KENYANG perut Zaff bila sebekas makanan yang diberikan Indra petang tadi licin dimakannya. Nasi ayam dengan tiga ketul kepak madu. Entah macam mana lelaki itu boleh tahu makanan kegemarannya itu.
Hailah, Indra. Betullah, hadir lelaki itu sebagai pengubat. Di saat dia menanggung derita yang diberikan Redza, dia ditemukan dengan Indra. Kehadiran lelaki itu seperti satu jalan yang seakan mahu memesongkan hatinya untuk tidak lagi bersedih memikirkan kecurangan si suami.
Indra yang buat hatinya kembali berdebar.
Indra yang menjadikan hari-harinya yang sebelum ini suram kembali bersemangat.
Indra yang mengisi segenap ruang fikirannya akhir-akhir ini.
“Indra, Indra… Boleh pulak dia kata jumpa sorok-sorok tu adventure. Dibuatnya Redza nampak. Grrr!!! Terseksa aku dibuatnya!” Zaff jadi ngeri tiba-tiba.
Redza langsung tidak pulang ke rumah sejak pertelingkahan mereka beberapa hari lepas. Permintaannya untuk dilepaskan hanya dipandang sepi lelaki itu.
Apa lagi yang Redza mahu agaknya. Tidak puas lagi ke suaminya itu menyeksa dirinya dengan sepak terajang? Agaknya, Redza mahu dia mati. Waktu itu barulah lelaki itu akan puas hati.
“Hurmm…” Sebuah keluhan meletus di bibir.
“Melampau! Asyik-asyik termenung je kau ni!” Marah Redza meluap. Sudah hampir sepuluh minit dia berada di hadapan Zaff, namun isterinya itu langsung tidak perasan. Leka tersenyum-senyum sampai terpejam rapat matanya.
Atau Zaff sebenarnya sudah ada orang lain? Sebab itu isterinya itu minta dilepaskan? Sebab dia dah jumpa lelaki yang boleh membahagiakan dirinya? Hati Redza berprasangka.
“Abang! Bila sampai?” Duduk Zaff betulkan. Risau juga dia kalau suaminya itu perasan dia termenung lagi.
“Kau sibuk sangat termenung. Mana nak perasan aku balik.” Tegang bahasa Redza. Dia menghenyak kasar tubuhnya ke sofa. Pandangan tajam dilontarkan kepada Zaff yang diam membisu.
Otak Redza masih bekerja. Mencari punca kenapa Zaff boleh tiba-tiba berubah laku. Dan jika terpaksa, dia akan mendesak supaya isterinya itu membuka mulut dan berterus-terang.
“Kau kenapa?”
“Kenapa? Kenapa apa, abang?” Zaff bertanya hairan. Ayat yang meluncur keluar dari bibir suaminya itu kedengaran sangat tidak senang. Kalau sudah begitu gayanya, masaklah dia selepas ini.
“Aku tengok kau beberapa hari ni pelik semacam.” Redza merapatkan duduk, menghimpit tubuh Zaff sampai isterinya itu tidak boleh bergerak lagi.
“Kau berani melawan aku sekarang. Minta aku yang bukan-bukan. Kau ada sembunyi apa-apa daripada aku ke?” Redza berterusan mengasak.
“Mana ada Zaff sembunyikan apa-apa.” Zaff menjawab.
“Kau tahu dah kan, apa kau akan dapat kalau kau cuba bohong aku?” Jelingan Redza tajam. Sakitnya hati dia bila melihat isterinya sudah pandai melawan.
“Jangan mimpi aku akan lepaskan kau, Zaff! Selamanya kau milik aku!” Redza beri peringatan lagi.
Milik dia? Apa yang Redza mahu sampaikan sekarang ni? Milik yang bagaimana? Milik yang cuma boleh ditangan-tangankan sesuka hati? Begitu?
“Kau dah ada orang lain? Sebab itu kau nak aku lepaskan kau?” Redza menebak.
“Kau dah tidur dengan jantan tu?” Provokasi Redza lagi. Tubuhnya semakin kuat menghimpit Zaff. Bibir dirapatkan, seinci lagi menghampiri cuping telinga Zaff yang kekal membatu. Nafas Redza yang menampar pipi, jelas terasa yang lelaki ini sedang tunjukkan apa yang ada dalam hatinya kini. Bersedia saja dia dengan tindakan suaminya ini.
“Kau tahu kan, macam mana beruntungnya orang lelaki yang berjaya pikat isteri orang?” Redza yakin Zaff jadi begini disebabkan seorang lelaki. Sama seperti dia yang angaukan bekas teman baik isterinya sendiri.
“Dia takkan risau kalau apa-apa berlaku pada kau. Kalau kau mengandung sekalipun, semua orang takkan dapat teka anak tu anak aku atau dia! Hey, perempuan. Cakap dengan aku apa kau dah buat dengan dia?!”
Tingkah Redza semakin ganas. Dia menarik leher Zaff dan dibawa lengannya menekan di situ, membuatkan isterinya itu hampir tidak bernafas.
“Lepas!” Terkapai Zaff mencari nafas. Perit terasa tekaknya. Hampir nak putus nyawanya dengan kekasaran Redza yang tanpa belas itu.
“Jangan harap aku nak lepas. Mengaku Zaff, kau dah tidur dengan dia, kan?” soal Redza, menyangka yang isterinya itu mudah tunduk pada nafsu, sama seperti dia. Senang-senang nak jual harga diri demi puaskan nafsu dan kesenangan diri!
“Cakaplah! Kenapa diam? Betulkan, kau dah serah diri kau pada dia?!” gesa Redza lagi, memaksa Zaff membalas.
“Lepas, abang!”
“Aku nak dengar dari mulut kau, apa kau dah buat belakang aku? Jawab, Zaff!”
Cengkaman tangannya pada leher Zaff dilonggarkan sedikit, memberi ruang untuk Zaff bersuara.
“Tak!”
“Tak apa? Tak buat sekali? Dah buat berkali-kali? Itu yang kau nak cakap pada aku?!” amuk Redza macam orang hilang akal.
“Betul, kan?” soalnya, sinis. Dadanya berombak kencang. Dia takkan berdiam diri dan membiarkan Zaff sesuka hati membuat keputusan.
Talak di tangannya. Isterinya itu cuma mampu berharap. Sampai mati dia takkan lepaskan isterinya ini! Sumpahnya dalam hati.
Zaff sudah tak mampu bersabar. Dikumpul segala kekuatan untuk meleraikan rangkulan Redza di lehernya. Dengan sekuat tenaga dia tolak tubuh Redza sebelum dia bangkit, melepaskan diri dari terus disakiti.
“Abang memang melampau! Kenapa abang tak pernah nak percaya Zaff?” jerit Zaff kuat. Menafikan tuduhan tak berasas suaminya. Kali pertama dia begitu, meningkah kata-kata suaminya itu.
“Zaff isteri abang. Tak pernah terlintas dalam fikiran Zaff untuk duakan abang. Kenapa abang susah sangat nak percaya?”
“Sebab kau tu penipu! Perempuan macam kau tak selayaknya duduk di sebelah aku. Perempuan macam kau…”
“Macam apa! Cakap abang, macam apa?!” Marah Zaff tidak mampu bertahan. Desakan Redza memaksa dia lantang bersuara menentang suaminya itu.
“Abang nak Zaff buat apa lagi? Kenapa sekali pun abang tak pernah nak percaya yang Zaff pernah sayangkan abang!”
Keduanya terdiam. Zaff sendiri tak duga, ayat akhirnya itu mampu terluah dari bibir.
“Pernah sayangkan aku? Jadi, sekarang ni kau dah tak sayangkan aku lagi?” Setelah berdiam beberapa detik, Redza ulang kenyataan isterinya itu.
“Ya.” Zaff angguk berani.
“Kau memang melampau, Zaff! Sekarang ni kau dah pandai berbunyi! Berani tinggikan suara pada aku. Kau cuba cabar aku ya, Zaff? Kau memang bodoh!” Suara Redza melengking kuat. Kelantangan Zaff seolah-olah mahu mencabar kelelakiannya.
“Kau tak sayang aku lagi, ya? Mari sini aku ajar kau macam mana nak berkasih sayang. Masuk bilik sekarang!” Redza semakin sakit hati. Tubuh Zaff ditolak kasar, namun isterinya itu masih berdegil.
“Aku cakap masuk bilik!” Arahan Redza seiring dengan tangan kasarnya yang sampai ke pipi Zaff. Hingga isterinya itu jatuh terduduk.
Kesan tamparan itu seperti biasa membuatkan wajah mulus Zaff berbirat. Zaff cuma mampu menangis.
“Nak sangat buat dajal belakang aku. Kau menyundal dengan lelaki lain sebab aku tak nak anak, kan? Jadi, kau minta benih dengan lelaki lain? Kau nak mengandung sangat, kan? Sekarang juga aku boleh bagilah, perempuan! Kau jangan cuba perlekehkan aku!” Redza semakin dirasuk marah. Lengan Zaff dicengkam kuat, menarik isterinya itu untuk bangun. Kemudian dia tolak tubuh lemah Zaff untuk berjalan ke bilik.
Zaff masih kaku melawan. Tangan ditekapkan ke pipi yang masih terasa kebas memijar. Tunggulah sejam dua lagi, tentu kesan lebam akan berbekas di situ. Dia tak kesal dengan kesakitan akibat tamparan suaminya itu. Apa yang dia kesalkan, kenapa Redza masih mahukan dia di sisi kalau kewujudan dia cuma menambah bara di hati lelaki itu? Kenapa dia tidak dilepaskan saja?
“Sekarang Zaff, atau kau nak aku kerjakan kau dekat sini?!”
Tiada jawapan dari bibir Zaff. Demi mengelak untuk terus disoal siasat, dia atur langkah longlai ke bilik tidur. Bersedia untuk menyerah. Mengharap penyerahannya itu mampu buat suaminya puas hati. Tentang hati dia, tak perlulah difikirkan kerana dia sudah terbiasa begini.
PROLOG • BAB 1 • BAB 2 • BAB 3 • BAB 4 • BAB 5 • BAB 6 • BAB 7 • BAB 8 • BAB 9 • BAB 10
BELI NOVEL JANGAN PERNAH KATAKAN CINTA (PENULIS: ANN)