Kiambang Bertaut Jua – Bab 2

“MAAF, awak salah orang.”

Dia pasti nampak tidak matang jika melarikan diri selepas membuat penafian seperti itu. Lagi pula kenapa dia hendak larikan diri? Dia buat salah apa? Orang tak matang saja yang akan lari bila berjumpa masalah. Shifa yakinkan diri. Tiga tahun sudah mengubah dia menjadi insan yang lebih matang. Dia kena buktikan dia bukan Shifa yang dulu.

“Shifa kan?” Teragak-agak Shifa dihampiri. Shifa senyum tipis, terpaksa berpura-pura pertemuan ini tidak mempengaruhi dirinya. Dia mengangguk.

“It’s me. Shifa. Tak sangka awak masih ingat saya.” Dia tetap duduk.

“Saya tak pernah lupakan awak, Shifa.”

Kerutan halus muncul di dahi Shifa. Betul ke dia tak pernah dilupakan? Susah untuk dipercayai.

“Saya ingat saya salah orang.”

“Betullah saya Shifa.”

“Saya ingat awak akan larikan diri. Tak mengaku awak Shifa.”

Shifa gelak. Lelaki itu dapat membaca fikirannya.

“Sebenarnya saya ada niat nak lari tadi. Tapi saya rasa saya akan nampak bodoh kalau saya buat macam tu. Terpaksalah saya mengaku sebab nak buktikan saya dah cerdik.”

Lelaki itu pula yang tergelak mendengar kata-katanya. Bunyi tawa itu tidak kekok. Malahan kedengaran ikhlas. Sudah hilangkah marah lelaki itu padanya?

“Awak nampak lain.”

Lain ke dia sekarang? Dia tidak merasakan perbezaan seperti yang disebut. Bahagian mana yang lain? Bagaimanapun dia masih seorang Shifa. Apa sangatlah yang akan mengubah Shifa yang kini jika hendak dibandingkan dengan Shifa yang dahulu. Melainkan dia buat pembedahan plastik menukar wajah supaya dirinya tidak dapat dikenali lagi. Begitu barulah boleh disebut dia Shifa yang berbeza.

“Saya makin cantik ke?” Soalan mengada-ada. Dia tersengih.

Tawa lelaki itu terlepas lagi.

“Awak nampak matang.” Bukan itu saja. Namun, cukuplah dia menggambarkan Shifa seperti itu. “Awak buat apa kat sini? Panas ni.”

“Bad luck.” Jemari runcing Shifa menunjukkan sepasang kasut tumit tinggi punca dia gelar dirinya bernasib malang hari ini.

Lelaki itu mengangguk faham. Patutlah Shifa tak berteduh di tempat lain. Sanggup berpanas di bawah terik matahari.

“Awak nak pergi mana?”

“Balik rumah. Dengan kasut macam ni mana lagi saya boleh pergi?”

“Dah lama ke awak duduk dekat sini?”

“Entahlah. Lama juga kut. Baju pun dah basah dengan peluh.” Shifa ketawa.

Badannya terasa agak melekit. Mukanya pasti disimbahi peluh. Entah macam mana rupa wajahnya yang terasa berminyak. Pasti buruk. Setelah sekian lama tidak berjumpa takdir menemukan mereka dalam keadaannya yang paling buruk. Bukan hari dan tempat terbaik untuk mereka bertembung. What a coincidence. Bad luck sungguh.

“Awak nak pergi mana sebenarnya?”

Pandangan Shifa menghala ke bangunan di seberang tempat dia duduk. Lelaki itu turut memandang ke bangunan yang sama.

“Awak kerja kat situ?”

“Baru nak mohon. Sepatutnya saya ada interviu pukul 9:00 tadi. On the way nak ke situ tumit kasut saya tersangkut masa saya nak melangkah. Belum rezeki saya agaknya.” Shifa tenang bercerita.

Dia masih kecewa. Sangat-sangat kecewa. Apa lagi yang boleh dia lakukan? Meratap kerana tidak dapat menghadiri temu duga? Apa yang dia dapat dengan meratap seperti itu? Kerja kosong tetap tidak akan datang bergolek ke kakinya.

“Bad luck dan bad moodlah ni ya?”

Shifa mengeluh. “Lebih kuranglah. Bukan senang nak dapat kerja sekarang. Mohon banyak-banyak pun belum tentu mereka akan panggil datang interviu. Bila dah kena panggil jadi macam ni pula. Mungkin saya kena jadi penganggur terhormat yang betul-betul terhormat dulu.” Kekal positif adalah cara terbaik memujuk hati yang kecewa.

Sekalipun dia dapat menghadiri temu duga, jika TUHAN kata belum rezekinya, dia tetap tidak akan dapat kerja yang dipohon.

“Boleh saya tolong ceriakan mood awak?” Kening Shifa terangkat kedua-dua belah.

“Awak nak buat apa? Jangan buat lawak bodoh ya. Saya tak larat nak ketawa.” Shifa memberi amaran.

Perasaannya ketika ini dalam keadaan tergantung. Sedih, kecewa dan letih, bersatu membuatkan dia rasa ingin rehatkan diri dengan tidur di rumah. Lambat pula Grab yang dipesan Haslina sampai. Tak jumpa jalan ke sini ke? Lelaki itu tertawa. Kasut Shifa yang masih lekat tumit di tapak kasut diambil.

“Kasut kesayangan ke ni?”

Shifa geleng. Dia tersengih, segan mengakui. “Kasut pinjam sebenarnya.”

“Kasut pinjam, tumit patah, interviu terlepas, duduk tempat panas sampai cair mekap. Hari ini bukan hari terbaik awak, Shifa.” Sempat lagi dia tegur mekap Shifa yang dah cair. Agaknya bahasa halus nak beritahu keadaan muka Shifa sekarang.

Shifa angguk, terpaksa akui. Dalam senarai yang telah disebut itu dia menambah, jumpa awak turut termasuk dalam senarai itu. ‘Saya tak pernah teringin jumpa awak lagi.’ Shifa bersuara dalam hati. Kalau boleh dalam mimpi pun dia tidak ingin terjumpa atau sengaja berjumpa dengan mana-mana insan yang berkaitan dengan kehidupan silamnya. Dia ingin memulakan hidup baru dengan orang baru. Meskipun begitu, semakin dielakkan semakin dekat TUHAN bawa dia kepada orang yang cuba dielakkan.

Farid membaca jenama kasut yang dipinjam Shifa. Walaupun dia tidak pernah membeli kasut perempuan tetapi dia tahu jenama terkenal ini harganya boleh tahan mahal. Harga sepasang kasut mencecah ratusan ringgit. Dengan apa Shifa mahu gantikan kasut ini nanti? Ada ke Shifa duit sementelah Shifa belum bekerja? Kasut siapa agaknya yang Shifa pinjam? Semoga orang itu boleh bertolak ansur dengan keadaan Shifa yang masih menganggur.

“Awak tengok ya.”

“Awak nak buat apa?”

Berkerut-kerut dahi Farid. Tumit kasut ditarik sekuat tenaga. Dia turut berpeluh kerana bahang yang membakar kulit. Macam mana Shifa boleh bertahan duduk di sini. Mahu saja dia menarik Shifa ke tempat yang lebih teduh. Kalau Shifa tak sanggup berjalan dia boleh tolong angkatkan. Dia tersenyum sendiri. Fikiran nakal itu tiba-tiba mengusik tenangnya. Mujur kulit sawo matangnya berjaya menyembunyikan warna wajah yang turut berubah.

Prak!

Mata Shifa terbuntang melihat sebelah lagi tumit kasut milik Haslina dipatahkan Farid.

“Dah settle.”

Kedua-dua belah kasut disusun rapat. Kasut itu diletakkan berhampiran kaki Shifa.

“Baru balance bila awak berjalan.”

Shifa terasa mereka seperti dalam cerita dongeng Cinderella. Sang putera memakaikan kasut kepada puteri yang kehilangan sebelah kasutnya. Dia mula tersipu-sipu. Farid di hadapannya sekarang nampak begitu berbeza. Lebih manis dan mesra. Shifa memakai kasut tersebut. Dia senyum kekok.

“Terima kasih.”

“Sama-sama.”

“Dah okey kan?”

Mereka memandang kasut Shifa yang sudah rata tumitnya. Shifa angguk. Janggal memakai kasut yang seharusnya bertumit tetapi sudah hilang tumitnya.

“Thanks again. Kalau awak tak ada tadi saya mungkin kena berkaki ayam sambil membimbit kasut pinjam saya.” Farid dan Shifa sama-sama tergelak. Bicara Shifa terasa lucu di pendengaran masing-masing.

“Awak dari mana, Farid?”

“Saya dari bangunan sama yang awak nak pergi. Singgah ofis kawan sekejap tadi. Langkah kanan saya hari ni. Tak sangka dapat jumpa awak kat sini.”

Dia pun tak sangka akan berjumpa Farid. Masih terkejut sebenarnya. Lebih malang lagi dia tak sempat melarikan diri.

“Dah lama saya cari awak. Kenapa awak menghilang terus?”

Terkejut betul Farid sewaktu mendapat tahu Shifa menjual kereta dan kondominiumnya selepas bercerai dengan Iqbal. Dia hanya tahu Shifa nak sambung belajar ke luar negara. Selain itu setelah Shifa berangkat ke luar negara baru terbongkar.

“Saya kena teruskan hidup.”

“Tapi takkanlah sampai jual rumah dan kereta.”

“Saya perlukan duit Farid.”

“Jauh awak lari.”

“Saya bukan lari sambil makan angin. Saya pergi belajar. Awak pun tahu.”

“Jauh sangat, Shifa. Di sini pun awak boleh sambung belajar tanpa kehilangan segala-galanya.”

Ah, di sini pun dia dah hilang semuanya. Takkan Farid masih tak sedar. Dia kehilangan banyak harta benda miliknya disebabkan seorang lelaki.

“Awak pun tahu kenapa, Farid.”

“Awak masih merajuk lagi ke?”

Shifa gelak perlahan. Bunyinya agak sinis.

“Saya boleh merajuk ke? Ada ke yang sudi pujuk saya? Perempuan macam saya ni merajuklah macam mana pun orang takkan
kesian. Orang tetap akan salahkan saya. Pada pandangan orang lain orang ketiga macam saya nilah yang wajar dipersalahkan. Bukan lelaki macam Iqbal. Awak pun salahkan saya kan?”

Baju dibetulkan. Tak lama lagi pasti Grab akan tiba menjemputnya.

“Saya minta maaf, Shifa. Awak dan Iqbal dua-dua kawan saya. Zira pun kawan saya. Perempuan baik seperti Zira tak patut dilayan macam awak dan Iqbal pernah buat dulu tu.”

“Yalah. Perempuan macam Zira je yang layak dikasihani. Maklumlah Zira tu baik, sempurna. Saya ni jahat, banyak kekurangan. Hati pun busuk. Sanggup rampas suami kawan baik sendiri.”

Perasaan jauh hati muncul semula. Walau apa pun yang terjadi orang akan tetap menyalahkan dirinya. Dialah perempuan penyondol. Dialah perempuan tak sedar diuntung. Semuanya salah dia.

“Hal tu dah lama, Shifa. Saya minta maaf. Saya tahu saya pun salah.”

“Awak, Iqbal dan Zira mana ada salah apa-apa. Saya sorang yang salah. Saya yang jahat.”

Tali beg tangan di bahu dibetulkan. Tak kisahlah Grab belum sampai pun. Dia mahu pergi jauh dari Farid. Kali ini jika Farid anggap dia mahu melarikan diri pun dia sudah tak peduli. Dia memang ingin melarikan diri. Walaupun Farid hanya sahabat Iqbal, namun berjumpa Farid telah membuka semula cerita lama yang ingin dilupakan. Cerita lama itu tidak ada indahnya. Yang ada hanya sebuah luka yang meninggalkan parut yang sangat jelik. Susahnya untuk dia move on. TUHAN saja yang tahu kegigihan dan usaha yang dilakukan demi membina hidup baru yang jauh daripada kenangan buruk itu. Kenapa setelah dia rasa dia telah berjaya melupakan, TUHAN hadirkan Farid di hadapan matanya?

“Shifa, jangan macam ni.” Farid memegang lembut lengan Shifa yang mahu beredar. “Awak nak balik kan? Jom, saya hantarkan awak balik.”

“Tak payahlah, Farid. Saya tak nak kotorkan kereta awak yang mahal tu. Saya boleh balik sendiri.” Shifa menepis tangan Farid di lengannya.

“Shifa…”

“Grab saya dah sampai.”

Sebuah kereta Axia model baharu berhenti tidak jauh daripada mereka. Rasanya itulah Grab yang dipesan Haslina untuknya.

“Shifa, please…”

“Apa lagi Farid? Saya nak balik. Saya letih.”

“Sekurang-kurangnya bagi saya nombor awak. Kita masih kawan kan?”

Shifa keberatan untuk memberikan nombor telefonnya kepada Farid. Dia tidak ada perancangan untuk berjumpa Farid lagi.

“Please?”

“Awak ada pen?”

“Sebut nombor awak. Saya nak terus simpan dalam telefon.”

Baru saja Shifa mahu mengelat. Kalau tulis di kertas dia boleh menipu nombor yang tak wujud. Kalau sudah begini terpaksalah dia memberikan nombor yang betul. Farid menekan deretan nombor yang disebut Shifa. Beberapa saat selepas itu nada dering telefon Shifa berbunyi. Shifa menunjukkan skrin yang tertulis nombor telefon Farid kepada Farid.

“Simpan nombor saya. Jangan tolak kalau saya hubungi awak.” Shifa angkat bahu. Tidak mahu berjanji.


PROLOG • BAB 1  BAB 2  BAB 3  BAB 4  BAB 5


BELI NOVEL KIAMBANG BERTAUT JUA (PENULIS: LISHAEHA)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *