TIGA bulan yang lalu Shifa balik ke Malaysia. Selama tiga bulan itu juga dia tinggal di rumah mama. Rumah yang dibelikan papa tirinya untuk mama tinggal dengan Haslina, adik tirinya. Seminggu sebelum berangkat ke Birmingham di rumah mamalah dia tumpang berteduh. Meskipun kehadirannya tak diharapkan, namun Shifa berkeras tinggal dengan mama. Bila lagi mama nak berbakti sebagai seorang ibu? Papa Jad pun dah tak ada. Macam tahu-tahu. nyawa tak panjang. Boleh balik semenanjung, belikan mama rumah dan meninggal dua minggu selepas segala urusan selesai.
Segalanya berlaku bagaikan dalam satu kerdipan mata. Mama balik semenanjung pun dia tak tahu. Tahu-tahu saja hari Papa Jad meninggal, iaitu dua minggu sebelum dia ke Birmingham. Haslina yang beritahu dia Papa Jad kena serangan jantung. Rebah di bilik air kemudian meninggal dunia sebelum sempat dibawa ke hospital.
Dia tiada tempat lain yang hendak dituju. Jadinya balik ke Malaysia terus dituju rumah mama. Mama terima dia tinggal di sini bersyarat, dah dapat kerja, dah berduit, sila keluar cari rumah sewa. Mama tak nak bela dia. Rumah ini milik Haslina. Mama menumpang tuah anak tiri saja. Begitulah kata mama. Nampak sangat mama masih marah dan bencikan Shifa. Setiap hari telinganya berdesing, jantungnya tak pernah sunyi daripada bebelan berbisa mama. Dia stres! Namun dia sabar. Sabar… Mengikut dengan taat pesanan Haslina.
“Mama syurga kita. Ingat tak masa Lina tanya kenapa kakak balik sini semula? Kenapa tak terus stay dekat Birmingham? You are back for good atau balik sekejap je. Kak Shifa ingat tak jawapan yang Kak Shifa bagi pada Lina?”
Mestilah Shifa ingat. Dia cakap dia balik untuk selamanya. Untuk mama. Dia nak rapatkan semula hubungan dengan mama. Sampai bila dia nak hidup macam orang terbuang? Papa dah tak ada. Tinggal mama sorang aje. Dia nak gantikan semula waktu yang mereka dah hilang dulu. Dia nak ingatkan mama, mama masih ada anak yang mama lahirkan dari rahim mama.
“Mama tu tunggu masa aje Kak Shifa buat salah. Senang mama nak halau Kak Shifa.”
“Jangan cakap macam tu, Kak Shifa. Lina yakin mama sayangkan Kak Shifa. Kalau tak sayang dari hari pertama lagi mama tak benarkan Kak Shifa duduk dengan mama. Siap bagi bilik lagi. She loves you more than you thought. Mama cuma tak tahu nak tunjuk Kak Shifa dan mama tak pernah rapat kan?”
Hakikatnya begitu. Mama lebih rapat dengan Haslina berbanding dengan Shifa. Mungkin kerana lama sangat mereka tak hidup sebumbung. Ada jarak yang terbina antara mereka.
“Kasut ni Lina baru pakai dua tiga kali je. Lina bagi Kak Shifa pinjam dulu. Jaga baik-baik tau. May ALLAH ease your journey. Insya-ALLAH.”
Kasut hitam jenama mahal. Yang tak terfikir otaknya untuk dibeli dalam keadaan ekonominya yang sangat buruk sekarang. Dan sekarang di sinilah dia. Berpeluh-peluh menarik tumit kasut yang tersangkut. Tak ada ke perkara yang lebih malang yang mahu jadi padanya? Sepuluh minit lagi waktu interviu, dia masih di sini. Terkial-kial melepaskan diri. Takkan dia nak jalan dengan sebelah kasut? Tak pernah dibuat orang! Kasut ni pun waktu macam nilah nak tersangkut.
Dia ada interviu dengan syarikat besar tahu tak? Peluang dah terbentang depan mata, bangunan sebesar-besar alam tapi sebelah kaki yang tak berkasut itu tak mampu terus melangkah. Kenapa?! Shifa putus asa. Sakit tangannya. Kasut tetap statik di situ. Tapak kakinya terasa panas memijak penutup longkang. Perlahan-lahan mentari bersekongkol dengan kaki lima yang mula memanas membuatkan dia semakin terseksa.
“Bodoh punya kasut!”
Dia terdesak perlukan pekerjaan. Hanya itu cara untuk membuat. mama terdiam sebentar. Kerja! Harus bagus! Dengan itu mama tak ada peluang untuk bandingkan Shifa dengan Haslina. Come onlah! Dia mempunyai Ijazah Sarjana dari universiti luar negara. Takkan tak ada satu syarikat pun yang terpikat dengan kecemerlangan akademiknya. Dia ada pengalaman kerja. Ada surat. rekomen dari bekas pensyarah yang mengajarnya di Birmingham. Apa lagi yang syarikat-syarikat besar di Malaysia mahukan?
Shifa mendengus kasar. Kakinya menyepak kasut yang tersangkut di celah jaringan penutup longkang.
“Argh, sakit!” Bodohnya dia. Marahkan kasut sampai menyakiti dirinya sendiri. Matanya dipejamkan. Nak tak nak dia kena hubungi Haslina. Tanya pendapat Haslina yang sentiasa bijak.
“Helo, Kak Shifa.”
Baru sekali bunyi deringan Haslina terus menjawab panggilan Shifa. Macam tahu-tahu Shifa tengah berperang dengan emosi.
“Cepat telefon Lina? Dah habis interviu ke? Baru lima minit lepas. Takkan dah habis.”
“Tak pergi pun.”
“Eh, kenapa? Tadi kata dah dekat. Berlagak dengan Lina bila. Lina cakap terus pergi dekat tempat Kak Shifa interviu. Tunggu je di situ. Kak Shifa cakap awal lagi. Sepuluh minit sebelum interviu pun sempat sampai. Sekarang apa dah jadi?”
“Kasut Lina nilah…” Shifa mencangkung. Dia cuba menarik semula kasut Haslina. Percubaan terakhir. Kalau tak boleh juga baru dia reda.
“Kenapa dengan kasut Lina?”
“Tersangkut ni hah.”
“Hah? Kak Shifa apakan kasut Lina?”
Shifa menjauhkan telefon dari telinga. Bukan main kuat jeritan Haslina. Kasut aje pun. Apa-apa jadi nanti dia gantilah. Tunggu dia dapat kerja dulu.
“Tersangkut celah longkang!” Shifa turut menjerit.
“What?!”
“Eh, budak ni aku jahit juga mulut tu. Sakit telinga Kak Shifa dengar Lina jerit.”
Haslina cemberut. Biasalah kalau dia jerit. Dia terkejut dengan cerita Shifa. Tak pernah kasut harga ratusan ringgit tu buat hal bila dia pakai. Dapat ke Shifa macam-macam jadi.
“Aduh!”
Bunyi bising kedengaran. Kenapa pula dengan Shifa?
“Kenapa lagi tu Kak Shifa?”
“Kasut Lina.” Perlahan suara Shifa. Rasa bersalah terpatahkan tumit kasut Haslina. Suwey betul nasib Shifa hari ini.
“Apa dah jadi?”
“Patah…”
“What?!”
“Lina!”
“Hesy, Kak Shifa ni. Mahal tau kasut tu. Lina pakai elok je. Tak pernah tersangkut ke apa. Dapat kat Kak Shifa terus patah. Lina baru pakai dua tiga kali. Dahlah mahal!” Bebel Haslina geram.
“Cik Haslina! Awak ingat kakak tiri awak ni suka sangat ke rosakkan barang orang? Awak ingat Kak Shifa suka sangat kasut ni patah? Awak tahu tak Kak Shifa baru aje terlepas peluang besar? Sedih ni tahu? Kecewa! TUHAN aje yang tau. Awak bukan nak tenangkan Kak Shifa, marah pula. Belum lagi kejap lagi nak kena hadap mama kat rumah!” Shifa lepaskan rasa yang terbuku di hati.
Tahulah kasut pinjam ni mahal. Dia pun sedih kasut ni patah. Tapi tak payahlah marah seolah-olah dia sengaja melakukannya. Haslina cuma kehilangan kasut yang boleh diganti semula. Dia kehilangan peluang pekerjaan yang entah bila akan muncul lagi. Sebal! Sedih! Dada pun sesak fikir duit dalam bank makin susut.
Betapa dia berharap dia boleh undur masa. Ubah keputusan untuk kembali ke Malaysia. Tinggal terus di Birmingham dan bermastautin di sana saja!
Haslina terdiam. Rasa bersalah kerana memarahi Shifa. “Maaf, kak. Terbawa emosi. Lina minta maaf, okey. Lepas ni nak pergi mana?”
“Baliklah. Nak pergi mana lagi? Kaki pun dah terhincut-hincut ni.”
“Okey, sekejap lagi Kak Shifa send location. Lina tolong tempahkan Grab untuk Kak Shifa.”
Shifa mengeluh perlahan. “Baiklah. Thanks and sorry for you lost.” Shifa maksudkan kasut Haslina yang dah jadi arwah sebelah.
“It’s okay kak. Kat rumah nanti kita sembang lagi. Bye kak.”
“Bye.” Lemah suara Shifa menutup panggilan.
Dia masih terkaku di tengah hala itu. Pandangannya hiba menatap kasut mahal Haslina. Kenapalah malang sangat nasib dia hari ni. Tak sanggup berpanas, terhincut-hincut dia berjalan ke sebuah pasu besar sambil membimbit kasut. Sampai di situ punggungnya dihenyak kasar di pinggir pasu besar yang di dalamnya ditanam pokok yang berdaun rendang dan lebat.
Dilepas keluhan berat. Banyak sangat ke dosa dia sampai diduga bertimpa-timpa? Penatlah otak kalau hari-hari kena psiko dengan dugaan. Entah bila ketenangan akan menghampirinya.
“Shifa?”
Siapa pula yang panggil dia? Dia baru hantarkan lokasi kedudukannya pada Haslina. Cepat betul Grab sampai. Biar betul?
PROLOG • BAB 1 • BAB 2 • BAB 3 • BAB 4 • BAB 5
BELI NOVEL KIAMBANG BERTAUT JUA (PENULIS: LISHAEHA)