0

Kuukir Hanya Namamu – Bab 1

GADIS bertubuh kurus dan kecil itu teresak. Kepalanya tersembam di atas lutut. Disudutkan diri di satu ceruk dinding yang dirasakan paling selamat.

Tak pernah dia rasa terkurung dalam penjara seperti ini.

Batinnya memberontak, jiwanya meraung. Tapi sayang, dia terpaksa memendam.

Hari ini sebuah kisah klise yang selalu terjadi dalam drama tontonan seluruh rakyat Malaysia terjadi dalam hidupnya.

Salah siapa? Salah TUHAN? Atau salah dia yang tak berani menolak segala kesulitan yang dihadapkan kepadanya? Namun, siapa dia untuk salahkan TUHAN?

“Ya ALLAH.” Ketika kamu merasakan kamu tak punya sesiapa, ingatlah ALLAH. Dia sentiasa ada, di mana-mana!

Tubuhnya ditegakkan, bibirnya diketap.

Khadeeja meraba lehernya sehingga tangannya menyentuh sebuah loket. Satu-satunya harta peninggalan arwah ibunya. Satu-satunya juga barang yang membuatkan dia rasa dia tak pernah keseorangan.

“Ibu.” Dia menyeru.

Fikirannya mula menerawang. Air mata kembali menitis.

 

Beberapa hari sebelum itu…

 

“ARGH!”

Mata Khadeeja membulat. Terkejut! Terus jantungnya berdegup laju. Cepat-cepat pisau dicapai. Sambil memegang pisau, cuping telinga diletakkan ke daun pintu.

Suara siapa yang tengah mengerang tu? Takkan suara hantu kut?

“Tak ada pun.”

Agaknya yang dia dengar hanya khayalan. Maklumlah telinga tengah berdesing kerana tak sihat. Lama juga dia cuba mengamati, namun bunyi itu tidak kedengaran lagi.

Baru dia nak tarik nafas lega, boleh pula suara itu terdengar semula. Tak kelakarlah siapa pun yang buat bunyi di lorong belakang rumahnya itu. Malam Jumaat ni banyak hantu syaitan yang berkeliaran.

“To… long.” Suara terdengar.

Aduh, dia minta tolong pula. Orang ke hantu ni? Boleh ditolong ke?

Tok! Khadeeja terlompat. Terkejut bukan kepalang.

“Siapa?” Takut-takut dia bertanya.

“Tolong….” Tak boleh kalau dalam hati tak ada syak wasangka langsung. Buatnya bukan manusia, matilah dia. Namun, dalam takut-takut itu dia beranikan diri membuka pintu belakang. Selagi tak tengok sendiri selagi itulah hatinya tak tenteram.

“Si…” Buk! Tak sempat habis soalan, tubuhnya ditimpa sesuatu. Lantaran terlalu terkejut dia bergegas menolak sesuatu yang menimpa tubuhnya. Pisau di tangan terpelanting di bawah singki.

Gedegang!

“Ya ALLAH!” Dia dah cederakan orang ke? Dia nampak muka lelaki itu mencium pintu.

Susah payah tubuh seberat anak gajah itu ditarik. Pintu dapur dikunci.

“En… cik?”

Tiada sahutan. Dia mula berkeringat, berat menampung tubuh kejung itu.

Dengan segala kudrat, keliru untuk bertindak, dia mengheret lelaki itu masuk ke dalam biliknya. Biliknya paling dekat dengan dapur. Buka pintu bilik, terus nampak dapur.

Terbaring saja lelaki itu di atas tilamnya, dia meraba kocek seluar. Mencari telefon bimbit, bukan telefon pintar.

Nombor Ismail didail. “Baki anda tidak….”

“Aduh, kredit dah expired!”

Dia memandang telefon dan lelaki itu silih berganti. Pada siapa dia hendak meminta tolong? Tak mungkin dia berjalan semula ke tempat kerja, kepalanya sakit.

Rasa menyesal kerana mengheret lelaki itu masuk ke biliknya. Kenapa tak ke ruang tamu saja? Aduh, kepalanya semakin pening!

“Apa nak buat ni?” Panik dan takut bercampur-baur.

“Mak Cik Kamariah!” Tiba-tiba dia teringatkan seorang jiran, wanita separuh baya yang tinggal di sebelah rumahnya. Mungkin mak cik itu boleh membantunya.

 

KEJADIAN itu bagaikan mimpi. Sekelip mata saja berlaku. Dia berharap dia mampu mengulang masa. Kalaulah dia tidak berbaik hati membantu lelaki itu, mungkin perkara seumpama ini tidak berlaku. Ketika ini dia pasti masih seorang Khadeeja, pekerja restoran makanan segera yang hidup sebatang kara.

“Ibu, apa salah Eja? Kenapa nasib Eja selalu buruk?” Tangan kanannya menggenggam loket di dada.

Perasaan marah dan sedih bersatu di dada. Dia belum dapat menerima kenyataan ini. Puas dipujuk, namun hatinya enggan reda.

Tak boleh ke kalau dia terus diceraikan saja? Dia tidak mahu menjadi isteri sesiapa, apatah lagi dalam keadaan terpaksa.

Setahun lebih ini baru dia dapat merasakan nikmat sebuah ketenangan. Kenapa tiba-tiba ketenangan dan bahagia yang sedikit itu turut dirampas darinya?

Insan seperti dirinya, tak layak ke berbahagia seperti manusia lain?

“Khadeeja.”

Khadeeja bingkas bangun. Sisa air mata yang berbekas di pipi disapu kasar. Pintu bilik dihampiri.

Dia berdeham beberapa kali. Nafasnya ditarik perlahan kemudian dihembus bagi membuang debar. Dengan tangan menggigil, tombol pintu dipulas.

“Ya?” Teragak-agak dia bertanya setelah pintu bilik dibuka. Di hadapan pintu biliknya, terjengul wajah seorang wanita separuh baya.

Datin Saloma! Wanita itu tersenyum mesra, membuatkan dia berasa segan. Pertama kali mengetahui status Datin Saloma, nafasnya terus mengap-mengap kerana tidak menduga ibu mentuanya mempunyai darjat setinggi itu.

“Boleh mama masuk?”

“Hah? Err….” Tergeliat lidahnya. Nak panggil mama ke datin?

“Khadeeja dah kemas semua baju? Tadi mama dah beritahu kan? Lepas ni Khadeeja kena ikut mama balik rumah.”

Mama? Khadeeja telan air liurnya.

“Banyak ke barang Khadeeja? Kalau belum siap, mari mama tolong kemaskan.”

“Eh, tak apa. Sa… saya boleh kemas sendiri.”

Datin Saloma tidak mengendahkan penolakan Khadeeja. Gadis kurus itu didorong masuk ke dalam bilik.

Matanya menerjah bilik kecil itu. “Kemasnya bilik Khadeeja. Bersih.” Pujinya ikhlas. “Khadeeja duduk sorang dalam bilik ni?”

Secara logik, Khadeeja sepatutnya hanya duduk seorang di dalam bilik ini. Bilik itu kecil, terletak di bahagian dapur. Tetapi dia tetap mahu bertanya. Dia tidak tahu berapa orang teman serumah Khadeeja. Boleh jadi ramai. Kalau ramai tak mustahil penghuni bilik ini juga ramai.

“Ya. Saya duduk sorang.”

Ke mana pandangan Datin Saloma, ke situ jugalah Khadeeja mengarahkan bola matanya. Apa agaknya yang Datin Saloma lihat? Biliknya bukan ada apa-apa yang istimewa. Hanya terdapat sebuah tilam bujang nipis, dan tiga biji bantal termasuk sebiji bantal peluk. Di pojok kiri bilik terdapat sebuah almari plastik. Di tepi almari tergantung cermin kecil, saiz muat-muat muka.

“Mama panggil Eja je, boleh?”

Khadeeja tersentak. Tak semena-mena dia teringatkan arwah ibunya.

“Boleh, sayang?”

“Bo… boleh.”

“Dah lama Eja tinggal kat sini?”

“Er, setahun lebih.”

“Sebelum ni?”

“Duduk dengan mak cik.”

“Oh, mak cik Eja yang garang tu?” Datin Saloma tersenyum tipis.

Khadeeja tidak tahu sama ada hendak tersenyum atau sambung menangis. Datin Saloma tampak peramah, tidak lokek menghulur senyum. Dia yang segan hendak menyambut, terasa kerdil di samping Datin Saloma.

Dia bukan seorang yang peramah. Dia juga kurang suka bergaul dengan orang lain. Pengalaman membuatkan dia serik untuk berkawan rapat dengan sesiapa. Satu-satunya teman yang dia percaya adalah Nabila. Itu pun masih banyak rahsia yang disorokkan daripada Nabila.

Tak boleh ke kalau dia terus tinggal di sini? Mereka hanya mahukan status bagi menutup malu saja, bukan? Apa guna dia ikut mereka pulang? Tempatnya bukan di situ.

“Kenapa, sayang?” Perasankan Khadeeja yang termenung, Datin Saloma memegang lengan Khadeeja. Hangat kulit Khadeeja menyentuh telapak tangannya.

Demam ke Khadeeja?

“Eja tak sihat ke? Pipi sakit lagi?” Pipi Khadeeja yang samar-samar terdapat kesan lebam dan goresan disentuh perlahan.

Khadeeja menggeleng. Dia tiada niat hendak mengadu. Sakit di seluruh tubuhnya masih boleh ditanggung. Tak sebanding dengan sakit yang diterima mentalnya selama ini. Kalau tak kuat, mungkin sudah lama dia jadi gila.

“Jomlah, kita kemas baju. Balik rumah nanti boleh Eja rehat.”

Beg sederhana besar di atas almari plastik diambil. Setelah itu zip almari dibuka menampakkan semua isinya.

Baju Khadeeja tidak banyak. Semuanya terlihat lama. Dia mengambil baju-baju itu lalu dimasukkan ke dalam beg di tangan.

“Eh, datin buat apa ni? Tak apa. Biar saya yang buat,” bantah Khadeeja cuba mengambil beg dan baju di tangan Datin Saloma.

Datin Saloma menatap Khadeeja. “Kenapa panggil datin lagi, sayang? Panggil mama ya? Eja dah jadi isteri Mad. Mama Mad, mama Eja juga. Jangan segan dengan mama. Anggap mama macam mama Eja.”

Mata mereka bertentang. Susah Khadeeja hendak menerima. Meskipun jiwanya sudah lama tak terisi dengan kasih sayang, dia tidak berasa terdesak hendak menerima kasih sayang yang dihulurkan begitu saja. Secara luaran orang mungkin melihatnya lemah, tetapi mereka tidak pernah tahu diam-diam hatinya selalu memberontak. Mindanya selalu mengungkapkan penolakan.

Datin Saloma dapat merasakan penolakan dalam diam yang diberikan Khadeeja.

Bagaimana cara memujuk jiwa yang sudah lama terluka? Dia boleh mengagak punca Khadeeja menjadi seperti sekarang. Bolehkah jika dia memeluk Khadeeja? Mahukah Khadeeja menerima pelukannya?

Datin Saloma berdiri menghadap Khadeeja. Tanpa sebarang amaran tubuh Khadeeja ditarik. Walaupun Khadeeja tegang dalam pelukannya, dia tidak membiarkan situasi itu mempengaruhi dirinya.

“Eja boleh menangis. Boleh menjerit. Boleh marah-marah. Tapi jangan tolak mama macam ni. Mama nak berikan kasih mama pada Eja.” Bisik Datin Saloma halus.

Betul ke apa yang dikatakan oleh Datin Saloma?

“Menangislah, sayang.”

Entahkan terkesan dengan bicara Datin Saloma atau dia memang sudah tidak dapat menahan perasaan, tak semena-mena air matanya mengalir. Laju merembes sehingga basah bahu Datin Saloma. Dia hanya membiarkan Datin Saloma memeluknya tanpa membalas pelukan itu.

“Khadeeja anak luar nikah. Tak tahu siapa bapaknya!”

Bicara Melur, ibu saudara Khadeeja berlegar-legar di benak Datin Saloma. Perasaan kasihannya pada Khadeeja semakin besar. Anak ini tidak berdosa, tetapi mengapa dia yang dihukum?

“Mama! Belum siap lagi ke? Bosanlah tunggu!” Pintu bilik yang diterjah kasar meleraikan pelukan mereka.

Qaseh menjeling Datin Saloma dan Khadeeja.

Ewah, dia berpanas dekat luar, mama dengan perempuan ni buat acara jejak kasih pula. Meluat!

Terbersit perasaan cemburu kala melihat layanan terlampau baik mama pada Khadeeja. Layak ke perempuan seperti Khadeeja diperlakukan dengan baik?

Huh, entah siapa-siapa! Asal-usul tidak diketahui, dibenci pula keluarga sendiri. Pasti perempuan ini bukan perempuan baik-baik.

Sungguh Qaseh tidak berpuas hati. Percuma perempuan ini dapat pangkat jadi kakak iparnya dan menantu datuk.

“Tengah kemas ni.”

“Kemas apa lama sangat. Macam baju selori. Padahal satu je almari. Tak nampak pun banyak baju.” Dia menyentuh baju-baju Khadeeja dengan hujung jari. Riak tidak suka ditonjolkan secara langsung. Maaflah, dia memang tak suka bermuka-muka.

Dia tak suka Khadeeja jadi kakak iparnya. Tak ada kelas langsung. Serabai, tak cantik, malu dia hendak mengaku perempuan yang kena tangkap basah dengan Mad sebagai kakak iparnya. Macam dah tak ada perempuan lain!

“Qaseh, behave. Jangan buat perangai macam budak-budak.” Tegur Datin Saloma.

Qaseh memutar bola mata. Jaga perangai buat apa? Orang tu pun tak jaga perangai. Lagi teruk daripada dia!

Khadeeja. Not bad kalau tengok dari dekat. Tak adalah hodoh sangat. Nampak polos, tapi luaran yang polos tak menjamin dalaman yang turut polos.

“Mama, pleaselah cepat! Qaseh panaslah! Sambung kejap lagilah kalau nak buat acara jejak kasih pun!” Rengek Qaseh sambil hentakkan kaki. Dia menjeling wajah Khadeeja yang basah dan sembab.

“Mama!” Heh, buat tak tahulah pula mama ni!

Sumpah Qaseh panas! Mukanya berpeluh dan melekit. Habis cair solekan yang Qaseh oles satu jam setengah sebelum ke masjid tadi.

Tengoklah Qaseh, adik pengantin lelaki lebih menyerlah daripada Khadeeja si pengantin perempuan. Mujur muka Qaseh memang sebiji seketul seperti muka Mad. Kalau tidak, tak mustahil tok kadi boleh tertukar pengantin.

“Yalah. Tak sabar-sabar. Kalau panas kenapa tak tunggu dalam kereta? Pasang air-cond kuat-kuat. Masuk dalam rumah buat apa?” Bebel Datin Saloma kembali memasukkan baju-baju Khadeeja ke dalam beg.

Qaseh mencemik geram. “Mama ingat Qaseh nak sangat ke masuk dalam rumah ni? Kat luar tu banyak anjing. Qaseh takut!”

“Awak kan duduk dalam kereta. Bukannya anjing tu boleh gigit.”

“Tak kiralah. Qaseh takut jugak!”

Datin Saloma gelengkan kepala. Ada-ada saja perangai anak bongsunya ini. Pandai menjawab!

“Cepatlah mama! Lima minit!” Arah Qaseh membuatkan kepala Datin Saloma semakin tergeleng. Mengada sungguh!

Sebelum keluar dari bilik, Khadeeja dijeling Qaseh sehingga juling. Khadeeja hanya mampu menikus, tertunduk tak berani membalas pandangan Qaseh.

 

MAD memijak puntung rokok yang sudah habis dihisap. Rasanya hari ini saja sudah hampir setengah kotak asap rokok disedut oleh peparunya. Khabar gembira untuk penyakit, jemputlah datang hinggap di tubuhnya. Dia pun tak rasa hendak hidup lagi.

Dia resah menunggu mama dan isteri yang baru beberapa jam dikahwini.

Macam mana statusnya boleh berubah secepat ini? Mimpi kahwin pun tak pernah, alih-alih dia terpaksa menyandang gelaran suami. Dunianya sekelip mata jungkir terbalik kerana kecelakaan yang tidak diundang. Haih, mukanya diraup membuang peluh.

“Abang punya pasallah ni!” Qaseh keluar menghentak kaki lalu berdiri di sebelahnya dengan bibir memuncung.

Qaseh dikerling. Malas menjawab kerana kesudahannya membalas kata-kata Qaseh boleh membuat mereka bertekak. Dia tak ada mood!

“Kenapa abang tak hati-hati?”

“Shut up, Qaseh” Kotak rokok dibuka. Habis! Dia menggeram perlahan.

“No, Qaseh takkan diam. Abang dah melampau!”

“Qaseh!”

“What, Mad?”

Mad mengacip gigi. Mujur adik, geram dia nak tampar mulut Qaseh. Dia tengah pening, Qaseh tambahkan peningnya lagi.

“Kami dah siap!” Mamanya muncul ceria sambil memimpin isterinya. OKU ke sampai nak kena pimpin?

Datuk Akil turut menoleh kepada mereka. Tiada senyuman yang diukirkan. Hanya memerhati di dalam diam.

Nyali Khadeeja terasa menciut. Dia gerun melihat pandangan Datuk Akil.

“Ingatkan banyak sangat barangnya. Berkemas macam satu lori nak bawa. Rupanya satu beg kecil aje?” Sindir Qaseh kepada kedua wanita yang sedang bergandingan tangan itu.

Datin Saloma tidak menjawab sindiran Qaseh. Bukan boleh dilayan bicara Qaseh. Mulut suka menceceh macam burung. Kalau dilayan boleh jadi perang.

Dalam keadaan tegang begini eloklah jika ada yang mengalah. Dia tak nampak ada orang lain yang mahu beralah selain Khadeeja yang hanya tahu diam. Biarlah dia yang menjadi air di antara api yang marak membakar.

Khadeeja cuba melepaskan tangannya yang digenggam Datin Saloma. Semakin dia berusaha semakin kejap genggaman Datin Saloma. Mahu tak mahu dia hanya membiarkan.

“Mad, jom.” Datin Saloma menggamit Mad di tepi pagar. Bau rokok kuat terhidu oleh hidungnya. Entah berapa puntung rokok agaknya sudah dihabiskan. Mad kalau resah memang begitu. Datin Saloma faham sangat perangai anak-anaknya.

Beg yang dihulurkan Datin Saloma diambil. Khadeeja di sebelah mama tidak dipandang. Dia terus berjalan menuju kereta yang diparkir di hadapan pagar rumah sewa Khadeeja. Sementara yang lain mengikutnya dari belakang.

Sepanjang perjalanan yang tidak diketahui Khadeeja ke mana destinasinya, suasana begitu hening. Dia duduk di tempat duduk belakang, tepat di belakang Mad yang mengemudi kereta. Mad hanya diam. Tidak menegurnya walau sepatah.

Adakah isteri sepertinya? Isteri yang tidak mengenali siapa suaminya? Entahlah. Khadeeja enggan memikirkannya. Dia serabut.


PROLOG • BAB 1  BAB 2  BAB 3  BAB 4  BAB 5


BELI NOVEL KUUKIR HANYA NAMAMU (PENULIS: AK RAFFHAN)

  • Share post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *