“MY301? Are you sure, John? You know this server is not stable.”
Aku yang berdiri di tepi kerusi sambil silang dua tangan di dada pandang John yang masih tegun di dalam bilik server memandang monitor di depannya. Sejak tadi kami berdua cuba mengenal pasti masalah server MY1 tapi tetap gagal. Macam-macam cara kita orang guna tapi tetap tak jumpa jalan penyelesaian. Stres betul muka John aku tengok. Aku pun ikut stres. Aku tengok muka serius John. Macam nak ditelan monitor kat depan kami ini.
“Is this the best solution, John?”
Aku mahukan kepastian dia. John angguk tapi tak pandang kat aku. Dua tangannya bersilang erat di dada macam aku jugak. Melihat kesungguhan John, aku tahu dia tidak mahu menunggu lebih lama lagi yang nantinya akan menyebabkan gangguan pada semua staf. Nak buat kerja pun tak boleh sebab server tengah kong. Dan untuk itu server sokongan MY301 diaktifkan John untuk semua talian. Laporan masalah server ini telah awal-awal dihantar oleh John pagi tadi ke RTS Technology di India yang mengawal selia dan memantau server untuk RTS Group wilayah ASEAN.
“Temporary solution. We can’t wait any longer, Kat. It’s almost 8.30 am.” John buka pautan tangan di dadanya dan hala jam di pergelangan tangan kirinya padaku.
“Users gonna scream at us. You know that will happen. Don’t you, Kat?” Aku angguk. Memang pun. Kalau ada masalah pasal IT, memang kami kat division ni yang kena sembur. Kadang aku sampai nak balas sembur balik aje mulut-mulut yang tak cukup vitamin sopan santun tu bila masalah yang timbul lambat diselesaikan. Sedap aje melahar dan menembak. Korang reti sabar tak? Ingat kita orang ni robot ke? Sabar laa!
“Channel all the users temporarily to MY301, Kat. We will wait for India to comeback with an update for MY1 status. For the time being, this is our solution. Go now. Shoot the email to all.” Aku angguk lagi. Akur dengan keputusan ketuaku ini. Dia lebih berpengalaman dan lebih tahu apa yang perlu dilakukan dalam situasi yang sedang kami alami sekarang. Satu keputusan pantas perlu dilakukan dan sebagai ketua unit IT, John sudah memutuskannya.
“Okay, John. I will shoot the email now.”
Aku laju bawa kaki keluar dari bilik server menuju ke kubikelku yang terletak di hujung pintu. Kerusi baldu biru gelap beroda lima aku tarik ke belakang. Duduk terhempas di perut kerusi. Tangan tarik kerusi rapat ke meja. Lappy yang sudah dihidupkan terus dijamah jari-jemari.
Pantas ikon Outlook aku tekan. Ikut arahan John, aku kena hantar e-mel pada semua staf RTS memaklumkan gangguan server utama MY1. Sementara masalah dikenalpasti dan diatasi, semua staf diminta beralih ke server sokongan MY301.
Laju jari-jemari menari di atas papan kekunci. Aku baca dan semak kembali e-mel yang ditaip sebelum butang send ditekan. Puas hati dengan maklumat yang ditulis aku tekan butang send. Selesai hantar e-mel, aku undur kerusi ke belakang sedikit. Kepala jenguk ke bilik server. John masih tegun di situ. Menunggu perkembangan dan maklumbalas dari RTS Technology di India.
Aku tarik semula kerusi ke depan. Mata memusat pada skrin lappy. Tangan kiri mencapai muk milo yang dibancuh masa masuk tadi sebelum ke bilik server. Muk aku bawa ke mulut. Aku cicip perlahan milo yang sudah suam-suam. Kruukk! Tangan laju pegang perut yang dah berbunyi-bunyi. Mata jengah jam di pergelangan kiri. 8.25 pagi. Manalah Dell ni? Dia tapaukan roti aku atau pergi tolong auntie Tiger Lily tu uli tepung buat roti? Dell…mana roti bakar kawen aku? Cepatlah, beb. Aku lapar nak mati ni.
Oh..I…Oh…I…Oh…I. I’m in love with your body. Come on, be my baby, come on. Come on, be my baby, come on. Shape of You by Ed Sheeran berdendang lunak di depan. Aku tarik muk dari bibir dan capai iPhone. Nampak nama Kak Maira. Dahi berkerut. Apahal pulak Kak Maira call ni? Aku letak muk milo yang tinggal suku di tepi meja.
“Hello, Kak Maira.”
“Kattt!” Terkejut aku. iPhone spontan aku jauhkan sedikit dari cuping. Melangsing suara Kak Maira. Elok masuk Gegar Vaganza akak ni tau tak. Mesti Datuk Ramli MS suka akak. Siap dapat standing ovation lagi nanti.
“Ye, Kak Maira.” Aku kembali rapatkan iPhone ke telinga.
“Kat! Cepat naik ke Jentayu Boardroom. Tan Sri panggil. Cepat, yang. Cepat!”
Tan Sri.
Orang nombor satu di RTS yang juga bos Kak Maira. Siapa yang tak kenal. Orang nombor satu di RTS Group. Aku garu pelipis. Haish. Tak suka la aku. Suka-suka dia aje nak panggil aku. Panggil la orang lain. Bukan aku sorang Techology Support kat RTS ni.
“Kenapa ni kak?” Malas aje suara bertanya. Tak suka sebenarnya kalau kena berurusan dengan Tan Sri. Kalau boleh elak, memang aku elak.
“Alahai Kat. Server down la punya pasal ni. Tan Sri tu dah menjerit-jerit kat dalam bilik. Terlompat-lompat jantung akak ni dik ooi.”
Aku pejam mata bila nama itu melintasi lagi di cuping. Asyik nak menjerit aje kerjanya. Hilang suara tu nanti baru tau!
“Talian telefon dah la mati dari pagi. Akak tak tentu hala. Tak tahu nak buat macam mana. Akak turun ke IT Department tadi nak mintak tolong. Tak ada orang di kaunter. Yelah. Belum 8.30 pagi kan. Sah-sah belum masuk lagi. Aduh, Kat. Blank kepala akak ni. Naik balik beritahu Tan Sri orang IT belum masuk. Lagilah dia mengamuk.”
Aku geleng kepala. Asyik nak mengamuk aje!
“Apa masalahnya kak?” Aku terus tanya. Suara Kak Maira di hujung talian yang dah macam ombak turun naik buat aku ikut sesak nafas. Terbit jugak simpatiku padanya. Nasib malang betul dia dapat ketua berangin macam Tan Sri tu.
“Server la, Kat. Time-time ni la server down. Habis semua pun down. Telefon. Internet. Intranet. Dah la Tan Sri ada VC (video conference) pagi ni. Penting. Mana tak mengamuk bapak singa tu tadi bila tengok skrin LCD gelap. Akak tahu dia malu dengan client dia yang datang tu.”
Oh. Ada VC penting. Aku hempas nafas. Haruslah bapak singa tu menjerit sakan.
“Tapi nasib baiklah A&A Architects Sdn Bhd yang dah ada dalam boardroom sejak tadi tu relaks aje akak tengok dan cakap masalah server terputus ni biasa. Bos dia yang kacak gila itu muka manis aje pada akak. Dia cakap no problem. We will wait. Sejuk sikit hati akak dengar Kat.”
Aku tahan gelak. Amboi Kak Maira sempat lagi menilik muka orang tu.
“Tapi akak nampak muka Tan Sri memang merah. Marah dan malu barangkali la Kat. Masa akak keluar dari bilik, Tan Sri ikut sama dan suruh akak panggil Kat. Siap dia cakap. Get her. Now! Cepatlah, Kat. Naik sini. Akak dah ketaq lutut ni tau tak?”
Aku tunduk dan letakkan dahi ke meja. iPhone masih melekap kat telinga. Aku tarik muncung panjang. Sebelah tangan hentak-hentak meja. Tak sukalah! Tak Sukaaaa!
Sungguh, aku kalau boleh mahu elak berjumpa dan bertemu dengannya dalam sebarang urusan kerja. Tapi mana mungkin. Dah satu bumbung kan. Nafasku hempas perlahan. Berat aje tubuh ni nak berdiri. Kenapalah selalu aku aje yang kena mengadap bila Tan Sri ada masalah. Tak sukanya!
“Kat? Are you still there? Cepat ye dik. Akak tak larat ni dengar Tan Sri jerit. Mahu kejung akak kat sini karang.” Kepala kembali aku tegakkan.
Rayuan Kak Maira sayu aje di telinga. Kesian pulak aku kat dia. Karang tak pasal-pasal dia kena hamun. Aku tarik nafas dalam-dalam.
“Okey. Kat naik.”
AKU melolos keluar dari pintu lif di tingkat 25. Access card aku sentuh pada mesin pengimbas. Tangan menekan pin number. Sebaik pintu kaca terbuka, aku tarik dan melangkah masuk.
Susuk tubuh Kak Maira yang mundar-mandir di mejanya menangkap pandangan. Bila dia nampak aku, laju dia melambai. Nak suruh aku jalan cepat-cepat. Sebaik berdiri depan meja dia, tanganku ditarik pantas ke arah bilik Jentayu.
“Jom cepat, Kat. Dia dah mengamuk tadi. Takut, akak. Ada VC penting pagi ni, tapi kan server down. Connection cut off.” Kak Maira ulang lagi cerita yang sama. Tahu siapa dia yang dimaksudkan Kak Maira. Siapa lagi kalau bukan bapak singa yang disebut Kak Maira tadi.
Kak Maira tolak pintu bilik boardroom. Aku mengikut dari belakang. Sebaik pintu terkuak, lima pasang mata mengarah pada kami. Tiga orang lelaki yang duduk membelakangkan pintu dan sedang menoleh ke arahku memang aku kenal sebab itu para pengarah di RTS. Senyum aje dia orang pandang muka aku. Aku pun ikut senyum kecil.
Mata tertengok pulak dua susuk tubuh yang duduk setentang dengan pintu. Yang dua orang ni sah bukan. Ni kut klien yang Kak Maira cakap tadi. Eh eh, jap. Mataku terkelip-kelip tengok dia orang. Ni bukan ke dua ekor mamat ala-ala berlagak dalam lif tadi? Aku pandang dia orang. Dia orang ikut pandang aku. Tak berkelip.
Eh, dia orang ni memang suka tenung orang ek? Nak sangat agaknya mata tu kena cucuk dengan garpu. Aku nampak si hitam manis siku tangan si handsome yang duduk betul-betul depan aku. Mesti dia nak cakap kat si handsome tu pasal aku.
Eh…apasal mulut aku asyik sebut perkataan tu aje pagi ni. Haish. Dua-dua saling memandang kemudian tengok aku. Aku besarkan mata. Apa tengok-tengok?
“Tan Sri, Kat is here.” Kak Maira tarik tangan aku dan tolak aku ke depan.
Aku pandang lelaki yang Kak Maira panggil Tan Sri. Tajam matanya menjunam. Aku buat tak tahu dan pandang ke arah dinding cermin yang setentang denganku. Malas la nak pandang dia. Suka sangat jegil kat aku. Tak suka!
“Are you just going to stand there doing nothing?”
Aku terpaku sesaat dengan sarkastik kata-katanya. Kepala spontan berpusing dan terarah padanya. Tajam matanya masih macam tadi. Liur rasa kesat. Kalau tak menyinis aku memang tak sah agaknya. Kan aku baru masuk ni. Sabar la kut ye pun.
“Fix it now. We’re already late for this VC.” Dan-dan semua mata memusat padaku. Panas betul pipiku ditebak dengan sinikal suara penuh kuasa lelaki yang dipanggil Tan Sri. Nasiblah kamu Tan Sri. Kalau tak…
“Sorry, Tan Sri.”
Adab dan etika kerja harus aku junjung walaupun hatiku memang ringan aje rasa nak membalas kata-kata tajamnya tadi. Bukan salahku pun semua ni terjadi. Dah nak jadi kan. Aku bergerak ke meja. Menuju ke set telefon Cisco dan VC LCD. Kerusi aku tarik dan labuhkan duduk. Kepala menunduk untuk memberi fokus pada dua alatan penting tersebut. Tangan pantas tekan butang merah yang ada imej speaker untuk senyapkan set VC LCD. Tak mahu perbualanku nanti didengar pihak di Sydney.
Aku angkat semula kepala. Saat mataku angkat, sepasang mata di depan sedang merenungku. Tak berkelip pulak tu. Mata yang sama merenungku di dalam lif tadi. Dia ni memang buat part time renung orang ke? Mesti dia nak cakap hai, kita jumpa lagi. Aku buat-buat tak kenal. Butang Cisco aku aktifkan. No talian Helpdesk aku tekan. Butang speaker teraktif secara automatik disebabkan set telefon untuk bilik mesyuarat memang direka tanpa gagang.
“Helpdesk, good morning. Can I help you?” Suara Dell bergema dalam bilik Jentayu yang senyap sunyi.
“Dell. Kat here. Need your help. Please che…”
“Weh, KatBeri KitKat. Kau buat apa kat boardroom tu haa?”
Ayat aku deras aje Dell cantas tanpa sempat aku berikan penjelasan. Spesies langgar lampu merah betul Dell ni. Aku tunduk sikit. Kan dah pecah nama glamor aku. Macam boleh rasa seluruh mata di dalam boardroom ini sedang tertumpu padaku. Telinga aku menangkap ketawa halus. Entah siapa la mangkuk yang ketawa tu. Kalau aku dapat, memang nahas dia!
“Dell…listen. I need you to do something. This is urgent.”
“Eh… eh, cik kak. Apa pulak aku kena dengar. Kau tu yang kena dengar la weh. Banyak kau punya urgent.”
Dell, Mulut kau ni memang nak kena sental dengan Clorox.
“Boss cari kau tau tak? Bising dia dalam bilik server…where is Kat? where is Kat? Dell…find her. Macamlah kau tu anak patung yang ada sensor. Kalau macam tu, bolehlah aku cari. Aku call telefon kau pun tak jawab. Kau off kan handphone kau ek. Apasal kau offkan?”
Meletus-letus ayat bebel dia. Tak bagi peluang langsung aku nak mencelah. Memang aku senyapkan iPhoneku bila naik ke tingkat ini tadi. Aku tak nak nanti ada gangguan kalau tengah berurusan dengan Tan Sri. Aku sedia maklum perangai dia. Mahu kena jelingan maut nanti kalau Ed Sheeran tiba-tiba terjerit-jerit dari corong iPhoneku.
“Eh… jap jap. Ke… ada mamat Weechat tak cukup umur nak try kau ni?” Siap gelak-gelak lagi suara dia. Apa ke melalut pergi Weechat pulak si Dell ni. Bila masa pulak aku ada akaun menatang tu. Nak kena dia ni. Nantilah aku turun karang.
“Weh, kau dengar tak ni?”
Aku elus perlahan dahi. Tak sanggup nak angkat muka. Sah-sah seluruh tumpuan mata-mata yang ada dalam bilik ni sedang menembak kat aku.
“Yang diam aje tu dah kenapa ooi? Turun cepat weh. Nak bertapa dalam boardroom tu ke? Cepat ler, KatBeri KitKat.” Kuat betul dia sebut nama gelaranku yang dia cipta sendiri tu. Memang nak kena sumbat dengan speaker mulut si Dell ni tau.
“Bising la suara Pak Cik John tu kat dalam bilik server cari kau. Tak kuasa la aku nak dengar. Kat…Kat. Where is Kat…where is Kat. Baik kau balik sekarang sebelum aku pengsan dengar John membebel.” Suara murai Dell masih macam peluru. Berdesup-desup.
Perlahan-lahan aku angkat kepala. Bertembung lagi dengan sepasang mata yang duduk di depan. Nampak dia macam tahan ketawa. Sah dia dah gelakkan aku dalam hati. Dia masih dengan riak yang sama. Sakit pulak hati aku tengok. Apa senyum-senyum? Tak pernah dengar nama KatBeri KitKat ke?
“Who the hell is that?”
Aku beralih mata pada suara yang bertanya. Nyaring dan keras nadanya. Aku gerenti Dell ikut dengar. Mahu ternganga gamaknya dia saat ini. Kalau aku depan dia sekarang mahu aku gelakkan dia.
“Helpdesk personnel support on duty, Tan Sri.”
Aku laju jawab bagi pihak Dell. Matilah kau, Dell. Aku boleh bayang muka pucat Dell sekarang. Mesti dia pun dengar suara yang bertanya dan tau siapa bila aku jawab tadi. Sah dia dengar aku sebut Tan Sri. Tunggulah aku turun nanti, mahu dia tayang muka gelabah gajah dia tu. Siap dengan aksi gimrama lagi. Meliuk lentok macam reben kena pintal. Matilah aku, Kat. Matilah, aku. Dialog panik Dell aku memang dah hafal dalam kepala.
“What is your name?” Suara tegasnya bergema. Aku rasa mesti Dell sedang terkulat-kulat sekarang ni. Terkebil-kebil agaknya kau kan, Dell. Tak pun, sedang buat muka mengelabah sambil gigit bibir. Silap-silap terus berdiri dan ketuk-ketuk kepala. Padan muka. Langgar lagi lampu isyarat.
“Err…I’m Dalima, Tan Sri.”
“Just give her what she wants. Stop nagging and talking rubbish. Very unprofessional. Are you clear?” Kena dah kau, Dell. Habislah. You are dead, Dell. Totally dead.
“I am sorry, Tan Sri.” Suara Dell berubah kendur. Mesti sedang takut gila tu. Nak aje aku gelakkan dia lagi. Tapi macam kejam la pulak kan.
“Check the VC details for Jentayu, 08.30, 15 September, Dell.” Aku cepat-cepat ambil alih. Tidak mahu si bapak singa ini belasah Dell lagi. Mahu panjang lagi nanti jadinya. Kesian pulak kat Dell.
“Hold on, Kat.”
“VC with RTS Sydney, Kat.”
“Please check are we the host, Dell.” Aku kena pastikan kalau Kuala Lumpur yang jadi penganjur persidangan video ini, aku harus minta Dell banyak maklumat untuk menyambungkan dua talian ini.
“No. We are the participant, Kat.” Lega aku dengar. Tak banyak kerja aku kena buat. Kalau host tadi mahu sesak jugak kepala nak buat. Lagi-lagi dengan bantuan hanya server sokongan. Takut ada masalah aje. Mahu aku kena baham dengan bapak singa ni karang.
“Provide me the participant pin number, Dell.”
“Just a moment, Kat. I’m checking into the reservation.”
Suasana dalam bilik senyap. Aku macam rasa semua mata pandang aku. Lagi-lagi yang kat depan aku ni. Nak aje aku bangun, pergi dekat dia dan korek biji mata dia. Aku kalih ke kiri sementara menunggu Dell berikan maklumat yang aku mahu. Michael, Investment Senior Director tayang senyum padaku. Siap angkat kening. Michael memang kelakar orangnya. Aku paling ke depan. Eh… dia ni. Tak sudah-sudah lagi ke renung aku. Tak habis kira bulu mata aku dalam lif tadi agaknya.
“Kat..”
“Yup.”
“89898700303.”
“Got it.” Jariku laju tekan nombor yang diberikan Dell pada set VC LCD di depan. Selesai memasukkan, aku tekan butang connect.
“Re-connect the VC, Dell.” Aku bagi arahan pada Dell. Sambungan harus dilakukan serentak. Di bilik Jentayu juga pada sistem VC yang dikawal oleh Technology Division.
“Done, Kat.”
Dan serentak skrin gedabak LCD di depan yang tadinya gelap terang benderang. Aku lihat beberapa orang dalam bilik mesyuarat di RTS Sydney sedang berbual sesama sendiri. Mungkin menanti sambungan yang terputus tadi beroperasi semula. Aku juga nampak Jeremy, si IT Technology Support di RTS Sydney sedang berdiri di depan skrin. Jari telunjukku menekan butang speaker VC LCD yang aku senyapkan tadi. Aku dekatkan wajah pada speaker.
“Hello, Sydney. This is Kuala Lumpur. Do you hear me? Jeremy?” Mataku terarah pada Jeremy yang pernah menjadi rakan sekerjaku waktu aku bertugas di RTS Sydney.
“Hei, Kat. Heard you, girl. I can see you too, gorgeous.” Dia melambai rendah.
“Great. Apologise. Our main MY1 server was down early this morning. Due to that, the VC connection was cut off. The VC now is connected to a temporary server, MY301. I think should be okay, Jeremy.”
“Should be fine, Kat. Don’t worry.”
“Okay, Jeremy. Shall we proceed now?”
“Yeah.” Nampak di skrin Jeremy angkat tangan dan memberi isyarat bagus. Aku ikut membalas. Aku pandang lelaki yang duduk bersandar di hujung sana. Mata tajamnya buat liurku terjun ke dasar rengkung.
“You may start the VC, Tan Sri.” Dia angguk.
Aku tolak kerusi baldu hitam ke belakang perlahan-lahan dan bangun. Nak cepat-cepat keluar dari bilik ini. Makin lama kat dalam ni makin kecut aku tengok mata helang Tan Sri. Michael dekatkan tubuhnya ke sisiku. Aku lirik padanya.
“Thanks, Kat. You are always the best.” Dia kenyitkan mata.
Aku senyum. Aku bergerak secara senyap menuju ke pintu. Suara Tan Sri Khalid sudah bergema. Bersilang dengan suara dari Sydney. Aku terus bergerak ke pintu. Perlahan aku tarik pintu. Dan saat aku pandang ke dalam, mataku bertembung lagi dengan mata yang satu itu. Eh mamat ni. Aku jegilkan mata padanya. Lantaklah kalau dia nak report dengan Tan Sri Khalid lepas ni.
Hello…pandang skrin kat depan sana tu. VC kat depan. Bukan kat pintu ni. Cucuk biji mata tu betul-betul nanti baru tau. Huh! Terus aku tarik pintu dan melolos keluar.
PROLOG • BAB 1 • BAB 2 • BAB 3 • BAB 4 • BAB 5
BELI NOVEL KETIKA CINTA BERBISIK KEMBALI (PENULIS: APRIL SNOW)