Kiambang Bertaut Jua – Bab 5

NISA hairan melihat muka Farid yang terlebih ceria. Jarang Farid bersikap seperti itu kecuali jika ada hal besar yang berlaku. Sebagai contoh bila syarikat mendapat projek besar. Pasti seharian Farid akan tersenyum-senyum.

“Berseri-seri muka hari ni. Ada berita baik ke, Encik Farid?”

“Saya gembira sangat.”

“Kita berjaya dapatkan projek baru ke?”

Sengih Farid semakin lebar. Bukan projek yang gembirakan hatinya saat ini. Ada hal lain yang lebih menjentik aura bahagia. Dapat projek besar pun kalah dengan hal yang mencambahkan kegembiraannya.

“Bukan.”

“Habis tu pasal apa?” Makin pelik Nisa dengan Farid. Jika bukan disebabkan projek, apa yang membuatkan wajah Farid
bersinar girang?

“Shifa dah balik!”

Oh, sebenarnya Farid terlanjur kata. Dia bukan nak beritahu Nisa kepulangan Shifa. Namun, lidah yang lebih cepat daripada akal itu lebih dahulu membuat pembongkaran. Bagaikan ingin diundurkan masa dan menelan semula kata-kata yang keluar dari mulutnya. Dia terlebih gembira disebabkan ucapan selamat malamnya dibalas Shifa. Malam tadi sebelum tidur dia mengirimkan pesan selamat malam kepada Shifa. Saja dia hantar untuk lihat Shifa balas atau tidak. Lama dia tunggu balasan Shifa sehingga tertidur. Ingatkan Shifa tak balas sampai ke sudah. Namun celik matanya pagi tadi disambut oleh balasan selamat pagi daripada Shifa.

Dia ucap selamat malam, Shifa balas dengan selamat pagi. Lebih baik lambat daripada langsung tiada balasan kan?

“Shifa dah balik, encik?”

Farid senyum tawar. Rasa tak sedap hati bila tengok muka Nisa nampak lain. Tak suka ke Nisa mendengar berita kepulangan Shifa? Dia seorang saja ke yang berasa teruja dengan kepulangan Shifa?

“Ya. Shifa dah balik.”

Air muka Nisa berubah. Shifa dah balik? Kenapa Farid yang lebih tahu berbanding dia? Mana kau nak tahu, Nisa? Nombor telefon Shifa pun dia tak ada. Selepas Shifa bercerai dengan Iqbal, Shifa terus hilangkan diri. Nisa pun Shifa campakkan. Mungkin sebab dia cuma kawan, tak sepenting Iqbal bekas suaminya. Sebab tu Shifa putuskan persahabatan mereka
begitu saja. Masa Shifa beritahu Shifa nak sambung belajar, dia bagi Shifa sokongan moral seratus peratus. Dia gembira kalau itu yang terbaik untuk Shifa. Cuma yang dia kesalkan bila Shifa bertindak melupakan persahabatan mereka.

“Encik Farid jumpa Shifa?”

Farid geleng.

“Saya kebetulan saja terserempak dengan Shifa.”

Oh, mujur kebetulan saja. Setakat kebetulan tak ada apalah sangat. Maknanya Farid pun baru tahu kepulangan Shifa.

“Kat mana?”

Farid garu kepala. “Saya lupa dah kat mana.”

Dia sengaja merahsiakan tempat pertemuan sebenar dengan Shifa. Biarlah dia sorang yang tahu. Tak perlu orang lain tahu
kesusahan hidup Shifa.

“Tak apalah. Saya masuk dulu. Kalau ada fail yang perlu saya semak nanti bawa masuk dalam bilik saya,” arah Farid sebelum
tinggalkan Nisa. Tak nak dia berlama di situ. Bimbang banyak pula soalan Nisa. Nisa tu boleh tahan juga mulutnya.

~~~

SHIFA dah balik? Bila Shifa balik? Kenapa dia langsung tak tahu? Kenapa Shifa tak hubungi dia? Buat apa dia hubungi kau, Nisa? Bukankah dia dah buang kau? Kau kan tak penting dalam hidup dia. Hasut fikiran jahat Nisa. Betul juga apa yang difikirkannya. Kalau dia penting sudah lama Shifa hubungi dirinya. Jangankan nak beritahu kepulangannya, bertanya khabar pun tak pernah. Kawan apa macam tu! Nisa mundar-mandir di dalam tandas. Kenyataan Shifa sudah pulang begitu mengganggu perasaannya. Dia tak tahu kenapa hatinya berdebar-debar. Mungkinkah kerana reaksi Farid yang sangat luar
biasa?

Kenapa Farid terlihat sangat gembira dengan kepulangan Shifa? Macam pelik saja. Farid dan Shifa tak pernah rapat. Malahan Farid tanpa segan menyindir perbuatan Shifa yang merampas suami kawan baik sendiri. Nampak seperti Farid tak sukakan Shifa bukan? Takkanlah bila Farid jumpa Shifa senang saja tanggapan Farid terhadap Shifa berubah? Ada perubahankah pada fizikal Shifa? Shifa semakin cantik? Semakin langsing? Dia yang anak dara ni boleh kalahkah jika dibandingkan dengan Shifa yang sudah menjadi janda bekas Iqbal? Nisa tak senang duduk. Dia keliru dengan reaksi Farid. Apakah sebenarnya selama ini Farid benar-benar menyukai Shifa? Ah, tak mungkinlah. Takkan la Farid sukakan janda perangai tak senonoh seperti Shifa? Kalau nak dibandingkan, dia lebih menarik daripada Shifa. Kalau nak diukur daripada segi status dan perangai, pastilah dia menang besar. Dara yang belum pernah disentuh lelaki pastilah lebih mulia daripada janda yang diceraikan suami.

“Jangan lambat sangat bertindak. Nanti kau berputih mata. Farid tu bukan tak laku. Bukan tak handsome. Kalau dia nak dia boleh dapat mana-mana perempuan dia suka. Mungkin dia hanya menunggu yang terbaik. Jumpa saja terus sambar.”

Nisa bercermin. Lama dia menatap mukanya. Layakkah dia berganding dengan Farid? Samakah taraf mereka? Bolehkah mereka berjalan sebelah menyebelah sambil berpimpin tangan?

“Jangan rendah diri sangat la, Nisa. Kau pun cantik apa? Kulit sawo matang, serasi dengan kulit Farid. Kau sepadan dengan Farid.” Nisa pegang pipinya yang mulus. Walaupun dia tak secerah Shifa, tetapi wajahnya tetap menarik dipandang. Senyuman manis terukir di bibir. Dia nampak senyumannya boleh mencairkan hati sesiapa saja.

Lambat-lambat nanti Farid dikebas perempuan lain. Lebih sadis kalau yang merampas adalah perempuan yang sejenis dengan Shifa. Keluar dari tandas Nisa terus mengetuk pintu bilik Farid. Dia mahu bertanyakan sesuatu kepada Farid.

“Ya, Nisa? Ada apa-apa ke?”

Nisa senyum, kelat. Serba salah dan malu nak bertanya.

“Duduklah,” pelawa Farid apabila Nisa masih tercegat. Macam tak biasa saja Nisa dengannya. Nak kena pelawa dulu baru nak duduk. Nisa duduk di hadapan Farid.

“Encik Farid sibuk ke?”

Farid meletakkan pen yang dipegang. Kenapa dengan Nisa ni? Nak kata nak cakap pasal kerja Nisa masuk sehelai sepinggang ke dalam biliknya. Nisa nak bercerita hal peribadi ke? Pada dia? Macam pelik saja Nisa nak berbicara tentang masalah peribadi dengannya.

“Kenapa ni Nisa? Awak ada masalah ke? Nak cerita pada saya?” Farid jongketkan keningnya.

“Eh, tak. Saya sebenarnya segan nak tanya Encik Farid.”

“Apa yang nak disegankan, Nisa? Kita bukannya baru kenal. Dah lama awak kerja dengan saya. Takkan awak tak kenal lagi perangai saya macam mana?”

“Encik Farid, boleh bagi saya nombor telefon Shifa?” Malu-malu Nisa meminta nombor telefon Shifa.

“Awak nak nombor Shifa ke? Sebab tu je? Saya ingatkan apa yang awak nak cakap tadi.”

Farid senyum. Dia ambil telefon di atas meja. Nombor telefon Shifa dicari. Setelah itu dihantar nombor Shifa kepada Nisa.

“Dapat tak?”

Nisa cepat-cepat melihat telefon sendiri.

“Dapat. Terima kasih, Encik Farid.”

“Tak ada apalah. Saya ingatkan saya sorang je yang baru ada nombor Shifa. Awak tak berhubung langsung ke dengan Shifa selama ini?”

“Shifa tak pernah hubungi saya lepas dia sambung belajar ke luar negara. Dia pun dah tak guna nombor telefon dia yang lama.”

“Jauh dia bawa diri. Merajuk sampai ke luar negara.” Fikiran Farid melayang ke pertemuan mereka tempoh hari.
Perubahan Shifa tidak begitu ketara. Cuma dia nampak Shifa lebih susut. Meskipun begitu wajah Shifa tampak lebih muda dan tak terlihat langsung seperti perempuan yang pernah menikah.

“Encik Farid?”

Farid terpinga-pinga. Dia pandang Nisa yang berkerut-kerut memandangnya. Agaknya Nisa pelik dengan tingkahnya. Boleh pula teringatkan Shifa ketika dia bersama Nisa. Aduh, susah betul nak buang ingatan tentang Shifa.

“Saya keluar dulu Encik Farid. Terima kasih sekali lagi.”

“Kalau tak ada kerja yang urgent sangat pergilah balik dulu. Sambung esok je. Awak pun dah penat Nisa. Jangan paksa diri kerja kuat sangat,” nasihat Farid sewaktu Nisa sudah angkat punggung.

“Baiklah, Encik Farid. Encik Farid tak nak balik lagi?”

“Saya nak tengok dokumen tender projek dengan company Aizat. Awak baliklah dulu. Sekejap lagi saya balik.” Nisa angguk.

Ditinggalkan bilik Farid. Di luar bilik Farid, dia mencebik. Nasihatkan orang suruh balik awal. Dia tu dah habis waktu
bekerja masih sibuk bekerja. Alangkah seronok jika mereka pulang bersama. Nisa bayangkan seandainya Farid menjadi suaminya. 24 jam menghadap muka suami, di rumah dan di pejabat. Seronoknya! Tak adalah peluang suaminya nak main kayu tiga seperti yang pernah berlaku pada Iqbal dan Shifa.

Sehingga ke dalam lif senyum masih tak lekang dari bibir Nisa. Seronok juga berangan. Lagi seronok kalau angan-angan menjadi kenyataan.

 


PROLOG • BAB 1  BAB 2  BAB 3  BAB 4  BAB 5


BELI NOVEL KIAMBANG BERTAUT JUA (PENULIS: LISHAEHA)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *