Jangan Pernah Katakan Cinta – Bab 3

DUA hari berlalu. Ada beberapa tugasan yang perlu diselesaikan merajinkan Indra untuk sekali lagi berada di sini. Ada perkara berkaitan syarikat yang dia mahu bincangkan dengan Kamil.

Selepas melepasi pintu utama syarikat, matanya memandang sekilas ke meja pembantu Kamil yang baru beberapa bulan bekerja di situ. Seraut wajah bujur sirih itu buat dia terpegun sejenak. Tiba-tiba permintaan Kamil kembali terngiang-ngiang di telinga. Permintaan yang baginya tak kukuh mana.

“Zafirah Nur.” Nama itu meniti di bibir Indra. Matanya masih tak lepas dari memerhati wanita yang begitu ralit memandang skrin monitor. Kemudian, pandangannya jatuh ke bibir pecah yang belum sembuh sepenuhnya itu. Timbul rasa simpati di hati, membuatkan dia terfikir untuk mengenali wanita itu dengan lebih dekat lagi.

Zaff yang masih tekun membuat kerja, langsung tidak perasan yang dirinya diperhatikan, membolehkan Indra mengambil kesempatan untuk terus menjamah wajah suram itu.

“Apa masalah dia ya sampai teruk dibelasah macam tu? Dia curang ke? Atau suami tak puas? Dikerjakan kawan tu sebab tak pandai melayan? Ah Indra! Jauh sangat kau fikir sampai ke situ.” Bibir Indra mengomel sendirian. Dalam hati kuat terdetik perasaan ingin tahu, tidak seperti mula-mula Kamil memohon bantuannya dulu.

Ah! Tak tanya tak tahu. Dari terus berteka-teki, baik dia bertanya pada tuan badan sendiri. Macamlah dia tak biasa mengayat perempuan! Kalau Kamil yang lurus tu pun boleh terpikat, tentu sahaja ada sesuatu yang istimewa pada wanita ini. Dan perkara itulah yang dia nak sangat tahu.

Sengih Indra mengiringi langkahnya, mahu mendapatkan Zaff di meja kerja. Hampir seminit dia tercegat di depan Zaff, namun masih tidak disedari wanita itu. Masih seperti tadi. Beku bagai disumpah!

“Hmm! Kamil ada?” soal Indra.

Zaff yang sedang jauh melamun tersentak. Fail plastik yang sedang dipegang terlepas ke lantai. Terburai fail plastik yang di dalamnya ada beberapa keping kertas. Semuanya bertebaran. Tak sempat dicapai tangan.

“Sorry. Sorry! I tak sengaja kejutkan you.” Indra turut panik. Dia sembunyi senyum menyaksikan keletah kalut wanita lewat dua puluhan itu. Takut pula ada yang terasa hati.

“Tenang. Tarik nafas,” ajar Indra bila Zaff nampak masih terkejut dengan sergahannya tadi.

Sekilas Zaff menjeling. Waktu itu baru dia perasan, lelaki ini lelaki sama yang datang mencari Encik Kamil dua hari lepas. Lelaki yang nampak aksi sumbang dia dan Encik Kamil waktu itu.

Ya ALLAH, apalah agaknya yang lelaki ini fikir. Tentu lelaki ini ingat, dia sengaja mahu goda majikan sendiri. Malunya.

“Okey dah?” Indra bersuara lagi.

“Okey.” Zaff tunduk, cuba melarikan wajahnya daripada direnung lelaki itu.

“Maaf sekali lagi.” Sekali lagi Indra memohon maaf walaupun silapnya tak adalah besar mana. Kata nak mengayat, bibir kenalah manis.

“Saya yang sepatutnya minta maaf. Berangan waktu kerja.” Jujur Zaff mengaku silap.

“It’s okay. I pun selalu buat macam tu jugak.”

Erk? Zaff angkat kepala. Ditilik sekilas wajah selamba di depannya itu. Mencari kejujuran pada kata-kata lelaki itu.

“Memang suka berangan eh?” Nakal nada suara Indra, memaksa Zaff mencebik sedikit bibirnya.

“Encik nak jumpa Encik Kamil ke?” Tanpa mempedulikan pertanyaan Indra, Zaff tegakkan duduknya. Biarpun dia sedar, mata lelaki itu tajam memanah wajahnya yang lebam, penangan dibelasah Redza.

Cantik! Tetapi tentu lebih cantik kalau tak ada luka di bibir, dan kesan lebam hitam di alis matanya itu, detik hati Indra semakin jauh menilik. Tak berkedip matanya, terpukau seketika dia dek anugerah ALLAH yang tak dijaga sebaiknya ini.

“Encik!” Zaff semakin tidak selesa.

“Oh. Dia ada ke?”

“Encik Kamil memang ada tapi dia tengah tunggu seseorang.”

“Dia tengah tunggu I lah tu.”

“Encik ni…”

“Indra.” Indra memperkenalkan diri.

“Tapi tadi dia kata dia tunggu Haji Shahman.”

“Oh, Haji Shahman tu kawan baik kami. I ganti tempat dia hari ni. Haji busy, tak sempat datang.” Licik dia memberi alasan spontan. Tak mahu mengaku siapa dia di sisi Kamil dan Haji Shahman.

“Kalau macam tu, masuklah.”

“Tapi sebelum tu I nak jumpa you dulu.” Terkelip-kelip mata Indra dengan senyum gatal.

Zaff kerutkan dahi. Nak jumpa dia buat apa? Semakin tak faham Zaff dengan lelaki di hadapannya ini. Dari gayanya dengan berjaket hitam dan berseluar jeans yang juga serona dengan jaketnya itu, tak ubah macam ketua gangster. Tapi bila mula bercakap, tak ubah seperti buaya tembaga.

“Tengah hari ni you free tak?”

Mulut Zaff melopong. Lelaki ini nak ajak dia makan tengah hari ke? Tapi sebab apa? Kenal pun tidak.

“Err…maaf, Encik Indra, saya tak keluar makan tengah hari. Saya bawa bekal.” Jujur Zaff menjawab. Dalam keadaan ekonomi sekarang, dia perlu berjimat. Apatah lagi Redza dah lama tak memberinya nafkah.

“Ada I cakap nak ajak you makan tengah hari ke?” soal Redza tanpa senyum.

Zaff termalu sendiri. Salah dia juga yang berangan ingat lelaki ni nak belanja makan. Perasan!

“I cuma nak you tolong booking restoran untuk I makan tengah hari. Tapi kalau you nak ikut sama, I okey jer,” pancing Indra. Dia memang bercadang mahu Zaff makan bersamanya. Tapi bila awal-awal wanita itu dah menolak, dia nak juga jaga air muka sendiri.

“Boleh?” Indra pamer senyum menggoda.

“Tak apa, Encik Indra. Terima kasih je. Saya boleh tolong booking restoran. Encik Indra makanlah sorang-sorang. Tak pun ajak Encik Kamil,” tolak Zaff.

“Tapi I nak dengan you.” Lancar sahaja bibir Indra menjual minyak. Dia tak tahu wanita di hadapannya itu sudah tak senang duduk.

Nak dengan dia? Gila ke kawan Encik Kamil ni? Perangai lebih kurang sama saja dengan majikannya. Gatal dan menyakitkan hati!

“Ikut I keluar lunch ya?” pujuk Indra lagi.

Zaff diam.

“Kalau you tak kisah, I nak kenal you lebih dekat lagi.” Penutup pen yang ada di atas meja kerja Zaff itu dibuka. Dan beberapa detik kemudian, kembali ditutup. Diulang beberapa kali, sebelum pen tadi diketuk-ketuk kuat di atas meja.

“I nak tolong you!” bisik Indra keras. Dia tunduk merapatkan kedudukan. Bukan dia peduli pun dengan pekerja-pekerja Berjaya Motor yang lalu lalang memerhatikan dia di sisi meja Zaff waktu itu.

“Tolong? Untuk apa? Saya okey je. Buat apa Encik Indra nak tolong saya?” Tenang dia memberi alasan. Memang dia sedang mencari jalan untuk lari dari kesakitan yang ditanggungnya tetapi untuk mempercayai lelaki yang tidak dikenalinya itu, tidak sama sekali.

“Jangan tipu I. Dari keruh mata you pun, I boleh baca apa yang you sedang rasa sekarang.”

Kata-kata Indra buat Zaff terkesima. Siapa lelaki ini? Apa sebenarnya yang dia mahu?

“You perlukan bantuan, kan? Nak seseorang datang dan bawa you lari dari masalah you.” Pandangan Indra layu, tapi mencengkam!

Zaff tidak membalas. Dia terkedu.

“Tawaran I tak bersyarat dan tak ada tempoh tamat. Tolong fikir dan pertimbangkan,” tawar Indra serius.

Zaff telan liur. Melihat wajah gatal yang berubah menjadi serius itu buat perasaannya jadi lain macam. Tak bersyarat? Mustahil dia tak tertarik dengan tawaran Indra itu. Di saat hatinya sedang rebah, ditawarkan pula dengan satu pertolongan begini.

“Terima?” Indra berdiri tegak semula. Memberi ruang pada Zaff membetulkan nafas.

“Encik tahu kan, saya dah bersuami?” Zaff menyoal.

“Suami?” Indra menyoal bersama senyum sinis.

“I tak nak tahu fasal suami you. Cari I bila you dah bersedia untuk bebas,” pesan Indra sebelum dia berlalu ke bilik Kamil. Membiarkan Zaff dalam keadaan tertanya-tanya.

 

NASI GORENG dengan beberapa hiris timun dan telur mata kerbau di dalam bekas makanan yang dibawa hanya direnung kosong. Termenung, termenung dan termenung. Itulah rutin Zaff sejak kebelakangan ini. Jauh membawa fikirannya melayang.

Terlalu banyak perkara yang mengisi ruang otaknya. Sebelum ini, dia kerap termenung memikirkan masalah rumah tangganya. Dan kini wajah lelaki yang mengganggu ketenteraman hatinya tadi pula yang muncul di benak.

Siapakah sebenarnya lelaki yang begitu bersungguh mahu menghulurkan bantuan kepadanya walaupun mereka tidak saling mengenali? Lelaki itu seperti mengetahui yang dia sedang menghadapi masalah rumah tangga. Atau Encik Kamil yang membuka mulut bercerita tentang kemelut rumah tangganya? Entah-entah majikannya itu yang mengupah lelaki itu untuk membantunya?

Malunya dia. Agaknya, cerita apa sajalah yang Encik Kamil dah sampaikan kepada lelaki bernama Indra itu. Terbayang-bayang di layar matanya kelibat lelaki berbadan tegap itu.

“Lupakanlah, Zaff. Entah-entah dia cuma nak main-main. Kau pun jangan mudah sangat perasan!” Zaff bersuara. Sudu di tangan kanan mula buat kerja. Dikuis-kuis nasi yang langsung tak luak itu. Hilang selera, namun dia tahu dia perlu makan untuk dapatkan tenaga bila berdepan dengan Redza nanti.

Redza tak suka lihat dia lemah. Hilang selera katanya. Hmm… hilang selera konon, kalau datang angin gila dia, yang tak selera inilah yang diterkamnya dulu. Dikerjakan sampai lunyai. Sungguh dia jengkel bila sering menjadi mangsa rakus suami sendiri.

“Makan, Zaff. Balik nanti perlu hadap dia lagi.” Sesudu nasi goreng disuap ke mulut. Dikunyah dan ditelan biarpun terasa pahit. Beban emosi yang sarat ditanggung jiwa bila sering menjadi mangsa belasah suami buat seleranya dah lama mati.

“Buatkan I teh o panas. Tak nak gula, bubuh madu kalau ada.” pinta Indra yang tiba-tiba masuk ke dalam pantri. Selamba dia duduk berhadapan, dengan niat mahu makan bersama wanita itu walaupun tidak dipelawa. Diletakkan di atas meja plastik ayam goreng dan nuget yang baru dibelinya.

“Kenapa?” soalnya, bila Zaff masih tergamam memandangnya. Dengan bibir terlopong, sudu masih dalam mod bersedia mahu dimasukkan ke dalam mulut.

“Oh, lupa eh I nak air apa?” Dia berdeham sekali.

“Teh o panas. Tak nak gula, bubuh madu kalau ada,” ulang Indra dengan kenyitan mata.

Nak tak nak Zaff terpaksa menurut. Lelaki ini teman baik majikannya. Karang kalau tak dilayan, dia diberhentikan kerja, macam manalah dia nak teruskan hidup. Hendak harapkan Redza, jangan haraplah suaminya itu nak memberinya nafkah. Suaminya itu bukan kisah pun kalau dia makan atau tidak. Dan atas alasan itulah dia keluar bekerja, mencari nafkah untuk dirinya sendiri.

“Ada ke madunya?” Indra kalih badan. Kasihan pula dia tengok Zaff terbongkok-bongkok mencari stok madu di bahagian bawah kabinet.

“Ada,” sambut Zaff.

Usai menyiapkan minuman untuk Indra, Zaff kembali duduk. Sekali lagi dia tergamam bila melihat nasi gorengnya sudah berpindah hak milik. Indra sedang menjamah nasi gorengnya itu dengan penuh berselera!

Zaff menghirup milo panas yang dibancuhnya tadi. Menjeling Indra yang nampak bersungguh mahu menghabiskan baki bekal nasi gorengnya itu. Dengan sudu tak tukar, lelaki ni tak ada perasaan geli ke?

“Thanks, sedap air you bancuh,” ucap Indra selepas menyisip teh o panas. Dia kemudian membuka plastik ayam goreng yang dibelinya tadi, lalu ditolak betul-betul kotak itu di hadapan Zaff.

“You dah jemu makan nasi goreng, kan? Kita buat sistem barter. You makan ayam I, dan I makan nasi goreng you yang nampak seksi dengan telur mata ni.” Dengan selamba Indra terus menjamah nasi yang dibawa Zaff.

Kamil ada memberitahunya yang Zaff akan makan bersendirian di pantri bila waktu rehat sampai. Sebab itulah sebelum waktu rehat tadi, dia cepat-cepat keluar untuk membelikan Zaff makanan segera ini.

“Makan je ayam goreng tu, tak perlulah pandang macam I ni boleh kenyangkan you.” Sesudu lagi nasi goreng masuk ke mulutnya. Masakan dari rumah yang jarang-jarang dia dapat rasa. Dan kali ini, dia sangat beruntung!

“Sedap,” pujian Indra ikhlas sebaik licin nasi goreng Zaff masuk ke dalam perutnya.

“Lain kali boleh rasa lagi, kan?” Dia berharap, tapi wanita itu tak beri sebarang reaksi pun.

“Thanks, harap you halalkan nasi goreng ni.” Dicapai pula nuget ayam yang dibelinya bersama dengan ayam goreng tadi.

“Errr…okey, saya halalkan. Thanks juga bagi saya ayam goreng ni.” Zaff bersuara apabila rasa gamamnya sedikit hilang.

“Untuk you, apa pun boleh.”

Eh? Lain macam sangat ayat Indra ni. Kenapa sejak tadi ayat yang diucapkan lelaki ini tak habis-habis mahu mengganggu ketenteraman hatinya?

“Lebih dari ayam goreng pun I boleh bagi, itu pun kalau you sudi terima.”

Apa yang meniti keluar di bibir Indra biasa-biasa sahaja nadanya, tapi kenapa Zaff rasa kesannya tepat menusuk ke hati? Apa yang lelaki ini nak sampaikan sebenarnya?

“Esok kita keluar makan? Tak ada tidak sebagai jawapan.” Indra dengan mod diktatornya. Memaksa Zaff menurut permintaannya. Bukan paksa buat benda tak elok pun. Nak belanja makan saja kut.

“Err…”

“No excuse ya, Puan Zaff. I anggap ‘errr’ you tu sebagai jawapan ya.”

“Tapi…”

“Pukul satu tepat, you mesti ada dekat lobi. I tunggu you dekat situ.” Indra angkat tangan, memberi isyarat dia tak perlukan jawapan lanjut daripada wanita itu. Langsung tak beri peluang.

Bekas makanan yang dah kosong ditutup sebelum dia berlalu ke singki untuk mencuci tangan.

“Ingat, pukul satu. Tepat!”

Bisikan yang cuma mampu buat mata Zaff terpejam. Berfikir, kenapalah takdir hidupnya sering dipertemukan dengan orang-orang yang kejam!


PROLOG BAB 1  BAB 2  BAB 3  BAB 4  BAB 5  BAB 6  BAB 7  BAB 8  BAB 9  BAB 10


BELI NOVEL JANGAN PERNAH KATAKAN CINTA (PENULIS: ANN)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *