ZAFF berdiri tenang di hadapan Kamil usai menerima panggilan interkom daripada lelaki itu yang mahu berjumpa dengannya di bilik pejabat. Dalam hati, masih ada rasa tak selesa bila duduk berdua-duaan dengan lelaki itu.
Sejak kejadian mengaibkan yang berlaku antara dia dan Kamil beberapa minggu sudah, lelaki itu nampak sedikit canggung dengannya. Namun begitu sebagai pekerja, dia masih menghormati majikannya yang nampak kesal dengan kejadian tak terduga itu.
“Duduk, Zaff,” arah Kamil.
Tak berlengah, Zaff hanya menurut.
Tujuan Kamil memanggil Zaff ke bilik pejabatnya adalah untuk menjernihkan semula keadaan. Atas nasihat Indra juga sebenarnya, yang mahukan dia memohon maaf pada Zaff demi mengembalikan maruah wanita itu yang hampir tercemar angkara dia yang gagal mengawal nafsu.
“I…”
“Saya…”
Serentak Kamil dan Zaff bersuara.
Meletus tawa besar Kamil yang kedengaran sedikit kekok. Mahu sembunyi malu yang bersarang dalam hatinya kini.
“Okay, ladies first. You cakap dulu,” izin Kamil, menanti Zaff bersuara.
“Saya nak minta maaf,” luah Zaff perlahan. Rasanya sejak kejadian itu, dia yang lebih kerap mengelak untuk bertemu dengan Kamil. Demi menjernihkan keadaan, rasanya tak salah kalau dia yang terlebih dahulu meminta maaf.
“Saya tak sepatutnya mengelak. Saya tahu encik tak selesa setiap kali bertembung dengan saya,” sambung Zaff.
Siapa yang tak marah bila majikan sendiri mengambil kesempatan. Kalau diikut rasa hati, mahu saja dia berhenti kerja. Tapi dia masih memerlukan kerja untuk menampung keperluan hariannya.
“You tak buat salah apa pun, Zaff. I yang sepatutnya minta maaf. I tak hormat you sebagai pekerja I. Dan yang lebih utama, maruah you sebagai seorang perempuan.” Kamil nampak kesal dengan pengakuannya itu.
“I fikir semua perempuan sama. Mudah dipujuk. Mudah diajak. You pun faham kan apa yang I cuba sampaikan?”
Zaff mengangguk lemah. Dia mengaku, sebenarnya lelaki ini baik. Sebelum ini niatnya mendekati Zaff sekadar untuk membantu. Cuma itulah, nama pun manusia, manalah tak pernah buat silap!
“Jadi semuanya dah clear, kan? Dan I nak hubungan kita kembali macam dulu. Jangan mengelak lagi, please?” pinta Kamil.
“Bersyarat.” Zaff senyum mengusik. Lelaki ini perlu juga diberi amaran. Supaya perkara seperti itu tak berulang lagi.
“Okey, I setuju. Apa-apa syarat, asalkan jangan minta I pinang you.”
“Encik Kamil…” Meleret suara Zaff memberi amaran. Mahu lelaki itu serius.
“Okey, I serius. Syarat apa? I ikut.”
“Tak ada syarat apa pun sebenarnya, encik. Saya cuma nak ingatkan encik, perempuan ni lembut hatinya. Tapi perlu juga diingat, dalam lembut, kami juga sebenarnya berhati kental.”
Encik Kamil masih tekun mendengar penjelasan Zaff. Belum dapat tangkap apa sebenarnya yang mahu disampaikan wanita itu.
“Sekali kepercayaan kami diragut, selamanya luka itu berbekas, encik. Pujuklah, rayulah macam mana pun, dah tak lut dah kalau sudah terbit perasaan benci dan tak percaya,” rujuk Zaff pada tindakan luar batas Encik Kamil tempoh hari.
“Jadi tolong jangan gores hati kami, jika kami dah beri sepenuh kepercayaan kami kepada insan yang bernama lelaki. Saya cuma nak encik jaga isteri encik tu elok-elok. Jaga hati dia, sebab saya tahu isteri encik tu seorang yang setia. Boleh janji dengan saya, jangan sampai lukakan hati dia?”
Permintaan Zaff buat lelaki di hadapannya itu terpaku. Tak duga Zaff masih mampu mengingatkan dia begitu, walau sebelum ini dia pernah cuba mengambil kesempatan pada wanita itu.
“Boleh tak ni?” desaknya lagi, mahu Encik Kamil memberi jawapan.
“Insya-ALLAH. Thanks, Zaff. I doakan you sama. Takkan disakiti lagi lepas ni.”
SENANG hati Zaff, sampai keluar dari bilik Kamil dengan senyum yang masih bersisa kemanisannya. Bersandar seketika di dinding kaca di luar bilik Encik Kamil apabila matanya menangkap susuk tubuh tegap Indra. Sejak dua menjak ini kerap sungguh lelaki itu memunculkan diri di pejabatnya.
Semakin lebar senyuman di bibir Zaff. Hati turut teruja sama. Bersinar matanya membalas pandangan Indra yang sudah berdiri di depannya sambil memeluk tubuh.
Lelaki itu nak jumpa Encik Kamil, Zaff. Dan kau jangan nak perasan lebih sangat! Mengelak dari dikata perasan dan melebih-lebih, dia berlalu ke meja kerjanya.
Dia jadi kelam kabut tak tentu fasal bila direnung begitu. Ada satu perasaan indah yang sedang bermain di hatinya. Rasa yang sudah lama tidak muncul, kini datang semula tanpa dia pinta. Kali terakhir dia merasai perasaan itu, sewaktu awal percintaannya bersama Redza.
“Janganlah dia gerak ke sini.” Doa Zaff, cukup-cukup untuk sampai ke telinga sendiri. Mata dipejamkan rapat, mahu menghilangkan debar yang menggila dalam hati. Memberi amaran pada diri sendiri, jangan mudah jadi perempuan yang cepat perasan!
“Fuh!” Semburnya sekali ke kiri dan sekali lagi ke kanan. Macam bomoh sedang menurun pun ya juga.
Indra yang menyaksikan kekalutan wanita itu cuma mampu lebarkan senyum. Tak tahu pula dia, Zafirah Nur ni kelakar orangnya. Yang selalu dia nampak, Zaff yang berwajah suram dan hanyut dalam menungannya yang tak pernah berpenghujung.
“Haji Shahman kirim salam,” ujar Indra sebaik mendekati Zaff. Dia bertenggek di birai meja kerja Zaff yang elok berkemas.
Zaff mengerutkan kening.
“Tak kenal?”
Zaff geleng. Dengan wajah pelik, menanti jawapan daripada Indra.
“Tak kenal tak apalah, lagipun Haji Shahman tu hari-hari busy. Macam biasa, Haji Indra wakilkan dia hari ni. Kamil ada?” soalnya, walau sudah tahu teman baiknya itu tak ke mana-mana hari ini.
“Encik Kamil ada, encik nak jumpa dia ke?”
“Dengar lagi you panggil I encik, I kiss you dua kali.” Indra beri amaran. Si cantik di hadapannya itu sudah beriak gusar. Takut sungguh kalau Indra betul-betul mahu menciumnya.
“Ini last warning. Ingat!” tambah Indra mahu menakut-nakutkan Zaff yang cuma mampu melopongkan bibir.
Comel!
“Balik petang nanti tunggu I di lobi. Jangan balik selagi you tak jumpa I!” bisik Indra sebelum berlalu masuk ke dalam bilik Kamil.
Zaff telan liur sendiri. Boleh tahan diktator jugak mamat ni! desis Zaff dalam hati.
TELEFON bimbit Zaff berbunyi, tanda ada pesanan WhatsApp yang baru masuk.
Jalan pandang depan ! Jangan berangan tengok fon! – Indra
“Indra mesej? Nampak pula dia kita tengah pegang fon!” Bibir Zaff mengomel sambil matanya tercari-cari kelibat lelaki itu. Dia tak tahu pula Indra ada menyimpan nombor telefonnya. Ini mesti Encik Kamil yang berkomplot memberi nombor telefonnya kepada lelaki itu!
“Agaknya, apa lagilah yang diceritakan Encik Kamil pada Indra?” Tak sedap hati pula dia. Cuma mampu berdoa, kehadiran Indra betul-betul ikhlas mahu membantu. Bukan nak ambil kesempatan seperti apa yang difikirkannya sebelum ini.
I dekat belakang you.
“Belakang?” Langkah Zaff terbantut. Melilau dia mencari.
Belakang sikit. Reverse kaki selangkah ke belakang. Toleh ke sebelah kiri. I dekat belakang tembok, sebelah hujung parking lot.
“Oh.” Baru Zaff perasan bila matanya menangkap kelibat Indra yang sedang membimbit beg plastik di situ. Apa yang dibawa Indra?.
“Kenapa menyorok?” soal Zaff pelik. Manalah tak pelik kalau lelaki ini berdiri di belakang tembok begini. Zaff mahu gelak, tapi melihat wajah serius Indra terus terbantut gelaknya.
“Kata cinta terlarang, kenalah jumpa sorok-sorok,” ujar Indra separuh bergurau, turut menahan gelak dengan kenyataan sendiri.
“Tapi adventure juga jumpa sorok-sorok macam ni, kan? Macam rasa sedang bercinta betul-betul pulak”
Adventure la sangat! Zaff mencebik.
“Ada apa cari saya?” Zaff perasan ada seorang dua pekerja Berjaya Motor yang mengerling ke arahnya dan Indra. Tak tahulah apa yang mereka fikir.
PROLOG • BAB 1 • BAB 2 • BAB 3 • BAB 4 • BAB 5 • BAB 6 • BAB 7 • BAB 8 • BAB 9 • BAB 10
BELI NOVEL JANGAN PERNAH KATAKAN CINTA (PENULIS: ANN)