Kiambang Bertaut Jua – Bab 4

DENGAN ini saya menceraikan Shifa dengan talak tiga!” Dum! Lafaz talak tiga yang baru melantun keluar dari mulut Iqbal
bagaikan panahan petir yang menyambar Shifa lalu membakarnya sehingga hangus.

Talak tiga? Bukankah mereka sama-sama bersetuju Iqbal menceraikannya dengan talak satu, bukannya talak tiga seperti yang
baru dilafazkan Iqbal?

“Bagus, abang. Macam ni baru Zira percayakan abang.” Zira merangkul mesra lengan Iqbal. Baru puas hatinya setelah mendengar sendiri Iqbal menceraikan Shifa dengan talak tiga.

Padan muka kau, Shifa. Kau nak sangat menggatal dengan laki aku kan? Nah, rasakan! Talak tiga terus kau dapat. Zira ketawa dalam hati. Langsung tak bersimpati melihat muka terkejut Shifa.

“Abang buat semua ni sebab abang sayangkan Zira. Abang nak Zira percayakan abang semula. Abang memang sayangkan Zira sorang je. Abang dengan Shifa adalah sebuah kesalahan. Semuanya kerana nafsu semata-mata.”

Pengakuan Iqbal melembutkan hati Zira. Dia tersenyum manis tatkala bibir Iqbal mendarat di pipinya.

“Kau dengar tu, Shifa? Iqbal hanya cintakan aku sorang. Kau tu pemuas nafsu dia aje. Kau ingat hubungan berlandaskan nafsu akan bertahan lama? Hubungan macam tu hanya akan bertahan waktu kau masih berguna aje. Bila dah jemu kau akan dicampakkan macam sekarang. Kau faham tak?” Sinis pandangan Zira pada Shifa yang menatapnya hiba.

“Zira, aku tahu aku salah. Tapi…” Pandangan Shifa teralih dari muka Zira ke muka Iqbal.

“Awak kata nak ceraikan saya talak satu je. Kenapa sampai talak tiga, Iqbal?”

“Kenapa? Kau tak rela? Talak satu atau talak tiga sama aje! Kau dan Iqbal tetap takkan dapat bersama semula. Atau kau ada niat nak goda laki aku dan rujuk semula dengan dia?” Berang Zira mendengar soalan Shifa. Shifa seperti tidak berpuas hati dengan talak tiga yang diberikan Iqbal.

“Bukan macam tu maksud aku, Zira…” lirih suara Shifa nak menerangkan.

Zira yang selalu berlembut dan beralah dengannya pada suatu ketika dahulu kini bertukar menjadi singa betina yang sangat
bengis. Dia bukannya tidak dapat menerima kenyataan diceraikan Iqbal. Dia tidak mempersoalkan tentang itu kerana dia tahu dia sebenarnya memang tiada tempat di hati Iqbal. Iqbal tidak pernah mencintainya. Di hati Iqbal hanya terukir nama Zira. Yang dia persoalkan adalah talak tiga yang diberikan Iqbal kepadanya. Dia tidak berniat menggoda Iqbal semula. Mengajak Iqbal kembali rujuk pun tiada terlintas di fikiran. Bila Iqbal menceraikannya dengan talak tiga, tiba-tiba dia terasa dirinya seorang perempuan yang bertaraf sangat rendah. Seolah-olah kesalahan yang dilakukannya sangat keji dan tidak boleh dimaafkan lagi. Sedangkan dia hanya mencintai Iqbal. Salahkah perasaan cintanya ini?

“Sudahlah, Shifa. Terimalah kenyataan saya dan awak memang tiada jodoh. Kita tak sepatutnya berkahwin. Perkahwinan kita adalah satu kesilapan yang sangat besar. Saya menyesal kahwin dengan awak.”

“Sampainya hati awak, Iqbal.” Bicara Iqbal menyayat luka di hati Shifa. Dirinya kini ibarat kain buruk yang tidak berharga. Setelah puas menggunakannya Iqbal mencampakkannya seperti sampah.

“Jomlah, abang. Buat apa layan perempuan gila talak? Nanti kita terpaksa tengok dia meroyan pula.” Zira menarik lengan Iqbal untuk meninggalkan Shifa sendirian.

Dia sudah meluat tengok muka Shifa. Dia bimbang kesabarannya akan sampai ke kemuncak lalu dia akan memukul Shifa. Dia tidak mahu rekod bersihnya di hadapan Iqbal tercalar. Selamanya dia akan terlihat sempurna di mata Iqbal. Biar Shifa seorang yang meroyan. Tidak perlu dia dan Iqbal melayan.

“Jomlah, sayang.”

Iqbal memaut erat bahu Zira. Pipi Zira dicium bertalu-talu. Zira sempat melayangkan senyum mengejek pada Shifa.

“Shifa! Iqbal!”

Laungan Shifa tak dihiraukan. Mereka terus ke kereta. Keluar air mata darah sekalipun Shifa tak mungkin diberikan peluang kedua. Rasakan, padan muka!

“Iqbal!”

“Kak! Kak Shifa!” Pukulan di bahunya menyedarkan Shifa yang tertidur di ruang tamu. Terpisat-pisat Shifa bangun menggosok matanya. Dia mimpi ke tadi?

“Kenapa Kak Shifa jerit nama bekas suami Kak Shifa? Mimpikan dia ke?”

Shifa angguk. “Kak Shifa mimpi dia ceraikan Kak Shifa talak tiga sekali gus.”

“Hai, mimpikan bekas suami ni ada hati nak rujuk semula ke? Setahu Lina, Kak Shifa diceraikan dengan talak satu. Dah jadi talak tiga ni apa hal? Kak Shifa ada niat nak rujuk semula ke?”

“Hesy!” Bulat mata Shifa menatap Haslina. Ingat dia terdesak sangat ke?

“Kan Kak Shifa dah cakap Kak Shifa mimpi je. Tak kuasalah Kak Shifa nak rujuk semula dengan dia. Ingat Kak Shifa tak laku ke?”

Haslina mencebik. Kalau laku sangat kenapa sampai sekarang masih menjanda? Kenapa tak jumpa-jumpa lagi pengganti Iqbal?

“Habis tu sampai mimpi tu kenapa? Takkan Kak Shifa rindu dia lagi? Kak Shifa jangan buat hal. Yang sudah tu sudahlah. Jangan nak tambah masalah lain pula.” Haslina memberi amaran. Dia menolak sedikit tubuh Shifa supaya memberikan dia ruang untuk duduk di sebelah kakaknya itu.

“Jangan nak merepeklah. Kak Shifa tak pernah terfikir nak rujuk dengan Iqbal. Agaknya sebab mama asyik mengungkit. Tak habis lagi marah mama pasal apa Kak Shifa dah buat pada Iqbal dan Zira.”

Haslina menepuk-nepuk paha Shifa. “Stres kena bebel dengan mama sampai tertidur dekat ruang tamu?”

Bila Haslina sebut tentang ruang tamu baru Shifa perasan dia tertidur di sofa. Patutlah Haslina mengejutkannya. Dia fikir Haslina masuk ke biliknya.

“Kak Shifa sedih. Cara mama cakap tu macam dosa Kak Shifa ni besar sangat. Dah tak boleh diampunkan.” Shifa rebahkan kepalanya di bahu Haslina. Dia mahukan sokongan moral. Sedikit pun jadilah sebagai bekal untuk dia meneruskan hidup.

“Runtuhkan rumah tangga orang tu memang dosa besar, kak.”

“Kak Shifa tak ada niat pun. Kak Shifa cuma nak menumpang kasih Iqbal aje. Mana Kak Shifa tahu keadaan jadi teruk sampai Iqbal dan Zira hampir bercerai-berai. Lagipun Iqbal mampu berpoligami. Masa tu Kak Shifa fikir tak salah apa yang Kak Shifa buat. Iqbal sendiri yang janji dengan Kak Shifa dia akan adil.”

Haslina tergeleng-geleng. Tak tahu nak anggap Shifa ni bodoh ataupun lurus bendul. Yang pergi percayakan cakap Iqbal tu kenapa? Kalau betul Iqbal jujur Iqbal takkan ajak Shifa kahwin senyap-senyap. Iqbal akan berterus terang dengan Zira sebelum mengahwini Shifa. Sebab Iqbal tak jujurlah hubungan mereka jadi kacau bilau akhirnya. Penyudahnya Shifa terpaksa mengalah. Iqbal jatuh ke tangan Zira semula.

“Bukan semua orang mampu berpoligami, kak. Mampu daripada segi kewangan tak semestinya mampu berlaku adil. Ajak Kak Shifa kahwin senyap-senyap tu pun sebenarnya dah menunjukkan Iqbal tak mampu berlaku adil. Awal-awal lagi dia hanya berani main di belakang isterinya.”

“Kak Shifa menyesal dik. Kalaulah Kak Shifa tak turutkan kata hati…”

“Menyesal pun tak guna. Benda dah jadi.”

“Kak Shifa tak tau macam mana lagi nak pujuk mama.”

“Mama tu marahkan Kak Shifa sebab dia kecewa. Kak Shifa sampai hati belakangkan keluarga disebabkan seorang lelaki. Nak
kahwin Kak Shifa tak beritahu. Tahu-tahu dah bercerai. Masa Kak Shifa nak pergi belajar dekat luar negara hari tu pun Kak Shifa tak bincang dulu dengan mama. Kak Shifa beritahu mama yang Kak Shifa dah jual semua aset yang Kak Shifa ada untuk tampung perbelanjaan masa belajar dekat luar negara.”Haslina berjeda seketika. Kering tekaknya berbicara panjang lebar dengan Shifa. Dia tahu dia hanya adik tiri kepada Shifa. Hubungan mereka tak rapat. Dia boleh berbual macam ni dengan Shifa pun sejak Shifa memilih untuk tinggal di rumah ini.

Dia dan mama terima saja kehadiran Shifa dalam keluarga kecil ini. Sejak papa meninggal dunia tiga tahun yang lepas, mereka hanya tinggal berdua. Perkahwinan mama dan papa tidak dikurniakan anak. Memandangkan mama menjaganya sejak dia masih kecil, mama sudah dianggap seperti ibu kandung. Layanan mama terhadapnya juga tidak seperti layanan ibu tiri.
Walaupun dia dan Shifa tak sedarah sedaging, dia tetap menganggap Shifa seperti kakaknya sendiri. Sebagai adik dia akan
menegur sikap Shifa yang dirasakan tidak betul.

“Kami tahu rumah dan kereta yang Kak Shifa jual tu hak Kak Shifa. Yang nak pergi belajar tu pun Kak Shifa. Tapi apa salahnya Kak Shifa beritahu dulu kami. Bincang dulu dengan kami. Bila Kak Shifa buat macam tu, belakangkan mama, mama rasa Kak Shifa anggap mama tu macam tak wujud dalam hidup akak. Kak Shifa boleh hidup tanpa mama.”

Seorang ibu seperti Puan Lailatul memang ego. Ketika dia mengabaikan Shifa dia tak rasa perbuatannya salah. Bila Shifa
melakukan hal yang sama dia salahkan Shifa pula. Lupakah Puan Lailatul pada pepatah ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi?

“Masa Kak Shifa beritahu nak pergi Birmingham Papa Jad baru aje meninggal. Mama tengah sedih lagi. Tiba-tiba Kak Shifa beritahu apa yang Kak Shifa dah buat, manalah mama tak marah? Kak Shifa tahu kan sebab kenapa mama dan papa Kak Shifa bercerai?”

Shifa mengeluh. Dia pun baru tahu hal itu masa dia beritahu mama tentang perceraiannya dengan Iqbal. Di samping itu dia nak minta restu mama untuk ke luar negara. Tak sangka cerita lain pula yang timbul selepas itu. Mama buka cerita punca sebenar mama dan papa bercerai. Puncanya tak lain tak bukan disebabkan papa curang. Patutlah mudah benar papa menikah dua. Dia pula sebab dah terbiasa hidup dalam keluarga poligami jadi tak kisah untuk berpoligami juga. Mama cakap mama tak boleh terima manusia yang curang. Menurut mama sejahat-jahat mama, mama tak pernah menduakan pasangan mama.

“Kak Shifa nak buat macam mana lagi, Lina? Kak Shifa betul-betul menyesal dengan perbuatan Kak Shifa. Dah banyak kali Kak Shifa minta maaf. Tapi mama…”

“Bukan semua masalah boleh diselesaikan dengan maaf, kak. Apa yang Kak Shifa buat susah mama nak lupakan. Mama pernah berada di tempat Kak Zira. Mama tahu macam mana sakitnya hati Kak Zira.”

“Kak Shifa tak minta salah Kak Shifa dilupakan. Kak Shifa cuma nak peluang kedua. Macam mana Kak Shifa nak bina hidup baru kalau tak ada orang sokong Kak Shifa? Kak Shifa perlukan Lina dan mama…” Air mata meleleh di pipi Shifa. Sudah tak terkata sebak perasaannya.

Haslina mengusap belakang Shifa. Kasihan melihat Shifa dilayan tidak adil oleh mama sendiri. Seperti tertukar tempatnya dan Shifa. Dia dilayan seperti anak kandung, Shifa dilayan seperti anak tiri. Tetapi apa lagi yang boleh dia lakukan? Keras kepala mama tak ubah seperti keras kepala Shifa. Mama beritahu padanya mama belum mampu reda dengan segala perbuatan Shifa. Bukan orang lain yang Shifa khianati, kawan baik sendiri. Tak sayang ke Shifa dengan persahabatan mereka ketika Shifa khianati Zira?

“Sabarlah, kak. Banyak-banyak berdoa. Minta ALLAH lembutkan hati mama untuk terima Kak Shifa semula.”

Shifa menyembamkan muka di bahu Haslina. Haslina menepuk- nepuk belakang Shifa bagi menenangkan Shifa. Shifa menangis di bahu Haslina sehingga tangisannya reda sendiri. Setelah berasa puas baru dia mengangkat muka.

“Dah kurang sikit sedih tu?”

Shifa angguk. “Terima kasih Lina sudi dengar luahan hati Kak Shifa.”

“That’s what a sister are for.”

Mereka bertukar senyum.

“Kak Shifa tertidur dari pukul berapa? Kalau tengok baju macam baju masa keluar interviu pagi tadi aje. Kak Shifa tak solat zuhur ke? Dah petang pun ni. Asar pun tak lama nak habis. Kak Shifa pergi mandilah. Qada solat zuhur. Solat asar sekali. Jangan tinggal solat kak. Solat tu tiang agama. Kalau pincang tiang agama kita pincanglah hidup kita.”

Shifa hanya mampu mengangguk. Kadang-kadang Shifa rasa Haslina lebih matang berbanding dirinya. Banyak nasihat yang Haslina berikan membuka fikirannya untuk menyelami hati sendiri. Masih banyak kekurangannya yang perlu diperbaiki.

“Kasut Lina…”

“Kita sembang pasal kasut lain kali. Tunggu bila Kak Shifa dah dapat kerja.”

Haslina sengih. Maknanya lepas Shifa dapat kerja dia tetap kena gantikan kasut Haslina. Ingatkan tak perlu ganti. Maklumlah kasut Haslina bukan sepasang, berpuluh-puluh pasang yang dikumpulkan dalam sebuah almari khas untuk kasutnya seorang. Berkira betul! Apa salahnya sedekah sepasang pada Shifa?

“Mama mana?”

“Keluar agaknya. Kereta mama tak ada kat depan. Kak Shifa ni kan mama keluar pun tak sedar. Apa nak jadilah.”

“Mama keluar?”

Maknanya mama nampak dia tertidur di ruang tamu. Sampai hati mama tak kejutkan dia. Sampai terlepas zuhur kerana tertidur. Benci sangat ke mama padanya?

 


PROLOG • BAB 1  BAB 2  BAB 3  BAB 4  BAB 5


BELI NOVEL KIAMBANG BERTAUT JUA (PENULIS: LISHAEHA)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *