Suka kamu, cinta kamu, tapi kamu tak pernah peduli
DIA tidak mahu menjadi seperti orang lain yang suka membuat andaian sendiri. Dia kena dengar sendiri cerita sebenar daripada mulut Hanin. Sepahit apa pun sebuah kenyataan dia akan cuba cekalkan diri. Dia akan buktikan pada Hanin dia tak main-main dengan Hanin. Dia…
“Buat apa kat sini?”
Fuh! Sergahan Hanin boleh buat dia jatuh tergolek. Mujur ada tiang, boleh jadi tempat dia berpaut. Kalau tak berpaut tadi memang boleh tergolek jatuh motosikal. Jadi nangka busuklah dia. Jatuh air mukanya di hadapan Hanin.
“Hai, Hanin.” Huzir control macho. Rambutnya diusap ke belakang.
Hanin memutar bola mata ke atas. Ingat handsomelah tu! Nak muntah Hanin tengok. Geli dengan jantan perasan seperti Huzir.
“Tepi sikit boleh tak? Motor awak adang basikal saya.”
Huzir memang sengaja memarkir motosikalnya seperti itu. Kalau dia tak blok basikal Hanin awal-awal, susah dia nak ajak Hanin berbual.
“Abang ada hal nak cakap dengan Hanin.”
“Sorry. I busy. You cari hal dengan orang lain lah. I tak ada masa nak layan you.”
Huzir tahu Hanin bukan nak buat lawak. Tetapi jawapan Hanin membuatkan urat geli Huzir bagai digeletek. Kelakar betul Hanin. Mesti Hanin tak perasan bakat terpendamnya selama ini. Muka serius tapi kata-kata Hanin lawak. Suka-suka hati dia tukar intonasi suara. Gaya bahasa pun ikut kepala dia.
Huzir ketawa bagai nak gila. Hanin pandang saja.
Dua minit Hanin tunggu. “Dah habis ketawa?” Muka Hanin ketat. Tak faham kenapa Huzir ketawa macam orang gila. Dah betul-betul gila agaknya.
“Hanin ni luculah.”
“Lucu-lucu juga. Motor tu bila nak alih?”
“Abang ada benda nak cakap dengan Hanin.”
“Awak ni pekak ke bodoh? Saya dah beritahu kan saya tak ada benda nak cakap dengan awak.”
“Jangan sombong sangat, Hanin. Abang datang dengan niat baik. Abang nak berbaik-baik dengan Hanin.”
Hanin bercekak pinggang. “Tak payah nak berbaik-baik sangatlah. Kita bukan saudara-mara pun. Lagipun saya tak ada urusan dengan awak. Dahlah. Pergi sana. Alih cepat motor tu sebelum saya sendiri yang alihkan.”
Muka amaran ditunjukkan. Dia tak main-main. Kalau Huzir berkeras tak nak alih motosikal EX5 dia tu, Hanin tak jamin dia akan terus berdiam diri. Lagipun darah dia dah mendidih naik sampai ke kepala. Kaki dia dah tak sabar nak makan mangsa. Rasa nak tendang-tendang Huzir. Nak pijak-pijak perut Huzir sampai lelaki itu serik mengganggunya.
“Kenapa Hanin suka marah abang?”
Sedih Huzir dengan layanan Hanin padanya. Apa salah dia? Dia bukan kutu rayau. Pakaian dia kemas saja. Memanglah siang dia jual ayam, malam dia jual burger saja. Tapi setakat nak bina keluarga, dia yakin dia lebih daripada mampu menyara keluarganya.
Ramai perempuan yang suka dia. Boleh tahanlah, adalah dalam tiga empat orang. Dia tak pandang mereka, tak layan mereka kerana hatinya sudah terpaut pada Hanin. Dia pun tak tahu kenapa dia sukakan Hanin yang perengus dan garang macam singa. Kalau dia boleh buat pilihan lain, dah lama dia buat. Tetapi buat masa sekarang hanya Hanin yang bertakhta di hatinya.
“Sebab awak menyakitkan hati saya.”
“Apa yang abang dah buat? Kenapa Hanin tak suka abang?”
“Saya tak benci awak. Saya tak suka awak.” Hanin jawab tanpa perasaan. Memang dia tak ada simpan perasaan pada Huzir. Nak kata suka tidak, nak kata benci pun tidak juga.
“Tapi abang suka Hanin.”
“Jadi?”
“Abang nak Hanin pun suka abang.”
“Orang tak suka dia nak paksa-paksa pula. Pergi suka orang lain boleh tak?”
“Tak boleh, Hanin. Abang dah cuba tapi tak berjaya. Nak buat macam mana kalau hati abang suka Hanin seorang aje. Kalau Hanin boleh cari seorang perempuan yang sama muka macam Hanin, yang garang dan perengus macam Hanin, abang sanggup pujuk hati abang suka perempuan tu. Dengan syarat kena sama sebiji macam Hanin.”
“Oh, gilanya awak ni! Awak ingat saya TUHAN ke?” Jerkah Hanin lantang.
Sungguh Hanin ada bakat membunuh orang. Sekali teriak bukan setakat telinga saja yang boleh jadi pekak, jantung pun boleh berhenti berdegup. Huzir mengurut dada, menghilangkan rasa terkejut dijerkah Hanin.
“Abang pun bukan TUHAN. Hanin ingat senang ke nak tukar perasaan? Sekejap suka orang tu, sekejap suka orang ni. Hati abang ni dah tersuka Hanin, nak suka orang lain kenalah tunggu abang frust betul-betul dulu. Buat masa ni abang belum frust lagi. Abang cuma kecewa sikit aje sebab Hanin tak layan abang.”
“Penatnya cakap dengan orang tak reti bahasa ni. Nak aje aku terajang.” Hanin merungut, cakap dengan diri sendiri.
“Kalau Hanin tak nak couple kita boleh berkawan dulu. Boleh kenal hati budi.” Huzir tak putus asa memujuk. Namun dalam konteks pemikiran Hanin, Huzir kelihatan semakin tak faham bahasa.
“Umur dah tua ada hati nak couple-couple lagi. Kalau gatal sangat nak couple pergi mengurat budak sekolah. Tu dekat depan sana ada sekolah menengah perempuan aje. Awak pergi mengurat dia orang. Nak couple sampai mati pun boleh.”
Hanin menghampiri Huzir yang bertenggek di atas motosikal. Ditenung motosikal Huzir. Boleh tahan cantik walaupun dah lama. Berapa ribu harga motosikal EX5 ini agaknya? Kalau Hanin dapat beli, bawa Faliq dengan Salmah merempit pergi bandar seronok juga. Nak kena kerja lebih keras lagi kalau dia nak beli motosikal seperti Huzir.
Dia bukan tak ada impian langsung. Sekali sekala dia memaksa dirinya bermimpi dan mencipta angan-angan. Tak adalah otak dia lemau saja. Pelajaran dia tak tinggi macam orang lain. Tak tinggi pelajaran tak semestinya dia tak ada impian macam orang lain. Impian dia senang saja. Dia nak senangkan Salmah dan Faliq. Dia tak ada harta lain. Hanya mereka berdua harta yang Hanin ada. Itupun Hanin sudah cukup senang hati. Sampai mati pun Hanin akan hargai mereka.
“Abang suka Hanin. Buat apa abang tackle perempuan lain kalau hati abang dah sukakan Hanin?”
“Ikut suka awaklah nak suka siapa pun. Sukalah saya ni sampai awak mati. Jadi bujang terlajak baru padan muka awak.”
Sasaran mata Hanin ke tongkat motosikal Huzir.
“Awak tak nak alih motor awak ke?”
“Dengarlah dulu apa abang nak cakap. Abang belum habis lagi cakap dengan Hanin.”
“Dah banyak saya dengar. Telinga saya pun dah geli geleman. Rasa nak muntah dengar suara awak.”
“Hanin… Opocot mak engkau!” Huzir terlompat turun dari motosikal. Terkejut mak engkau bila Hanin tendang motosikalnya. Tak kuat tetapi bergegarlah juga. Nasib baik tak terbalik, Hanin dah mula nak main kasar.
“Nin!”
Aduh, Huzir cuak!
Hanin tendang motosikal Huzir beberapa kali. Susah sangat nak alihkan motosikal. Dia cakap baik-baik tak nak dengar. Sengaja nak naikkan darah dia. Dia bukannya penyabar. Dua tiga kali cakap tak endah juga rasakan sendiri penangan Hanin. Kaki dan tangan dia dua-dua boleh sama naik.
“Aduh-aduh Hanin. Jahanam motor abang, Hanin.” Huzir cuba menghalang.
“Kalau dah tahu tak nak motor awak ni jahanam, bila orang suruh tu buatlah terus. Ini tak, terhegeh-hegeh. Banyak cakap betullah! Dah cakap elok-elok tadi kan? Kalau tak ganggu orang sehari tak boleh ke? Meluatlah tengok muka awak!”
Aduh! Tajamnya bicara Hanin. Terluka hati Huzir, cumanya tak parah sangat. Tiada pilihan lain Huzir terpaksa alihkan motosikalnya untuk beri laluan kepada basikal Hanin.
“Menyusahkan orang betul. Patutnya saya dah sampai rumah dah ni. Orang macam ni elok letupkan aje biar bersepai. Tak adalah kacau orang lagi lepas ni!” bebel Hanin garang.
Basikalnya diangkat, dipusing menghala ke jalan raya kemudian dihempaskan ke tanah. Tanpa berlengah dihenyak punggungnya di tempat duduk. Elok kakinya nak mula mengayuh, Huzir panggil namanya. Dia tak ingin peduli, namun pertanyaan Huzir membuatkan perbuatannya terhenti.
“Faliq siapa? Adik ke anak Hanin?” Sedih bunyi suara Huzir, namun telinga Hanin tak dapat menangkap nada sedih itu. Yang dia dengar Huzir sebut nama Faliq.
“Kenapa awak sibuk?” Hanin tak menoleh pada Huzir. Hanya belakangnya diberikan buat tatapan mata Huzir.
“Betul ke Faliq anak Hanin? Bukan adik Hanin?”
“Kalau ya, kenapa?”
Huzir hampiri Hanin. Biarpun Hanin tak nak pandang dirinya, dia tetap nak pandang muka Hanin. Tak bertentang mata pun tak apa, janji dia dapat tengok muka Hanin.
“Hanin tak kahwin lagi. Macam mana…”
“Kalau saya tak kahwin lagi, kenapa? Tak boleh ada anak? Eh, zaman sekarang tak payah kahwin pun boleh ada anak. Fikiran awak tu jangan nak sempit sangat.”
“Betullah orang kata Faliq anak Hanin?”
“Betul! Faliq anak saya.”
“Siapa ayah Faliq? Kawan sekolah Hanin ke?”
Hanin getap giginya.
“Entah. Saya tak tahu. Yang saya tahu nama jantan tu jantan haram jadah.”
Hanin teringatkan arwah ayahnya. Tangannya yang memegang handle basikal mula memutih. Seketika saja emosi Hanin tersadung, beberapa saat kemudian dia tersedar semula. Dia toleh kepada Huzir.
“Dah tahu kan saya ni perempuan haram jadah? Awak dah boleh berhenti sukakan saya. Awak dah frust ke belum?”
Hanin tarik dan lepas nafasnya perlahan-lahan. Hati dia sakit sangat. Benci sungguh dia dengan soalan yang ditanyakan Huzir. Huzir bukan orang pertama yang bertanya tentang kewujudan Faliq. Hairan sungguh dia. Sungguhpun Faliq begitu, Faliq tak pernah kacau orang. Faliq istimewa, namun istimewa Faliq disalah tafsirkan. Mereka sangka Faliq dilahirkan begitu angkara dosa ibu dan bapa Faliq. Siapa mereka nak membuat andaian seperti itu? Adakah mereka sama seperti TUHAN yang boleh menjatuhkan hukum ke atas hamba-NYA?
Kenapa nak disangsikan Faliq anak siapa?
Biarlah Faliq anak siapa pun. Bukan orang yang bertanya itu yang bagi mereka makan. Sibuk saja jaga tepi kain orang!
Hanin ingin segera beredar dari situ. Dia tak tahu apa dah jadi pada Huzir. Bunyi enjin motosikal dihidupkan tidak kedengaran. Lantaklah lelaki itu nak jadi apa pun. Mati terkejut pun dia tak peduli.
Terserlah satu lagi keburukannya di mata Huzir. Kalau Huzir suka juga dia selepas ini, tak tahulah dia nak kata apa. Dah tahap bangang agaknya lelaki itu.
BAB 1 • BAB 2 • BAB 3 • BAB 4 • BAB 5
BELI NOVEL HANIN LUFYA (PENULIS: AK RAFFHAN)