Ketika Cinta Berbisik Kembali – Bab 4

“KENAPA cuti tak beritahu?”

Aku humban tanya pada dia yang terpacak depan mata. Kemunculan yang tidak aku sangka-sangka. Dia layang muka tenang. Macam tak bersalah aje buat macam ni kat aku. Nak juga aku sambung tanya kenapa cuti datang ke sini? Kan dah pesan.

Banyak kali aku pesan pasal hal ini. Jangan cari aku kat office. Jangan datang jumpa aku kat RTS. Tapi aku tak mahu sambut dia dengan rasa tak puas hati. Tak elok rupanya. Lagi-lagi dia tunang aku sendiri.

“Saje. Nak surprisekan tunang tersayang I yang workaholic ni. How are you, my dear Katleeya?” Dia memang panggil aku dengan nama penuh. Dari mula-mula kenal lagi. Nama yang sedap disebut katanya. Biasalah taktik mengurat. Raut menggoda Fadhlan tertayang. Wajah kacaknya nampak ceria. Wajah yang buat aku jatuh tersungkur akhirnya dengan sikap gentleman dia waktu menguratku dahulu.

Terkejut aku bila nampak dia terpacak di depan reception floor. Tadi namaku dipanggil oleh Irza, si receptionist. Katanya ada orang nak jumpa. Penting. Aku yang dengan kepala berserabut pasal hal server yang tak selesai lagi panjat juga lif. Ingatkan sungguhlah ada hal penting. Rasa nak marah pun ada pada dia tadi. Suka suka aje terjah ke sini. Aku tak suka. Dan banyak kali aku pesan pada dia.

Fine.” Aku jawab pertanyaan dia tadi. Aku tarik perlahan lengannya dan arah dia ke sofa di belakang kaunter penyambut tetamu. Kami labuh duduk. Fadhlan selamba duduk di sebelah. Rapat pulak tu. Aku jadi tak selesa. Aku jarakkan sedikit dudukku. Mata liar pandang ke merata. Mana tahu kalau tiba- tiba Tan Sri lalu ke. Memang menempah nahaslah aku. Silap-silap dengan Fadhlan sekali dia smash. Mana nak letak muka?

“Sayang…kita lunch hari ni. Lama tak jumpa you. Rindu!” Aku teguk liur.

Aku kena standby di server room lunch ni. Kena tunggu maklum balas dari India. Masalah server utama belum dapat diatasi lagi sejak pagi tadi. Mampus nanti kalau aku tak ada. Harus John jadi gergasi mata sepet.

“Tak boleh, Fadh. I kena standby kat server room lunch time nanti. Main server ada masalah hari ni. Takut kalau temporary server buat hal pulak. I can’t go anyway. Sorry.”

Fadhlan hempas tubuh di dada sofa bersama keluhan kasar dari desir nafasnya. Sebelah tangannya melekat di mulut. Kepalanya beralih pandang ke arah dinding cermin bertentangan.

Aku tahu itu reaksi kecewa campur marah juga bengang. Nak buat macam mana. Dah kerja aku macam ni. Dia pun bukan tak faham.

“Fadh. Janganlah macam ni. This is about commitment.

Kepalanya beralih semula. Riak bengangnya mulai surut.

“Takkanlah tak ada orang lain boleh gantikan you, sayang. Bukan you sorang aje IT Technology Support di RTS ni kan. Dahlah susah payah I datang nak jumpa you hari ni. You know how tight is my work schedule.”

Giliran aku lepas keluhan. Macamlah dia tak tahu kerja aku ni bagaimana. Dari mula-mula kerja aku dah beritahu. Kerja aku ni bukan macam kerja admin.

Kalau aku boleh faham dia yang terbang ke sana ke mari tak tentu masa, harusnya dia juga faham kerjaku ini yang adakalanya nak kencing pun tak sempat! Dah memang aku yang kena assigned untuk jaga server room minggu ni. Mana boleh sesuka hati nak lepaskan pada orang lain.

“Fadh. Tolonglah faham. Minggu ni I duty kat server room. Dah la hari ni main server ada problem. Mana boleh sesuka hati suruh orang ganti hanya sebab nak lunch date dengan tunang. Mahu kena sembur dengan bos. You should have call me earlier. At least we could arrange lunch for another day.”

Nampak muka tak puas hati dia bila aku tegur dia tak call aku dulu sebelum datang. Kepala diangguk perlahan.

Okay. My bad. Lunch lain kali kita arrange. But dinner is with me tonight, sayang.”

Dinner.

Aku dah janji dengan mommy. Mana boleh mungkir. Mommy dah masak. Kesian mommy. Mahu merajuk nanti dia.

“Fadh…I….” Fadhlan geleng kepala. Jari telunjuknya ikut bergoyang ke kiri kanan.

No excuse, sayang. I tunggu you di Majestic tonight.”

Akal sedang berselirat memikirkan macam mana mahu menyelesaikan hal ini. Aku tak mahu hampakan mommy. Aku juga tidak tega buat tunangku ini kecewa.

“I ada dinner dengan my family malam ni. I dah janji dengan mommy pagi tadi.”

I see.” Perlahan suara Fadhlan.

Okay.” Riak kecewa terpancar jelas di wajahnya. Buat aku rasa tak best aje bila tengok muka monyok dia. Terbit rasa kesian pada dia. Yelah. Dahlah susah nak cuti. Bila cuti, aku pulak tak boleh nak teman dia.

Join me, hurm. Mommy mesti suka. Lama dia tak jumpa you. We are going to be a family soon.” Aku pamer wajah manis. Nak pujuk dia sebenarnya.

Tapi memang mommy ada jugak sebut lama tak jumpa Fadhlan. Nak buat macam mana. Dia bukan kerja pejabat yang cuti hujung minggu. Cuti juruterbang mana sama dengan cuti ekskutif pejabat macam aku.

Fadhlan diam. Matanya singgah tepat ke wajahku.

You know my answer, Katleeya.” Suaranya tenang tapi penuh penegasan.

Because of my daddy?”

Kalau aku sendiri tidak selesa berdepan dengan daddy, apatah lagi dia. Tapi sampai bila nak dia mengelak. Seumur hidup boleh elak ke? Takkan boleh punya. Aku takkan boleh berpisah dengan keluargaku sendiri.

Tiada jawapan dari mulut Fadhlan. Dan aku tahu benar kenapa. Dia masih terasa hati hingga kini dengan kata-kata keras dan sinis daddy kerana keterlanjuran kami bertunang dan membelakangkan keluarga hampir empat tahun dulu.

Daddy hambur semua amarahnya pada Fadhlan dan keluarga waktu mereka datang meminta maaf.

Bagi daddy, Fadhlan penyebab aku bertindak membelakangkan keluarga. Daddy kata Fadhlan lelaki yang tidak matang. Dia sepatutnya melarangku. Bukan ikut sama bersetuju dengan tindakan gilaku.

Aku memang nak menjawab masa tu sebab nak bela Fadhlan tapi mommy melarang. Mommy tahu akan teruk jadinya nanti kalau aku melawan.

Daddy sembur Fadhlan habis-habisan. Kata daddy, Fadhlan tidak layak jadi suami kerana gagal berfikir bijak. Macam mana nak jadi ketua keluarga. Daddy memang sungguh marah hari itu.

Aku takkan lupa bila ingat rupa dia masa nak balik. Fadhlan dan keluarga balik dengan muka merah. Malu dibentak daddy sedangkan salah itu berpunca dariku. Aku sakit hati betul dengan daddy masa tu. Tergamak dia malukan Fadhlan sekeluarga. Daddy memang melampau!

Aku yang memaksa Fadhlan. Aku sengaja mahu sakitkan hati daddy yang tidak benarkan aku berkahwin dengan lelaki yang bukan pilihannya. Dan daddy mahu aku akur dengan kata-katanya. Itu amaran daddy. Dan itulah amaran yang aku ingkar.

Aku tak mahu masa depanku ditentukan sesiapa walaupun daddyku sendiri. Aku ada hak untuk memilih. Dan demi cinta dan kasihnya dia padaku, Fadhlan turutkan sahaja permintaan gilaku.

Akibat terlalu marah dengan tindakanku, daddy siap bagi amaran, kalau apa-apa jadi dalam hubungan ini, dia takkan teragak-agak ambil tindakan pada Fadhlan. Dan aku dengan lantang menjawab takkan ada apa-apa yang berlaku kerana aku yakin dengan cinta Fadhlan padaku.

Daddy marah sebab kita memang salah. I minta maaf. I tahu I yang salah sebab paksa you ikut idea gila I. Tapi you tak boleh macam ni. Sampai bila you nak elak jumpa daddy I? Nak nikah nanti macam mana? Dia wali I, Fadh. You nak kena jabat tangan dia untuk dapatkan I secara sah. You tetap kena berdepan dengan dia. Face him, Fadh.”

Fadhlan terus humban renung padaku. Seakan menagih kepastian. Kepalaku angguk. Wajah manis aku ukir.

“Be my man, Fadh. Be the man that I can be proud of.

Tanganku dicapai dan digenggam kemas.


PROLOG  BAB 1  BAB 2  BAB 3  BAB 4  BAB 5


BELI NOVEL KETIKA CINTA BERBISIK KEMBALI (PENULIS: APRIL SNOW)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *