Jangan Pernah Katakan Cinta – Bab 7

SELESAI sahaja urusan makan yang berlangsung dalam suasana dingin, Indra memandu laju kereta Audi yang konon dipinjamnya itu keluar dari pekarangan restoran. Tanpa sepatah kata dia terus menekan pedal minyak, walaupun dia tahu Zaff yang berada di sebelah sedang menunggunya membuka mulut.

Hampir sepuluh minit memandu, kereta yang dipandu Indra berhenti di puncak sebuah bukit. Zaff tak tahu apa tujuan Indra membawanya ke situ. Betul ke tidak Indra ni? Sudahlah tempat ini sunyi. Tiada kenderaan yang lalu-lalang. Yang ada cuma lori hantu yang membawa muatan tanah merah, menuruni bukit yang Zaff sendiri tak tahu apa namanya ini. Tiba-tiba Zaff jadi takut.

Jangan-jangan Indra nak buat perkara tak senonoh pada dia tak? Yalah, sebelum inikan lelaki ini pernah nampak dia dan Encik Kamil dalam keadaan mengaibkan. Jadi, atas alasan itu lelaki ini nak sama tumpang sekaki? Menganggap dia sebagai perempuan murah yang boleh diperlakukan sesuka hati?

“Jangan harap!” marahnya tiba-tiba, sebelum terasa lengannya disenggol orang sebelah.

“You ni dah kenapa?” Indra naik hairan. Tanpa hujung pangkal, tiba-tiba sahaja Zaff menjerit kuat begitu.

Erkk? Indra dengar? Zaff terkedu. Dia tak berani menoleh ke kanan. Pasti mamat di sebelahnya ini sedang tersenyum mengejek.

“Jom, turun. I nak bagi you hadiah.” Indra terlebih dahulu keluar dari perut kereta.

“Hadiah? Hadiah apa?”

Dengan langkah terpaksa, Zaff menghampiri Indra dan berdiri di sebelah lelaki itu. Aura Indra buat dia rasa tak selesa. Lelaki yang nampak tegas dan kadang-kadang suka memaksa.

Indra duduk di bahagian hadapan Audinya. Mengadap bandar tempat dia tinggal. Tak adalah indah mana pun panorama bandar itu, cuma dia sengaja membawa Zaff ke sini. Melarikan seketika wanita itu dari keserabutan masalah.

“Boleh buat sekarang…”

Sekilas pandangan Indra sampai ke mata Zaff, memaksa wanita itu memikirkan yang tidak-tidak. Dari awal lagi, dia sangsi dengan lelaki ini. Cara lelaki ini mendekati dia dan atas apa dia didekati, semua itu mengundang prasangka di hati.

“Apa?!” soal Zaff melenting. Sakit hati dengan permintaan lelaki itu.

“Apa, apa?” ulang Indra mengejek. Tak takut pun dengan riak marah wanita itu. Kelakar lagi ada.

“Awak jangan main-main, Indra. Awak nak buat apa dengan saya?” Sisi garang Zaff muncul. Marah benar dia bila Indra buat-buat tak faham dengan soalannya itu.

“Garang.” Tawa Indra lepas. Tahu dah dia, apa yang sedang difikirkan Zaff. Tentu wanita ini fikir dia jahat.

“Fikiran tu jangan nak ke laut dalam sangat boleh tak? I nak bagi you hadiah yang istimewa, secara langsung dari atas bukit ni.”

Kata-kata Indra buat Zaff terdiam. Hadiah apa saja? Tak ada apa pun yang istimewa atas bukit ni.

“Sudahlah, jangan fikir yang I ni jahat. Nak apa-apakan you. Kita kawan, kan? Kalau betul I jahat, I tak bawak you datang sini. I bawak you ke hotel je.” Indra kenyit mata.

Zaff memandang Indra tajam. Cuba mencari keikhlasan di wajah itu.

“Kawan?” Indra hulur tangan, mengharap Zaff sudi menyambut salam persahabatannya itu.

Zaff tidak memberi respons. Tangan Indra dia hanya pandang sepi. Kawan? Perlu ke dia berkawan dengan spesies lelaki pelik macam ni?

“Boleh tak? Ke…you tak sudi berkawan dengan I?” Meleret-leret suara Indra. Dia nampak wanita ini seperti tak selesa mahu didekati atas tiket seorang kawan.

Zaff masih diam juga.

“Oh, I lupa yang you cuma nak berkawan dengan orang-orang segak macam Kamil je, kan?” Suara Indra seperti memerli.

“Jomlah, I hantar you semula ke ofis.” Suaranya berbaur rajuk. Dia bangkit dari duduk.

“Indra,” panggil Zaff, menghalang langkah lelaki itu.

“Okey, kita kawan. Tapi tak payah salam eh?” Akhirnya Zaff membalas. Tak naklah sampai dikata sombong sebab tak sudi terima lelaki ini sebagai kawan.

Indra senyum. Dia angguk sekali, tanda menghormati permintaan wanita itu.

“Saya nak tahu, kenapa awak bawa saya ke sini?” soal Zaff serius.

“Kamil banyak bercerita fasal you.” Intonasi suara Indra tenang dan bersahaja. Dia kerling sekilas ke arah Zaff, mahu melihat reaksi wanita itu.

“Fasal husband you yang suka angkat tangan. Rumah tangga you yang berantakan tu,” sambung Indra, masih berhati-hati dengan tutur katanya. Tidak mahu Zaff merasa kurang senang.

Zaff hanya diam tak berkutik. Malu yang dia rasa bila kisah rumah tangganya diperkatakan hanya TUHAN saja yang tahu. Sampai ke tahap dia mahu menyorok dari pandangan lelaki itu.

Indra pandang Zaff. Dia mengharapkan respons daripada wanita itu. Tetapi Zaff kelihatan tenggelam dalam menungannya.

“Dan yang paling penting, I dah nampak apa Kamil cuba buat pada you tempoh hari.” Tiba-tiba terlintas idea jahat untuk menarik perhatian wanita ini.

“Apa yang awak nak dari saya sebenarnya?” Suara Zaff sudah berubah serius. Dia perlu bertanya setelah merasakan ada agenda yang disembunyikan lelaki ini.

“Encik Indra jangan fikir saya perempuan murah, sampai nak biarkan harga diri saya dijual sesuka hati. Saya masih ada maruah!”

“I tak cakap apa-apa lagi pun. Kenapa nak cepat sentap?” Indra masih berlagak tenang.

“Saya tak tahu apa yang Encik Indra nak daripada saya dan saya tak rasa Encik Indra berniat ikhlas mahu berkawan dengan saya.”

“Siapa cakap?”

“Jelas dan tak perlu sesiapa cakap! Saya tahu, encik pun sama macam Encik Kamil, ada niat tak baik dan anggap saya ni perempuan lemah yang mudah dipujuk!”

“Oh…jadinya you dah boleh baca fikiran I lah ya? I muncul sebab nak rosakkan you?” Indra berpaling betul-betul mengadap Zaff. Menghantar pandangan yang cukup tajam. Ternyata tekaan wanita ini silap, kerana dia bukan lelaki jenis itu!

“Cakaplah, kenapa diam?”

Dengan jarak serapat itu, Zaff jadi tidak selesa. Dia melarikan pandangan ke arah lain, tak sanggup menentang mata lelaki itu yang bersinar-sinar.

“I boleh saja buat macam tu kalau you setuju. Bukan susah pun, sekarang ni pun kalau rasa you nak, I boleh buat. Pilih, nak buat dekat mana, atas boot? Dalam kereta? Dalam semak?!” Ajakan Indra, bukan dalam nada seloroh.

“Tapi I belum gila nak fikir sejauh itu, Zaff. Muka I ni nampak sangat ke macam muka orang jahat? I dekati you cuma nak membantu. Itu pun kalau you sudi.”

Memang itu niat dia. Tak dapat bantu bawa Zaff lari, dia sudi tadah telinga jika wanita itu mahu berkongsi masalah rumah tangganya.

“Kita dah jauh sangat menyimpang, Indra. Saya hormat awak sebagai kenalan majikan saya dan saya harap, awak boleh hormati privasi saya sama,” pinta Zaff. Dia sudah cukup tertekan terpaksa mengadap manusia-manusia yang menyakitkan hati seperti Redza dan Adira. Sikap kasar Redza dan pengkhianatan Adira. Jadi, dia tak perlukan seorang lagi makhluk TUHAN untuk menduga hatinya.

“Saya nak balik.”

“I tak nak balik.”

“Okey! Saya balik jalan kaki.” Zaff nekad, mahu mengambil beg tangan di dalam kereta Audi. Namun belum sempat pintu dibuka, Indra terlebih dahulu mengunci pintu kereta mewah tersebut dengan kunci kawalan jauh di tangannya.

Zaff mendengus. Indra dengan wajah ketatnya cuma memandang tanpa perasaan ke arah Zaff. Wanita itu nampak sangat membencinya. Urusannya bersama wanita itu belum selesai dan dia takkan senang-senang mahu melepaskan Zaff pergi.

“Boleh tak bagi I peluang?” soal Indra dengan suara ditahan-tahan.

“Dengar dulu apa yang I nak dari you. I tak temahak nak berhubungan dengan isteri orang kalau bukan kerana I simpati tengok nasib you!”

Zaff diam. Baru dapat menangkap apa tujuan sebenar lelaki itu mendekati dirinya.

“Zafirah Nur.” Tajamnya suara lembut Indra, melantunkan sebaris nama itu sehingga mengundang getar di hati Zaff.

“Sudi tak kalau I bantu you lepaskan diri?”

Zaff belum mahu menyahut. Pandangannya ditebarkan ke tengah bandar yang kelihatan begitu kecil dari puncak bukit itu. Namun jauh di dasar hati, dia mula menimbang tawaran Indra.

“Bagi I tolong you, Zaff. You boleh luahkan apa yang terbuku di hati you tu. Lepaskan semua beban tu. I boleh jadi pendengar yang baik.” Indra membuat tawaran lagi.

Zaff tarik nafas. Kata-kata Indra berjaya menyentuh hatinya. Dia nampak keikhlasan Indra. Bersediakah dia untuk berkongsi masalah dengan lelaki itu? Ya, mungkin dia boleh mencuba. Demi melepaskan sedikit beban yang tergalas di bahu.


PROLOG BAB 1  BAB 2  BAB 3  BAB 4  BAB 5  BAB 6  BAB 7  BAB 8  BAB 9  BAB 10


BELI NOVEL JANGAN PERNAH KATAKAN CINTA (PENULIS: ANN)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *