan Nik beritahu dia? Tak ada kena mengena dengan dia pun. Bukan dia yang bayar. Dia juga bukan tauke kedai. Duit itu akan sampai ke tangan Puan Nik, jadi tak perlu dia berasa teruja walau Huzir sampai tahap borong semua lauk. Kedai untung berjuta-juta lemon pun tiap-tiap bulan gaji yang Hanin terima tetap sama. Tak ada pula gaji Hanin turun naik macam harga minyak di pasaran.
“Hanin pergilah hantar apa yang dia pesan.”
Kenapa pula suruh dia? Dia bukan pelayan! Kerja dia cuci pinggan mangkuk saja hari ini.
“Baju saya basah, mek. Mek suruh orang lainlah layan dia.” Selamba Hanin jawab walhal yang menyuruh itu bos, bukan pekerja biasa.
“Basah banyak ke?”
Hesy, tak nampak ke mek ni? Namun Hanin menjawab juga.
“Banyaklah, mek. Macam mek tak biasa. Pelanggan mek hari-hari ramai. Dari pukul dua belas tengah hari sampai masuk pukul tiga ni tak berhenti lagi saya basuh pinggan.”
Hanin bukan nak mengadu. Dia hanya beritahu hal yang sebenar. Dah berjam-jam dia mencuci pinggan mangkuk, tak logik jika hanya dua tiga titis air terpercik pada pakaiannya.
“Ya ke?”
Diam-diam Hanin memutar bola matanya ke atas. Nasib baik yang pura-pura bodoh tu bos, kalau tak memang dah kena pelangkung dengan dia.
“Ya ke?” Dia mengajuk perlahan. Buat-buat tanya pula. Puan Nik jaga kaunter pembayaran, mustahil tak nampak betapa ramai pelanggan kedai makan miliknya.
“Hanin tak makan lagi ke?”
Banyak tanya betul bos dia ini. Dia punyalah nak siapkan kerja cepat-cepat sebab nak mengejar waktu solat. Datang Puan Nik, daripada suruh jadi pelayan diajak bersembang pula. Kacau sungguh! Bagi Hanin, solat lebih penting daripada makan. Habis kerja pun dia boleh makan. Setakat tak makan tengah hari, tak adanya dia mati.
“Tak apalah kalau macam tu. Hanin buat kerja tu dulu. Sekejap lagi tiga setengah, berhenti makan dengan solat. Nanti mek suruh Karimah simpankan lauk untuk Hanin.”
‘Apa-apa ajelah, mek.’ Hanin jawab dalam hati.
Tangkas tangannya membasuh pinggan mangkuk yang bersusun di lantai. Rakyat Malaysia semakin malas ke? Setiap hari kedai makan penuh dengan manusia, tanpa henti. Lagi sanggup habiskan duit di kedai makan daripada masak sendiri. Kalau hendak diikutkan harga makanan di kedai makan Puan Nik boleh tahan mahal, mengikut rate harga seperti kedai mamak. Hurm, makanan di kedai mamak mahal ke? Ke dia seorang saja yang rasa makanan di kedai mamak mahal?
Puan Nik hanya menggeleng bila Hanin tak mengendahkan kata-katanya. Bukan setakat Salmah yang memahami Hanin. Setelah lima tahun Hanin bekerja di kedai makan miliknya, sedikit sebanyak Puan Nik dapat memahami Hanin. Bila ditanya Hanin susah nak jawab, membawa maksud gadis itu tidak mahu diajak berbual lagi.
Kalau hendak diikutkan ada waktu Hanin agak kurang ajar. Banyak waktu Hanin tidak suka bercakap, bukan bermaksud Hanin seorang gadis yang pasif. Tidak. Hanin tidak pasif. Malahan kerja Hanin begitu cekap dan teratur. Cumanya bila Hanin buka mulut, ada yang ajak Hanin berkomunikasi dan hal itu tidak kena di matanya, tanpa segan dan takut Hanin akan menyatakan perasaannya tanpa berselindung. Puan Nik sendiri pernah terkena. Waktu itu serasa hendak digosok mulut Hanin yang kurang ajar dengan berus dawai. Biar gadis itu serik dan belajar menjaga perkataan.
Tetapi Puan Nik belajar daripada pengalaman. Kalau sungguh dia berbuat begitu Hanin takkan berdiam diri. Tak mustahil dia yang akan kena lebih teruk. Hanin tak takut pada sesiapa. Setakat ini itulah pendapat Puan Nik terhadap Hanin.
“Hanin sibuk. Maaf ya, Huzir. Hari ni biar mek sendiri yang layan Huzir.” Puan Nik ramahkan muka. Dia membantu Suhaila menyusun lauk pauk yang dipesan Huzir dan kawan-kawan lelaki itu. Makan berempat tetapi lauk penuh seperti makan lebih daripada empat orang.
Bela saka ke budak-budak ni?
Boleh dikatakan Huzir dan kawan-kawannya sudah menjadi pelanggan tetap di kedai makan Puan Nik. Disebabkan terlalu kerap Huzir makan di situ, dia sampai sudah hafal nama Huzir dan rakan-rakan Huzir. Mat Pie, Zack dan yang jarang-jarang dia nampak, Andi.
Huzir senyum. Dia nak kata apa lagi? Takkan dia nak paksa Puan Nik panggilkan Hanin sebab dia rindu nak melihat wajah gadis itu.
“Pukul berapa tutup kedai, mek?”
“Macam biasa. Kenapa? Huzir nak ajak Hanin dating ke?” sakat Puan Nik.
Huzir gelak. Dia gosok belakang tengkuk. Ada sedikit perasaan segan walaupun sebenarnya dia tak kisah jika semua orang tahu perasaannya pada Hanin.
“Nak tu memang nak. Takut Hanin aje yang tak sudi.”
“Pelan-pelanlah pujuk. Perempuan ni macam kerak nasi. Kena rendam air, lama-lama lembut juga nanti.”
Boleh pakai ke perumpamaan itu untuk Hanin? Dah dua bulan lebih dia cuba pikat Hanin. Jangankan Hanin nak terima dirinya, setiap kali dia cuba mendekati, Hanin buat tak nampak kewujudan dirinya.
“Jemput makan. Jangan lupa baca doa makan.”
Setelah berbalas senyum, Puan Nik dan Suhaila beredar dari meja itu untuk menghantar pesanan di meja lain pula. Tak jadi kerja kalau asyik melayan satu pelanggan sahaja.
“Kau sungguh ke nak budak Hanin tu?” Mat Pie, rakan kongsi gerai burger Huzir bertanya.
“Sungguhlah. Kau ingat aku main-main ke?” Huzir basuh tangan menggunakan air basuh tangan yang memang disediakan di setiap meja. Makan guna tangan lagi best. Apa barang jadi Melayu jika makan guna sudu garpu? Mat Salehlah sangat. Apatah lagi kedai makan Puan Nik menyediakan masakan Melayu asli. Menu utama adalah gulai kawah yang sememangnya melelehkan air liur. Belum makan, baru saja teringat sudah mampu membuatkan air liur kecur.
“Bukan ke Hanin tu dah ada anak?” soal Mat Pie lagi.
“Siapa? Budak terencat tu ke?” Zack menyampuk.
“Hesy, kau ni! Mulut tu elok-elok sikit. Orang kata cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar.” Huzir marah. Selamba saja Zack mengata adik Hanin.
“Tak betul ke apa yang aku cakap? Dah tu aku nak panggil budak tu apa? Dah memang budak tu ada sindrom Down pun kan?”
“Panggillah nama! Nama dia Faliq,” beritahu Huzir. Kalau lepas ini dia dengar lagi Zack panggil Faliq dengan gelaran yang tak sepatutnya memang dia akan belasah Zack. Kurang ajar sungguh bahasa Zack.
Zack menceber. “Masa suka ni memanglah dengar orang mengutuk keluarga dia yang lain pun kau dah panas hati. Nanti bila dah tak suka, dia bersinar-sinar macam bulan purnama pun kau akan nampak dia macam hantu.”
“Eh, sudahlah kau orang ni! Aku datang nak makan bukan nak dengar kau orang memekak. Terbantut selera aku nak makan.” Andi yang sedari tadi hanya diam mula bersuara. Perangai sekor-sekor macam budak tadika. Depan rezeki pun nak bergaduh.
“Kalau betul kau suka Hanin pastikan dulu dia bukan lelaki lain yang punya. Aku dah banyak kali dengar suara sumbang cakap yang Faliq tu anak Hanin. Kau fikir sendirilah. Hanin tak ada suami. Dia muda lagi. Kalau Faliq memang betul anak dia, anak dia dengan siapa?”
Selera Huzir mati. Tengah dia nak makan inilah Andi nak bagi ceramah. Tunggu dia habis makan dulu boleh tak? Khabar angin yang Andi dengar tu dia pun tahu. Ingat dia buta hati sangat ke? Mentang-mentang dah sukakan Hanin, dia sanggup langgar semua benda?
Ramai orang kata Hanin bukan perempuan baik. Faliq anak luar nikah Hanin dengan lelaki yang tak tahu asal-usul. Sebab itulah Faliq mengalami kecacatan otak dan fizikal. Mereka membuat kesimpulan, itu adalah balasan kemungkaran Hanin yang dimurkai ALLAH.
Pandai-pandai sahaja orang yang membuat telahan. Berita belum tentu benar kerana tidak ada sesiapa yang bertanya pada Hanin bagi mendapatkan kesahihan cerita, tetapi cerita sudah tersebar ke pelosok kampung. Tak habis-habis nak tunjuk pandai. Dikata bodoh, tahu pula marah! Dah hakikatnya mereka itu bodoh sombong. Tak tahu duduk perkara sebenar, tetapi membuat fitnah seakan mereka berada di sebelah Hanin ketika kejadian.
BAB 1 • BAB 2 • BAB 3 • BAB 4 • BAB 5
BELI NOVEL HANIN LUFYA (PENULIS: AK RAFFHAN)