Telah terpaut hati padamu
BICARA Hanin bagaikan terngiang-ngiang di cuping telinga. Tak dapat dilupakan walaupun ketika tidur. Bahkan suara Hanin bagaikan mimpi ngeri yang asyik diulang dengar membuatkan lena Huzir jadi tidak menentu. Mana nak menentu kalau dia asyik terjaga di tengah malam lantaran mimpikan Hanin dan Faliq. Sungguh kali ini hidup Huzir boleh diibaratkan seperti kata pepatah, tidur tak lena makan tak lalu.
Pengakuan Hanin membuat hidupnya yang tenang menjadi gelisah. Dia sukar untuk percaya begitu saja. Dipandang daripada segi luaran, Hanin terlihat seperti gadis baik-baik. Mustahil gadis seperti Hanin sudah pernah ternoda.
Hanin gadis yang bersikap angkuh tu? Yang garang kalahkan singa? Sebab itu ke Hanin jadi seorang yang pemarah? Hilang segala kelembutan seperti kebanyakan wanita Melayu lain?
Huzir cuba membayangkan Hanin dalam versi yang lebih lembut. Jika bayangan itu menjadi sebuah kenyataan, Hanin juga boleh digelar sebagai wanita Melayu terakhir. Sayangnya!
“Faliq anak saya dengan lelaki haram jadah.”
“Faliq anak saya.”
“Faliq anak saya!”
Argh, kusut otaknya bila suara Hanin terus mengiang di telinga.
Kenapa dia bertanya? Kenapa Hanin sanggup buka aib sendiri?
Puas difikirkan, dia tetap tak boleh percaya. Entah-entah Hanin menipu kerana mahu dibenci Huzir. Sungguhpun begitu takkan sampai sanggup merendahkan maruah sendiri? Teruk sangat ke dia sampai Hanin sanggup menipu sesuatu yang boleh mengaibkan, semata-mata untuk melepaskan diri darinya?
Huzir tergeleng-geleng. Kepala dia pening dan serabut. Sepatutnya malam ini dia bantu Mat Pie dan Zack di gerai burger. Namun lihatlah di mana dia sekarang. Terbaring di dalam bilik sambil termenung memikirkan Hanin, buah hati yang belum jadi.
Dia kecewa sangat bila Hanin tak menafikan Faliq anak Hanin. Kalau Hanin bekas isteri orang dia tak kisah sangat, tetapi Hanin mana pernah menikah. Dia yakin Hanin tak pernah menikah. Mereka tinggal dalam kampung yang sama.
“Serabutnya kepala otak aku.” Rambutnya diramas-ramas sehingga kusut.
Kalau tak fikir dia lelaki sejati dah lama dia menangis teresak-esak. Malu pula kalau orang tahu dia menangis disebabkan seorang perempuan. Tapi dia sedih! Sedih yang amat! Siapa yang boleh faham kesedihannya ketika ini?
Huzir mengeluh. Dia rindukan Hanin. Bantal guling dipeluk erat. Mata dipejamkan rapat.
“Argh!”
Huzir bangun seraya lemparkan bantal guling ke dinding. Dia nampak muka Hanin. Tersenyum begitu manis, buatkan jantung Huzir berdenyut nyeri.
“Saya perempuan haram jadah. Awak boleh berhenti suka saya.”
Kalau dia boleh berhenti sukakan Hanin, saat ini perasaannya pada Hanin pasti sudah mati. Namun hal itu tidak berlaku. Jika sebelum ini dia terindu-rindukan Hanin dengan perasaan berbunga-bunga, saat ini rindunya tak lagi berbunga. Sebaliknya rindu yang dirasakan begitu menyeksa jiwa dan raganya.
“Dah frust ke belum?”
Kejamnya soalan Hanin.
Frustnya begitu menonggeng. Kalau Hanin tahu pasti Hanin tertawakan dirinya kerana terlalu terhegeh-hegeh dengan Hanin. Seperti kata Hanin, Hanin bukannya siapa-siapa. Kalau Huzir mahu Huzir boleh dapat gadis yang lebih baik, tetapi mengapa hatinya begitu degil? Sudah tahu Hanin begitu pun, masih juga memberi ruang kepada gadis itu untuk bertakhta di situ. Tak ke bodoh namanya tu?
“Kenapa Hanin buat abang macam ni, sayang? Hanin tahu tak abang betul-betul sukakan Hanin? Tergamak Hanin lukakan hati abang.”
Tak betah terus bercakap seorang diri seperti orang gila Huzir keluar dari bilik. Dia duduk di ruang tamu yang gelap gelita.
Suasana di rumahnya sunyi sepi. Ibunya mungkin sudah tidur di dalam bilik. Waktu menghampiri pukul 11:00 malam. Sudah menjadi kebiasaan ibunya tidur selepas menunaikan solat isyak dan witir. Nak diapakan lagi malam-malam macam ni?
Duduk mencongok depan TV layan drama bersiri? Ibunya sudah tua. TV bukan lagi menjadi keutamaan, apatah lagi banyak drama TV yang ditayangkan semakin merepek. Tak larat nak layan emosi, alasan yang diberikan ibunya bila ditanya mengapa semakin jarang menonton TV.
“Tak tidur lagi, ngah?”
Bunyi keriut pintu terdengar. Tak lama kemudian ibunya duduk di sebelahnya dengan mata terpisat-pisat.
“Belum lagi, bu.”
“Kenapa tak tidur lagi? Tadi kata tak sihat.”
Faridah telek muka anak bujangnya. Tak nampak seperti muka tak sihat. Cuma Huzir terlihat tidak bermaya. Ada masalah ke?
“Angah dah okey, ibu.”
Nak saja Huzir beritahu badannya sihat. Yang tak sihat, hatinya. Baru lepas dikecewakan seorang perempuan yang bernama Hanin Lufya. Nama dah cantik tapi kenapa perangai Hanin tak seindah namanya?
“Sebenarnya angah tak sihat sungguh ataupun ada masalah lain? Selalu ibu tengok muka ceria aje. Balik petang tadi lain macam ibu tengok air muka angah. Ada masalah apa?” Mulut yang menguap segera ditutup.
Huzir teragak-agak hendak bercerita. Apa tanggapan Faridah jika tahu hal sesungguhnya tentang Hanin? Bencikah Faridah pada Hanin yang tak tahu menjaga diri?
Sungguhpun begitu, layakkah mereka menghakimi Hanin? Hanin hanya beritahu dasar bahawa Faliq anaknya. Namun Hanin tidak menceritakan hal yang sebenar. Mereka tak tahu kenapa Hanin boleh mempunyai anak yang berumur dua belas tahun. Pada usia berapa Hanin melahirkan Faliq? Hanin baru saja berumur 24 tahun. Tak logik sungguh pada usia 12 tahun Hanin sudah mengandung dan melahirkan anak.
Ah, pada zaman sekarang apa saja yang tidak logik? Pernah mendapat liputan meluas daripada pihak media seorang kanak-kanak berusia 11 tahun tiba-tiba melahirkan anak. Gempar seketika kes itu. Sekarang sudah senyap tiada khabar. Apa khabar agaknya budak perempuan yang baru berusia 11 tahun itu? Muda-muda lagi sudah dipaksa menjadi ibu. Kasihan sungguh bila difikir-fikirkan. Tak seharusnya kanak-kanak pada usia semuda itu menggalas tanggungjawab sebagai seorang ibu.
“Angah…” Paha Huzir ditepuk. Panjang renungan Huzir. Berkerut-kerut dahi Huzir, entah apa yang difikirkan anak bujangnya itu. Nampak seakan berat beban yang ditanggung.
Huzir pandang muka ibunya, lama.
“Ibu nak menantu yang macam mana?”
Terangkat kedua-dua belah kening Faridah. Masalah Huzir berkaitan perempuan ke? Tak pernah lagi Huzir bercerita tentang perempuan dengannya. Adalah dua tiga kali Huzir beritahu dia sedang berkawan dengan si polan, bila dikorek dengan lebih dalam katanya hubungan itu hanya setakat kawan. Tak serasi nak teruskan hubungan ke peringkat seterusnya. Tak tahulah hubungan itu tak menjadi disebabkan Huzir atau kawan perempuannya. Pendek kata Huzir tak pernah lagi bawa perempuan balik berjumpa keluarga.
“Angah dah ada kawan perempuan ke?”
Huzir geleng. Hanin belum boleh dikategorikan sebagai kawan. Apatah lagi Hanin sering menolak apa saja salam yang dihulurkan Huzir.
“Kalau tak ada kenapa tanya macam tu? Nak ibu tolong carikan? Dah tak sabar nak kahwin?”
Manalah tahu kalau-kalau Huzir berhajat. Faridah tak keberatan membantu. Kawasan berhampiran rumah mereka ini pun ada dua tiga orang anak dara jiran-jiran. Kalau Huzir berkenan dia boleh tolong masuk meminang.
Geleng juga.
“Nak cari sendiri?” Faridah mengerti tidak semua anak boleh terima pilihan keluarga. Sementelah Faridah tidak kisah siapa pun jua pilihan Huzir. Akan diterima dengan hati yang terbuka.
Panjang keluhan Huzir setelah mendengar soalan itu.
“Kenapa ni? Cuba cerita pada ibu apa masalah angah.”
“Angah ada berkenan seorang perempuan ni…”
“Anak siapa? Ibu kenal?” Sampuk Faridah.
Huzir angkat bahu. “Tak tahulah ibu kenal ke tak.”
“Satu taman dengan kita ke?”
“Tak. Dia duduk kawasan kampung kat depan tu.”
Faridah manggut-manggut. Anak dara siapa yang Huzir berkenan sangat tu? Sampai muka monyok kalahkan tapai basi? Ke anak dia dah ditolak budak perempuan itu?
“Dia tak suka angah ke?”
Huzir mengeluh lagi. “Entahlah ibu. Dia cakap dia tak suka angah. Angah ni tak handsome ke ibu? Tak cukup baik? Angah tahulah angah tak ada kerja hebat. Kerja pun jual ayam dengan burger aje, tapi kerja angah halal. Dengan kerja tu angah mampu beli rumah kita ni. Tak besar tapi kira okeylah kan, ibu? Ada juga tempat kita berteduh. Tak pernah lagi angah tak mampu bayar bulanan.”
“Apa pula angah tak handsome? Dah handsome sangat anak ibu ni. Kalau ada yang kata anak ibu tak handsome, mesti ada yang tak kena dengan mata orang itu. Cukup sifat macam ni dikata tak handsome.” Faridah tergeleng-geleng.
Huzir tersipu-sipu dengan riak muka gedik.
“Jadi betullah angah dah cukup handsome kan, ibu? Pelik betul. Perempuan lain nak aje kat angah ni. Kenapa dia tak nak angah? Garang pula tu.”
Huzir tarik muncung.
Faridah tertawa halus. Anak perempuan ke anak teruna si Huzir ni? Cara bercakap macam perempuan tengah luah perasaan. Faridah tak nafikan Huzir memang manja dengannya. Antara tiga orang anak lelakinya, Huzir yang paling manja. Huzir yang paling bertanggungjawab. Yang dua orang lagi tu… susah nak diceritakan.
“Siapa nama budak perempuan yang angah suka tu?”
“Err… sebelum angah jawab soalan ibu yang itu boleh tak angah nak tanya ibu sikit?” Huzir cuba alihkan topik buat sementara waktu. Dia tak boleh sorok soal hatinya dengan Faridah buat selama-lamanya. Lambat laun dia kena beritahu juga. Sebelum itu dia mahu pastikan tahap penerimaan Faridah berada di skala berapa.
“Tanyalah, ngah. Banyak pun boleh.”
“Katakanlah…” Huzir telan liur.
“Katakanlah.” Diulang.
“Katakanlah apa?”
Muka diraup sebelum dia meneruskan bicara. “Katakan perempuan yang angah suka ada masa silam yang tak baik… tapi… tapi… dia dah berubah. Angah jamin seratus peratus dia dah berubah!” Tangan diangkat seperti ikrar.
“Ibu boleh terima ke perempuan macam tu?”
“Angah yakin ke perempuan yang angah suka tu dah berubah?”
Huzir angguk laju-laju. Mukanya tampak yakin.
“Angah serius suka dia?”
Angguk juga.
“Tapi dia tak suka angah?”
“Ya. Dia tak suka angah. Angah pun tak tahu nak buat macam mana lagi. Semua cara yang angah cuba tak berjaya.”
“Angah sendiri boleh ke terima masa silam dia?”
Keluhan dilepaskan, lemah bunyinya.
“Angah tak tahu, ibu. Tapi hati angah ni suka sangat kat dia. Dah tahu dia macam tu pun angah tak boleh benci dia. Angah tak boleh berhenti sukakan dia.”
Kepalanya diletakkan di bahu sofa. “Dia garang dengan orang lain. Perengus. Tapi dia baik dengan keluarga dia. Dia layan Faliq baik sangat. Sabar sungguh dia dengan Faliq yang tak sempurna.”
“Siapa Faliq?”
“Budak yang dia kata anak dia.”
Dahi Faridah berkerut. Gadis itu sudah mempunyai anak? Apakah maksud masa silam yang diberitahu Huzir membawa kepada kelahiran anak luar nikah?
“Memang sahih anak dia ke?”
Bahu diangkat. Huzir tidak tahu. Di hatinya masih ada rasa curiga. Dia tak pasti kebenaran kata-kata Hanin. Macam mana dia nak pastikan Hanin tak menipu? Minta Hanin tunjukkan surat beranak Faliq? Bertuah sangat Hanin nak bagi.
“Kita ni bukannya baik sangat. Memanglah sesiapa pun kalau kita tanya mereka nak jodoh yang baik. Nak orang baik-baik jadi ahli keluarga mereka. Tapi jodoh pertemuan semua dah tertulis. Kalau betul dia dah berubah siapalah kita nak hukum dia. Nak kata dia baik ke jahat.”
Teringat pula Faridah pada anaknya yang bongsu. Apa kelebihan si bongsu sehingga dia boleh mengata anak orang lain?
Manusia boleh berubah. Baik kepada jahat. Jahat kepada baik. Yang baik hari ini, beriman kepada TUHAN belum tentu pada saat menemui kematian nanti akan mati dalam keadaan beriman.
“Ibu boleh terima ke dia macam tu?”
“Asalkan dia dah berubah, insya-ALLAH. Tapi angah kena betul-betul pastikan dia dah berubah macam yang angah kata. Bukannya masih dengan perangai lama yang tak elok.”
Lega Huzir setelah mendengar jawapan ibunya. Tidak akan timbul masalah di kemudian hari jika dia bersungguh teguhkan hati tetap memikat Hanin.
“Siapa budak tu?”
“Hah?” Badannya ditegakkan.
“Beritahulah ibu. Ibu nak kenal juga.”
Wajah Huzir kemerahan. Malu pula nak beritahu Faridah.
“Siapa?”
Dia senyum malu. “Ha… nin.”
“Anak Salmah?”
Angguk. Muka Huzir beriak nakal.
“Hanin itulah, ibu. Mana ada Hanin lain lagi.”
BAB 1 • BAB 2 • BAB 3 • BAB 4 • BAB 5
BELI NOVEL HANIN LUFYA (PENULIS: AK RAFFHAN)