“WAH, sedapnya bau. Mommy masak kurma daging ke?”
Suara nyaring Abang Khairil dari jauh menyapa telinga kami. Baru balik dari office la tu. Abang Khairil ni abangku yang tua. Dia denganku sama selera. Gila suka dengan kurma daging air tangan mommy. Mesti dia tak sabar nak makan. Telinga boleh dengar derap kakinya menuju ke ruang makan.
Aku dengan Fadhlan pulak memang dah sedia ada di ruang makan. Sebaik sampai di rumah tadi, kami memang terus ke ruang makan sebab aku dengar suara mommy panggil kami. Aku mulanya nak tolong mommy dengan Mak Nani, tapi mommy suruh aku duduk aje dengan Fadhlan. Mommy cakap dah tak ada apa nak tolong. Semua dah siap. Tinggal nak makan aje.
Aku bantu mommy susunkan mangkuk-mangkuk berisi lauk-pauk yang dimasak di atas meja. Mommy labuhkan duduk setentang denganku dan Fadhlan. Mommy hulurkan pinggan padaku. Aku sambut dan letakkan di depanku dan depan Fadhlan.
“Hey, Mister Pilot pun ada. What a surprise. Lama tak jumpa.” Kepala kami berdua serentak berpusing ke belakang. Fadhlan layang wajah ceria.
“Hey, abang long.”
Fadhlan balas sapaan Abang Khairil yang dah terpacak belakang kami. Tubuhnya bangkit dari duduk dan tangan dihulur tanda hormat. Aku capai mangkuk nasi yang dihulurkan mommy dan sendukkan nasi ke dalam pinggan Fadhlan sebelum sendukkan sedikit ke dalam pinggangku. Mangkuk nasi aku hulur semula pada mommy. Aku capai pinggan berisi kurma daging dan sudukan ke dalam pinggan Fadhlan juga pingganku.
Aku perasan mata mommy sedang memandang. Aku angkat muka dan kenyit mata. Mommy gelak halus. Kat tengah belajar jadi isteri yang baik ni, mommy. Kat nak jadi macam mommy.
Sejak aku kecil, aku selalu perhati mommy buat macam ni pada daddy. Dan daddy tidak akan makan kalau mommy tak buat begitu padanya. Dalam tegas daddy, dia manja jugak dengan mommy. Lelaki memang begitu agaknya. Mahu dilayan macam raja!
“Cuti?” Abang Long Khairil tepuk bahu Fadhlan. Bertanya. Aku mula menyuap nasi dan daging kurma yang digaul sekali. Hurmmm. Sedapnya. Kurma mommy memang yang terbaik di dunia.
“Yeah. Just a short break.” Kepala Fadhlan mengangguk sambil labuh duduk semula di sebelahku.
“Hey KittyKat.” Abang Khairil gosok kepalaku.
Aku terus mengunyah nasi yang ada dalam mulut. Dari ekor mata aku nampak sengih Fadhlan. Mesti nak ketawakan aku la tu. Aku siku perlahan rusuknya. Dia berlagak selamba. Ala sakit tapi kena tunjuk macho.
“Hey big bang bro.” Mulut yang sudah kosong menyapa.
Aku berhenti menyuap. Aku lempar sengih menyampah pada Abang Khairil yang tarik kerusi di depanku. Dia sama macam Dell. Suka main-mainkan namaku. Aku hulur mangkuk kacang buncis goreng bersama udang pada Fadhlan.
“Nak?”
“Boleh juga.” Aku sudukan sedikit ke dalam pinggannya juga ke dalam pingganku. Aku letak semula mangkuk sayur dan hulurkan kendi basuh tangan padanya. Dia hulur tangan dan aku curahkan air ke tangannya.
“Thanks.”
Aku baru perasan mommy dan abangku jadi pemerhati kami sambil tersenyum-senyum. Aku tayang sengih tak malu. Fadhlan ikut tersenyum. Practice mommy…abang. Practice make perfect. Right?
“Makanlah, Fadh. Kat dah elok menyuap tu.” Mommy pelawa Fadhlan makan sambil hala mata padaku yang sambung menyuap.
“Auntie memang masak kurma daging sebab ni favourite Kat. Tidak, memang susahlah nak tengok dia makan nasi. Makan main-main aje. Bersepah-sepah makan yang entah apa-apa.”
“Mana ada mommy. Kat makan yang berkhasiat la. Dosa tau cakap benda yang tak betul.”
Bantahanku buat mommy ketawa kecil.
“Yelah tu. All instant foods. Umur pun instant nanti tau.”
Abang Khairil menyampuk. Aku humban cebik.
“Fadh dah kahwin nanti dengan Kat jangan ikutkan sangat kepala dia makan yang entah apa-apa. Paksa dia makan nasi. Pastikan dia makan ikut jadual. Selalu sangat Kat ni delay meal. Kadang-kadang tu skip meal. Alasan kerja banyak…tak sempat nak makan.”
Mommy sambung ceramah. Fadhlan angguk sambil lirik padaku. Aku angkat kening sambil tayang sengih dan terus mengunyah. Dia mula menyuap. Penuh sopan. Nak tergelak aku tengok reaksi santun terlebih dia. Berbeza dengan aku yang selamba katak aje.
Tapi Fadhlan memang begitu. Bukan dibuat-buat semata-mata berada di rumah keluargaku. Kalau makan berdua dengannya begitu juga gayanya. Sangat menjaga tatacara di meja. Aku aje yang ikut suka kepala aku aje. Nasib baik dia tak kisah.
“Ril.” Mommy hulur pinggan berisi nasi pada Abang Khairil.
“Thanks, mommy.” Dia angkat kening padaku yang kebetulan memandang ke arahnya.
“Apasal pandang abang ni, KittyKat? Abang terlebih handsome kan?” Dia paut tangan pada wajahnya. Dipusingkan ke kiri dan kanan. Nak kenakan aku la tu. Poyo aje.
“Tahu dah. Mesti sedih sebab muka abang jauh lebih mengetarkan jiwa dari mister pilot. Bukan salah abang, TUHAN ciptakan manusia seindah abang di muka bumi ini.”
Aku gulung mata ke siling. Perasanism dan abang longku ini bagaikan aur dengan tebing. Fadhlan yang rancak mengunyah nasi ketawa kecil. Dah masak dengan perangai mental abang longku ini.
“Indah? Oh please la. Jauh panggang dari ikan okey.” Aku terus mengunyah.
“Harus jauh. Tidak nanti ikan terbakar. Dah tak handsome ikan tu. Right, KittyKat?”
Ketawa abang longku bergema. Fadhlan ikut ketawa. Kadang rasa nak marah kat daddy kenapa bagi aku nama yang jadi sendaan orang. Ingat lawak ke namaku. Bila aku adukan pada mommy, kata mommy namaku itu cantik dan unik. Pilihan daddy tak pernah silap. Yelah tu!
“Assalamualaikum.”
“Waalaikumsalam.” Kami semua jawab serentak. Aku pusing ke belakang. Bibir automatik menyengeh pada Abang Kamarul. Dia abangku yang kedua. Kira abang ngah la pangkat dia. Tapi aku panggil dia abang jugak. Sama macam Abang Khairil.
“Hey my cute little sista.” Abang Kamarul lempar kenyit sambil menayang muka manis. Menyerlahkan lesung pipitnya.
Dia tarik kerusi di sebelah Abang Khairil. Aku ikut balas kenyit. Abangku ini geng kamcengku sejak aku kecil. Kalau ada masalah aku lebih suka mengadu padanya selain mommy. Dia bagai adiwira yang akan selesaikan setiap masalahku. Sebab itu aku sayang dia lebih dari Abang Khairil…sorry big bang bro…hahahaha.
“Hey, Mr Pilot.” Dia hulur sapaan pada Fadhlan. “Cuti berapa hari ni?”
“Lima, bro.” Abang Kamarul angguk. Mommy yang duduk di hujung hulur mangkuk nasi pada Abang Kamarul.
“Thanks, mommy. Daddy mana mommy?” Abang Kamarul senduk sedikit nasi ke dalam pinggannya.
“Ada dinner dengan new client katanya.”
Entah kenapa aku lega bila mommy cakap benda yang sama masa aku dan Fadhlan sampai tadi. Aku boleh lihat juga kelegaan di wajah Fadhlan. Aku harap sangat bila aku dah berkahwin dengan Fadhlan nanti, hubungan kami dengan daddy akan tambah baik.
“Kau tak join daddy ke, Ril?” Abang Kamarul lirik ke sebelah.
Kepala Abang Khairil yang menyuap nasi menggeleng. Pinggan sayur kacang buncis goreng dicapai. Disudukan sedikit ke dalam pinggan.
“Aku ada meeting tadi. Tak dapat join. Aku cakap dengan daddy dia dengan GM ajelah pergi.”
“Ingat daddy dinner dengan Ahqaf pasal proposal plan bangunan office baru Keo Sydney tu.”
Suapanku terhenti bila nama itu disebut. Terlayar seraut wajah di mata. Hai Kat, tunang kat sebelah pun kau boleh ingat mamat tu ke. Aku kelip-kelipkan mata. Syioh… syioh. Khayalanku terhenti bila iPhone Fadhlan menjerit.
Aku tengok dia yang memandang ke skrin sebelum membatalkan panggilan itu. Tangannya sambung suap nasi. Aku kerut dahi. Apasal pulak tu?
“Kenapa tak jawab?”
Fadhlan geleng.
“Tak penting. Biarlah.”
Dia terus sambung suap nasi sambil layan bualan dengan abang-abangku yang bertanya pasal destinasinya yang terbaru. Aku pulak sedang pelik sikit pasal dia tak jawab panggilan tadi. Tak pernah Fadhlan buat macam tu.
Dan belum sempat aku fikir, iPhonenya menjerit lagi. Semua mata memandang ke arah Fadhlan. Dia lepas dengusan kecil. Macam tak suka aje lagaknya bila dengar telefon itu mintak dijawab. Tangannya laju capai kendi, cuci tangan dan bangun lalu minta diri sebab nak jawab panggilan.
Aku tambah pelik. Selama ini dia jawab aje semua panggilan telefon di depanku. Tak adanya nak jawab jauh-jauh. Macam ada something aje ni. Aku dah cuak. Aku rasa tak sedap betul dalam hati.
Ada apa-apa yang berlaku ke? Ada masalah besar yang dia tak nak aku tahu ke? Dia ada masalah dengan kerja dia ke tapi tak nak aku tahu? Macam-macam soalan masuk dalam kepala.
Aku bangun selepas Fadhlan tinggalkan meja. Pantas aku capai kendi dan cuci tangan cepat-cepat. Kotak tisu di sudut sisi meja aku sambar dan lapkan pada tangan. Mommy dan dua abangku tengok aku dengan pandangan hairan.
“Sayang nak pergi mana pulak ni?” Mommy hala tanya.
“Nasi tak habis lagi dalam pinggan tu.” Jari telunjuk mommy hala ke pingganku yang masih ada separuh nasi yang belum dihabiskan.
“Kat pergi tengok Fadhlan sekejap ye, mommy. Takut ada apa-apa ke. Nampak macam penting aje call tu. Kejap lagi Kat sambung makan.”
Mommy angguk. Aku bergerak mengekori Fadhlan tanpa dia sedari. Perlahan-lahan aku mendekati ruang tamu utama. Dia berdiri mengadap pintu utama. Tak sedar aku sedang memerhatikan dia dari belakang.
“Sayang…kan I dah kata nanti I datang jumpa you. I promise.”
Sayang?
Aku pandang Fadhlan yang sedang membelakangkanku. Suaranya lembut dan romantis sekali. Sama nadanya kalau berbual denganku.
Siapa gerangan sayang yang disebut Fadhlan ni? Dan sah-sah sayang tu perempuan. Dan Fadhlan tak panggil mak dia sayang. Itu aku tahu dan yang aku tahu juga dia tak ada adik beradik perempuan. Semuanya lelaki. Aku dah tak sedap hati. You dah buat apa kat belakang I, Fadh?
“I know. I will tell her. Be patient, sweetheart.”
Her? Adakah aku yang dimaksudkan? Tadi sayang, ni sweetheart pulak. Bukan main lagi.
Aku yakin ada yang Fadhlan dah lakukan di belakangku. You dah buat apa sebenarnya kat belakang I ni, Fadh? Jangan nak buat gila dengan I, Fadh. You belum tengok I mengamuk lagi.
Dada mula berombak. Hatiku sungguh rasa tak sedap dengan apa yang dah aku dengar. Cool, Kat. Just cool. Dengar sampai habis. Don’t jump to conclusion!
Aku hela nafas dalam-dalam dan lepaskan. Tangan aku urutkan pada dada. Okay. Cool. Aku terus perhatikan Fadhlan.
“Bagi I masa untuk beritahu dia, sayang. Benda ni bukan mudah. You should know.”
“Yes, sayang. I will tell her all. Don’t worry.”
Beritahu semua pada aku? Beritahu apa ni? Hatiku kembali beralun galau. Memang tak boleh nak tenang bila dengar apa yang Fadhlan sebut tadi. Aku rasa mana-mana perempuan yang ada dalam situasi aku sekarang tak mungkin boleh tenang. Apa benda yang dah jadi ni, Fadh?
“I know, sayang. I love you too.”
I love you too.
Tangan aku genggam kuat saat telinga dihidang sebaris ayat yang dilafazkan Fadhlan. Lafaz yang sah-sah bukan ditujukan padaku. Tapi pada perempuan yang sedang bercakap dengan Fadhlan. Lafaz yang sangat-sangat mesra!
I love you too.
Apa semua ni, Fadhlan? Apa semua ni?!!!
Mata aku kecilkan tengok dia yang sedang memasukkan semula iPhone ke dalam poket jeans pudar yang dipakai. Kalau ikut hati aku yang panas mahu sahaja aku meluru ke depannya saat ini. Kemudian aku cekak leher dia dan tanya siapa sayang, sweetheart yang dia ber I love you too tadi tu. Biar dia mengaku sekarang. Kalau dia tak nak mengaku, aku pecahkan muka dia. Aku tak peduli!
Mesti dah lama hal ini berlaku kalau berbual cukup mesra macam tu. Bersayang-sayang dan ber I love you kan. Aku nak tahu jugak siapa skandal yang dia sorokkan di belakang aku selama ini. Pandai betul simpan rahsia skandal. Nak jugak aku kenal dan tahu nama serta rupa orangnya. Mesti hebat. Kalau tak, takkan you boleh tersungkur kan, Fadh?
Tapi memikirkan dia di rumahku dan mommy juga abang-abangku ada sama, aku sabarkan rasa geram dan marah yang membuak-buak di dalam dada. Rasa yang menunggu saat sahaja untuk dimuntahkan. Mulut aku ni boleh tahan juga kalau marah. Mahu nahas nanti dia aku maki. Jadi baik aku tahan dan bertenang. Kalau tak, volkano marah aku akan meletus.
Sesak dada memikirkan apa yang aku baru dengar. Entah berapa lama agaknya dia dah buat benda ni di belakangku. Aku aje yang tak tahu menahu. Sampai hati Fadhlan buat macam ni. Kurang dari tiga bulan lagi kami akan disatukan. Kalau macam ni, aku tak hingin nak bersuamikan lelaki curang macam dia. Kalau belum kahwin dia dah berani menduakan aku, lepas kahwin nanti entah apa. Mahu mentiga atau mengempatkan aku. Dasar jantan penipu!
Damn you, Fadh!
Patutlah susah sangat nak cuti kebelakangan ini. Bila aku fikirkan memang dah berbulan juga aku tak jumpa dia. Kali terakhir kami keluar masa bulan terakhir aku di RTS Sydney sebelum berpindah ke Kuala Lumpur. Aku memang tak pernah tanya dia sebab aku percayakan dia sepenuhnya. Mungkin ni silap aku. Terlalu percayakan Fadhlan selama ini. Percayakan segala kata-katanya.
Alasan bijak-bijak pulak tu dia bagi aku supaya aku percaya muslihat dia. Walaupun kadang aku pelik tapi aku tak pernah tanya dia. Aku percaya cakap dia sebab aku tak pernah curiga pada dia selama ini.
Hubungan jarak jauh ini kami bina atas dasar saling percaya dan saling jujur. Rupanya hanya aku sorang aje yang setia pegang pada janji. Dia tikam aku hidup-hidup dari belakang. Siap berskandal lagi. Tak guna punya jantan!
Fadhlan berpusing. Tersentak dan terkejut melihat aku ada di belakang. Muka terperanjat dia memang tak boleh sorok. Dah kantoi ke, encik pilot? Aku tayang muka pura-pura manis. Haish. Benci betul kena tayang muka pura-pura ni. Tegang rasa pipi kena tarik senyum plastik.
“Ada apa-apa ke? Siapa call?” Suara sengaja aku lembutkan. Tak nak dia syak apa-apa.
Yang penting dia tak boleh tahu aku dah dengar perbualan dia tadi. Aku nak tengok sejauh mana lakonan dia.
“Oh. Tak ada apa-apa la, sayang.” Dia geleng kepala. Siap lempar riak muka bersalut madu tiruan tu. Sakit mata aku tengok. Nak aje aku tumbuk muka dia yang tak rasa bersalah tu.
“Kawan I yang call.” Hurm. Kawan ye. Kawan hotak kau la. Pandainya you berlakon, Fadh. Riak muka dan suara tenang habis. 100 markah I bagi kat you, Fadh. Calon aktor terbaik dari filem akulah jantan penipu itu. Nanti aku pun nak panggil John sayang la. Tak pun darling. Dia pun kawan aku jugak kan. You okey kan, Fadh?
“Kawan you yang mana ni? I kenal ke?” Suaraku rendah sahaja.
Lenggok macam manja sikit. Tak nak dia syak kan. Tapi aku sakit hati betul tengok muka manis Fadhlan. Muka pembohong. Ringan aje tanganku nak tumbuk mulut penipu dia. Biar pecah. Biar tak boleh bercakap sebulan.
“Ala, sayang. Eric. Flight officer baru. You tak kenal. Dia ajak I jumpa dia malam ni. Lama kami tak jumpa.”
Hurmmm. Eric ye. Ke…Erica? Nak jumpa kat mana? Hotel ke? Ke kondo you? Lama tak jumpa tu nak lepas rindu la ye. Aku tayang muka manis.
Kurang ajar kan you, Fadh. Sanggup tipu I sampai macam ni. I tak pernah tau tipu you selama kita bertunang. Aku tahan nafas yang terus berombak. Bergoncang dada aku rasa saat ini. Sabar, Kat. Sabar. Aku sabar la ni. Kalau tak sabar memang nahas jantan ni aku kerjakan. Biar sampai koma!
“Jomlah. I nak sambung makan. Kurma daging mommy masak sedap la. Nanti lepas kita kahwin you masak sedap macam ni ye, sayang. Boleh?” Aku terus senyum. Makin sakitnya hatiku tengok muka pura-pura Fadhlan.
“No problem, sayang.” Fadhlan masuk semula ke dalam rumah dan menuju ke ruang makan. Aku ikut dia dari belakang. Aku kepal penumbuk.
Masak kurma daging ye? Aku masak kurma daging kau dan sayang kau tadi tu yang aku lapah nanti. Tunggulah!
PROLOG • BAB 1 • BAB 2 • BAB 3 • BAB 4 • BAB 5
BELI NOVEL KETIKA CINTA BERBISIK KEMBALI (PENULIS: APRIL SNOW)