MAD salahkan dirinya yang bodoh. Gelojoh dan terlalu mudah tergoda. Tolonglah, Khadeeja tu cekeding aje kut? Macam mana dia boleh terpesona melihat Khadeeja?
Ah, jahanam iblis syaitan yang menghasut!
Kalau ya pun nak sesatkan dia, pilihlah sikit gerangan perempuan yang boleh menambahkan kesesatannya. Huh, ini Khadeeja pun jadi!
Pertama kali berdepan dengan yang halal, Mad gelabah! Dia masih dapat merasakan debaran keras di dadanya. Dia sudah separa mabuk, namun manis bibir Khadeeja masih dapat dirasakan.
Ciuman yang sesat lagi menyesatkan!
“Hi, dear!”
Mad kerling makhluk TUHAN yang tiba-tiba datang lalu meletakkan tangan di pahanya. Biadab! Dia memang tak suka sifat perempuan yang terlebih jalang. Datang tak diundang, pergi nak kena halau.
“Belanja I minum?” Wanita itu kenyitkan matanya.
Mad mula rasa hendak menyumpah seranah. Namun, dia tidak melakukan seperti yang dimahukan otaknya. Dia mengeluarkan dompet, beberapa keping duit diambil.
“I’m not in the mood.” Duit itu diselitkan ke celahan baju terbuka yang dipakai oleh wanita tersebut.
“Ah, it’s okay! Have fun, dear.” Bukan main kembang lagi senyuman wanita itu kerana mendapat habuan percuma. Bukan selalu lelaki hendak membayar jika tidak diberikan layanan first class. Nak-nak lagi lelaki seperti Mad.
“Call me if you need me. I’m at your service.”
Giliran wanita itu pula memasukkan kadnya ke dalam poket baju kemeja Mad. Sebelum berlalu dia sempat mengecup sekilas pipi Mad.
“Pelacur!” Gumam Mad sambil merengus.
Di sini terlalu banyak perempuan murahan. Body tergadai baik secara percuma atau diberikan bayaran. Mereka rela diperbudakkan, diperlakukan seperti pelacur. Kalau tanya pendapat Mad, jujur dia akan kata dia jijik dengan wanita-wanita jalang itu.
Dia tiada pilihan lain untuk melepaskan kebutuhan biologinya. Tak mungkin dia memilih yang suci murni kerana sejahat-jahat dirinya, tidak pernah terlintas di fikiran hendak merosakkan gadis yang baik-baik.
Macam mana pula dengan Khadeeja?
Argh, kenapa pula dia teringatkan Khadeeja? Dah bengong kut otaknya. Baru beberapa jam sebilik dengan Khadeeja dia sudah sebiul ini. Dia menggeleng keras. Menghalau bayangan seraut wajah Khadeeja.
“Mike, segelas lagi!”
“Awal lagi ni, bos! Kepala sudah ting tong ka?” Pelayan yang diminta segelas air haram itu menegur. Pelik apabila awal-awal lagi Mad sudah kecundang. Menolak apabila ada perempuan cantik mendampinginya.
Teguran Mike tidak dibalas. Malaslah dia! Air kuning yang baru diletakkan di hadapannya diteguk rakus.
Nyahlah, aduhai Khadeeja! Jangan tambahkan serabut otaknya.
“Oit, bro! Kat sini kau rupanya!” Bahu Mad ditepuk kuat.
Celaka! Dia tersedak air kuning yang sedang diteguknya.
“Relaks, bro! Awal kau minum hari ni?” Iskandar menepuk-nepuk belakang Mad.
Mad mendengus sebal. Dia mengelap bajunya yang terkena sedikit air. Inilah kawan tak guna! Datang-datang terus membuatkan darahnya menggelegak. Minta ditaji agaknya.
“Kau sorang ke?” Pelik pula dia. Tak ada sesiapa yang menggeletis melayan Mad.
“Hurm.”
“Dah pukul 10:00 tapi kau still alone? Wah, kagum aku ni!”
Iskandar memusing arloji di pergelangan tangan. Sahih dah pukul 10:00 malam. Malam memang masih muda, namun kebiasaan Mad bila sudah masuk ke dalam kelab pasti terus berteman.
“Tak ada yang menarik ke malam ni?”
Pandangannya mula beredar ke seluruh pelosok kelab. Seperti malam-malam sebelumnya, kelab itu tidak pernah sunyi dengan pengunjung.
Kepala Iskandar terangguk-angguk mengikut alunan muzik. Ramai yang cantik dan seksi. Yang separuh telanjang juga ramai. Tinggal pilih, takkan satu pun Mad tak berkenan?
Mad diam tidak mahu melayan bicara Iskandar yang tak lekat di fikiran. Dentuman keras bunyi muzik menyakitkan kepalanya. Telinga berdengung dan kepala terasa berat. Otak yang serabut membuatkan dia hilang arah. Rasanya dia sudah tidak betah di sini.
“Bro! Kau nak pergi mana?” Soal Iskandar apabila melihat Mad berdiri.
Mad terhuyung-hayang. Dah mabuk ke kawan dia ni? Berdiri pun dah serupa jelly. Boleh tak boleh saja tegaknya.
“Mad!” Aiseyman, Mad!
Mad tak menghiraukan Iskandar yang melaung namanya. Kakinya terus melangkah walaupun terhuyung-hayang. Dia mencari pintu keluar. Hatinya senang bukan main semasa ternampak pintu yang tertutup.
Elok saja kakinya jejak keluar dari kelab itu, lengannya ditarik. Cis, manusia kurang ajar mana yang berani menariknya saat dia tak ingin berdepan dengan sesiapa pun kala ini!
“Sayang….” Manja dan meleret rengekannya. “Lama I tak jumpa you. I rindu. Sampai hati you tak contact I!”
Berbulu pula telinga Mad mendengar rengekan wanita yang sedang bergelayut manja pada lengannya. Rimas! Geli geleman pun ada.
Siapa wanita ini? Puas ditelek, diperhatikan dari atas sampai ke bawah, dia tetap tak ingat. Kabur saja pandangan matanya. Yang jelas hanyalah dada yang terjojol kerana pakaian terlalu singkat yang dikenakan. Baju kemban yang sangat ketat. Tak senak ke badan tu? Boleh bernafas lagi?
Bibir yang merah menyala itu termuncung-muncung. Dekat sangat dengan pipi Mad seakan hendak dicium pipi itu.
“Sayang….”
Tangan wanita yang gagal dikenali itu merayap di tubuhnya. Banyak sungguh perempuan gersang malam ini. Dia betul-betul tak ada mood hendak melayan atau dilayan. Apalagi hendak bersama dengan perempuan sama yang pernah menjadi teman tidurnya.
“What’s wrong? Don’t you dare tell me, you don’t remember me!” Bentak wanita itu marah. Reaksi bengong Mad melukakan harga dirinya.
Sampai hati Mad lupakan perempuan hot macam dia. Rasa terhina pula. Tidak pernah ada lelaki yang berjaya lupakan dia walaupun baru pertama kali berjumpa.
“Sorry to say…. I memang tak ingat.” Ikutkan geram, dia mahu balas membentak, diurungkan.
Entah kenapa Mad rasa pandangan perempuan itu melunak memandangnya. Wajah garang yang terpamer sedetik tadi menghilang begitu saja. Bajunya ditarik, tubuh mereka saling menempel.
“It’s okay if you don’t remember. How about this?”
Mad cukup terkejut ketika wanita itu tanpa malu mencium bibirnya rakus. Bibir yang memakai lipstik merah menyala itu terasa lembut di bibirnya. Namun hanya lembut. Tiada rasa manis. Tak semanis bibir polos Khadeeja.
Khadeeja? Disebabkan sebuah nama yang baru muncul itu, dengan tak semena-mena Mad terdorong wanita itu. Bibirnya diusap kasar untuk menghilangkan bekas lipstik yang melekat.
“Hey, what is wrong with you?” Soal perempuan itu berang.
Nyaris dia tersembam kerana dorongan Mad. Mujur dia sempat memegang dinding. Kalau tidak, pasti dia jadi nangka busuk malam ini.
Dia membetulkan dress kembangnya yang tersingkap dan hampir melorot jatuh. Biadab betul Mad. Berani memalukan dia di hadapan khalayak ramai begini! Jatuh air mukanya.
“Sorry, I didn’t mean….” Mad gelabah. Tak pernah dia memperlakukan mana-mana wanita secara kasar. Kenapa dengan dia malam ini?
“Hey, what’s wrong?”
Serentak mereka menoleh pada empunya suara.
“Sarah?” Soal Iskandar pada wanita yang ketara nampak bengis wajahnya.
“Hai, Is!” Sarah menyapa datar pada Iskandar.
Iskandar cuma mengangguk sambil tersenyum. Berantakan sekali keadaan Sarah. Lipstik di bibir sedikit comot. Iskandar seperti dapat membayangkan apa yang telah berlaku.
Tapi kenapa Sarah menjerit? Mad main kasar ke? Iskandar pandang pula keadaan Mad yang tampak terpinga-pinga.
“What happen?”
Sarah hanya menggeleng, enggan menerangkan hal yang sebenar kepada Iskandar. Dia tidak mahu memalukan dirinya lagi.
“Nothing. Sorry, I nak pergi ladies. Enjoy your night, babe!” Ucap Sarah berpura-pura girang. Tanpa segan silu dia mengecup pipi Iskandar. Mad yang memandang bingung padanya tidak diendahkan. Dia segera meninggalkan Iskandar dan Mad.
“Who is that?” Tanya Mad sebaik saja Sarah menghilang ke dalam kelab.
Patutlah Sarah marah! Mad tak ingat rupanya.
“Kau tak ingat?”
Mad hanya menggelengkan kepalanya sebagai jawapan.
“Mana kau nak ingat kalau setiap kali kau bergomol dengan perempuan, kau mabuk!” Bidas Iskandar sinis.
Mad memutar bola matanya bosan. Tak payah Iskandar cakap pun dia tahu. Buat apa hendak ingat, mereka bukan orang penting! Lagipun dia tengah mabuk. Selain Iskandar dan Khadeeja, rasanya dia tak dapat ingat manusia lain.
“Kau mabuk teruk ni. Sarah pun kau dah tak ingat. Dia kawan kita kut.”
“Yours, not mine!”
Dia memang tak peduli. Bukannya mereka mempunyai hubungan. Hanya sebatas menghabiskan masa bersenang bersama-sama. Habis kesenangan itu diteguk, kau buat hal kau, aku buat hal aku.
“Bro, kau nak pergi mana?” Angin jugak Iskandar dengan tingkah Mad. Kalau jawab elok-elok apa salahnya? Kerek semacam bila ditanya.
Geram dia hendak tumbuk Mad. Kawan tengah mabuk, tak sesuai pula nak beradu tenaga. Sah-sahlah dia akan menang. Tengok gaya Mad jalan, main redah aje. Macam mana Mad nak memandu dalam keadaan macam tu?
Haih, nampak gaya terpaksalah dia korbankan kesenangannya malam ini!
“What the….” Mad menyumpah. Bengang bila Iskandar merampas kunci keretanya. Kesialan berganda, kerana mabuk dia kehilangan status bujangnya. Celaka arak yang menyerongkan kesedarannya! Tapi, dia tak serik! Buktinya, malam ini dia mabuk lagi.
“Kau nak pergi mana? Aku hantar!”
Mad ditolak masuk ke dalam kereta, kemudian dia ke tempat duduk pemandu. Kereta Mad ditinggalkan di situ. Pandai-pandailah esok Mad uruskan keretanya. Takkan itu pun dia nak ajar?
“Kau nak pergi mana ni? Takkan kau nak balik rumah mama papa kau pula?”
“Hell, no!”
“Sebab itulah aku tanya kau!”
Ah, dia nak pergi mana? Mustahil dia balik ke rumah ibu bapanya. Bukan hanya alasan mabuk membuatkan dia tak boleh balik ke sana, tapi di sana juga ada Khadeeja.
Balik apartmen? Kunci pula lupa dibawa. Ni semua Khadeeja punya pasal. Sebab nak mengelak dari Khadeeja habis semua benda dia lupa.
Iskandar mula memandu. Dia memandang Mad sekilas, “So, balik apartmen kau?”
“Argh, Khadeeja!” Tanpa sedar Mad menggeram nama Khadeeja.
“Who?”
“Hah? Erm, apartmen kau jelah. Aku tak bawa kunci.”
Iskandar mengernyit hairan. Dah kenapa Mad cuak semacam? Dia yakin sangat Mad ada sebut nama seseorang.
Siapa Khadeeja?
“Bro, who’s….”
Dengkuran halus Mad terdengar. Iskandar mengunci mulutnya rapat. Cepat betul Mad tertidur. Esok sajalah dia tanya. Lantas dia melajukan keretanya di atas jalan raya. Dalam pada itu nama Khadeeja asyik berlegar-legar di kepalanya.
Lain macam nama itu. Macam nama perempuan baik-baik!
TERHENDAP-HENDAP Khadeeja keluar dari bilik. Kepala tertoleh ke sana sini, mata meliar. Tak ubah seperti pencuri lagaknya. Berjengket-jengket dia menuruni anak tangga. Tak boleh ada bunyi, nanti seluruh isi rumah terjaga kerana ulahnya.
“Besarnya!” Khadeeja berdecak kagum. Mulutnya melopong. Terpesona melihat susun atur perabot di ruang tamu.
Fuh, set sofa saja ada tiga jenis. Belum lagi TV plasma yang tergantung di dinding. Sedikit saja lagi boleh disamakan dengan layar di panggung wayang. Mewah betul!
Kalau dah macam ni, bukan setakat kaya tapi dah kaya-raya. Tapi Khadeeja pelik dengan sikap Datin Saloma. Bukan saja peramah, baik hati pula tu. Mak ngah dia yang sedang-sedang elok berduit pun dah sombong membongkak, berlainan sekali dengan sikap Datin Saloma. Agaknya sebab itu kekayaan keluarga ini melimpah ruah, berkat sikap yang tak pernah lalai dengan pangkat dan harta.
“Huh.” Khadeeja menghela nafas panjang.
Sampai bila dia kena tinggal di sini? Rumah ini besar, lengkap dengan keperluan. Namun, dia semakin terasa sunyi. Jiwanya tak betah berada di tempat yang bukan tarafnya. Dia rindukan biliknya di rumah sewa. Cuma sebuah bilik kecil, tetapi dia selesa di situ. Hatinya tenang.
Apa cerita Nabila agaknya? Sepanjang kejadian ini berlaku, Nabila mengambil cuti panjang. Mahu mengikut emak dan ayahnya pulang ke kampung. Katanya alang-alang dah bercuti, biar lama sikit.
Nabila pasti sudah pulang ke rumah. Dia yakin Sakinah pasti tak habis-habis akan memburukkannya. Kawan serumahnya itu memang tidak sukakan dirinya. Sakinahlah yang bertanggungjawab menghubungi Melur dan orang lain bagi melaporkan kejadian yang telah berlaku. Kalaulah Sakinah bertanya dulu….
“Bilalah dia ni nak balik?”
Penat dia tunggu Mad balik. Dah lewat malam tak balik-balik lagi. Dia tak risaukan Mad, tetapi ada hal yang ingin dibincangkan dengan Mad.
Dia dah kahwin. Nak keluar bekerja mestilah kena minta izin suami kan?
Ding! Ding! Ding!
“ALLAHUAKBAR!” Spontan Khadeeja terjerit. Kus semangat! Kuat bunyi jam antik di ruang tamu.
Dadanya diurut. Boleh koma jantung kalau hari-hari kena sergah.
Jarum jam sudah menginjak ke pukul satu pagi. Sampai bila dia kena tunggu? Matanya sudah mengantuk. Sakit kepala mulai menyerang kembali, serasa berdenyut-denyut.
“Balik ke tak balik ni? Mengantuknya….” Khadeeja menutup mulut yang menguap. Matanya mula mengeluarkan air mata. Semakin payah menahan kantuk.
“Dia tak balik ke malam ni?”
Kalau Mad tak balik habislah Khadeeja. Tauke Wong, bos kedai buku tempat Khadeeja kerja bagi cuti sehari saja. Kalau dia tak pergi kerja esok, dia takut dia akan dibuang kerja. Tauke Wong sudahlah cerewet orangnya.
Khadeeja mulai pening. Mahu keluar begitu saja sebelum Mad memberi keizinan Khadeeja lebih takut lagi. Khadeeja takut berdosa.
Dalam saat-saat seperti ini baru Khadeeja rasa betapa pentingnya alat perhubungan yang dipanggil telefon. Perlunya sentiasa mempunyai baki yang aktif supaya dapat digunakan sewaktu kecemasan.
Khadeeja renung telefon rumah berwarna emas di tepi dinding. Telefon itu juga tidak berguna. Hendak didail nombor siapa? Dia tidak tahu nombor Mad.
“Kenapa belum tidur lagi?”
Huargh! Serta-merta Khadeeja menegang! Tiba-tiba ada suara kasar menegurnya, mahu dia tak terkejut? Tak sangka masih ada penghuni rumah besar ini yang belum tidur.
Air liur ditelan. Tekaknya terasa pahit. Lebih pahit dari ubat-ubatan yang dipaksa telan oleh Qaseh tengah hari tadi. Dia tak sempat menolak, Qaseh sudah jegilkan mata. Mahu tak mahu dia telan juga.
“Da… datuk.” Tergagap-gagap Khadeeja menyapa Datuk Akil.
“Awak buat apa kat sini?”
“Errr… saya tunggu Mad, datuk,” jawab Khadeeja serba-salah.
“Mad tak balik lagi?”
Khadeeja menggeleng. Haruslah tak balik lagi. Kalau dah balik, buat apa dia tunggu? Mesti dia pun dah lena diulit mimpi.
“Pergi tidur. Kalau dia belum balik waktu macam ni memang tak baliklah jawabnya. Sia-sia kalau awak tunggu. Lagipun rumah ni rumah persinggahan Mad aje. Dia ada apartmen,” beritahu Datuk Akil.
Pertama kali Datuk Akil berbicara sepanjang itu dengan Khadeeja. Pertama kali juga Khadeeja dapat melihat wajah Datuk Akil dengan lebih jelas. Handsome! Muka Mad jelas difotokopi dari muka Datuk Akil.
“Khadeeja, pergi tidur.” Tegas suara Datuk Akil.
Datuk Akil merenung tajam wajah Khadeeja. Boleh tahan degil menantu dia ni. Cakap dua kali pun tak dengar juga.
Dia memang kena tidur ke? Jadi Mad sah tak balik malam ni?
Lambat-lambat Khadeeja bangun. Sebagai seorang manusia yang menumpang dan sedar diri, Khadeeja sedar dia harus patuh dengan arahan Datuk Akil.
“Khadeeja.” Datuk Akil memanggil sebelum Khadeeja menjejak anak tangga.
Dia menoleh. “Ya, datuk?”
“Panggil saya papa. Kamu sekarang sebahagian daripada keluarga ini. Dah jadi anak saya juga,” ujar Datuk Akil dengan suara tegas.
Kecut perut Khadeeja mendengarnya. Suara Datuk Akil yang berwibawa membuat Khadeeja jadi tersudut sendiri.
“Ba… baik datuk. Eh, maaf! Pa… pa.” Tergagap-gagap Khadeeja hendak panggil Datuk Akil papa. Berbelit-belit lidah. Susah dia hendak anggap Datuk Akil sebagai bapa, sementelah dia tidak mempunyai ayah. Kebiasaan membuatkan dia sukar menerima sesuatu yang datang secara mendadak.
Datuk Akil mengangguk. “Selamat malam.” Ucapnya tenang.
Khadeeja terpanar. Datuk Akil ucap selamat malam padanya?
Datuk Akil mendaki tangga, berjalan di sebelah Khadeeja yang masih tercengang di kaki tangga. Tergeleng-geleng Datuk Akil melihat tingkah Khadeeja Bagaimana anaknya yang liar mengalahkan kuda tersesat boleh jumpa gadis sepolos Khadeeja?
“Tidur, Khadeeja!”
Terkejut Khadeeja melihat Datuk Akil sudah berada di tingkat atas. Lajunya Datuk Akil naik tangga. Datuk Akil daki anak tangga satu persatu ataupun Datuk Akil terbang macam Superman?
Tak boleh jadi ni! Cepat-cepat Khadeeja mendaki anak tangga. Lalu terburu-buru masuk ke dalam bilik Mad.
Khadeeja berbaring di atas tilam empuk Mad. Hanya sedikit ruang diambil di atas katil itu kerana Khadeeja tidak biasa tidur di tempat luas.
PROLOG • BAB 1 • BAB 2 • BAB 3 • BAB 4 • BAB 5
BELI NOVEL KUUKIR HANYA NAMAMU (PENULIS: AK RAFFHAN)