Jangan Pernah Katakan Cinta – Bab 6

INDRA berdiri di tengah-tengah ruang tamu rumah. Sunyi suasana kediamannya, menggambarkan apa yang sedang dilaluinya kini. Hidup bersendirian ditemani sepi walau hakikatnya dia masih memiliki seorang isteri.

Retak rumah tangganya ibarat menanti belah. Dia tidak mengharapkan magis untuk memulihkan semula hubungan dia dan isterinya kerana sejak dari dulu lagi isterinya itu tak pernah setuju dengan penyatuan mereka. Ikatan yang terjalin cuma sebagai syarat.

Isterinya itu lebih gembira bersekedudukan dengan lelaki lain dari duduk dan setia di sisinya menjalani kehidupan sebagai suami isteri. Memilih jalan dosa untuk melampiaskan nafsu. Kini, selepas hampir setahun mereka tidak tinggal sebumbung, kehadiran isterinya itu tidak lagi dikisahkan.

“Huh!” Sebuah keluhan berat meletus di bibir.

“Encik?” tegur Mak Mah. Pelik dia melihat Indra yang sejak tadi berdiri tengak di tengah ruang tamu. Sejak enam bulan yang lalu, dia diupah Indra untuk menjaga kebersihan rumah lelaki itu.

“Mak Mah! Patutlah tak berkunci pintu ni. Saya ingat lupa nak kunci pagi tadi.” Indra menggaru pelipisnya yang tak gatal. Malu pula dia kerana lama berdiri tanpa tujuan di tengah-tengah ruang tamunya ini.

Tersenyum sahaja Mak Mah melihat Indra. Selalunya pun begitu, anak muda yang baik hati ini kelihatan sunyi tinggal bersendirian di kediamannya ini. Tak berteman sebab Mak Mah tahu Indra suami yang ditinggalkan.

“Cari orang rumah baru, encik. Yang boleh jaga makan pakai encik dan rumah ni.” Nasihat Mak Mah.

“Ada-ada sajalah Mak Mah ni. Siapalah yang nakkan orang seperti saya ni. Tak punya apa. Anak yatim piatu pulak tu. Ada isteri pun, kena tinggal.” Indra merendah diri. Walhal kalau nak diikutkan, dia lebih daripada mampu untuk beristeri lagi.

“Insya-ALLAH, ada tu nanti.” Mak Mah sama sayu bila mengingatkan lelaki itu tidak berayah dan beribu.

“Awal encik balik hari ni?” Mak Mah pusing topik.

“Ada nak keluar jumpa kawan nanti. Tu yang balik sekejap ingat nak mandi,” terang Indra.

Hari ini dia sengaja pulang ke rumah waktu tengah hari. Mahu membersihkan dirinya yang agak comot bergelumang dengan minyak kotor di bengkel. Sekejap lagi dia ada janji temu untuk makan tengah hari dengan Zaff.

“Oh! Mak Mah ada bawa lauk dengan nasi untuk encik. Kalau encik nak makan, panaskan saja ya. Mak Mah nak gerak dah ni,” beritahu Mak Mah. Kerjanya sebagai pembantu rumah di situ hanyalah separuh hari.

“Terima kasih, Mak Mah. Lama dah tak rasa air tangan Mak Mah. Rindu asam pedas ayam Mak Mah yang sedap tak ingat tu. Sambal belacan berapi Mak Mah. Aduhai, belum makan dah terasa-rasa sedapnya,” puji Indra, tak lebih untuk menghargai wanita yang sudah dianggap seperti ibunya sendiri itu.

“Kebetulan Mak Mah memang masak asam pedas ayam hari ni untuk encik. Tapi sambal belacan tak sempat buat. Encik terus makan tau, jangan simpan. Jangan sampai seminggu lagi Mak Mah datang, mangkuk tu masih penuh tak luak!” bebel Mak Mah standard mak-mak.

“Baik, Mak Mah. Malam nanti saya bagi licin semua lauk tu.” Indra turut menghantar Mak Mah ke motosikalnya. Kagum melihat wanita lewat empat puluhan ini. Masih tekun bekerja demi sesuap nasi. Sebab itu dia tak pernah berkira dengan Mak Mah. Kerja sebulan lima kali pun upah tak pernah kurang lima ratus ringgit.

“Hati-hati.” Indra mengingatkan sebelum Mak Mah berlalu menunggang perlahan motosikalnya.

Indra mendongakkan kepala ke atas. Mata menatap awan mendung yang berkepul-kepul. Hati sedang bergelojak menahan suatu rasa aneh. Tak tahu apa puncanya, yang nyata dia sedang memikirkan sesuatu. Sesuatu tentang wanita bernama Zafirah Nur.

Panggilan azan zuhur yang tiba-tiba menerjah gegendang membawa aura positif yang tadinya hilang entah ke mana. Hatinya damai, tenteram dek panggilan yang sudah lama tidak disambut itu.

“ALLAHUAKBAR.” Rasanya sudah lama dia tak merasai ketenangan begini. Ketenangan yang mula hilang sejak dia lupa untuk bersujud pada ALLAH.

Selama ini dia hidup tanpa panduan, walhal dia bukan jahil orangnya. Sepuluh tahun di rumah anak-anak yatim, rasanya sudah cukup untuk mengajarnya mengenal ALLAH. Cuma fitrah manusia selalu mudah alpa. Kalah pada ujian ALLAH yang sedikit. Dia lupa, solat sebenarnya senjata untuk hatinya kembali tenang.

“Astaghfirullahaladzim.”

Usai azan, Indra angkat tangan tinggi. Setelah sekian lama, laungan azan dia sambut dengan tadahan doa. Diraupkan ke wajah sebelum tangan itu dibawa ke dada.

Dia menilai diri. Menimbang timbunan dosa yang terkumpul sejak dia ditinggalkan isteri. Marah pada manusia tapi takdir yang dipersalahkan.

“Sampai bila nak hidup tanpa panduan begini?” soalnya pada hati yang sifatnya mudah berbolak-balik. Disebabkan seorang perempuan, dia lupa apa yang sepatutnya menjadi keutamaan. Dia lupa TUHAN. Dia lupa solat. Dan yang sedihnya, dia turut lupa untuk mendoakan kesejahteraan kedua orang tua serta dua kakaknya yang telah pergi lebih dua puluh tahun dulu.

“Apa kau nak jadi, Indra?” Marahnya pada hati.

Langkah diatur ke arah gazebo di sudut laman kediamannya. Duduk Indra labuhkan sebelum tubuh dilayangkan ke lantai gazebo. Tangan diletakkan di bawah kepala. Terlalu banyak yang dia fikirkan saat ini.

Tentang ketenangan. Tentang kebahagiaan. Dia mahu kembali bersujud kepada-NYA. Tetapi dia juga perlukan seseorang yang mampu membawanya kembali kepada DIA.

“Zaff…” Tanpa sedar bibir mengungkap sebaris nama itu. Cuba mengenang kembali tawarannya pada wanita itu. Kerja gila pertama yang pernah dia buat. Selalunya dia yang dikejar perempuan. Berbekalkan apa yang dia ada, wajah tak sekacak mana pun dia masih tetap dipandang tinggi bagi wanita yang mementingkan wang ringgit.

“Zafirah Nur,” ucap bibir Indra sekali lagi. Ada sesuatu yang begitu istimewa tentang wanita itu.

Dia bangkit. Baru teringat yang dia sudah terlewat untuk janji temu dengan Zaff. Lalu dia meluru ke arah kereta Audi miliknya. Ada sesuatu yang mahu dilakukan dan harapannya apa yang dilakukannya nanti bakal menjadi titik tolak kepada perubahan hidupnya yang lebih baik.

 

SUDAH hampir empat puluh minit Zaff menanti di lobi Berjaya Motor sewaktu Indra tiba. Seperti biasa, Indra berkemeja-t hitam dan berjaket hitam. Jeans juga dari rona warna yang sama, dengan tangan yang sedikit comot kerana dia tak sempat nak membersihkan dirinya tadi. Lagipun dia sudah jauh terlewat dari waktu yang dijanjikan.

Langkahnya gontai mendekati Zaff yang nampak tak senang duduk di atas sofa. Wanita itu cantik berkemeja biru dipadankan dengan seluar slack putih. Ditenung seketika wanita itu dari sisi. Hati terdetik suka. Cuma dia masih mampu mengawal perasaannya. Diingatkan hati supaya bersabar dan yang paling utama, dia takkan sesekali merampas milik orang.

“Lama tunggu?” Indra peluk tubuh, kekal berdiri kerana sudah lewat. Perut dia pun sudah lama berkeriuk lapar.

“Lama juga, Encik Indra,” balas Zaff berterus-terang. Hampir saja dia nak masuk semula ke ruang pejabatnya tadi.

Mata bertaut seketika. Dan memang pantang Indra bila orang memanggilnya encik.

“Panggil I Indra je. Tak perlu berencik-encik. Just Indra, Indra, Indra. Jelas, kan?” Teguran Indra mendiamkan Zaff, sebelum dia mengangguk faham.

“So, boleh kita pergi sekarang?”

Mata saling berbalas pandang lagi, dan seperti kebetulan senyum mereka terukir saat bola mata mereka bertembung.

“Tapi saya tak boleh lama, Indra. Kalau boleh saya nak masuk kerja sebelum pukul dua.”

Sebenarnya Zaff kurang selesa bila bersama lelaki ini. Encik Kamil jarang ambil tahu waktu bekerja dia di syarikat. Sebab kerjanya sendiri adakalanya memaksa dia untuk keluar ke bank atau mewakili Encik Kamil menemani pelanggan makan tengah hari.

“Saya tak nak Encik Kamil tahu kita keluar berdua,” sambung Zaff lagi, beralasan.

“Sebenarnya you nak cakap yang you tak sudi nak berlama-lama dengan I, kan?” Indra buat kesimpulan.

Zaff terkedu.

“I kawan baik Kamil. So, you tak perlu peningkan kepala nak fikir fasal dia. Lagipun dia dah tahu semuanya. Dia kenal I dan you juga, so apa yang you nak takutkan?” jelas Indra.

“Atau you takut I apa-apakan you? Fikir I ni rakus sangat, sampai nak buat benda tak elok pada isteri orang?” Kedua kening Indra jongket. Suka benar dia melihat Zaff gelabah tak senang duduk.

Huh! Macam mana nak elak, kalau ada sahaja jawapan Indra. Susah!

“I dah beritahu Kamil, petang ni you tak perlu masuk kerja.” Nekad Indra buat keputusan, walhal Kamil tak tahu menahu pun tentang projek rahsianya hari ni. Sesuka hati dia ‘menculik’ pekerja teman baiknya itu.

“Jom ikut I. Ada banyak benda yang I nak buat dengan you hari ni.” Cepat dia bergerak, meninggalkan lobi syarikat sebelum ada mata-mata yang nampak kelibat mereka di situ. Membiarkan Zaff mengekori dari belakang.

Perlahan sahaja langkah Zaff sehingga ke parkir kereta. Dia sedang fikir mereka berdua keluar atas urusan apa sebenarnya?

Audi? Mamat yang nampak serabai ni bawak Audi? Masuk sahaja di dalam perut kereta yang dipandu Indra, soalan itu yang terdetik dalam hati Zaff.

Tapi tak mustahil orang upahan Encik Kamil boleh memandu kereta mewah seperti ini. Mata masih melilau.

“Kenapa?” tanya Indra sebaik masuk ke dalam perut kereta. Faham dengan apa yang ada dalam fikiran Zaff. Tentu wanita ini fikir lelaki selekeh seperti dia tak mampu nak berkereta mewah.

“Bawa kereta mahal, belum tentu yang bawa tu orang kaya.”

“Saya tak cakap apa pun.” Dingin suara Zaff.

“Oh, yalah. Walaupun nampak jelas. Lagi satu nak ingatkan, I ni cuma kerja bengkel. Bukan kerja bank. Jadi, tak adalah nak pakai kemas-kemas, kemeja lipat sampai siku yang macam orang perempuan suka. Satu lagi, I tahu you tak suka keluar dengan I sebab I ni selekeh, kan?”

“Siapa cakap?” Meninggi sedikit suara Zaff. Sakit hati pula dia dengan tuduhan Indra.

“Saya boleh keluar dengan sesiapa sahaja, asalkan orang tu hormat saya!”

“Ya…ya…” Indra buat suara orang malas nak melayan.

“Actually, ini kereta client I. Kerja bengkel kereta, kan? Merasalah nak pandu kereta mewah. Hari ni Audi, esok BMW, lusa pandu ke dalam hati you.”

Erkk, ada pick up line jugak?

“Kita keluar ni atas urusan kerja, kan?” Zaff kalih sedikit tubuh. Risau benar dia bila Indra semakin melalut. Jangan sampai nanti jari-jemarinya turut berjalan sama. Zaff cukup takut kalau sampai itu terjadi.

“Atas urusan perut. I lapar dan you tak payahlah nak formal-formal bila keluar dengan pomen macam I ni.”

Urusan perut? Apa-apa sajalah, Encik Indra!

“Dah fikir nak makan kat mana?” Indra bertanya, tapi matanya masih fokus ke depan. Tak mahu menjeling orang sebelah bila dalam keadaan rapat begini.

“Urusan perut awak, kan? Saya ikut je.” Zaff malas nak cakap banyak. Lagipun dalam satu-satu hal, dia jarang dipertanggungjawabkan sebagai pembuat keputusan. Jadi mudahnya, dia menurut. Menurut tanpa bantahan!

“Habis kalau I ajak you check in hotel pun you ikut sajalah?” perli Indra. Angin dia dengan jawapan mudah Zaff.

Zaff semakin gelisah dengan kata-kata Indra. Check in hotel nak buat apa? Gila ke apa mamat ni?

“Sesekali nak juga tanya hati, apa sebenarnya yang hati kita mahu. Takkan langsung dalam hati you tu tak terdetik untuk tentukan sendiri apa yang you mahu?” Sinis soalan Indra. Dia mahu mengajar Zaff untuk belajar membuat keputusan sendiri. Bukan semedang nak jadi lembu yang dicucuk hidung.

“Pergilah makan sendiri. Saya tak lapar!” Zaff sudah bersedia mahu membuka kembali pintu kereta. Sakit pula hati dia bila diperli Indra begitu.

“Heh! Heh!” Sempat ditangkap lengan Zaff yang sudah separuh melangkah keluar dari kereta. Dari tempat duduk pemandu, dia menutup kembali pintu di sebelah penumpang yang dibuka Zaff. Keadaan itu membuatkan kedudukannya begitu rapat dengan wanita itu.

Zaff turut tergamam. Dia menahan nafas.

“Cuba jangan degil. Sekali you dah melangkah ikut I, bermakna you dah letakkan kepercayaan you pada I. Jadi, nak atau tak, you kena ikut!”

Indra memulakan pemanduan. Laju dia menekan minyak. Tidak lagi bersuara selepas itu. Dia tahu Zaff sedang menahan sentap!


PROLOG BAB 1  BAB 2  BAB 3  BAB 4  BAB 5  BAB 6  BAB 7  BAB 8  BAB 9  BAB 10


BELI NOVEL JANGAN PERNAH KATAKAN CINTA (PENULIS: ANN)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *