HUJAN lebat yang turun sejak subuh tadi menyukarkan Zaff untuk berjalan kaki mendapatkan teksi ke tempat kerja. Ditambah, taman perumahan yang dia duduki ini agak terceruk ke dalam, menjadikan pengangkutan awam tidak melalui kawasan tersebut.
Usai bersiap, dia mundar-mandir di hadapan pintu utama rumah. Menanti kalau-kalau Redza pulang dan sudi menghantarnya ke pejabat. Tak berniat pun mahu menyusahkan suaminya itu, cuma bila waktu hujan lebat begini dia agak risau untuk berjalan sendirian ke perhentian bas.
Jam di dinding dipandang.
“Pukul lapan. Hmm, lambat dah!” keluhnya.
Bosan menunggu, Zaff capai telefon. Mahu menghubungi Redza yang semalaman tidak pulang. Menanti beberapa saat dan bila talian berjawab, terdengar halus suara perempuan menyambut panggilannya.
“Abang?” Hati Zaff waktu itu seperti sudah tidak ada di tempatnya. Bayangan wajah Adira sedang bermain-main di ruangan mata.
Zaff seperti dapat menebak apa yang Redza lakukan sepanjang malam bersama Adira, cuma dia masih belum ada bukti yang kukuh mahu membangkitkan hal itu kepada suaminya. Menuduh tanpa bukti, ibarat seperti dia mengumpan dirinya untuk disepak terajang oleh Redza secara percuma.
“Redza…ada?” ucap Zaff sepatah-sepatah.
“Redza ada dengan aku. Kenapa?” Bangganya Adira kerana dapat menyakitkan hati wanita yang pernah menjadi teman baiknya suatu ketika dulu. Bagaimana dia tersenyum waktu itu, nyata dia puas dengan apa yang sedang dilakukannya.
Impiannya mahu menakluki hati Redza sejak zaman kolej mereka dulu, akhirnya tercapai dan lelaki idamannya itu sudah melutut di kakinya. Kepuasan yang tidak dapat dinyatakan nikmatnya.
“Aku…”
“Kau nak dia dengan kau pulak ke?”
Sinisnya soalan Adira, sampai seluruh tubuh Zaff menggigil menahan rasa marah di dalam hati. Cukuplah Redza seorang. Kenapa Adira juga sama berubah menjadi kejam? Apa punca sebenar kedua orang yang dia sayang jadi begitu?
“Dia tengah mandi. Kalau kau nak, tunggulah sampai esok, sebab aku tak rasa yang dia akan balik rumah kau hari ni.”
“Dira…towel please.”
Zaff dapat dengar suara Redza sayup-sayup di corong telefon. Suara lembut Redza yang hilang bila lelaki itu bersama dia.
“Datang, B!” jerit Adira kuat.
“Sorry, dear. Redza cari aku. Dia nak aku tu. Jadi kau boleh faham kan siapa yang patut aku dahulukan sekarang ni?”
Talian jadi senyap selepas diputuskan. Kini yang tinggal hanyalah suara esakan Zaff. Kecewanya dia saat itu hanya TUHAN sahaja yang tahu. Selama ini dia cuma mengagak Redza berkasih dengan Adira. Rupanya, hubungan mereka sudah pergi lebih jauh lagi.
Adira, teman sepinggan dan sebantalnya sewaktu di kolej dulu telah berubah dan berpaling tadah mengkhianati dirinya. Apa silapnya pada wanita itu?
Zaff menyeka air mata di pipi. Hujan di luar sudah beransur teduh, tapi renyai di hatinya semakin menggila.
Sekaki payung Zaff capai. Menyeret kaki yang sama berat dengan hatinya yang sedang terluka. Setapak demi setapak dia berjalan. Menghapus air mata sendiri dalam renyai hujan yang bagaikan turut mengerti gelora hatinya.
TUALA kering pemberian Adira tadi, Redza lalukan ke muka. Dia bergegas mandi bila terdengar telefon bimbitnya berbunyi. Menjadi pantang Redza bila telefon bimbitnya diusik. Baik Adira ataupun Zaff, keduanya tak berhak tahu apa yang dia simpan dalam telefon bimbitnya itu.
“Siapa call I, sayang?” soal Redza lembut.
Adira tidak segera menjawab. Dia menapak berdiri mendekati Redza dengan gaya menggoda. Belum puas-puas mahu bermesra dengan kekasihnya itu.
“Cepat sangat you mandi. Tak bersih lagilah sabun ni, B. Pergilah masuk, sambung mandi lagi.” Jarinya disentuh pada tubuh Redza yang terdedah.
Redza mengeluh. Adalah tu yang disembunyikan Adira. Kalau tidak, wanita ini takkan mengelak menjawab soalannya.
“Bagi phone I.” Tangan dihulur, selepas ditepis jemari Adira.
“Perempuan tu call. Tak ada apa yang penting pun. Pedulikan dia. You dah janji nak bawa I makan nasi lemak pagi ni kan, B.” Lengan Redza dipaut mesra bila sudah nampak reaksi tak senang lelaki itu. Seperti selalunya, Redza cukup marah jika dia menyambut panggilan daripada Zaff. Walaupun hubungannya dan Redza sudah terlalu intim, tapi hal berkaitan Zaff, Redza masih mahu ambil tahu.
“Okeylah, I salah sebab jawab call perempuan tu. Sorry. Puas hati?”
Redza belum beralih dari tempat dia berdiri. Melihat titisan hujan di luar jendela, dia dapat meneka kenapa Zaff menelefonnya. Barangkali Zaff perlukan dia untuk menghantar isterinya itu ke pejabat. Dan dia pula masih ‘dikawal’ pergerakannya di sini. Otaknya ligat mencari idea, bagaimana mahu melepaskan diri dari cengkaman Adira.
“Dia tak cari you pun. Terdail katanya tadi. B…” Manja Adira memujuk. Tak suka bila Redza melebih-lebih bila memikirkan tentang Zaff.
Redza adalah milik dia. Dengan apa cara sekalipun, Redza akan tetap jadi milik dia!
“Tapi sayang, luar tu hujan. Dia nak ke ofis pagi ni.” Redza membalas. Teringatkan Zaff dan tentu isterinya itu tertunggu-tunggu kepulangan dia.
“Tahulah dia nak cari teksi ke, apa ke. Boleh tak waktu bersama I, you lupakan dia? You kena ingat, B. Apa janji you lepas semuanya I dah serah pada you. Tinggalkan dia. Lepaskan perempuan hipokrit itu.” Adira mengingatkan lagi.
“Dia pernah tidur dengan abang ipar dia sendiri, B. Dia tipu you yang dia sebenarnya lari dari keluarga dia sedangkan keluarga dia sendiri yang buang dia. Percaya I, B. Zaff tu sangat licik orangnya.” Adira mengulang cerita yang sama. Cerita yang telah ditokok tambah untuk menambahkan rasa benci Redza terhadap isterinya itu. Sanggup dia menabur fitnah hanya kerana mahu mendapatkan cinta lelaki itu.
“Dia tu nampak saja baik, tapi hati dia busuk macam sampah!” Adira berterusan menghina.
“Sudah! Tak perlu ulang banyak kali, Dira. Sekali cukup!”
“I perlu selalu ingatkan you. Supaya you sedar diri dan lepaskan perempuan tu!”
Adira menahan nafasnya yang berombak kencangnya. Tak tahu cerita apa lagi yang perlu ditabur untuk mengaburi fikiran kekasihnya ini dari mengingati Zaff. Apa yang Zaff dah buat untuk menundukkan hati lelaki ini?
Adakalanya Redza nampak sangat membenci Zaff, tapi dia tahu sebenarnya lelaki ini masih terlalu sayangkan isterinya itu.
“You kena ingat, B. Siapa you sebelum adanya I. Sedar diri you tu, B!”
Redza buat tak endah. Sejak beberapa hari ini fikirannya kacau bila bersama Adira. Dia cepat-cepat bersiap, walaupun dia tahu tak mudah untuk dia melepaskan diri daripada teman wanitanya ini.
PROLOG • BAB 1 • BAB 2 • BAB 3 • BAB 4 • BAB 5 • BAB 6 • BAB 7 • BAB 8 • BAB 9 • BAB 10
BELI NOVEL JANGAN PERNAH KATAKAN CINTA (PENULIS: ANN)