Jangan Pernah Katakan Cinta – Bab 2

TAJAM anak mata Indra jatuh ke wajah Kamil. Dengan sebelah kening yang terangkat, dia menantikan penjelasan dari mulut teman baik merangkap orang kepercayaannya itu.

“Sejak bila kau reti buat skandal kat pejabat ni?” Indra menyoal.

Kamil hambur ketawa. ”Kau jangan buat muka peliklah. Macam kau tak biasa buat.”

“Tapi ini ofis, bro! Nasib baik kau kantoi dengan aku. Kalau Riss yang muncul tadi macam mana?”

Pertanyaan Indra buat tawa Kamil mati serta-merta. Berubah terus wajahnya bila nama si isteri disebut.

“Uishh…mati aku kalau Riss yang nampak,” akui Kamil.

“Kau jangan pandai-pandai nak repot kat bini aku pulak. Kena tidur luar aku nanti,” sambung Kamil memberi pesanan.

Indra peluk tubuh. Dia tak tahu mahu gelak atau simpati dengan Kamil. Dia dapat agak lelaki yang baru belajar hendak menjadi kasanova itu bukanlah sekering mana hatinya. Konon nak ‘makan luar’ tapi takut bini!

“Bukan setakat tidur luar, silap-silap Riss heret kau ke mahkamah syariah.” Tawa sinis meletus di bibir Indra.

“Kau jangan, aku tak boleh hidup tanpa bini aku.”

“Kamil…Kamil. Jadi kau sayang Riss lagilah ya?” Indra bersuara separuh mengejek. Bersisa lagi tawanya lewat pagi itu.

“Aku sayang dia, bro. Dan kau pun, janganlah soal aku macam aku ni kejam sangat. Lagipun aku tak sempat buat apa pun tadi,” tingkah Kamil mempertahankan diri. Mujurlah Indra muncul di saat nafsunya sedang menguasai fikiran. Jika tidak, dia tak tahulah apa akan jadi.

“Tapi kau dah ada niat, bro. Nyaris-nyaris nak terbabas dah tadi. Kau pun agak-agak la. Kalau betul suka, kahwin je. Jangan buat onar dalam ofis sendiri,” ujar Indra memberi nasihat. Dia terlupa yang dia juga dua kali lima perangainya. Cuma ada sebab dia berperangai nakal begitu.

Bagi Indra, perempuan hanyalah sekadar hiburan untuk mengisi kekosongan jiwanya. Tak lebih dari itu. Ditinggalkan isteri selepas seminggu berumah tangga menjadikan dia nekad untuk hidup bersendirian. Tiada cinta dan tiada komitmen.

“Ya…aku silap. Tak perlu ulang banyak kali. Aku faham.”

“Baguslah kalau kau faham. Ingat reputasi kau. Jangan sampai staf hilang hormat. Lagipun aku nampak perempuan tu macam tak rela je kau buat dia macam tu tadi,” komen Indra. Memang dia nampak hanya Kamil yang melebih-lebih. Miang macam kucing tua!

“Aku cuma nak tolong dia.” Kamil membela diri.

“Tolong apa kejadahnya kalau dah gaya macam tu? Nak menjahanamkan adalah aku nampak!” selar Indra.

“Kau tak faham, Indra. Sebenarnya niat aku tadi cuma nak tolong dia sebab aku simpati dengan nasib dia yang selalu jadi mangsa dera suami gila dia tu. Tapi tak sangka pulak tiba-tiba perasaan lain yang datang.” Kamil masih berusaha menjelaskan.

“Mangsa dera?”

“Ya. Kau tak nampak ke muka dia yang lebam-lebam tadi? Itu kerja suami dialah tu.” Kamil mengangguk.

“Kau nak tolong macam mana? Nak bawak perempuan tu lari? Lepas tu kahwin dengan dia?” Indra menyoal bertubi-tubi.

“Kalau boleh. Memang aku fikir macam tu mulanya. Tapi, lepas apa dah jadi tadi aku tak rasa yang Zaff akan percayakan aku lagi.” Ada nada sesal dalam bicara Kamil. Dia sedar apa yang dia lakukan pada Zaff sebentar tadi tak sepatutnya berlaku.

“Zaff?” Indra angkat kening sebelah.

“Perempuan tu nama dia Zaff. Zafirah Nur,” beritahu Kamil.

“Oh.” Indra angguk sekali.

“Serius aku memang nak tolong dia,” tekan Kamil.

“Apa-apa jelah, Kamil.” Indra angkat bahu. Tidak berminat untuk mendengar lebih lanjut.

“Apa kata kau je yang tolong dia?” Tiba-tiba Kamil membuat cadangan. Dia nampak Indra ada potensi untuk mengubah pendirian Zaff. Manalah tahu, kedegilan Zaff mampu luntur di tangan lelaki di hadapannya ini.

Lagipun dia tahu Indra kesunyian. Mungkin Zaff dapat mengisi kekosongan hidup Indra yang pernah ditinggalkan. Lelaki ini memang perlukan seseorang untuk menyembuhkan jiwanya yang terluka. Ya, Indra dan Zaff boleh saling melengkapi.

“Tolong? Tolong apa?” Indra peluk tubuh. Semakin tinggi keningnya terangkat.

“Apa kata kau je ambil dia jadi isteri kau?”

“What? Dia tu isteri orang kut. Takkan kau nak aku rembat isteri orang. Akal ada ke?” Jari telunjuk Indra dihalakan ke dahi. Permintaan Kamil baginya melampau. Memang dia lelaki buaya, tapi tak adalah sampai dia mahu menerkam mangsa dari mulut buaya lain!

“Bagi aku tak salah pun. Sekurang-kurangnya kau boleh selamatkan Zaff daripada berterusan dipukul suami dia,” ujar Kamil bersungguh-sungguh.

“No! Aku tak setuju. Banyak lagi cara lain kau boleh tolong dia. Kau suruh je dia repot polis.” Indra menolak keras cadangan Kamil.

“Dah berulang kali aku suruh Zaff repot polis tapi dia tak nak. Aku tak tahulah kenapa dia masih lagi nak bersama dengan suami tak guna dia tu.” Kamil melepaskan keluhan.

“Kalau dia sendiri tak nak, kita nak buat macam mana? Biar jelah dia.” Indra mengambil pendekatan mudah. Dia malas nak menyerabutkan fikirannya dengan masalah orang. Sendiri punya hal pun tak selesai, buat apa nak sibuk ambil tahu urusan orang lain.

“Tak boleh. Kita kena selamatkan dia juga. Kalau makin dibiarkan aku takut Zaff tu patah riuk dikerjakan suami dia. Kau kena tolong aku, Indra!” Kamil pamer wajah risau.

Mata Indra tepat memandang wajah keruh Kamil. Dia sendiri tidak faham dengan pendirian lelaki ini. Sekejap tadi dia nampak Kamil begitu tergoda dengan pekerjanya yang dipanggil Zaff itu. Dan sekarang, lelaki ini bersungguh pula mahu dia yang menolong wanita itu.

“Aku tak faham dengan kau ni, Kamil. Kalau kau nak sangat tolong dia, kau saja ambil dia jadi isteri kau. Jangan nak kaitkan aku dengan masalah cinta tak berbalas kau tu,” tingkah Indra.

“Kalau boleh memang dah lama aku buat. Tapi aku dah ada Riss. Mengamuk Riss kalau dia tahu aku kahwin lagi satu.” Kamil menggeleng.

“Sejak bila kau takut bini sangat ni? Kalau kau risau sangat tentang Riss, aku boleh tolong kau cover line.” Senget bibir Indra, melemparkan senyum mengejek. Dia memang dah agak lelaki ini takkan sampai hati mahu menduakan isterinya. Dan sekarang, nak dia pula jadi galang gantinya. Memang taklah kalau dia mahu terima.

“Bukan aku takut bini, tapi bini yang tak takut aku. Lagipun Zaff takkan nak jadi isteri nombor dua. Kalau kau lainlah.”

“Apa yang lain? Sebab aku hidup sendiri?”

“Exactly, bro!” Laju Kamil mengangguk.

“Lagipun aku tahu kau sedang cari seseorang untuk ganti tempat isteri kau, kan?” tambah Kamil. Dia tahu sekarang ini Indra tiada komitmen serius dalam hubungan dengan mana-mana perempuan. Kalau dia mengambil Zaff menjadi isterinya, tiada siapa yang nak halang. Lagipun, dia yakin mulut manis Indra itu cukup berpengalaman untuk menundukkan seorang perempuan. Setakat Zaff, apalah sangat!

“Betul. Itu pun kalau ada. Kalau tak ada, aku lebih suka hidup sendiri.” Memang pun dia mahu mencari pengganti isterinya. Tetapi nama dia nak merampas isteri orang, tidak mungkin sama sekali sebab dia sendiri pernah merasa betapa sakitnya bila isteri sendiri lari mengikut jantan lain.

“Zaff orangnya, bro! Kau dah tak perlu cari orang lain. Dia bukan macam perempuan-perempuan sosial yang kau pernah kenal tu.” Kamil masih berusaha memujuk Indra.

“Kau ni memang gila, Kamil. Walaupun Zaff tu perempuan Melayu terakhir sekalipun, aku takkan kebas dia dari tangan lelaki lain untuk jadi isteri aku.” Indra tetap menolak.

Zafirah Nur? Siapa sebenarnya perempuan tu? Apa yang istimewa sangat perempuan tu, sampai teman baiknya ini nampak betul-betul ambil berat? Dalam tak sedar, muncul juga rasa ingin tahunya. Cuma masih ada ego yang berlapis di hati, membuatkan dia menolak untuk menerima pelawaan Kamil tadi.

“Jadi, kau memang tak nak tolong?” Kamil belum jemu memujuk. Dia tahu Indra bagaimana orangnya. Mulut sahaja adakalanya menyengat, tapi hatinya takkan pernah sampai hati untuk menolak permintaannya itu.

“Kali ni je, bro. Tolonglah aku.” Dari duduk berhadapan, Kamil ubah tempat duduk. Mendekati Indra dengan wajah tak puas hatinya.

“Sorry, aku takkan termakan pujukan lelaki. Tolong duduk jauh sikit!” Duduknya dijarakkan, tak selesa bila Kamil melebih-lebih merapatkan kedudukan.

“Dah. Aku blah dulu. Tak kuasa aku nak buang masa bantu orang yang aku tak kenal ni.” Indra bangun. Dia mahu pulang semula ke bengkel. Rasa buang masa pula dia ke sini, tak fasal-fasal matanya sakit melihat aksi berani Kamil bersama pekerjanya tadi!


PROLOG BAB 1  BAB 2  BAB 3  BAB 4  BAB 5  BAB 6  BAB 7  BAB 8  BAB 9  BAB 10


BELI NOVEL JANGAN PERNAH KATAKAN CINTA (PENULIS: ANN)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *