Jangan Pernah Katakan Cinta – Bab 8

ALAM tidak lagi indah bila dia sering ditinggalkan bersendirian. Dia rasa sudah tiba masanya dia membuat perhitungan dengan Redza. Panggilan ke telefon bimbit Redza yang disambut Adira pagi tadi semakin jelas membuktikan kecurangan Redza bersama wanita itu. Suara angkuh Adira seakan mahu dia mengalah dan pergi meninggalkan lelaki itu.

Jika Redza pulang malam ini, dia nekad untuk melontarkan segala ketidakpuasan hatinya kepada lelaki itu. Dia tak mahu berdiam diri lagi seperti sebelum ini. Dilayan seperti kain buruk oleh suami sendiri pun dia masih membiarkan. Dan jika benar, dirinya sudah tidak dicintai Redza, kenapa perlu diteruskan lagi ikatan pernikahan mereka?

Zaff bagaikan seperti mendapat semangat baru, hasil sesi terapi bersama Indra di puncak bukit tengah hari tadi. Kata-kata lelaki itu buat dia mahu bangkit dan keluar dari derita dan seksa yang dibawa Redza.

Sudah terdengar bunyi enjin kereta Redza mengaum masuk ke pekarangan rumah. Zaff yang sudah bersedia dengan rancangannya, menanti Redza di ruang tamu. Walaupun dia tahu apa yang akan dilakukannya nanti, bakal menyakitkan dirinya sendiri. Dia nekad. Patah riuk dikerjakan Redza pun dia sanggup asalkan segala penderitaannya tamat.

Redza melewati si isteri tanpa ada niat untuk menoleh. Mengharap Zaff menegurnya dulu. Macam selalu, dia akan biarkan Zaff terhegeh-hegeh mendapatkan dia dan menghulurkan tangan untuk bersalam. Mahu tunjuk ego. Mahu tunjuk dia lelaki yang mampu menguasai wanita selemah Zafirah Nur Mokhtar!

Namun, kali ini Zaff hanya menyambut kepulangan Redza dengan riak wajah dingin. Kelibat suaminya itu langsung tidak ditegur. Dia hanya buat-buat bodoh sambil menekan alat kawalan jauh TV, manakala tangan sebelah kanan memintal-mintal hujung rambut. Untuk apa dia bermanis muka pada suami yang baru puas berulit mesra dengan kekasih gelapnya.

Redza tercegat di kaki tangga. Dia mengundur langkahnya setapak ke belakang. Mengintai Zaff dari tembok yang memisahkan ruang tamu dengan tangga rumah teres dua tingkatnya. Hatinya rasa tercabar. Dia jadi sakit hati melihat kebekuan Zaff.

“Dia boleh buat bodoh dengan aku. Buta ke sampai dah tak nampak aku balik?!” gerutu Redza, cukup-cukup untuk didengar telinga sendiri.

“Perempuan ni memang nak makan penampar!” Nafas panas menerobos keluar dari rongga hidung Redza. Penumbuk digenggam. Dengan rasa tak puas hati, dia melangkah semula ke ruang tamu, merapati Zaff yang masih dalam kedudukan tadi.

Diperhatikan isterinya itu dengan bahang amarah yang semakin berapi bila Zaff tetap juga tak melayan. Dia masih buat bodoh? Marah Redza sudah sampai di ubun-ubun. Duduk dihenyak kuat, dengan niat mahu menyedarkan Zaff.

Zaff tetap membatukan diri. Wajah Redza langsung tidak dipandang biarpun dia tahu suaminya itu sudah mula panas hati dengan layanan bekunya. Pandangannya terus tegak menghadap TV LCD 46 inci di depan.

Tajam anak mata Redza menikam wajah si isteri. Dia tahu, Zaff bukan beria-ia sangat nak melayan drama di TV. Pasti isterinya itu tak ada lain mahu menduga hati lelakinya!

“Masalah apa pulak kali ni?” Tanpa mukadimah, soalan itu yang meluncur dari bibir hitam Redza. Dia mengeluarkan kotak rokok, lalu sebatang rokok diselitkan ke celah bibir.

Zaff tahan nafas dan suara. Apakah Redza lupa siapa yang selalu menimbulkan masalah dalam rumah tangga mereka? Lupa ke Redza siapa yang selalu buat dia sakit hati?

Redza nampak bibir Zaff bergetar-getar seolah-olah mahu mengungkapkan sesuatu. Menunggu dengan separuh sabar. Namun, akhirnya isterinya itu tetap mendiamkan diri.

“Kenapa? Dah kebal sangat muka tu, sampai setiap kali aku balik nak kena hadiahkan kau penampar?” Sakit hatinya bila Zaff masih berwajah selamba. Tindak-tanduk isterinya malam itu benar-benar mencabar kelelakiannya. Mana pernah Zaff berkelakuan pelik begini. Hilang sudah suara manjanya merayu-rayu setiap kali dia marah. Dan hari ini, semuanya jadi beku!

“Hei!” Tangan Redza mencengkam rambut lurus Zaff sehingga menarik kepala wanita itu ke belakang. Dagu Zaff pula dicekup. Dia mahu wanita itu hanya fokus memandangnya.

Zaff cuma mampu memejamkan mata, menahan kesakitan.

“Cakaplah! Kenapa tiba-tiba jadi bisu ni?!” tempik Redza.

Buatlah apa sahaja, Zaff sudah lali. Bunuhlah dia sekalipun, dia rela asalkan dia bebas dari cengkaman lelaki kejam ini.

“Sebab tu aku benci kau!” hambur Redza saat tangan kanannya menampar pipi Zaff. Sampai berbekas merah pipi isterinya itu.

“Perempuan tak sedar diri! Kau fikir aku hairan kalau kau nak tunjuk protes?” Jemarinya semakin kuat mencengkam rambut Zaff. Dan bila dia rasa puas, baru dilepaskan cengkaman tangannya itu.

Nafas deras dilepaskan. Belum berpuas hati dengan kesakitan yang dihadiahkan pada isterinya itu. Dia tahu diam Zaff, diam memendam. Dan apa yang dipendamkan isterinya, itu yang dia ingin tahu.

“Kau nak apa sebenarnya?”

“Lepaskan Zaff,” bisik Zaff dengan mata yang bergenang. Gigi diketap rapat, menahan tangis. Dia tidak mahu menangis kerana tangisannya hanya akan buat dia nampak lemah di mata Redza.

“Apa?!” soal Redza dengan mata yang mencerlang. Tak menduga permintaan itu keluar dari mulut isterinya itu. Berani betul Zaff kali ini.

“Lepaskan Zaff, kalau sungguh abang dah benci sangat dengan Zaff!” Kali ini meninggi suaranya, mengharap Redza jelas dengan permintaan julung kalinya itu.

Redza sudah tidak senang duduk. Kalau tadi dia bersandar, kini dia bangkit berdiri tegak. Pandangannya tajam meratah seraut wajah lembut yang begitu berani meminta dilepaskan itu.

“Cukuplah setahun, abang. Setahun Zaff jadi mangsa sepak terajang abang. Cukuplah. Zaff dah tak mampu lagi nak jadi tempat abang lepaskan amarah,” rayu Zaff, cukup berharap Redza bersetuju dengan permintaannya itu.

“Jiwa Zaff sakit, abang. Kalau sungguh sudah hilang cinta abang pada Zaff, sekali lagi Zaff minta, tolong lepaskan Zaff.”

Permintaan tak terduga isterinya itu cuma mampu buat Redza terdiam. Kelancangan bibirnya tadi cuma kata-kata spontan, bukan betul dia membenci isterinya itu.

“Zaff tahu abang dah tak cintakan Zaff dan Zaff juga dah tak mampu nak bahagiakan abang. Dengan rendah hati, Zaff izinkan abang cari kebahagiaan abang dengan orang lain…”

Kata-kata akhir daripada Zaff, memaksa Redza memanjangkan langkah. Meninggalkan Zaff sekali lagi tanpa jawapan pasti.


PROLOG BAB 1  BAB 2  BAB 3  BAB 4  BAB 5  BAB 6  BAB 7  BAB 8  BAB 9  BAB 10


BELI NOVEL JANGAN PERNAH KATAKAN CINTA (PENULIS: ANN)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *