Jangan Pernah Katakan Cinta – Bab 4

TANGAN masih di kolar kemeja Redza. Mahu lelaki itu nampak kemas, sebelum dilepaskan kepada pemiliknya semula.

Senyum di bibir Adira puas, dia tidak perlu berusaha keras untuk menundukkan lelaki ini. Cuma hanya perlu diumpan dengan wang ringgit, lelaki itu terus datang menyembah di kakinya. Mengharap belaiannya, menagih layanannya demi memenuhi tuntutan nafsu.

“Handsome dah B, nampak macam orang baru balik office.” Dagu lelaki itu dicuit geram, tak puas mahu bermanja.

“Sembur perfume lebih sikit.” Pewangi disemburkan ke tubuh lelaki itu. Dan seperti selalunya, Redza hanya menurut senang tanpa bantahan.

“I tak nak tertinggal bau losen Victoria Secret I ni kat badan you,” bisik Adira. Bibirnya menyentuh cuping telinga Redza, belum mahu melepaskan lelaki itu pulang.

Redza tak masuk pejabat hari ini. Bercuti semata-mata mahu menemani dia yang pura-pura tak sihat. Yang hairannya, bila Redza tiba, elok pula dia ‘melayan’ suami bekas teman baiknya itu.

“Sayang, betul you nak I balik? You okey ke kalau I tak teman you malam ni?” Pinggang Adira cekap dipaut, dibawa semula ke birai katil.

“I bagi chance you dengan dia malam ni. I ni nampak je jahat B, tapi I tak hipokrit macam wife you tu. Depan you baik macam puteri lindungan bulan, tapi belakang you, TUHAN je yang tahu. Dia sorok semua benda untuk tutup kejahatan dia tu.”

Redza telan liur. Bila sering diingatkan tentang rahsia isterinya itu, hatinya jadi tak senang.

Zaff di mata Redza tiada kurangnya. Layanan dan kasih sayang wanita itu tak pernah kurang. Tapi kenapa cerita Adira sering buat dia rasa tercabar dengan setiap kebaikan isterinya itu? Tidak tahu kenapa dia terlalu mudah percayakan Adira. Atau mungkin rasa cintanya pada Zaff sudah mula luntur?

“B, you okey ke tak ni?”

Redza rasa bahunya digoncang perlahan. Serta-merta bayangan wajah polos isterinya itu bertebaran. Senyuman nipis dihadiahkan pada Adira.

“Betul ke ni you okey I balik?” Sekali lagi Redza bertanya.

“Tak perlu risaukan I. Tahulah I jaga diri. Lagipun anak kita behave je malam ni.” Adira usap perutnya yang sudah memboyot.

Redza pandang kosong ke arah perut Adira. Zuriat hasil hubungan terlarang antara dia dan Adira, yang hanya menunggu masa sahaja untuk dilahirkan. Zuriat yang dia tak pernah mahukan tapi kerana Adira yang beria-ia mahu menyimpan anak itu, dia tiada pilihan.

“You tu, bila dengan dia nanti, jangan cepat lupa diri. Jauhi diri you dari dia, sebab you dah ada I. Ingat tu, B!”

Fikiran Redza dipengaruhi lagi. Takkan puas hati selagi lelaki ini tidak melepaskan isterinya.

“I nak you cepat lepaskan dia…”

“Dira, I rasa dah lewat sangat ni.” Rangkulan tangannya di pinggang wanita itu dilepaskan. Redza rasa dia perlu pergi. Mendengar permintaan wanita itu buat dia rasa tak tenteram. Melepaskan si isteri bermakna dia gila. Gila kerana melepaskan cinta pertamanya itu!

 

MATA diajak untuk menoleh ke sebelah kiri jalan sepanjang perjalanan pulang ke rumah. Tubuhnya sudah tersandar keletihan di tempat duduk Honda Accord milik si suami, tapi fikirannya masih jauh melayang mengenangkan Indra yang berjaya mengganggu-gugat perasaannya tadi.

Walaupun tingkah Indra yang suka mendesak menyakitkan hati, tetapi aura yang dibawa lelaki itu buat jiwa lukanya dalam diam kembali berbunga. Dan apa yang buat dia makin tak tenteram bila cara lelaki itu mendekati dirinya serupa orang baru-baru hendak mula bercinta. Atau dia sahaja yang cepat sangat perasan? Sampai orang nak mengusik pun dia mahu ambil serius.

Mata dibiarkan terpejam seketika, cuba menghayati gemeresik suara John Legend dengan lagunya All Of Me yang berkumandang di corong radio. Namun, sekali lagi kata-kata Indra menampar gegendang telinganya.

“Cari I bila you dah bersedia untuk bebas.”

Zaff menghela nafas berat. Tawaran Indra lewat pagi tadi seolah-olah mengajarnya untuk meninggalkan Redza. Tapi, dia seorang isteri yang setia. Walaupun bahagia dia bersama Redza hanya nampak di zahirnya sahaja, sedangkan hatinya sudah terlalu lama menanggung derita. Tapi, dia masih mahu percaya yang Redza akan berubah. Biarpun dia sendiri tidak pasti bila.

Salahkah kalau dia memilih untuk jadi isteri yang setia? Zaff masih berperang dengan suara hati sendiri.

“Tawaran I tak bersyarat dan tiada tamat tempoh.” Suara itu datang lagi, menjadikan mata Zaff semakin rapat terpejam. Menimbang, menilai kata hati yang mula termakan dengan kata-kata lelaki yang baru dikenalinya itu. Tapi takkan semudah itu dia boleh percayakan Indra?

“Huh!” Tanpa sedar keluhan berat meletus dari mulut Zaff, membawa bola mata sang suami tepat terarah memandangnya.

“Penat?”

Redza boleh berubah jadi romantis bila anginnya baik. Layanan yang Zaff tak dapat nafikan, adakalanya dia terlalu bahagia dengan belaian manja suaminya itu. Namun bila baran Redza menggila, hanya sepak terajang yang bakal hinggap di tubuhnya.

“Kau dengar tak aku tanya kau?” Suara Redza yang melengking tinggi membangunkan Zaff dari menungannya.

“Huh! Sebab tu aku malas nak bercakap dengan kau. Kau ni memang isteri yang tak guna dan bodoh. Tak tahu layan kehendak suami!” bentak Redza.

Hilang bayangan Indra, dan kini dia perlu berdepan dengan suami bengisnya ini.

“Sorry. Zaff sakit kepala, abang cakap apa tadi?” Terpisat-pisat dia, seperti orang baru bangkit tidur. Menunggu apa sahaja hukuman dari suaminya itu.

“Kau ni betul-betul membosankan. Malam ni aku tak tidur rumah. Mungkin juga malam esok. Ingat, jangan ke mana-mana waktu aku tak ada!” herdik Redza kasar. Dia lupa seorang isteri itu perlukan ucapan kasih dan bisikan sayang dari seorang suami. Tetapi yang sering disebut Redza cuma herdikan yang tak enak untuk sampai ke gegendang.

Bosan dengan Zaff yang beku buat Redza mengubah fikirannya. Malam ini dia mahu pulang semula ke kediaman Adira.

“Abang nak ke mana?” Seperti selalunya, Zaff akan bertanya walaupun jawapannya dia sudah sedia maklum.

“Berapa kali aku nak cakap, kau tak perlu tahu mana aku nak pergi!” Dan itulah jawapan Redza setiap kali Zaff bertanya.

Terpejam lagi mata Zaff. Untuk entah ke berapa kali, kata-kata kasar Redza buat hatinya terluka. Dipujuk juga hati untuk faham yang suaminya itu tak suka dikawal gerak-gerinya.

“Okey.” Sudahnya Zaff mengalah.

“Okey? Kenapa tak tanya lagi? Dah bosan? Dah malas nak ambil tahu fasal aku?” soal Redza masih tak puas hati dengan jawapan Zaff. Selalunya selagi dia tak angkat tangan, Zaff takkan berhenti bertanya.

Zaff sendiri tak faham, apa sebenarnya yang Redza mahu? Tanya salah, tak tanya pun silap.

“Hoi! Kau dengar tak? Berapa kali nak cakap, bila aku tanya, jawab. Bukan berdiam macam orang bodoh!”

Ditunjal kuat kepala Zaff sehingga terhantuk mengenai cermin tingkap. Sikap Zaff yang tidak berani melawan buat dia semakin berani. Berani memperlakukan isterinya itu sesuka hati.

“Kau kenapa? Kenapa lemah sangat hari ni? Selalunya macam mana sakit pun aku buat kau, kau boleh tersenyum lagi. Masih mampu buat aku teruja. Ke kau mengandung?” tanya Redza.

Zaff diam. Dia menggosok-gosok kepala sebelah kirinya yang pedih akibat hentakan kuat Redza tadi.

“Betul kau mengandung?” Perut isterinya itu diraba kasar dan jika benar Zaff mengandung, nampaknya susahlah dia mahu terus mengajar isterinya itu.

“Tak. Zaff tak mengandung. Zaff takkan mengandung. Kita…” Zaff mengetap bibir. Berat. Nyata sungguh berat ayat yang mahu diungkapkan tadi. Sungguh dia begitu teringin untuk memiliki zuriat sendiri. Tetapi dia terpaksa akur bila Redza yang tak mahukan zuriat atas alasan yang dia sendiri tak tahu.

“Zaff kan makan ubat dan Zaff takkan mengandung, macam yang abang mahu.” Perlahan saja suara Zaff.

“Habis, kalau kau tak mengandung, kenapa kau nampak lembik sangat? Nak tak nak je jawab soalan bila aku tanya. Atau kau terfikir nak lari daripada aku? Dah bosan hidup dengan aku?”

Soalan Redza yang berterusan cuba mencari silapnya buat Zaff mengeluh dalam diam. Tidak guna dia menjawab jika akhirnya dia juga yang akan dipersalahkan.

“Jangan mimpi jauh sangat, Zaff! Selagi aku hidup, jangan fikir kau akan bebas dari aku!” Amaran keras Redza bergema lagi. Sekali lagi tubuh Zaff ditolak, sehingga tubuh kecil itu tertempel di pintu tempat duduk penumpang.

Menangis? Biarlah Zaff menangis dalam hati. Dia tidak peduli!


PROLOG BAB 1  BAB 2  BAB 3  BAB 4  BAB 5  BAB 6  BAB 7  BAB 8  BAB 9  BAB 10


BELI NOVEL JANGAN PERNAH KATAKAN CINTA (PENULIS: ANN)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *