LONGLAI langkahnya keluar daripada kereta Axia. Lambat-lambat dia berjalan. Dalam fikiran memikirkan jawapan yang akandiberikan kepada mama. Tak dapat kerja satu hal, masuk rumah nanti risiko nak kena sound dengan mama pun satu hal juga. Dia rimas. Sekali-sekali boleh lagi menahan sabar, tapi kalau setiap masa pantang ada celah dia diasak siapa yang akan tahan?
Shifa menghela nafas kasar. Kalau dia ada duit sudah lama dia keluar dari rumah mamanya. Tak perlu hidup menumpang macam orang merempat. Walhal bukan rumah orang lain, rumah mama sendiri juga. Namun, keadaannya tak ubah seperti dia menumpang rumah orang asing.
“Assalamualaikum.”
Salamnya tidak berjawab. Sebaliknya dia terus disergah. “Hah, macam mana interviu? Dapat ke tak kerja tu?” Shifa terus ke sofa. Lemah langkahnya, seakan tidak larat mahu membawa kaki yang tidaklah sebesar mana. Dihempaskan duduk dengan sedikit kasar. Mamanya yang mengekori tidak diendahkan.
“Macam mana?”
Mama duduk di sebelahnya. Suara mama begitu mendesak sebuah jawapan. Shifa memicit kepala yang sakit.
“Tak dapatlah tu, kan? Apa malang sangat nasib kamu ni, Shifa? Belajar tinggi-tinggi sampai ke luar negara, satu kerja pun tak boleh sangkut. Hai, buang masa kamu belajar kalau macam tu. Buang duit! Bukan main susah lagi nak dapat kerja. Adik tiri kamu yang belajar dekat Malaysia ni senang aje dapat kerja.”
Shifa pandang mama dengan pandangan kosong. Tahu sangat kalau mama dah mula sebut nama Haslina sebentar lagi mama akan mula membandingkan mereka. Penatnya nak dengar.
“Mama, banyak duit Shifa habis masa belajar dulu. Mama ingat Shifa pergi luar negara main-main ke?”
“Hah, yelah memang banyak duit kamu habis. Sampai berjual kereta dan rumah sebab nak sambung belajar kononnya. Balik ke sini apa pun kamu tak ada. Sehelai sepinggang aje. Tak payah sibuk nak jaja pada orang yang kamu tu lulusan luar negara. Buat malu muka mama aje. Lulusan luar negara tapi tak ada orang nak ambil kamu bekerja. Nampak sangat ijazah kamu tu tak laku.”
“Belum rezeki Shifa, mama. Nak buat macam mana? Bukannya Shifa tak usaha. TUHAN yang belum nak bagi.”
Mamanya, Puan Lailatul mendengus. Senang betul alasan yang Shifa berikan. Hendak disalahkan rezeki pula. Dah tiga bulan Shifa balik ke Malaysia. Tiga bulan itu juga Shifa menganggur. Dalam tiga bulan itu seperti mustahil rezeki langsung tak
lekat dengan Shifa.
“Jangan nak salahkan rezeki kalau kamu tu belum cukup berusaha.”
“Mama nak Shifa buat macam mana lagi? Shifa dah usaha mintak kerja sana sini. Pergi interviu sana sini. Cuma belum sampai rezeki Shifa, mama.”
Puan Lailatul mencebik.
“Itulah kamu. Kalau dulu kamu kerja elok-elok, tak menggatal dengan suami kawan baik kamu sendiri, mesti kamu dah senang. Ada rumah, ada kereta sendiri. Jangan-jangan suami pun kamu dah ada. Ini tak pasal-pasal jadi janda sebab perangai gelojoh dan tamak kamu tu. Tak ada otak agaknya masa buat benda memalukan tu.”
Puan Lailatul suka sungguh mengungkit hal itu. Padahal dah lama sangat hal tu terjadi. Dah tiga tahun. Kadang-kadang Shifa rasa tertekan dengan bebelan Puan Lailatul. Ada saja yang tak kena. Dia pun tak tahu apa yang mama benci sangat dengannya. Kalau dengan Haslina baik pula layanan mama. Dia tak mahu dengki dengan Haslina. Namun, sikap mama adakala berjaya menimbulkan perasaan iri di hatinya.
“Mama, benda tu dah lama jadi. Shifa dah insaf.”
“Insaf konon!” Mama menjuih. Pandangan yang mama lemparkan seperti mama jijik padanya.
Dia cuma pernah jadi isteri kedua seorang lelaki. Kenapa mama melayannya seperti dia pernah menjadi seorang pelacur?
“Betul, mama. Shifa dah insaf. Tolonglah jangan ungkit benda yang dah lama jadi tu.”
‘Shifa pun nak teruskan hidup!’ Kata-kata itu bergema di kepala saja.
“Dah lama jadi tak semestinya boleh dilupakan! Perbuatan buruk akan selamanya diingat orang. Sepuluh perbuatan baik kamu akan terlenyap dengan satu perbuatan buruk kamu. Sebab tu orang tua-tua pesan jangan ikut nafsu nanti jadi lesu. Jangan ikut hati nanti jiwa kamu mati!”
Kata-kata mama merobek jantung Shifa. Entah sampai bila dia perlu menanggung kesalahan ini. Berat beban di bahunya belum terangkat. Setiap masa pantang ada peluang mama akan mengingatkan kesalahan yang pernah dilakukan. Dia tahu dia berdosa. Dia tahu dia salah kerana telah menghancurkan rumah tangga sahabat baiknya sendiri. Dia khilaf. Cinta dan cemburu membuatkan dia gelap mata. Gagal membezakan yang mana baik dan yang mana buruk. Dia sudah pun terima hukuman. Hilang sahabat, hilang suami, hilang pekerjaan. Malahan kasih sayang seorang mama yang sudah sedia jauh menjadi semakin jauh. Hukuman apa lagi yang perlu dia terima baru orang akan berhenti memperkatakan tentang perkara yang sudah berlalu?
“Mama, Shifa tahu Shifa salah. Shifa dah buat mama kecewa. Shifa minta maaf sangat-sangat.” Tangan mama dipegang lalu digenggam. Reaksi mama yang pantas merentap tangan dari genggamannya membuatkan Shifa berasa terpukul. Kuat sekali penolakan mama. Marah sungguh mama padanya, tapi sampai bila?
Sampai bila mereka akan hidup begini? Sebumbung tapi tak pernah terasa dekat. Dia kembali demi meraih semula kasih mama. Kalau dia tahu dia akan dilayan seperti ini dia pasti memilih untuk menetap di bumi Birmingham. Lebih baik dia hidup sendiri daripada terus dipinggirkan seperti dia tak pernah wujud. Shifa teringin untuk merasa pelukan seorang ibu. Dia teringin melihat mama melayannya seperti mana mama melayan Haslina. Salahkah dia mengharap belaian kasih seorang mama? Dia sudah kehilangan segala-galanya. Buat masa ini tiada apa yang dimiliki kecuali dirinya sehelai sepinggang. Apakah dia akan kehilangan kasih sayang mama pula buat selama-lamanya?
“Minta maaf memang mudah. Nak maafkan pun bukan susah sangat. Tapi kamu kena ingat Shifa sekali kamu khianati kepercayaan yang orang beri pada kamu, seumur hidup kamu akan menanggung akibat. Mati hidup semula pun orang susah nak percaya pada kamu lagi.”
Tak boleh ke dia diberikan peluang sekali lagi? Dia mahu buktikan dia benar-benar sudah berubah. Dia bukan Shifa yang dulu.
“Mama nak bagi amaran, lagi sekali kamu buat perangai macam dulu mama takkan maafkan kamu lagi. Masa tu mama akan anggap kamu bukan anak mama lagi. Mama tak ada anak yang tak ada maruah macam kamu.”
Dia tak ada maruah? Sampai hati Puan Lailatul kata begitu. Puan Lailatul angkat kaki tinggalkan Shifa terkontang-kanting di
situ. Sedihnya Shifa rasa. Semakin terasa dirinya manusia terbuang. Di mana-mana pun orang tidak menginginkan kehadirannya. Tiada yang sayang padanya. Dia meraup muka. Air matanya meleleh di celahan jemari yang menutup muka. Sedihnya dia TUHAN saja yang tahu.
PROLOG • BAB 1 • BAB 2 • BAB 3 • BAB 4 • BAB 5
BELI NOVEL KIAMBANG BERTAUT JUA (PENULIS: LISHAEHA)