Ketika Cinta Berbisik Kembali – Bab 1

“KAT!!!”

Suara itu bergema dan mengasak lubang telinga di daerah parkir yang sepi sunyi. Wajah pagi masih malu-malu menyapa. Kepala tak automatik menoleh macam biasa kalau dengar orang seru nama aku. Untuk yang ni, aku tak perlu buat macam tu. Tak perlu nak terkejut atau terperanjat. Tahu sangat dah gerangan makhluk yang seru nama aku. Tak kuasa nak pusing.

Aku tolak pintu dan tekan punat kereta. Tangan kuak pipi tas tangan yang dijinjit. Kunci kereta kuhumban ke dalam perutnya yang separuh ternganga. Kaki bersarung stiletto Tough Girl lima inci terus berjalan ke arah lobi lif parkir di depan. Hening suasana pagi menyambar kawasan sekeliling parkir yang agak lengang sebab masih awal pagi. Kaki terus laju melangkah. Aku kena segera sampai ke pejabat. Ada masalah server yang perlu ditangani segera seperti yang diberitahu John menerusi pesanan WhatsApp awal pagi tadi. Minggu ini memang aku bertugas memantau di bilik server.

“KitKat!”

Suara tone speaker dia bergema lagi dalam daerah parkir yang masih bisu. Bunyi ketak ketuk stiletto dia makin jelas dan mendekat. Aku terus buat-buat tak dengar. Dia satu-satunya makhluk dalam dunia ni yang sesuka jiwa aje panggil namaku ikut sedap bibir tebal dia yang bertagline pink is super sexy. Nasib baik dia kawan baikku. Kalau tidak, harus dia makan terajang stiletto 5 inci aku ni.

KatBeri!!!”

Aku hempas nafas sambil geleng kepala. Dia jugaklah makhluk yang paling berani menggabungkan namaku dengan benda yang aku paling alergik dalam dunia ni. Alasan dia, berries are good for your health, Kat. In returns, you got bright and beautiful eyes. Tak dapat mata cantik pun tak apalah. Cukup tengok mata cantik orang lain okey apa. Huh, I hate berries!

“KatBeri KitKat!!!”

Aku tutup sebelah cuping dengan tapak tangan kanan. Berdesing telinga. Kepala toleh ke sebelah. Mata bola pingpong dia singgah ke muka. Mesti bengang la tu bila tengok aku tutup telinga. Entah bila dia dah terpacak di sebelah. Aku langsung tak sedar. Ada bela saka apa dia ni? Aku lempar muka selamba, buat tak tahu dan terus jalan. Dia tayang riak balas tak puas hati tapi tetap ikut berjalan seiringan dengan aku.

“Eh…kau ni kan Kat memanglah sengaja ek. Aku panggil, kau buat derk aje. Suara aku yang punya merdu ni kau tak dengar ke, Kat?” Merdu? Aku kerling dia sedas.

“Merdu kejadahnya Dell kalau dah macam zink kena potong aje bunyinya suara kau tu. Ni…” Aku hala telunjuk ke cuping. “Nasib tak putus saraf telinga aku.” Mata pingpong dia sudah jadi mata ikan keli. Mengecil tapi tajam.

“Sedapnya kau kutuk suara aku.”

“Tu bukan kutuk. Tu kenyataan. Sila terima kenyataan yang suara kau kurang sedap berbanding suara aku.” Dia lempar jeling tak puas hati. Aku tayang cebik. Seronok mengusik dia. Kaki kami terus berjalan.

“Teruk la kau ni. Tak baik tau buat macam ni sesama manusia. Lagi-lagi aku ni kawan baik kau. Tak menyahut aku panggil satu hal. Kutuk pulak tu suara aku yang lemak-lemak manis ni tak sedap. Aniaya kawan namanya tu. Berdosa tau tak?” Mulut dia kembali membebel.

Aku rasa Dell ni kalau sehari tak membebel, boleh demam denggi agaknya. Takpun, boleh tumbuh bisul kat mulut kalau tak membebel. Cebik minta simpati dia tertayang di muka. Amende la dia ni. Pepagi dah buat drama. Langkah kami menghala ke arah lif.

“Tu bukan panggil. Tu jerit, laung, pekik dan lain-lain yang sama makna dengannya. Faham, Cik Dalima?” Aku smash jeling. Haa. Itu nama betul dia. Dalima Binti Dahari. Dell tu nama saintifik dia…hahahaha. Jari telunjuk aku hala ke telinga semula.

“Ni. Bergegar gegendang aku tau tak? Kalau aku pekak mahu kau kena saman gantirugi kekal dengan Fadlan.” Dengar balasan jawapanku, dia humban cebik lagi. Kemain panjang muncung dia. Boleh kalau nak sangkut LV aku ni.

Siapa Fadlan? Dia tunang aku. Juruterbang pesawat komersial yang aku kenali waktu di awal tahun kedua pengajian semasa di University of Sydney (USyd). Dia yang tua lima tahun punya personaliti yang sangat menarik di mata. Paling aku suka, dia sangat ambil berat tentang diriku. Sentiasa ambil tahu pasal aku walau sesibuk manapun dia. Tampan, baik dan sangatlah romantik. Loving habis. Kiranya semua kriteria lelaki idaman perempuan tu memang ada pada Fadhlan. Siapalah yang tak terpikat. Sebab tulah aku terpikat kat dia dan sanggup membelakangkan daddy bila kami ambil keputusan bertunang sendiri-sendiri lepas enam bulan berkenalan tanpa memberitahu keluarga masing-masing.

Sampai sekarang daddy masih marah aku dan Fadhlan sebab memandai buat keputusan bertunang. Tapi aku tak kisah. Tak peduli pun marah daddy. Takkan sampai mati daddy nak marah. Nanti kalau aku dah kahwin dengan Fadhlan dan ada anak, hilanglah marah daddy tu. Anakku dengan Fadhlan nanti akan jadi penamat amarah daddy. Senario ini kan memang dah biasa dalam masyarakat.

Aku bukan mahu buat daddy marah, tapi tak mahu masa depanku ditentukan daddy. Tak sukalah kahwin kena atur-atur ni. Demi cinta pada Fadlan, aku sanggup hadapi amukan daddy. Dan kerana kedegilanku juga demi nama baik keluarga, reputasi diri dalam masyarakat, daddy akur dan seakan terpaksa reda dengan perancanganku dan Fadlan untuk berkahwin. Segala persiapan di pihakku sudah mommy dan daddy uruskan. Begitu juga di pihak Fadlan.

Dan hujung tahun ni, jika diikutkan perancangan, kami berdua akan disatukan. Kalau nak dihitung, memang tak sampai tiga bulan aje lagi aku akan bergelar isteri Fadlan. Macam tak percaya aje. Cepatnya masa berlalu. Rasanya macam baru semalam aku berkenalan dengannya. Jatuh cinta dan bercinta sebelum kami ambil keputusan bertunang.

“Yelah. Soooorry, Cik Katttttt.” Dell terus pamer cebik tak laku. Aku balas dengan tayang muka malas nak layan. Dell ni kalau tak kacau hidup aku sehari memang tak lengkap pusingan jam hidup dia. Kami dah sampai di depan lobi lif parkir. Hanya kami berdua yang ada di situ. Awal-awal pagi ni memang belum ramai lagi orang.

“Kattttttt.” Kalau dah meleret suara, adalah tu yang dia nak. Bukan tak faham perangai Dell kalau dia nak sesuatu.

“Nak apa?” Aku tekan butang lif.

“Jom BF. Aku gila kebulur aar, Kat. Malam tadi aku lupa dinner.” BF tu kod untuk breakfast ye. Kalau ada yang kabur…hahahaha.

“Sapa suruh kau lupa dinner? Not my problem if you are starving.” Aku dongak pandang lif yang bila-bila masa akan ternganga. Aku memang tak boleh ikut ajakan Dell. Urusan server lebih utama dan sedang memanggil.

“Ala, Kat. Tak baik tau kau. Jom aar.” Muncungnya panjang meminta simpati.

“Mata aku ngantuk sangat malam tadi. Jadi otak aku lupa kejutkan aku bangun sebab tak sampai hati ganggu tidurku yang sedang syok mimpi main polo dengan Prince Mateen.” Dell sambung hujah sambil sengih miang.

Aku kecilkan mata pandang dia. Muka merenyam perigi buta dia makin menjadi-jadi. Dell kalau buat muka miang cenggitu memang menjadi sungguh. Boleh tegak bulu roma. Seram tengok. Nasib baik la aku tak berbakat ke arah itu walaupun kadangkala selalu juga dengan tak sengaja tergelincir menjadi miang disebabkan pengaruh Dell.

“Geli telinga aku dengar.” Dell ketawa. Tubuh aku melolos masuk ke dalam perut lif yang ternganga. Dia ikut masuk. Aku pantas tekan butang G dan pintu lif tertutup secara automatik.

“Jom aar, Kat. Baru pukul lapan ni.” Dell hala jam di pergelangan tangan. Masih berusaha pujuk aku.

“Ada setengah jam lagi masa untuk kita minum-minum. Jom laa weh.”

Bersungguh-sungguh dia ajak aku. Aku geleng kepala. Nak buat macam mana. Memang tak boleh walau pun aku ni memang tak sarapan lagi sebab nak cepat tadi. Sampai mommy geleng kepala masa dia cium pipi aku tadi bila aku cakap tak sempat nak makan. Nak cepat ke office. Ada masalah server yang perlu ditangani segera.

“Tak boleh laa. Aku ada kerja penting pagi ni. Boss WhatsApp aku pagi-pagi alam lagi tau tak? Tak sempat berus gigi lagi tau tak masa tu.”

Memang pun masa John hantar pesanan tu aku baru bangun dari tidur. Tengah layan mamai sambil duduk bersila atas katil lagi. Tapi bila baca pesanan tu, terus aku terjun dari katil dan meluru masuk bilik air. Tergesa-gesa aku mandi dan bersiap pasal nak cepat ke pejabat dek pesanan tu.

“Apa hal yang penting sangat sampai si John tu pepagi alam WhatsApp kau? Tak reti nak faham ke orang tengah tidur ke lagi? Tunggu la kau masuk kerja kalau hal kerja sekalipun. Ngok ngek betul si sepet tu.” Dell gulung mata ke atas.

“Dia tak ngok ngek okey. Untuk pengetahuan kau, hal ni memang tak boleh tunggu. Hal maha penting ni, Dell. Server MY1 down. Aku kena masuk server room. John is already there. We need to check what is the course of the problem. Kau pergilah BF sensorang. Kau duty helpdesk kan minggu ni? 8.30 nanti baru masuk.” Aku bela John. Nak dia tahu situasi sebenar. Dell tarik muncung. Desir tak puas hatinya terluncur dari rongga nafas.

“Kacau daun la server ni. Esok-esok la pun kalau nak down. Hari ni bagi la kau BF dengan aku. Leceh la server ni.”

“Bengong la tu. Kau tu yang ngok ngek tau.” Aku tampar bahu Dell. “Ada pulak boleh mintak-mintak macam tu.”

“Alaaaa, Kat. Tak syoklah BF sensorang. Tak leh cuci mata berjemaah. Kuorum tak cukup. Nanti tak ada tukang komen dan tukang bagi cadangan. Nak mengutuk pun tak best sebab tak cukup mulut.” Banyak dia punya tak cukup mulut.

“Kau ajaklah sesiapa kat kafe tu berjemaah dengan kau. Mana tau boleh cukup satu saf.”

Papp!

“Aduh!” Aku gosok lengan yang jadi mangsa ciuman penampar Dell. Kuat juga tapak tangan dia ni kalau menampar.

Ground floor.” Pintu lif terbuka. Aku dan Dell melangkah keluar beriringan.

“Kau kan kalau tak bakar darah aku tak sah kan. Sumpah kau jadi blueberry baru padan. Biar kau nyesal seumur hidup sebab menderhaka kat aku.” Kaki kami sama-sama berhenti di depan Tiger Lily Cafe. Aku nampak ada muka-muka staf RTS yang aku kenal sedang bersarapan di dalam.

“Banyaklah menderhaka kau. Aku yang tak sampai server room ni karang kena sumpah derhaka jadi server dengan John tau.” Dell gelak tak cukup mulut. Benci aku tengok gelak dia.

“Dah la. Aku jalan dulu.” Aku seluk tas tangan dan keluarkan purse. Tangannya aku tarik dan sekeping not merah aku letak atas tangan Dell. Dahi dia spontan tayang garis kerut.

“Apa hal bagi aku duit ni? Nak rasuah apa?”

“Jangan perasan ek. Tolong belikan roti bakar kahwin satu set ye. Love you, Dell. Muahhh.” Purse aku humban semula dalam perut tas tangan. Aku tinggalkan dia yang melempar wajah tak puas hati. Cemberut mukanya buat aku nak tergelak.

 

KAKI laju hala ke lif utama. Terkocoh-kocoh masuk ke dalam perut lif. Hujung jari tekan butang lif. Pintu lif terus ternganga. Aku pantas melolos masuk dan terus tekan butang 17. John mesti sedang tunggu kat server room dengan mata sepet dia yang bertambah sepet kalau tengah stres. Aku seluk pipi tas tangan. Meraba-raba. Dapat. Lanyard kelabu aku tarik dan sangkut ke leher. Pintu lif sedang perlahan bergerak untuk bercantum hujung kiri dan kanan.

Hold the elavator!”

Laju jari telunjuk tekan butang pintu lif. Terkejut sesaat dengar suara garau yang memberi arahan dari luar lif. Siapalah manusia bedebah yang tak menyabar tu? Lif kan banyak. Ada lima lagi. Tunggu aje la. Tak tahu ke orang dalam lif ni nak cepat? Bengong betul!

Dua susuk tubuh bersuit kemas melangkah masuk dan terus ke belakang. Pintu lif tertutup. Aku hanya nampak dia orang tadi dari ekor mata. Malas nak ambil port. Kalau dengan Dell tadi sah aku terjebak jadi tukang telek muka orang. Itu memang perangai Dell yang aku ikut terjangkit kalau dengan dia. Kalau sorang-sorang memang tak kuasa. Aku betulkan dan kemaskan kedudukan lanyard yang tergantung di dada.

“25, Miss.”

Aku kerut dahi. Telinga ni rasanya belum pekak lagi dengan ayat yang bergema kat cuping. Eh…sejak bila aku tukar jawatan jadi gadis penjaga lif ni? Ada tulis kat dahi ke SAYA TUKANG TEKAN BUTANG LIF. Aku pusing ke belakang. Pusing sikit aje la sebab nak tengok muka kedua-dua lelaki yang masuk tadi. Elok aje. Tak cacat pun. Sempurna tubuh badan. Tangan elok melekat kat badan. Tak tertanggal pun. Dasar berlagak!

Mementang pakai suit ala-ala mamat korporat. Ingat aku heran ke? Lif ni bukan sesak pun yang kau orang tak boleh nak ke depan dan tekan butang tu sendiri. Banyak cantik suruh aku tekankan untuk kau orang!

“Excuse me? What did you said?”

Dua pasang mata di belakang terangkat serentak. Muka terperanjat semacam aje aku tengok. Buat-buat terperanjat ke, bang? Mata tak berkelip pandang aku. Muka aku comot ke? Tak kut. Kalau comot, sah Dell jadi orang yang pertama komen tadi.

Aku masih tenung dua-duanya. Dua-dua lelaki dalam lingkungan tiga puluhan aku rasa. Sorang kulit hitam manis. Okey-okey la muka. Halal la macam Dell selalu cakap.

Yang sorang lagi cerah. Putih merah. Kulit licin. Halus. Kulit aku pun kalah. Kening cantik. Rambut hitam lurus. Tinggi. Handsome. Sangat-sangat handsome okey. Kalau Dell yang tengok ni mahu dia telan bergelen-gelen air liur. Muka gaya seksi. Dia masih tak berkelip tengok aku tapi muka dia ketat ya rabbi. Pandang macam nak telan aje. Aku tak suka betul orang tenung-tenung. Macamlah aku ada hutang dengan dia.

Aku pandang dua mamat depan mataku ni atas bawah. Bawah atas. Dia orang pun sama. Eh. Apa ni? Sesi pandang memandang berganti-ganti apa. Aku pusatkan mata ke wajah kedua-duanya. Si hitam manis dah lebarkan senyum. Aku lempar jeling tajam. Apa senyum-senyum? Kakinya menapak selangkah ke depan. Sempat aku lirik sekilas.

Dia pantas tekan butang 25 bila perasan aku tak tekan seperti yang diminta dan kemudian kembali ke posisi asal. Tahu agaknya aku marah. Ada tangan, tekanlah sendiri. Dah la tak bersopan bila minta tolong. Cakaplah please. Itu pun tak reti ke? Sedap jugak aku dengar. Sejuk jugak hati.

Yang sorang lagi ni apasal tak sudah-sudah tenung dari tadi. Ada bekas lipstik mommy ke kat pipi aku? Ke, mommy cium aku kat hidung tadi dan aku tak sedar? Aku gosok hidung dan pipi serentak. Tengok tapak tangan. Tak ada pun merah. Dia masih tak berkelip tenung aku. Nak kena dia ni. Sesuka dia aje tenung orang.

Kakiku mara selangkah ke depannya. Kening aku angkat rendah dan petik jari depan muka dia. Serentak matanya berkelip. Dari ekor mata aku nampak si hitam manis di sebelahnya dah ternganga. Terkejut agaknya dengan tindakan beraniku. Peduli apa aku!

“Dah habis tenung?” Suaraku tekan. Dia diam.

“Dah habis belek muka saya ke, encik? Mata saya, kening saya, hidung saya, pipi saya, bibir saya. Bulu mata saya sempat kira tak ada berapa helai?” Dia terkelip-kelip. Tapi mulut masih terkunci. Tak balas kata-kataku. Tak sangka agaknya kena terjah. Lantak lah. Siapa suruh tenung.

“Ada telefon?”

Excuse me?” Dia pamer wajah blur. Eleh. Pura-pura blur pulak!

Oh. Suara garau dia la tadi yang tahan lif ni. Seksi. Macam muka dia jugak. Hello Kat, kau dah kenapa puji dia pulak ni? Puji ek. Tak sengaja la tu. Biasalah manusia tengok benda cantik kan. Automatik mesti puji.

“Saya tanya encik ada telefon tak?”

Dia hulur iPhone yang ada di tangannya. Aku pandang iPhone dia. Hurm. Sama dengan aku punya. Sama la pulak cita rasa. Eh…apahal pulak aku puji dia lagi ni?

“Tak nak selfie bersama? Nanti boleh buat wallpaper.” Dia pandang sebelum tayang senyum sinis. Sangat sinis okey!

“You Miss World ke yang I nak kena selfie-selfie buat wallpaper? Thanks miss… but I am not interested. I tak buat kerja tak berfaedah.”

Sempat dia lempar muka sinis sekali lagi kat aku. Mata dia masih tak berganjak. Aku kecilkan biji mata. Nak aje cilikan mulut dia ni. Dia yang tenung kita, dia pulak yang kerek. Menyesal pulak aku puji dia tadi.

“Level 17.”

Serentak pintu lif terbuka. Nasib baik dah sampai. Tidak, mahu nahas mulut mamat berlagak ni aku sekolahkan. Aku kecilkan mata dan hala dua jari tepat ke matanya. Ala-ala garpu nak cucuk mata Kassim Selamat.

“Jaga mata tu ek. Jangan suka-suka tenung anak dara orang. Cucuk mata tu nanti baru tau!” Dia terkelip-kelip. Kawan dia yang kat sebelah aku nampak tunduk tahan ketawa. Aku lempar jeling tajam pada kedua-duanya seraya bawa tubuh pusing ke depan dan terus keluar dari lif.

Pagi-pagi dah buat aku hangin. Huh!


PROLOG  BAB 1  BAB 2  BAB 3  BAB 4  BAB 5


BELI NOVEL KETIKA CINTA BERBISIK KEMBALI (PENULIS: APRIL SNOW)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *