Kuukir Hanya Namamu – Bab 2

Wajah pucat itu direnung. Gadis yang terbaring itu sampai-sampai saja di rumah telah menimbulkan kekecohan. Boleh pula pengsan secara tiba-tiba di muka pintu rumah. Terkejut beruk dia dibuatnya!

Tubuh Khadeeja ringan ketika diangkat. Tak terasa beban mengangkat seseorang. Hangat kulit yang tersentuh dek tangannya membuatkan dia tahu gadis itu demam.

Gadis ini, walaupun hati masih tidak rela, terpaksa diakui sudah bergelar isterinya. Pernikahan mereka sah, berdaftar dan tidak boleh diragukan oleh sesiapa. Bukti sahihnya wujud.

“KAMI tak buat apa-apa, mak ngah.”

“Kau jangan nak kencing aku!”

Mereka dikumpulkan di ruang tamu. Dia keluar tanpa dipaksa sesiapa sedangkan Khadeeja diseret

seperti lembu! Semput nyawa gadis itu menahan sakit di kepala kerana rambut yang ditarik.

“Betul, mak ngah! Semua ni salah faham. Kami tak buat apa-apa.”

“Kau diam!” Pang! Tamparan melayang ke pipi Khadeeja. Terteleng kepala gadis kurus itu. Bibirnya sobek, darah mengalir dari celahan bibir yang luka.

“Mak ngah….” Khadeeja sujud di kaki Melur.

Tanpa belas Melur menunjal kepalanya kuat, membuatkan dia tersembam ke lantai. Aduhai, semakin malang nasib Khadeeja. Sudah jatuh ditimpa tangga.

“Puan….” Mad cuba menghampiri wanita gempal itu. Tak sanggup dia melihat Khadeeja diperlakukan tidak manusiawi.

“Kau diam! Kalau tak dengan kau-kau, aku tampar!” Jari montel Melur menuding muka Mad.

Ah, gerun juga ketika melihat jejari montel, penuh dengan cincin berbagai permata. Kalau kena pipi pasti berbirat.

“Puan, dengar dulu saya boleh jelaskan.”

“Diam aku kata! Kau jangan nak kata kau tak nak bertanggungjawab. Dasar lelaki tak guna! Kau dah tidur dengan budak sial ni, lepas tu kau nak lepas tangan?” Suara besar itu menggelegar di setiap penjuru rumah.

Khadeeja teresak, sedih diaibkan sedemikian rupa.

Sudah ramai orang yang memenuhi ruang tamu itu. Mereka dikerumuni oleh orang-orang yang boleh dikatakan bukan sedang menuntut penjelasan, sebaliknya mahu menghukum mereka.

“Bukan macam tu. Saya…. Kami memang benar-benar….”

“Huh! Manusia mana dalam dunia ni nak mengaku lepas dah berak merata-rata? Entah apa yang kamu berdua dah buat lepas tu kata tak buat apa-apa. Hairan juga aku. Khadeeja ni memang tak pelik sangat kalau buat perangai setan macam ni sebab dah darah daging dia macam tu. Tapi kau anak orang terpandang! Huh, perangai! Nauzubillah! Agaknya memang macam ni perangai orang kaya-kaya. Beli perempuan. Main perempuan.” Sembur Melur dengan muka sinis. Dia menjeling Mad, biji matanya terjegil besar.

Berdesing telinga Mad mendengarnya. Dia tidak kisah dikritik kerana hakikatnya dia memang tidak baik. Tetapi dia tak rela bila nama baik keluarganya tercemar. Dia jahat pun berselindung, bukannya dia hebahkan pada satu dunia.

“Sabarlah, Melur. Malu orang dengar suara awak.” Suami Melur cuba memujuk. Tidak dihiraukan, malahan dia pula dimarahi.

“Awak diam! Anak saudara awak ni dah lumur tahi dekat muka kita. Awak nak suruh saya diam? Tunggu saya penyet dia sampai mati baru saya diam. Kalau tahu besar-besar dia nak menyundal macam ni, masa kecik lagi saya dah bunuh dia!” Kemarahan Melur berapi-api. Kalau boleh dia hendak pijak Khadeeja. Geramnya dia, hendak terbakar rasanya.

Mad pandang mamanya yang tertunduk. Pasti mama malu dengan kata-kata kesat yang dilemparkan Melur. Muka papa sudah merah padam. Masaklah dia kena buat gulai cincang di rumah nanti.

Sejujurnya Mad tidak ingat bagaimana dia boleh tersasar sampai ke rumah sewa Khadeeja. Dia juga tidak ingat bagaimana gadis itu boleh berada dalam pelukannya. Semuanya samar-samar dalam ingatan.

“Papa nak Mad bertanggungjawab.”

“Tapi kami tak buat apa-apa, pa!”

“Tak buat apa-apa? Mad masih nak nafikan?”

“Demi ALLAH, pa!”

Seringai tipis muncul di bibir Datuk Akil. “Masa ni baru nak ingat TUHAN? Masa Mad mabuk, teguk air kencing syaitan, ada Mad ingat TUHAN? Ada Mad fikir kesan perbuatan Mad pada keluarga kita? Tengok mama, menangis macam tu! Mad tak fikir ke setitis air mata mama mengalir sebab Mad, dosa yang Mad tanggung macam mana?”

Keruh muka Mad menatap mamanya. Lidahnya terkunci tak dapat mencari kata balas.

“Papa dah lama bagi Mad peluang. Kali ni, Mad kena bertanggungjawab dengan perbuatan Mad. As soon as possible, Mad kena kahwin dengan budak perempuan tu.”

Akhirnya pernikahan mereka terjadi juga. Dia terpaksa akur melihat kemarahan papa. Selama ini papa telah banyak mendiamkan diri melihat kelakuan bejatnya, kali ini dia didesak supaya bertanggungjawab.

Dia harus rela ketika bibirnya mengucapkan ijab dan kabul. Kata sakral yang menandakan bahawa ada amanah baru sedang terpikul di bahunya.

“Macam mimpi.” Mad menggelengkan kepalanya. Tidak percaya statusnya telah berubah 360 darjah. “Bila kau nak sedar ni?”

Tiada tanda-tanda Khadeeja akan tersedar dalam jangka masa terdekat. Seraut wajah milik Khadeeja ditelek.

Sudut bibir Khadeeja masih terdapat serpihan luka, pada pipinya ada kesan goresan panjang. Tak dapat dia bayangkan kesakitan yang terpaksa ditanggung Khadeeja sewaktu ditampar Melur.

Kenapa Melur tega memperlakukan Khadeeja sekasar itu? Sekalipun marah, mengapa kata-kata yang dilemparkan penuh herdikan dan caci-maki? Seolah-olah memberitahu Khadeeja sudah dibenci sejak sekian lama. Dia tidak pernah lagi berjumpa wanita sekasar Melur.

Siapa sebenarnya gadis yang telah dinikahinya? Mengapa keluarga Khadeeja terlihat terlalu membencinya? Kesalahan apa yang telah Khadeeja lakukan sehingga dia dilayan sedemikian buruk? Dan Khadeeja, mengapa hanya membiarkan hati dan tubuh badannya terus disakiti? Adakah gadis ini memang benar-benar teruk perangainya?

Mad jadi terfikir, agaknya ini balasan TUHAN. Sebelum ini bila hendak main-main, Mad pilih yang serba sempurna. Bila Mad kahwin, TUHAN bagi Mad gadis yang jauh daripada kata sempurna.

Mad semakin kesal. Boleh tak kalau dia hendak tukar isteri?

Isteri? Euw, geli tekaknya hendak panggil gadis ini isteri. Mahu tujuh gunung tujuh lautan dia trauma kena kahwin paksa. Haru betul! Dia belum puas enjoy.

Doanya memohon pernikahannya terbatal tak dimakbulkan. Dosa menimbun setinggi Gunung Everest, manalah doa hendak diperkenankan TUHAN. Lancar saja pernikahan mereka. Persiapan ala kadar yang dilakukan mama serba menjadi walaupun tidak berlangsung meriah.

 

Mad tidak pernah menduga dia akan menikah dalam situasi bajet. Sebejat-bejat dirinya, sewaktu menikah dia mahu majlisnya diadakan secara besar-besaran. Bukan tangkap muat seperti pagi tadi.

Baju Melayu Mad tak pakai. Sekadar kemeja putih digandingkan dengan seluar slek hitam. Tak lupa songkok yang papa hulurkan sebelum dia masuk ke dalam masjid.

Apa kata orang jika tahu perkahwinannya hanya setakat akad nikah di masjid terpencil dan kecil? Mana Mad hendak sorokkan muka tampannya? Ah! Kacau!

Mad mengengsot naik ke atas katil lalu baring mengiring menghadap Khadeeja.

“Bila kau nak bangun ni?”

Pipi Khadeeja ditepuk. Tiada reaksi. Dicubit, juga tiada reaksi.

“Pengsan ke tidur budak ni?”

Doktor keluarga ada datang ke rumah atas arahan papa. Menurut Doktor Ashikin, Khadeeja demam dan tak cukup rehat. Apa saja yang Khadeeja buat sehingga tak cukup rehat? Angkat batu-bata ke? Jadi buruh paksa?

“Oit, apa abang buat tu…”

Pelepap! Belakangnya dipukul Qaseh. Nasib tak terloncat jantung Mad disergah Qaseh.

“Tak boleh sopan lagi?”

Qaseh mencebik. Buat muka toya diperli abangnya. “Macamlah abang sopan sangat!”

Mad memutar bola mata. “Lain kali masuk bilik orang ketuk dulu. Buatnya abang tengah buat projek.”

“Projek dengan siapa? Budak ni? Itu namanya ambil kesempatan.”

“Ambil kesempatan apa pula. Menggauli isteri berkahnya banyak!” Mad tak mahu kalah.

“Oh, dah mengaku isteri!”

Mad terdiam. Qaseh mengulum senyum sinis.

“Sampai sekarang Qaseh tak faham. Dah bertahun abang buat kerja tak senonoh, macam mana kali ni abang boleh tertangkap? Dengan perempuan yang sah-sah not your taste pula tu. Hairan nau Qaseh. Agaknya ini balasan TUHAN untuk abang kut. Itulah, nakal lagi! Suka sangat mainkan hati perempuan. Padanlah dengan muka abang kan?” Selamba Qaseh kutuk Mad.

Padan muka? Haram jadah punya adik! Nasib sayang, kalau tak memang kena tunjallah.

Qaseh betulkan tudung Khadeeja yang senget. Lebam yang samar terlihat di pipi Khadeeja disentuh lembut. Dia memang tak suka Khadeeja jadi kakak iparnya tapi kadang-kadang apabila terpandang wajah Khadeeja, dia jadi kasihan. Khadeeja nampak naif. Langsung tak sepadan dengan Mad yang liar.

Agaknya Khadeeja yang muda belia mampu tak mengimbangi perangai Mad yang sampai sekarang masih tak semenggah walaupun usia sudah berkepala tiga? Kasihan juga kalau Mad mempersiakan Khadeeja. Walau apa pun Khadeeja sudah jadi isteri Mad yang sah. Suka atau tidak, semua orang kena terima hakikat itu.

“Abang nak pergi mana?” Mad yang bergerak betulkan duduk dipandang.

“Nak turun.”

Elok sebelah kaki Mad jejak di lantai, dia berasakan pergerakan di sampingnya. Segera Mad menoleh. Khadeeja nampak terseksa untuk membuka matanya.

Yuhuu, Khadeeja dah sedar!

“SAYA kat mana?”

Dua beradik itu berpandangan.

“Qaseh, panggil mama!” Mad menolak Qaseh. Mujur adiknya tidak terjatuh katil.

“Apa abang ni? Tunggulah kejap. Pelik Qaseh tengok budak ni.”

“Pelik apanya?”

“Budak nilah. Bangun-bangun macam orang amnesia.” Bukannya ada terhantuk. Takkan dalam sekejap boleh lupa semua benda?

Qaseh menunduk. Berniat mahu memerhatikan wajah Khadeeja dengan lebih jelas. Dia mahu mencari kejanggalan yang boleh membuktikan kepura-puraan Khadeeja.

“Qaseh, sudahlah tu!”

Gadis manja itu merengus geram. Dia meluru keluar tanpa suara. Jejak pada anak tangga baru dia mengomel geram. “Sibuk aje!”

“Sakit sangat ke kepala kau?”

Tangan Khadeeja di kepala dipegang. Risau melihat Khadeeja seperti pening. Khadeeja yang terkejut segera menepis tangan Mad. Matanya terbeliak kaget.

“Kenapa awak pegang saya? Kita bukan mahram! Haramlah!” Jeritnya marah. Pedulikan tekaknya yang sakit dan kepalanya yang berat.

Dia kat mana? Bilik siapa yang besar sangat ni?

“Eh, apa kau merepek ni? Mahram apa pula?”

Khadeeja semakin panik apabila mengetahui dia bukan saja sebilik, malahan sekatil dengan lelaki yang bukan mahramnya.

Ya ALLAH, apa dia dah buat?

“Hei, relaks. Kau nak pergi mana?” Mad tergesa-gesa menarik pinggang kecil Khadeeja yang mahu turun dari katil. Khadeeja meronta-ronta dalam pelukannya.

Hesy, tak padan dengan badan kecik! Kuat sungguh rontaan Khadeeja.

“Kau ni dah kenapa? Diamlah, hei!”

“Lepaslah! Lepaskan saya!”

“Aku lepas kalau kau diam.” Mad cuba berkompromi. Khadeeja berhenti meronta.

“Duduk sini diam-diam.” Khadeeja didudukkan di atas katil.

Wajah Mad ditatap. Sebenarnya dia di mana?

Tak semena-mena perasaan takut menjalar memenuhi dada. Dia dapat merasakan sekujur tubuhnya lemah. Jikalau lelaki ini bertindak macam-macam pasti dia tidak mampu mempertahankan diri. Dalam ketakutan yang menggunung itu, Khadeeja rasakan pelupuk matanya memanas.

“Awak, siapa?”

“Aku, siapa?”

Mad mengerutkan dahi. Betul cakap Qaseh, Khadeeja nampak pelik. Lepas pengsan, hilang ingatan pula ke?

“Eh, eh dah kenapa kau menangis pula ni?”

Mad bingung melihat Khadeeja tiba-tiba meraung. Mama mana?

“Tolong! Tolong!”

Aduh, duh! Mad menekup mulut Khadeeja.

“Qaseh! Mama! Mama, mama!” Jerit Mad lantang. Banyak dia nak kena buat ni. Nak peluk Khadeeja. Nak tutup mulut Khadeeja lagi. Tiba-tiba dia berasa seperti seorang lelaki dayus yang cuba berbuat serong terhadap seorang gadis dalam keadaan paksa.

“Khadeeja, kenapa sayang?”

Datin Saloma yang mendengar tangisan Khadeeja segera menerpa masuk ke bilik Mad. Dia meraih tubuh Khadeeja ke dalam pelukan.

“Kenapa ni, sayang?” Kepala Khadeeja dielus.

“Takut,” jawab Khadeeja dalam tangisnya. Tubuh Datin Saloma dipeluk kuat. Datin Saloma hampir kehilangan nafas akibat pelukan itu.

“Mad buat apa sampai Khadeeja menangis macam ni?” Tanya Datin Saloma pada Mad dengan tatapan penuh menyelidik.

“Mana ada Mad buat apa-apa. Mad pegang kepala dia je. Nak tengok kut-kut demam dia makin tinggi. Belum apa-apa dia dah tepis tangan Mad. Lepas tu meraung macam orang kena sampuk. Bukan salah Mad, okey!”

Bengang dia dengan Khadeeja. Tak pasal-pasal dia kena soal siasat, walhal dia tak buat salah. Melalak macam budak-budak! Celik-celik mata macam orang hilang ingatan.

“Dialah, budaklah. Khadeeja kan ada nama. Tak baik panggil isteri sendiri macam tu,” rungut Datin Saloma membuatkan Mad menarik muka.

Isteri yang tak dianggap? Huh!

Qaseh di belakang Datin Saloma sudah terkekeh geli hati. Suka sangat bila Datin Saloma menceramahkan Mad.

Rasakan! Gatal buat perangai lagi. Dapat bini macam budak baru tahu rasa!

“Isteri?” Gumam Khadeeja perlahan.

Dia melepaskan pelukan Datin Saloma lalu menoleh kepada Mad. Matanya yang kabur dek air mata dikedip-kedipkan. Sedikit demi sedikit dia mula mengingat.

Khadeeja gigit bibir bawahnya kuat-kuat. Kepalanya tertunduk. Dia malu sangat. Macam mana dia boleh lupa dia sudah menikah dan lelaki itu suaminya?

“Khadeeja macam mana? Sakit kepala lagi tak? Mama dah suruh bibik masakkan bubur ayam untuk Khadeeja. Nanti kejap lagi mama suruh bibik bawa naik bilik. Kalau Khadeeja rasa tak okey, nanti kita pergi klinik? Mama risau tengok Khadeeja macam ni. Pucat sangat. Badan pun nampak lemah aje. Doktor famili kita dah datang tadi. Dia kata Khadeeja tak cukup rehat. Khadeeja kenapa kerja kuat sangat sayang? Mulai sekarang Khadeeja jangan kerja kuat-kuat lagi. Kalau boleh Khadeeja duduk aje kat rumah teman mama. Biar Mad sorang yang kerja. Lagipun Mad tu terlebih mampu nak sara Khadeeja. Lepas ni tak payah nak risau pasal duit. Apa guna ada suami kalau tak boleh menafkahi isteri. Betul tak, Khadeeja?”

Mad jeling mamanya. Amboi, sempat lagi dia perli para suami!

Datin Saloma meraba dahi Khadeeja yang masih panas. Risau pula dia apabila Khadeeja tidak menyahut kata-katanya. Berat sungguh mulut menantunya ini. Berpuluh patah soalan yang ditanya satu pun tak dibalas.

“Panas lagi ni. Mad, kita bawa jelah Khadeeja pergi klinik. Mama risaulah.”

“Eh, tak… tak apa. Saya okey. Mungkin kalau tidur sekejap, demam saya kebah,” pintas Khadeeja cepat dengan suara serak sebelum Mad sempat membalas saranan ibu mentuanya.

Sungguh dia tak mahu ke klinik. Untuk apa buang-buang duit kalau akhirnya ubat akan dicampak ke dalam tong sampah juga? Bukankah membazir amalan syaitan?

“Kau bukan dah tidur lama ke?” Mad melipat tangan di dada. “Dah tiga jam tau kau tidur.”

Tiga jam? Ya ke? Agaknya disebabkan itu kepalanya bertambah sakit.

“Mad…”

Mad menceber pada Datin Saloma. Sayang sangatlah menantu tu. Cakap macam tu pun tak boleh?

“Betul ni Khadeeja tak nak pergi klinik?” Tanya Datin Saloma tidak yakin. Khadeeja pantas mengangguk.

Datin Saloma mengukirkan senyum sambil mengusap sayang kepala Khadeeja. Dia membaringkan Khadeeja. Tubuh Khadeeja diselimutkan melepasi dadanya.

“Khadeeja rehat, okey. Mama nak turun dapur tengok bubur bibik masak. Mad tolong tengok-tengokkan anak mama ni. Qaseh, jom.”

Datin Saloma menarik tangan Qaseh keluar dari bilik Mad. Mad hanya menggeleng melihat mamanya. Kalau bercakap, laju seperti kereta api.

Khadeeja terpinga-pinga melihat wanita yang sudah selamat menjadi ibu mentua segeranya. Memang macam tu ke cara Datin Saloma cakap? ETS pun kalah!

Setelah ditinggalkan situasi mereka bertukar kekok. Terdiam, sementara fikiran menerawang memikirkan pelbagai perkara. Keadaan yang riuh bertukar menjadi sepi.

Khadeeja menatap lurus langit-langit bilik Mad yang bernuansa putih dan biru gelap. Berusaha mengawal degupan jantungnya yang begitu kencang.

“Ehem.” Mad berdeham.

Khadeeja mahu menoleh, namun malu menyebabkan keinginannya tertahan. Dahlah meroyan tak tentu pasal, tuduh Mad bukan-bukan lagi. Kalau boleh dia nak menyorok dalam selimut biar Mad tak nampak mukanya.

“Hei!” Mad tarik bahu Khadeeja. “Kau tak rimas ke pakai tudung dalam bilik?”

Hujung tudung Khadeeja dipegang. Kalau Khadeeja buat-buat bisu juga dia takkan teragak-agak tarik tudung Khadeeja. Jangan mencabar kesabaran dia ketika mood dia tengah tak baik.

“Tak… tak rimas.” Jawab Khadeeja terketar-ketar.

“Kau tak rimas. Tapi aku rimas kau tahu tak?”

Khadeeja menggeleng. Dia yang pakai tudung, kenapa pula Mad yang rimas? Tak ada kena mengena langsung!

“Buka tudung kau!” Arah Mad keras. “Kita ni halal kau tahu tak? H.A.L.A.L. Halal!” Mad siap eja kut Khadeeja lupa sekali lagi. Tadi kan bising tuduh dia macam-macam.

Terkebil-kebil Khadeeja mendengar arahan Mad. Air liur yang ditelan terasa kesat.

Tahulah mereka dah halal, tapi tak perlu sampai nak mengeja. Dia bukannya hilang ingatan, lupa sekejap aje!

“Kau nak buka sendiri atau kau nak aku yang buka?” Soal Mad seraya mendekatkan dirinya dengan Khadeeja.

Khadeeja panik dengan tingkah Mad yang tidak terduga. Dia mengengsot menjauhkan diri. Lagi dia menjauh lagi Mad mendekatinya sehingga badannya sudah di hujung katil. Mereka hampir menempel sesama sendiri.

“A… awak nak bu… buat apa?”

“Buat apa?” Kening Mad terangkat. “Aku nak buat ni….” Dengan sekali sentakan tubuh Khadeeja sudah menempel pada dadanya.

Mata Khadeeja bulat memandangnya. Ada getaran yang dirasakan, Mad buat tak endah. Dia tahu Khadeeja takut padanya. Nak takut apa?

Hubungan mereka sah dan halal. Mad tak nampak sebab kenapa Khadeeja perlu takut dengannya. Dia bukan lelaki gila seks yang tega menyakiti fizikal perempuan. Apalagi perempuan serapuh Khadeeja. Dia bukan lelaki kejam yang tidak ada hati perut.

“Hari pertama jadi isteri, kau dah tunjuk derhaka?” Pelukan dikemaskan. “Kau tahu tak aku siapa dengan kau?”

Khadeeja kaku dalam pelukan Mad. Takut hendak bergerak. Mana pernah seumur hidupnya dipeluk lelaki. Meskipun tahu hubungan mereka sudah tiada batas, namun perasaan ingin mempertahankan diri begitu kuat.

Tudungnya telah ditanggalkan Mad. Dia terlalu ingin menepis tangan Mad yang terhulur sedang memainkan rambut panjangnya, tetapi tubuh hatta tangannya sekalipun tak mampu digerakkan.

Dia menggeliat kegelian apabila Mad mula menghidu bau rambutnya. Tak terlintas langsung bau rambutnya, sama ada busuk atau wangi.

Bibir Khadeeja bergerak-gerak. Ibu jari Mad bermain-main di hujung bibir Khadeeja yang masih sedikit bengkak. Nasib baik masa Melur naik minyak Khadeeja belum jadi isterinya. Sampai luka-luka bibir isteri dia. Dia saman baru tahu perempuan gemuk bermulut longkang tu!

“Sakit lagi?”

Aduhai, kering tekak Khadeeja.

Ibu jari Mad mengusap bibir Khadeeja. Wajah mereka didekatkan.

“Kau nak aku ubatkan kau?”

Macamlah Mad doktor hendak ubatkan dia. Kalau Mad doktor sekalipun, dia tak inginlah. Bengkak tu tak perlu diubati. Nanti akan hilang sendiri. Sikit je lagi tu.

Mad menjilat bibirnya. Tak semena-mena mata Khadeeja terbeliak apabila Mad satukan bibir mereka. Terus terpegun badannya.

Helo, dia terpegun bukan sebab dia terpaku! Tapi, sebab Mad pegang badannya kuat sangat. Dia nak bergerak pun tak boleh. Aci tak kalau dia gigit bibir Mad?

Baru dia hendak bertindak, Mad melepaskan pautan bibir mereka. Seringai di hujung bibir Mad tertangkap dek matanya. Dia hanya mampu tergamam apabila Mad mencium bibirnya sekilas kemudian keluar dari bilik.

Hei, babun biadab! Kenapa mulut dia tak boleh jerit ni? Bencilah! Mad gila!


PROLOG • BAB 1  BAB 2  BAB 3  BAB 4  BAB 5


BELI NOVEL KUUKIR HANYA NAMAMU (PENULIS: AK RAFFHAN)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *