Ketika Cinta Berbisik Kembali – Bab 3

LANGKAH terus ke meja Kak Maira yang tekun menaip di skrin lappynya. Punya ralit dia menaip sampai tak sedar aku yang terpacak depan mata. Aku bongkokkan badan. Sebelah tangan menongkat dagu beralaskan permukaan meja. Sebelah lagi ketuk jari di permukaan meja dengan harapan dia menoleh. Haram. Tak jugak dia sedar. Aku punya lawa depan mata dia tak sedar. Sungguh kurang sopan. Aku ketuk lagi jari. Tak jugak dia sedo. Hampeh betul. Haish mak cik ni. Asyik sungguh!

“Kak Maira.” Aku kuatkan sedikit suara, tapi tak adalah sampai boleh buat dia terperanjat. Kepala dia spontan berpusing 45 darjah. Jari-jemari dia terus berhenti menaip dan pandang aku.

“Ha, Kat. Settle dah?” Aku angguk.

“Dah. Kawtim, kak. Beres.” Dia lebar tersenyum sambil tepuk lembut pipi aku. “Kat memang terbaik. Sebab tu Tan Sri memang suruh akak cari Kat aje kalau ada masalah pasal IT ni. Kat kan favourite, Tan Sri.”

Aku cebik dengar pujiannya. “Favourite la sangat. Letih kak. Silap–silap kena baham.” Ketawa Kak Maira terluncur tengok riak balasku.

“Bagi Kat pen dan kertas sehelai, kak. Kat nak tulis pasal kes VC tadi tu. Nak kena masukkan dalam service report. Tak tulis karang lupa pulak.”

“Boleh aje, Kat. Jap ye.” Dia angguk dan berpusing ke meja kerjanya. Sebatang pen hitam dan sehelai kertas dihulurkan padaku. Aku laju mencatat semua maklumat yang perlu tentang tugas bidan terjun yang aku selenggarakan tadi. Kak Maira kembali sambung menaip. Apalah yang busy sangat mak cik ni? Aku panjangkan leher dan jenguk ke skrin lappy dia. Ooo. Tengah buat power point slides. Patutlah. Mesti bapak singa kat dalam tu yang suruh.

“Okey Kak Maira. Kat turun dulu. Nak sambung bertapa dalam bilik server. Bye.”

Thanks, Kat. Bye.”

Kak Maira hanya melambai tanpa memandang ke arahku. Matanya terus tekun di skrin lappy. Aku lajukan langkah melepasi pintu kaca untuk ke lif. Kena segera ke tingkat 17. Bak kata Dell tadi John sibuk mencariku. Nak buat macam mana kan. Tan Sri yang panggil. Berani ke kata tak boleh?

 

“KATTT!!!!!!!!!!!!!”

Sebaik sahaja aku melangkah masuk ke Technology Division, telinga disambut jeritan nyaring suara Dell di meja Helpdesk. Si Patrick, rakan Dell untuk tugasan Helpdesk minggu ini pandang aku sambil muncungkan mulutnya pada Dell. Pakat ketawakan Dell la tu. Dell keluar dari kaunter Helpdesk dan mengekoriku.

“Kat…macam mana ni.”

“Apa yang macam mana ni, Dell.” Kaki terus melangkah ke kubikelku. Dell yang terpacak kat depan aku buat-buat muka serius.

Dalam hati dah pecah gelak tengok muka gelabah giler dia. Nak mengadu hal kena sergah dengan Tan Sri tadi la tu. Dell…Dell. Tu la, mulut tu tak nak praktik emergency break. Kan dah accident. Dengan Tan Sri Khalid pulak tu!

“Kat, habislah aku. Habislah.”

“Apanya yang habis kau ni, Dell.”

“Matilah aku, Kat. Matilah.” Dell melompat-lompat di depan kubikelku. Staf-staf IT yang lain tergelak tengok gelagat Dell. Memang dah biasa dengan perangai gelabah overdose Dell. Dramalah sangat minah ni!

“Kau hidup lagi ni kan. Elok segar bugar macam pau baru keluar dari kukus aje aku tengok.” Aku gelak-gelak.

Staf-staf yang lalu lalang ikut tergelak. Semua mesti dah tau apa yang jadi tadi. Pasti mulut Dell yang menghebahkannya. Aku kenal sangat dengan perangai dia. Dell sempat menampar bahu mereka sambil tayang jeling. Makin galak dia orang tergelak.

“Kat! Teruk la kau ni. Tak baik tau!” Muncung punya la panjang mak cik ni. Buruk pulak aku tengok.

“Aku teruk? Tak baik? Eh hello mak cik bibir pink seksi…” Terdengar bunyi auu auuu kat belakang. Sah suara Pian dan Seelan si programmer otai kaki menyakat tu.

Dell tersengih. Sukalah tu aku puji bibir dia.

“Yang kau panggil aku KatBeri KitKat di tengah-tengah alam Jentayu tu pasal apa? Siap aku kena gelak lagi dalam boardroom tu. Itu lagi teruk dan tak baik tau tak? Right guys?” Aku pandang keliling.

Yeah!!!!” Semua menyahut. Aku hala cebik pada Dell. Saja aje sebenarnya nak menyakat dia.

“Dah tu suka mulut kau aje cakap ada budak Weechat nak try aku. Bila masa aku ada bendalah tu, Dell.”

“Ala…aku gurau aje la, Kat. Sorry la.” Dell rapat dua tangan separas dada tanda minta maaf. Aku angkat kening. Banyak kau punya gurau.

“Agak-agaklah kalau nak buat kelakar pun. Kau tu yang aku rasa kaki Weechat. Melayan anak ikan yang tak cukup umur. Kau memang suka benda-benda mengarut tu. Entah mamat kunyit pun kau layan. Janji muka meletop.”

“Katttttttt…. tak baik tau kau. Mana ada aku layan mamat kunyit!!!” Jerit halus Dell terhumban.

Bergema ketawa staf IT yang lain. Dell lempar cebik pada semua. Aku ikut ketawa tengok reaksi balas dia. Kerusi aku tarik dan hempaskan punggung. Kertas yang aku catat laporan tentang hal VC tadi aku letak di atas meja.

Aku baru perasan aku bawa sekali pen Kak Maira. Aduh. Aku ketuk pen ke kepala. Boleh pulak aku terlupa. Kejap lagi aku kena naik ni. Nak pulangkan. Tidak, mahu aku lupa. Buat harta pulak pen Kak Maira ni.

Dell bergayut di depan kubikelku dengan dua tangan berlabuh di palang besi kubikel.

“Kat.”

“Hurm.”

“Kenapa kau tak bagi false alarm ada Tan Sri kat situ. Matilah aku kalau dia report hal ni kat SSL (Sub Service Leader). Silap-silap aku dapat rating zero untuk appraisal tahun ni. Waaaa. Rentunglah bonus aku weh. Musnah plan nak cuti-cuti oversea…hukhukhuk.” Dell buat dah sinetron dia. Aku geleng kepala. Banyaklah false alarm kau Dell.

“Kau tunggu ajelah. Kalau John panggil kau, makna adalah report. Tapi kau doa-doakan TUHAN lembutkan hati Tan Sri. Kalau tak, masaklah kau.”

“Katttttt…” Suara merengek dengan muka mintak kesian dia memang aku dah kenal sangat. Aku pusing pandang lappy.

Amende.”

Please. Tolonglah aku. Kau dengan Tan Sri tu kan…” Aku jongket renung padanya. “No!” Faham makna kata-kata dia tadi. Dell katup dua tangan ke dada. Matanya dikelip-kelip. Haish! Mata terpandang pen di tangan. Ada alasan ni. Aku terus bangun dari duduk. Dell pandang aku dengan kerut di dahi. Sorry, Dell. Aku boleh tolong kau apa aje. Tapi bukan yang ni. Aku hala kaki ke pintu. Dell ikut berpusing pandang aku.

“Kat…kau nak pergi mana pulak tu?”

“Nak pulangkan pen Kak Maira ni.” Aku angkat pen yang dipegang.

“Kattttttttt. Aku tak habis lagi ni tau.”

“Karang sambung la.”

“Alaaaa.” Aku tayang sengih pada Dell sebelum melolos keluar dari pintu Technology Division.

 

MANA pulak pergi Kak Maira ni? Aku pusing keliling bila tengok meja setiausaha Tan Sri Khalid ni kosong. Aku naik semula ke sini sebab nak pulangkan pen Kak Maira yang aku terambil tanpa sengaja tadi. Aku berjalan dan jenguk ke bahagian belakang pantri. Kut-kut Kak Maira ada kat sana. Tak ada jugak. Aku kembali semula ke meja Kak Maira.

Okay, Tan Sri. Thank you for the referral. A&A Architects will communicate directly with RTS Sydney on the draft design for their client’s new office.”

            “I’ve high confidence on your company, Ahqaf. Your work…as usual always above my expectation. Excellent performance.”

“Saya masih belajar lagi, Tan Sri. Terima kasih banyak beri tunjuk ajar pada saya.”

Telinga menangkap suara seseorang dan suara Tan Sri dari pintu bilik Jentayu yang ternganga. Ahqaf? Siapa pulak tu? Kak Maira kat dalam ke?

Aku mendekati pintu Jentayu. Curi-curi jenguk ke dalam. Lain yang aku cari, lain pulak yang mata aku jumpa. Aku nampak Tan Sri tepuk bahu mamat yang kaki renung tu.

“Anak muda berwawasan macam you ni I suka, Ahqaf. Keep up the good work. RTS Group will always support you.”

Ooo. Nama dia Ahqaf rupanya. Sedap juga. Eh, apa yang aku sibuk pulak. Lantak la nama dia sapa pun. Aku peduli apa. Aku pandang dia. Eh. Kenapa senyum dia boleh lawa gila ek? Aku ketuk kepala sendiri. Kau dah kenapa, Kat? Mamat yang sorang lagi di sebelah dia ikut sama tayang muka manis.

It’s a team work, Tan Sri. The credit goes to A&A Architects in total.”

Aku tengok Tan Sri Khalid mengangguk kepala. Si mamat nama Ahqaf tu hulur jabat pada Tan Sri Khalid. Kruukk! Aku pegang perut sendiri. Baru sedar aku belum sarapan lagi. Patutlah panas aje perut aku. Lupa pulak nak tanya Dell tadi mana roti bakar kawen yang aku pesan suruh dia beli. Tapi aku memang tak nampak pun apa-apa bungkusan atas meja aku tadi. Dia letak kat mana pulak roti yang aku pesan tadi?

“Thank you again, Tan Sri. We’ll keep you posted.”

“Great. I look forward for the update on this project.”

“Will do, Tan Sri.”

Mesti dia orang nak keluar ni. Baik aku cabut dulu sebelum Tan Sri nampak aku kat sini. Dia bukan boleh nampak muka aku. Karang ada aje pasal yang dia cari. Aku tarik kepala dan hala langkah semula ke meja Kak Maira. Aku tarik kertas dan laju tulis sesuatu.

“Sorry Kak Maira. Kat terambil pen akak tadi. I am returning it back to you. Thanks and sorry again.”

 

KAU what?!”

“Sorry aar.”

“How could you, Dell.”

Dell tayang gigi sambil kibarkan not merah yang aku bagi dia tadi. Aku capai duit sepuluh ringgit di tangan dia bersama dengusan kecil. Nak marah pun dah tak guna.

“Soooorry.” Panjang aje minta maaf dia.

Aku tinggalkan Dell dan terus jalan menuju ke arah bilik server. Nak minta izin John keluar sekejap pergi sarapan. Perut dah main segala macam jenis rentak muzik yang aku pun tak tahu nak describe. Kalau tak hentikan muzik ni karang mahu aku pengsan nanti. Sarapan pagi ni penting.

Sebelum sampai bilik server, aku berhenti sekejap kat meja Nurul sebab mata tertengok dia tengah makan biskut lemak cecah dalam air kopi dengan penuh nikmat. Sedap pulak aku tengok. Telan liur aku. Waktu kelaparan ni biskut lemak tu pun kau nampak macam tortilla wrap tersedap di dunia. Aku selamba capai sekeping dari bungkusan di tangan dia.

“Wei, Kat.” Terkelip-kelip dia. Terkejut dengan tindakan spontan ku. Aku sengih tak bersalah.

“Thanks, Nurul.” Aku angkat biskut di tangan. Terus berjalan tinggalkan dia dan masukkan biskut ke dalam mulut.

Hurmmm. Not bad. Dell masih mengekori aku kat belakang. Aku buat-buat tak layan. Saja nak dera perasaan dia. Biar dia rasa kena pulau pasal lupa beli roti kawen aku.

“Kat…kau janganlah marah. Aku lupa. Biasalah kita ni kan manusia. Pelupa tu kan sifatnya.” Dell terus memujuk dengan ayat motivasi mana tah yang dia tiru.

Aku paling ke belakang dengan separuh biskut lemak Nurul dah selamat aku telan. Separuh lagi ada di tanganku. Dell tayang muka seposen. Muka nak mintak simpati aku.

“Aku tengah lapar, kau boleh lupa beli. Teruk tau tak kau, Dell. Aniaya kawan.”

“Yelah. Aku salah. Ampunkan kami Penunggu IT….eh silap-silap. Ratu IT.”

Aku jeling Dell. Dia sengih tak berdosa. Aku berhenti depan pintu bilik server. “John, I nak turun kejap breakfast. 30 minutes. Perut I tengah main okestra ni.”

John yang mengadap monitor tak berkalih tapi angguk kepala. “Don’t be late. I need you here. We still have work to do.”

“Okay, boss.” Aku pusing dan jalan semula ke kubikelku. Separuh biskut lemak yang tinggal aku sambung makan. Jangan membazir. Dell laju kejar dan sambar lenganku. Nak sambung pujuk la tu. Huh!

“Ala Kat. Sorrylah. Aku tak sengaja. Aku betul-betul lupa nak beli roti kawen yang kau kirim tadi. Sumpah, Yang!” Dell angkat tangan sambil tayang muka kesian. Kami terus berjalan beriringan ke arah kubikelku.

“Kau skodeng siapa kat kafe tadi sampai lupakan roti kawen yang aku pesan?” Aku jongket kening. Spontan bibir Dell melebar.

“Eh. Mana kau tau?” Lagi nak tanya. Macam aku tak kenal dia.

“Tu la.” Dell tepuk lengan aku. “Rugi kau tak ada tadi, Kat. Kau tau Kat, ada mamat baru kat bangunan sebelah laa. Tall, Dark and handsome, weh. Dia masuk kat kafe tadi. Adoii. Tergoda aku. Rasa aku dia lagi ohsem dari Mateen laa. Sedap tengok badan dia. Tak berkelip aku.” Mata aku kecilkan. Pantang nampak lelaki dahi licin dia ni.

“Aku dah agak dah. Dasar perempuan mata keranjang.” Kaki berhenti depan meja kerjaku.

“Mana ada aku mata keranjang. Aku rambang mata aje. Okey apa. Belum kahwin ni la kena rambang mata pilih mana yang berkenan di hati. Macam kau tak boleh dah, Kat. Encik tunang tersayang kan dah ada. Lagipun kau kan perempuan setia…auuuu.” Dell muncungkan bibir.

Aku cebik. Tangan tarik laci dan keluarkan tas tangan. Pipinya aku kuak. Purse hitam aku capai. Aku masukkan semula tas tangan dalam laci. Aku capai iPhone dan lanyard yang terdampar diatas meja.

“Ada aje jawapan kau kan. Dah. Aku nak turun pergi breakfast. Nak harapkan kau…haram. Hampeh punya kawan.” Aku bergerak ke pintu dan sentuh access card pada mesin pengimbas.

“Kat…” Aku lirik ke depan. Dell sengih. Adalah tu nak kirim. Mesti punya!

“Apa?” Saja aku buat muka serius.

“Kirim dua ketul cakoi kedai sebelah.” Kan aku dah kata. “Love you, KatBeri KitKat…muaahh.” Dell muncung bibirnya yang berwarna merah jambu. Mata sengaja dijulingkan. Tak suka betul tengok aksi dia sua-sua muncung bibir ni.

“Tengoklah kalau aku tak lupa ye. Biasalah kita ni kan manusia. Pelupa tu kan sifatnya” Aku kenyit mata. Giliran aku pulak balas Dell dengan ayat dia tadi…hahahaha. Tangan laju tarik pintu. Mahu melolos keluar.

“Kat!!!”

Terdengar jerit Dell. Aku ketawa. Kaki menuju ke lif. Butang lif aku tekan. Sekejap aje lif hujung terbuka. Aku laju melangkah masuk. Sebaik masuk aku pusing dan berdiri di depan. Butang G aku tekan.

 

AKU laju melangkah keluar sebaik pintu terbuka. Sebaik melepasi mesin pengimbas aku belok ke kiri menuju ke Tiger Lily Café. Suasana kafe yang lengang buat aku seronok. Aku memang tak suka tempat ramai-ramai orang. Meja di hujung aku tuju. Seorang staf kafe datang ke mejaku membawa buku menu.

Aku tengok muka dia. Rasanya staf baru ni. Kalau staf lama memang takkan bawa buku menu padaku. Kepala menggeleng. Aku tak perlukannya. Sudah biasa minum di sini aku boleh hafal menunya. Siap dengan gambar dia aku boleh hafal dalam kepala.

Set A with black coffee. Less sugar, please. Thank you.”

Okay, miss.” Dia menganggukkan kepala dan berlalu bersama buku menu di tangan.

Aku kembali melihat iPhone. Ikon facebook aku tekan. Tengok macam-macam update dari rakan-rakan media sosialku. Tergelak aku baca status Dell pagi tadi. Siap ada gambar seorang lelaki yang diambil secara curi dengan kapsyen merenyam dia yang sangat sinonim tu.

Tengah breakfast tetiba nampak si Tall, Dark and Handsome ni melangkah masuk. Adui. Bergegar jantungku. Hatiku bagai mahu berlari mengejar dia. Come to me…come to me.

Dell… Dell. Berapa kali la jantung kau bergegar ni. Bibir terus menebar sengih. Geli hati dengan kata-kata yang ditulis Dell.

“Can we join you, miss?”

Sedikit terkejut dengan suara yang tiba-tiba menyapa, aku spontan angkat kepala. Dua susuk tubuh melekat di mata. Dua susuk tubuh yang dah dua kali singgah di mataku hari ini. Dan ini kali yang ketiga kami bertemu mata. Aku pandang keliling. Punya banyak meja kosong dalam kafe ni, apasal nak duduk dengan aku pulak? Dia orang ni nak mengurat aku apa.

Dan belum sempat aku cakap apa-apa, jauh sekali angguk kepala bagi izin, si tall dark and a bit handsome ini dah duduk depan aku. Selamba badak aje dia tayang muka tak malu. Aku pandang sorang lagi yang masih terpacak. Dia ni la yang suka tenung aku. Dalam lif tenung aku.

Dalam boardroom tenung aku. Kat sini pun dia tak habis tenung aku jugak. Dia ni ambil upah tenung orang apa. Ke, buat kertas kajian kesan tenungan manusia kepada manusia yang berlainan jantina dan implikasinya. Haish. Apa kau mengarut ni, Kat?

Giliran aku tenung dia. Atas bawah aku tenung dia. Dia pun sama. Wah. Melawan tu!

“Kawan awak yang tak malu ni dah duduk walaupun saya tak cakap okey. Awak nak malu-malu berdiri kat depan saya ni sampai bila? Takkan nak berdiri sampai esok kut, encik.”

Kawan dia dah ketawa. Serentak dia duduk di depan aku. Betul-betul depan aku. Staf kafe datang ke meja aku dan bagi buku menu pada kedua-duanya. Masing-masing selak buku menu.

Aku ambil peluang teliti wajah dia dari dekat. Memang dekat dah pun aku dengan dia sampai aku boleh tengok pori kulit muka cerah dia yang licin.

Tadi masa aku terjenguk dalam boardroom memang tak sempat nak belek muka mamat ni. Hidung dia mancung sungguh. Mata dia lawa. Bersinar. Mesti banyak makan beries ni bak kata Dell. Bulu mata dia lentik tu. Lagi lentik dari bulu mata aku. Susah nak jumpa lelaki ada bulu mata lentik ni.

Bibir merah. Seksi sungguhlah. Apasal aku tak perasan masa dalam lif pagi tadi? Masa dia tenung aku waktu VC pagi ini pun aku tak perasan jugak. Rugi pulak tak ambil kesempatan melihat keindahan ciptaan TUHAN di depan mata kan? Lelaki macam ni memang rare tau.

Astaghfirullah. Kat. Kau buat apa ni? Tenung lelaki lain? Siap analisis bibir dia lagi. Ingat sikit kau tu dah bertunang. Aku garu kening. Mata masih melekat di depan. Tapi itu kan tanda sah dia tak merokok.

Good. I hate smoker. Eh. Apasal pulak aku ni? Lantaklah kalau dia merokok pun. Aku tak ada kena mengena dengan dia.

2 Set A. Black coffee.” Si hitam manis bersuara. Staf kafe angguk kepala, mengambil semula buku menu yang dihulurkan dan berlalu.

Tapi serius, dia memang handsome. Kalau tengok sekali memang tak puas. Kena tengok sekali lagi…dan lagi. Aku terus pandang dia. Dan dia yang perasan, menguntum senyum. Aku baru tersedar. Aiyakk! Astaghfirullah. Rasa nak cucuk mata sendiri. Aku laju pandang ke arah kaunter.

“Saya Zafrul Ahmad. Sebelah ni kawan saya, Ahqaf Zahran.” Suara si hitam manis ini buat mataku kembali ke arah kedua-duanya.

Wah. Sesi berkenalan la pulak. Aku tak tanya pun nama korang kan. Oo…Ahqaf Zahran nama dia. Tadi aku cuma dengar Tan Sri sebut Ahqaf. Hurmmm. Sedap nama dia.

“You?”

Si Zafrul ini bertanya. Dua pasang mata pandang aku serentak. Aku diam. Kebetulan staf kafe datang hantar pesanan aku tadi. Dia orang diam. Aku ucap terima kasih selepas staf kafe ni selesai letakkan pesananku di atas meja. Aku kacau kopi yang berasap-asap.

“Nama you siapa ye?” Lelaki yang bernama Zafrul bertanya sekali lagi. Jawab aje la Kat. Nama kau aje pun. Bukan dia tanya nombor pasport kau.

“Kat.” Aku cicip kopi. Hurmmm. Sedap. Macam biasa.

“Kat aje?” Aku angkat mata dan pandang kedua-duanya silih berganti.

“Awak berdua ni memang nak berkenalan dengan saya dari dalam lif tadi kan? Nak mengurat saya ke?” Lelaki bernama Zafrul ketawa. Yang depan ni hanya diam.

Fuh seksi sungguh la bibir dia. Haish. Apasal aku asyik tengok bibir dia aje ni. Setan banyak betul bergayut kat mata aku. Cer tengok yang lain boleh tak, cik mata?

“Okey sangat kalau you tak kisah kami nak mengurat you. Ada orang yang dah berkenan kat you ni.” Si Zafrul pandang si bibir seksi.

Telinga aku dengar jelas apa yang disebut si Zafrul. Berkenan? Mataku masih melekat pada kedua-duanya. Siapa pulak yang berkenan dengan aku? Si Zafrul ni ke?

Stage pertama untuk mengurat ni kenalah kenal-mengenal. Betul tak?” Aku tengok dia orang saling bertukar pandang. Aku buat bodoh aje.

So, boleh tak kita berkenalan, Cik…” Si Zafrul ni sebut cik tanpa noktah. Nak aku sambunglah tu. Taktik lelaki yang aku dah masak sangat. Memang sah dia yang berkenan kat aku.

Maaflah ye, Mr TDH. Aku ni tunang orang.

“Katleeya.”

“Katleeya?”

“Ya.”

Sweet. Macam orangnya jugak.” Dia baling muka manis mengumpan padaku. Hai. Lelaki… lelaki. Silap oranglah kau nak mengayat Zafrul.

Sweet talker ek awak ni.” Aku jongket bibir. “Tapi maaflah ye. Saya tak suka benda manis. Nanti kena diabetes. I nak hidup lama.” Pecah lagi ketawa si Zafrul ni.

“Nama you, Katleeya?”

Mataku dan lelaki bernama Ahqaf bertembung spontan bila dia melontar tanya. Aku beranikan diri tenung dia depan-depan. Apasal? Kau nak kata nama aku pelik ke?

“Kenapa? Pelik ke nama saya? Ada bunyi macam nama orang planet lain?” Aku lontar tanya.

Geram pulak tengok riak muka dia yang macam nak senyum senget. Nak ketawakan aku aje gayanya. Kau nampak tak aku tengah pegang apa ni? Cawan kopi aku paut kemas.

“Bukan KatBeri KitKat? That name sound sweet and cute.”

Dia simpul muka tak bersalah. Kawannya aku tahu sedang tahan gelak. Mungkin langsung tak menduga dengan usikan spontan yang keluar dari mulut temannya ini agaknya. Aku rasa ada yang kena mandi dengan kopi aku ni karang.

Staf kafe datang menatang dulang pesanan mereka. Nasib baik la kau datang dik. Tidak bermandikan kopi la mamat ni. Satu persatu pesanan mereka diletakkan di atas meja hingga selesai.

Enjoy your breakfast, sirs.” Aku angguk pada staf kafe yang dah biasa aku lihat wajahnya ini. Kedua-dua lelaki di depanku ini ikut mengangguk.

So Kat…dah lama you attached dengan RTS?” Aku pandang aje si Zafrul kacau cawan kopi sambil tengok aku.

“Dua tahun lebih.”

“Dua tahun lebih?” Suara si Zafrul ni macam terkejut besar aje. Siap toleh pandang member dia si Ahqaf. Apahal yang terkejut sangat dua-dua orang ni, aku pun tak tahu.

“Kenapa tak pernah nampak you sebelum ni? Haish. Rugi betul.” Kepalanya digeleng.

Sebab ni ke dia terkejut tadi. Aku dapat agak mesti dia sedang kira dah berapa kali jugak mereka ke sini bertemu dengan Tan Sri Khalid tapi tak pernah jumpa aku. Memanglah tak jumpa sebab aku baru aje tiga bulan di RTS Technology Division di Malaysia. Dua tahun di RTS Technology Sydney selepas tamat belajar di University of Sydney.

Balik bertugas di sini pun atas arahan Tan Sri. Bukan kehendakku. Kalau ikut kehendak hati, aku mahu terus berada di Sydney, tapi apa kan daya, aku terikat dengan kontrak bersama RTS Group. Terpaksalah akur.

“Nak jumpa buat la masalah pasal IT. Akan jumpalah muka saya.” Aku jawab selamba.

Tapi memang betul pun. Kalau tak adalah masalah pasal IT di dalam boardroom pagi tadi memang tak berjumpalah kami bertiga. Aku tengok Ahqaf ketawa kecil. Zafrul ikut ketawa.

“You memang IT Technology Support, RTS?”

“Yup.” Aku pecahkan telur separuh masak. Tarik bekas serbuk lada putih dan kicap. Tabur atas telur. Dia orang pandang aku. Aku pandang dia orang balik. Apa yang peliknya makan telur separuh masak.

“Makanlah that eggs. Nanti sejuk tak sedap.” Dua lelaki ini saling menyulam renung seketika. Aku buat tak tahu. Tak nak makan sudah!

“Selalu breakfast kat sini?” Aku tolak bekas lada dan kicap ke depan mereka. Roti bakar aku cecah dalam telur separuh masak yang sudah aku kacau.

Sometimes. Kalau tak sempat sarapan kat rumah.” Aku makan macam biasa. Macam tak ada orang depan aku. Tak ada masa nak control ayu.

Roti yang sudah dicecah aku sumbat ke dalam mulut. Hurmmm. Sedap. Cecah lagi, sumbat dan kunyah. Bukan aku tak nampak dari ekor mata dia orang pandang aku tak berkelip. Mataku angkat.

“Kenapa?” Aku hala soalan pada si bibir seksi.

Nothing…just…” Suaranya perlahan sahaja.

Look weird?” Aku pantas bertanya. Dia menggeleng kepala.

Try. You’ll love it.” Aku kenyit mata. Eh apa aku dah buat ni? Mata, kenapa kau kenyit kat dia? Aku nampak dia sedikit terkejut. Tapi cuma sebentar aje. Bibirnya senyum tipis. Si Zafrul ikut sama. Janganlah dia ingat aku nak mengurat dia pulak. Maaf ye. Saya tak nak mengurat awak. Saya dah bertunang.

So…where are you guys from? Which company?” Giliran aku interview dia orang. Sorang-sorang aku pandang.

“A&A Architects Sdn Bhd.”

Oh. Arkitek rupanya mamat kaki tenung orang ni. Dah penat tenung pelan, tenung la orang pulak ye. iPhone aku tiba-tiba berbunyi.

Excuse me. I have to take this call.

Aku minta izin jawab panggilan. Nampak nama mommy tertayang di layar. Bibirku spontan melebar manis. Aku perasan dua lelaki di depanku ini ikut tersenyum. Hello. Saya senyum kat mommy saya ye. Bukan kat awak berdua. Jangan perasan!

Hello, mommy.”

“Sayang buat apa tu?”

“Kat tengah breakfast, mommy.”

“Ya ALLAH. Kenapa lambat makan ni, sayang? Tak elok kan biar perut kosong lewat macam ni. Tulah. Mommy suruh breakfast kat rumah tadi tak nak.”

Suara marah-marah sayang mommy dah mula. Aku garu pelipis. Nak breakfast mengadap daddy. Baiklah aku mengadap harimau. Aku lagi rela. Dari ekor mata aku perasan si Ahqaf sedang memerhatikanku. Aku buat-buat tak nampak.

“Kat tahu, mommy. Bukan sengaja nak makan lambat. Tadi banyak kerja. Server down. Kelam kabut nak solve. Tak dapat dig the problem. John tak nak tunggu. Nanti tak memasal kena sembur dengan users. Kena channel semua users to the temporary server. Pastu Kak Maira call. Kena panggil dengan Tan Sri. VC dengan Sydney office pun terlibat dengan gangguan. Kena fixed kan.”

“Kena marah?” Mommy dah tahu? Ada la ni reporter yang buat lintas langsung kat mommy di rumah.

Mommy macam tak kenal Tan Sri tu. Sarcastic is his best friend. Bukan nak tanya kita what is the problem. Sedap jugak kita dengar. Sejuk hati. Ni, tak. Tahu tembak orang aje. Stres tau!” Terdengar ketawa manja mommy. Aku perasan juga dua pasang mata kat depan ikut merenungku. Ah, peduli apa aku kalau dia orang nak report aku mengutuk Tan Sri Khalid. Pergilah report. Ingat aku takut!

Mommy tau. Maira beritahu. Tu yang mommy call anak manja mommy ni. Nak check dia okey tak?” Kan aku dah kata ada reporter buat lintas langsung kat mommy.

“Kat okey. Dah biasa kena smash. Hati kena kering. No drama air mata will happen. Telinga kena nipis. Muka kena jadi The Great Wall of China kalau kerja dengan Tan Sri Khalid. Kan dia dah bagi warning awal-awal dulu.” Pecah lagi ketawa mommy. Haish mommy ni. Orang tengah luah perasaan, dia boleh ketawa.

Mommy ni. Ketawakan Kat pulak. Teruk tau!”

“Anak mommy kan kuat.”

Have too. Kat tak ada pilihan. Nasib orang berhutang kan.”

Mommy diam bila aku sebut perkara itu. Entahlah. Aku akan rasa jauh hati bila fikir perkara ini. Tapi nak buat macam mana. Aku kan dah terlajak buat akur janji. Hutang tetap hutang. Dan aku tetap akan selesaikan hutangku ini. Aku tak mahu berhutang dengan Tan Sri Khalid. Aku akan bayar. Itu azamku.

Mommy…” Aku pecahkan kesunyian kami.

“Ya, sayang.”

“Nanti kita chat lagi ye. Kat nak habiskan breakfast. Nak kena sambung kerja. Karang John cari pulak. Minta break sekejap aje tadi.”

“Okey, sayang. Malam nanti balik dinner ye. Mommy masak lauk favourite Kat…kurma daging.” Liurku telan.

Mommy kalau masak kurma daging memang sedap tapi membayangkan harus makan dan mengadap daddy buat seleraku terbang. Tapi tak sampai hati nak kecewakan mommy. Susah payah mommy masak lauk kegemaranku.

“Insya-ALLAH, mommy. Nanti Kat balik dinner okey. Bye mommy. Love you.” Aku tarik iPhone dari telinga dan letakkan ke atas meja. Aku kerling Michael Kors di pergelangan kiri. Dah setengah jam aku keluar. Masa untuk balik sambung kerja.

Okay, guys. I need to make a move first. The server room is calling.”

“Okay, Kat. Harap jumpa lagi.” Zafrul yang menjawab. Aku capai cawan kopi. Habiskan cairan hitam pekat yang tinggal suku. Habis kopiku teguk, cawan aku letakkan di atas piringnya. Kepalaku angkat. Bertembung dengan sepasang mata cantik Ahqaf.

Apasal la mataku asyik tertengok bibir dia yang seksi tu aje. Bukannya boleh dapat pun. Haish. Gila kau Kat cakap macam tu.

Arrghhh! Apa aku merepek meraban ni? Baik cepat angkat kaki sebelum aku jadi teringat-ingat. Aku bangun dan capai iPhone yang terdampar atas meja. Dia orang ikut bangun. Amboii. Gentlemannya.

See you guys around too.” Berbahasa basi tu kan dituntut. Balas kata-kata Si Zafrul tadi. Tapi harap tak jumpa lagi. Lagi-lagi si Ahqaf ni. Mahu nanti aku kena sihiran bibir dia yang sangat sensual itu. Aiyakkk! Apa kau melalut ni Kat. Laju aku bawa kaki ke kaunter.

“Kat…” Aku pusing. Suara garau Ahqaf yang memanggil. Sedap pulak dia sebut nama aku. Seksi bunyi di telinga. Aarghh. Apa dah jadi dengan aku ni?

“Errk… yes?”

My treat.”

Aku terkelip-kelip. Dia tebar senyum. Aduhai. Seksinyer dia. Ya rabbi. Apa dah jadi dengan aku ni? Adakah aku dah terjangkit virus miang-miang buluh betung si Dell? Aiyaakk!

Oh okay. Thanks. Bye.” Aku pusing dan terus laju hayun kaki. Jalan Kat. Jalan cepat sebelum kau kejung depan dia.


PROLOG  BAB 1  BAB 2  BAB 3  BAB 4  BAB 5


BELI NOVEL KETIKA CINTA BERBISIK KEMBALI (PENULIS: APRIL SNOW)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *