CAHAYA pagi menyeruak masuk ke dalam bilik melalui dedaun tingkap yang terbuka. Tetingkap tanpa jeriji besi itu melebar sempurna, memberi ruang kepada matahari memancarkan sinarnya yang garang.
“Argh!”
Mad memegang kepala yang sakit. Tak jadi bangun, dia kembali rebahkan tubuh yang tidak berbaju. Kebiasaan sewaktu tidur yang dia tidak suka memakai baju.
Dari celahan mata yang sedikit terbuka Mad melihat kamar yang sedang ditempatinya. Warna gelap lebih banyak mendominasi menampakkan sisi maskulin. Cadarnya berwarna coklat gelap, tidak bercorak.
Bau wangi tercium oleh deria baunya. Paduan aroma kayu manis dan citrus. Bau yang tidak asing bagi dirinya.
“Dah bangun?”
Mad menoleh ke asal suara. Iskandar! Patutlah bau wangi itu tidak asing. Masakan tidak, boleh dikatakan setiap hari hidungnya mencium bau itu. Huh, yang kejam buka tingkap dan selak langsir pasti Iskandar juga.
Setan! Mad menyumpah di dalam hati.
“Hurm, kau?”
“Habis kau ingat siapa yang nak sambut kau tengah hari buta macam ni? Perempuan seksi pakai lingerie merah?” Soal Iskandar sinis sambil melebarkan lagi bukaan langsir.
Dia sengaja berbuat demikian. Biar padan muka Mad. Niat di hati nak balas dendam pasal kes semalam.
Sewaktu di dalam kereta semalam, belum sempat dia berhentikan kereta Mad muntah. Habis tempat duduk dengan pelapik kaki. Tak pasal hari ini dia kena cuci kereta. Dia paling pantang kereta dia kotor. Orang makan dalam kereta pun dia tak suka, inikan pula bila mereka muntah.
Tak tahu ke kereta itu harta yang paling disayang Iskandar? Kereta itu lebih berharga daripada seluruh wanita yang pernah menemani malam-malam sepi Iskandar. Hatta kalau wanita yang paling cantik diletakkan di sebelah keretanya, dia akan tetap memilih keretanya.
Belum cukup dengan muntah dalam keretanya, Mad muntah pula di ruang tamu apartmen. Kali ini permaidani mahal dia pula yang jadi mangsa. Tak guna betul! Menyusahkan dia saja.
“Pukul berapa?”
“11:30 pagi.”
Pukul 11:30 pagi dah? Nak masuk tengah hari rupanya. Lama sangat dia tidur. Memang patut kepala dia sakit bagai nak pecah. Dengan hangover yang belum hilang, lengkap penderitaan dia hari ini.
“Telefon aku mana?”
Iskandar senyum senget. Dia ambil telefon pintar Mad lalu dilemparkan di atas katil.
“Celakalah kau ni!” Sumpah Mad kerana telefon itu nyaris terkena kepalanya.
Iskandar ketawa terbahak-bahak. Rugi betul telefon tersebut tak kena muka Mad, biar hilang kacak. Baru puas hati dia.
Iskandar direnung tajam. Iskandar tak peduli dengan reaksi Mad. Dia terus ketawa. Tak ada langsung perasaan bersalah. Alah, tak kena pun! Tak payah nak heboh sangatlah.
Tidak mahu menambahkan sakit hatinya, layar telefon digeser. Paparan layar tidak menunjukkan sebarang notifikasi. Tidak ada sesiapa yang mencarinya malam tadi?
“Semalam kau ada jawab call aku?”
“Call dari siapa?”
“Siapa-siapa ajelah!”
Mad mula rasa bengang. Banyak soal sungguh. Jawab ajelah. Tak susah pun soalan itu. Tinggal jawab ada dengan tak ada saja.
“Tak ada.”
Bagi memastikan Iskandar tidak menipu, Mad semak daftar panggilan. Iskandar benar. Khadeeja langsung tidak mencarinya. Hah, dah kenapa dia mengharapkan Khadeeja mencarinya? Dia juga yang kata dia tak rela dengan gelaran suami Khadeeja, bila Khadeeja tak mencarinya dia berasa hampa.
Apa yang dia harapkan sebenarnya? Bahawa isteri yang baru dinikahi kerisauan menunggunya di rumah, selayaknya seorang isteri menunggu suami yang tak pulang-pulang? Itukah yang diharapkannya?
No! Bagus Khadeeja tak cari dirinya. Dia pun tak rasa dia seorang suami. Namun, perasaan hampa itu masih begitu besar. Dia jadi bingung. Baru sehari dia sudah keliru dengan watak suami yang disandang. Dia rasa hatinya seperti sedang memainkan peranan seorang suami yang sebenar.
“Kau tunggu siapa call?”
“Adalah!” Mad menjawab malas.
Hati Mad menyeru nama Khadeeja. Menyentuhnya saja belum tetapi hatinya sudah mula berdenyut-denyut tak tentu arah. Sentuh dalam erti kata sebenar. Dia belum lupa ciuman paksa yang dicuri dari Khadeeja semalam.
Bibirnya tiba-tiba terukir senyum. Kalau lambat dia lepaskan bibir mereka semalam, pasti bengkak bibirnya digigit Khadeeja.
Bibir manis itu….
“Mad, who is Khadeeja?”
Iskandar baru teringatkan nama itu. Alang-alang Mad dah agak waras, bolehlah dia mulakan soal-siasat. Waktu mabuk pun boleh sebut nama perempuan, pasti ada sesuatu.
Mad yang masih terkenangkan manis bibir Khadeeja tidak mendengar soalan itu. Tanpa dapat dicegah otaknya membawa ingatannya kepada seraut wajah milik Khadeeja.
Oh, my god! Khadeeja again!
Mad dan Iskandar berbaring di atas katil yang sama. Mereka merenung siling bilik. Ketika Iskandar nampak siling bilik itu tetap sama jadi siling, Mad pula nampak wajah polos Khadeeja yang sedang terlena.
Ya ALLAH! Mad rasa dirinya seperti sedang gila bayang. Susah sangat hendak hilangkan bayangan wajah Khadeeja.
“Bro, who is Khadeeja?” Suara Iskandar menerjah gegendang telinga Mad.
“Siapa?”
“Khadeeja.”
“Apa yang Khadeeja?”
“Who is she?”
Kenapa Iskandar tanya tentang Khadeeja? Dia ada cakap apa-apa ke semalam? Ada tersasul sebut nama Khadeeja? Jangan-jangan dia meracau bukan-bukan.
Aduh! Kepala Mad yang sakit bertambah sakit memikirkan Khadeeja. Kenapa Khadeeja muncul dalam hidup Mad?
“Mad!”
“Diamlah! Mad! Mad! Macam Qaseh dah kau ni!” Bentak Mad marah.
Sumpah kepala Mad serasa hendak pecah. Mad pejamkan mata. Kalau begini terus macam mana dia hendak balik ke rumah keluarganya?
“Argh!” Mad menggeram kuat. Rasanya dia perlu tidur sekejap bagi mengumpul separuh nyawanya yang terbang melayang.
“Mad!” Iskandar tepuk bahu Mad.
Mad tak bergeming. Matanya terpejam. Nafasnya turun naik bersama dengkuran halus menandakan dia telah tidur.
Iskandar mengeluh perlahan. Tak terungkai misteri nama Khadeeja.
Siapa agaknya Khadeeja? Namanya seperti nama gadis baik-baik. Misteri sungguh hidup Mad sekarang.
Iskandar menatap Mad yang mula mengeluarkan dengkur halus. Jika lihat muka Mad waktu tidur memang terlihat polos. Tak siapa akan menduga kebejatan Mad di sebalik wajah polos Mad sewaktu tidur.
Muka Mad teduh ala-ala ustaz.
Sayang sungguh Mad tak pernah menggunakan aura baik yang Mad miliki dengan sebaik-baiknya. Tampang malaikat tapi perangai sebijik macam syaitan.
GEMERICIK bunyi air menandakan seseorang sedang menggunakan bilik air. Mad melabuhkan duduk di birai katil menghadap pintu bilik air yang tertutup rapat. Menunggu Khadeeja keluar sambil sesekali memicit dahi.
Selepas dia dihantarkan sebuah teksi ke kelab malam tempat dia meninggalkan kereta, dia terus pulang ke rumah ibu bapanya. Memandu kereta dalam keadaan pening-pening lalat. Hangovernya belum sepenuhnya hilang.
Dipaksakan mata agar tetap celik. Dia hendak sampai cepat ke rumah. Tak sabar hendak melihat Khadeeja. Demam lagi ke Khadeeja?
Tiada sesiapa di rumah sewaktu dia sampai, hanya ada pembantu rumah. Semua orang sibuk dengan rutin harian masing-masing. Dia seorang yang membuang masa hampir satu hari tanpa berbuat apa-apa.
Mad menoleh apabila bunyi tombol pintu dipulas terdengar. Khadeeja keluar dengan berpakaian lengkap dan bertudung.
Tak rimas ke pakai tudung masa rambut basah? Tak sayang rambut betul. Berbuah nanti baru padan muka!
Khadeeja menyidai tuala yang baru digunakan untuk mengelap tubuh. Kemudian gadis itu beralih mengambil kain berwarna putih.
“Aku duduk kat sini dari tadi dia langsung tak tegur. Tak nampak ke buat-buat tak nampak? Well, let me test you my dear, Khadeeja.”
Wah, macam best saja panggil Khadeeja macam tu. Mad menyeringai licik.
Dia bangun menghampiri Khadeeja yang sedang membentangkan sejadah. Oh, dah tahu arah kiblat!
“Ehem!” Mad berdeham keras di sebelah telinga Khadeeja.
“ALLAH!” Khadeeja spontan terjerit.
Tepat seperti yang Mad jangkakan Khadeeja terkejut beruk disergah Mad. Reaksi terkejutnya memang lucu. Sampai terbaling telekung di tangan. Terkejut sangat tu!
Mad mengekek gelakkan Khadeeja sambil mengutip telekung yang terpelanting. Nasib baik kain telekung aje, kalau objek keras tadi? Tak dapat Mad bayangkan jika terkena dahinya. Sebulan koma agaknya. Itu kalau koma, kalau jalan terus? Niaya!
Wajah Khadeeja merona melihat Mad.
Bila Mad pulang? Sungguh Khadeeja tak perasan.
Kepalanya diraba. Fuh, nasib baik pakai tudung!
“Kenapa? Takut sangat kalau aku tengok rambut kau? Haram ke aku tengok kau? Eh, kalau kau bogel sekalipun aku boleh tengoklah! Ke kau tak tahu aurat suami dengan isteri macam mana?”
Berdesing telinga Khadeeja mendengar sindiran Mad. Memanglah seluruh tubuhnya tak haram dilihat Mad tapi dia belum sanggup memberi tayangan percuma pada seorang lelaki, walaupun lelaki itu suami sahnya.
Mereka terpaksa kahwin, Mad dah lupa ke? Bukannya mereka menikah kerana aturan keluarga secara rela. Segalanya berlaku kerana paksaan. Dia tidak begitu naif hendak mengikut telunjuk seorang lelaki yang dia belum percaya.
“Nah.” Telekung dihulurkan. Teragak-agak Khadeeja ambil.
Mad duduk semula di birai katil. Matanya tetap ditujukan pada Khadeeja. Enggan memutuskan kontak matanya. Khadeeja selesai memakai telekung lalu menoleh sekilas padanya.
“Awak tak nak solat?” Takut juga sebenarnya hendak bertanya. Tapi, kalau tak tanya dia rasa berdosa. Walaupun dia baru lepas kutuk Mad, dia tahu sebagai seorang isteri sekurang-kurangnya dia kena bertanya.
Mad angkat sebelah kening. Khadeeja masih berdiri memandangnya.
“Nanti-nantilah.” Mudah jawapannya.
“Kenapa nak tangguhkan solat? Bukannya awak ada buat kerja lain. Solat tu tiang agama. Sekali tinggalkan solat asar, awak tahu tak….”
“Amboi, aku bagi betis kau nak paha pula ya?” Pintas Mad tak membenarkan Khadeeja menamatkan bicaranya.
Boleh tahan juga budak kecik ni. Nampak macam pendiam, tak sangka berani menegurnya. Ingatkan akan menurut saja cakapnya, diam-diam ada bakat membebel.
Macamlah dia bodoh sangat tak tahu dosa meninggalkan solat. Dia pun belajar agama juga. Rasanya ilmu dia lagi tinggi dari Khadeeja. Tanya soalan apa pun dia pasti boleh jawab. Tak mengamalkan tak semestinya dia tak tahu. Bagi Mad untuk apa dia solat tonggeng terbalik jika dia belum mampu meninggalkan semua perbuatan kejinya.
Lagipun dia masih muda. Banyak lagi peluang untuk dia bertaubat. Sementara dia masih muda inilah dia hendak enjoy puas-puas. Bila dah tua, agak-agak dah sampai seru baru dia bertaubat.
“Kau jangan nak banyak cakap. Tak payah nak bagi ceramah. Solat ajelah dah orang bagi solat tu. Aku tak bagi kau solat baru kau tahu. Banyak aje bunyi. Nak ke aku suruh kau buka telekung tu, lepas tu datang layan aku atas katil ni. Nak?” Suara Mad kedengaran menggertak. Mad belum bangun, Khadeeja sudah berundur sedikit ke belakang. Terkejut kerana suara Mad tiba-tiba berubah nada.
“Kau tahu dosa orang tak solat. Mesti kau tahu dosa perempuan yang tolak ajakan suami kan? Muka kau ni nampak macam spesies perempuan yang ada cita-cita nak jadi isteri misali. Betul tak?” Mad semakin berani melontarkan kata-kata. Suka pula dia melihat wajah Khadeeja yang pucat. Tahu pun takut!
Apa Khadeeja nak jawab? Mad tengah bergurau aje kan. Takkan Mad kejam sangat sampai tak bagi dia solat. Dahlah dia dah buat dosa, nak bagi tiket percuma pada Khadeeja juga ke?
“Tunggu apa lagi!”
“Hah? Err mana boleh tak bagi saya solat. Orang sakit pun wajib solat, inikan pula kita yang sihat fizikal dan mental. Berdosa kalau tak buat tanpa alasan yang dibenarkan. Kalau awak tak bagi saya solat awak dah dapat dua dosa. Pertama awak berdosa sebab melarang saya menunaikan tanggungjawab pada ALLAH. Kedua sebab ….”
Khadeeja gigit bibir. Mukanya merah. Tak sanggup nak habiskan ayat.
“Sebab apa?” Kening Mad terangkat.
“Sebab awak suami saya. Sepatutnya awak yang jadi imam saya, pimpin saya. Bukannya larang saya bila saya nak solat.” Malu-malu Khadeeja menjawab.
Mad terangguk-angguk. “Aku ingat kau tak sedar aku suami kau. Tak solat kau kata dosa tapi tak dengar cakap suami kau tak hairan pun.”
Mad menyeringai sinis. Baringnya diselesakan. Kemudian dia merenung tajam wajah Khadeeja.
“Dah, solat cepat! Banyak cakap pula. Aku rasa aku bukan kahwin dengan ustazah,” getus Mad sinis membuatkan wajah Khadeeja semakin merah.
Malu ditegur Mad. Ustazah saja ke yang boleh menegur perbuatan mungkar? Seorang isteri tak layak tegur suami yang ingkar perintah ALLAH? Tak kiralah Mad nak dengar ke tak. Yang penting dia dah cuba tunaikan amanah sebagai orang Islam.
“Kau tak jadi solat? Nak baring dengan aku?” Soal Mad apabila melihat Khadeeja tidak bergerak seperti patung. Berdiri tegak di atas sejadah bergambar Kaabah yang terbentang menghadap kiblat.
Khadeeja lekas-lekas memusingkan badan. Memulakan solatnya yang tergendala. Tak tahu mampukah solatnya khusyuk jika ada mata yang tajam merenung.
Mad memerhatikan setiap pergerakan solat yang dilakukan oleh Khadeeja. Tidak ada satu pun yang ketinggalan.
Sudah berapa lama agaknya dia tidak mengangkat takbir? Mad sendiri sudah tak ingat. Bukan mama dan papa tidak pernah solat di rumah ini. Malah jika hendak diikutkan mama dan papa memberikan pelajaran agama yang cukup kepada Mad dan Qaseh. Dia saja yang pilih hidup dalam kejahilan. Kadang-kadang timbul penyesalan kerana menjebak diri ke dalam sebuah kemungkaran, tetapi dia belum terpanggil untuk bertaubat. Kesedaran itu tidak ada.
Khadeeja sudah sampai ke sujud yang terakhir. Mad masih ralit memerhati ketika tangan kecil itu menadah tangan sambil mulut terkumat-kamit membaca doa. Diperhatikan sehingga Khadeeja selesai menunaikan kewajipannya.
“Khadeeja.” Khadeeja yang sedang membuka telekung memandangnya.
“Sini.” Tilam ditepuk.
Lambat-lambat Khadeeja melipat telekung. Badannya membelakangi Mad.
“Baru aje kau sebut pasal dosa dengan aku. Sibuk dengan dosa aku tak solat. Yang kau tu suami panggil tak menyahut, tak rasa berdosa ke?”
Mad ejek dia ke?
Khadeeja yakin Mad sedang tersenyum saat ini. Sengaja lelaki itu mengungkit. Dengan seribu keraguan yang membelit hati, Khadeeja melangkah tertunduk menghampiri katil di mana suaminya sedang menunggu.
Haih, suami! Seriau sungguh hendak sebut.
“Duduk sini!” Mad menepuk tempat kosong di sebelahnya.
Dia menggeserkan tubuh bagi memberi ruang pada Khadeeja. Apa susah sangat bini dia ni nak dengar cakap? Suruh duduk aje pun!
Mad yang tak sabar menarik tangan Khadeeja. Khadeeja meronta-ronta minta dilepaskan. Niat di hati nak tarik tangan Khadeeja supaya duduk boleh pula Khadeeja termasuk dalam pelukannya. Dia apa lagi? Memang tak lepaslah jawabnya.
“Kau duduk tak diam, sekarang juga aku habiskan kau!” Mad memberi amaran.
Khadeeja terdiam. Barulah syok peluk setelah tiada lagi penolakan dan bantahan.
Mad menarik tubuh Khadeeja ke dadanya. Mencium aroma teh hijau yang masih melekat pada tubuh Khadeeja. Sejak bila gel mandian Mad jadi sewangi ini? Semerbak memenuhi deria baunya.
“Kau, wangi.” Serak suara Mad berbisik di telinga Khadeeja.
Khadeeja pejamkan mata. Berusaha sekuat hati untuk tidak memberontak sewaktu tangan Mad yang kekar lagi besar mengusap belakangnya secara naik turun perlahan-lahan. Rasanya ingin saja Khadeeja menendang Mad sampai terpelanting ke planet Marikh. Mengenangkan amaran Mad, Khadeeja tak mampu melakukan perintah yang terjerit-jerit dalam mindanya, yang minta dilakukan dalam kadar segera.
Badannya dikeraskan ketika tangan Mad hinggap pada ubun-ubunnya. Mujur ada tudung!
“Rimaslah aku!” Mad menjauhkan tubuh kecil Khadeeja dari tubuhnya.
Dahi Mad mengernyit menghasilkan lipatan halus pada dahinya. Mad tudingkan jari pada kepala Khadeeja. “Buka!”
Aduh! Khadeeja faham maksud dan arahan Mad namun Khadeeja enggan bersetuju. Bagaimana cara hendak melarikan diri daripada suami tampannya ini?
“Kau pekak ke?”
Oh, TUHAN! Bisa tidak KAU selamatkan hamba-MU ini?
“Kau ni boleh tahan degil ya. Belum apa-apa dah pandai menjawab cakap suami. Kau sedar tak isteri yang ingkar cakap suami tu bukan saja berdosa tapi tak cium bau syurga,” ujar Mad tetap dengan muka datarnya. Di hujung bibir lelaki itu, Khadeeja menangkap seringai licik.
Wah, Mad cakap pasal syurga dan neraka! Seketika Mad berasa kagum dengan dirinya. Tak sampai sejam dia bertemu Khadeeja, dia sudah boleh mengingat syurga dan neraka? Ini petanda baik atau buruk mengingat entah sampai bila dia harus bersama gadis lugu ini.
“Kau tak nak buka ya? Baik! Dengan segala hormat dan takzimnya suamimu ini bersedia untuk berkhidmat padamu aduhai isteriku. Bukan hanya membuka tudungmu itu, bahkan melucuti pakaianmu juga sanggup aku lakukan.” Mad terkekeh di hujung bicara melihat Khadeeja kembali meronta. Wajah cerah itu pucat persis baru mendengar musibah paling buruk.
Mad semakin galak tertawa. Seronok sekali mengusik isteri naifnya. Lebih-lebih lagi kerana Khadeeja meronta tanpa suara.
Tangan Mad bersedia untuk menarik….
Tangan Khadeeja memegang hujung tudungnya.
Satu … dua … tiga ….
“Abanggggg!”
Gedebum! Mad tergolek jatuh ke bawah katil. Tindakan spontan Khadeeja kerana terkejut mendengar laungan di sebalik pintu kamar mereka. Tendangan padu tepat pada perut Mad.
Oh, Qaseh! Terima kasih, TUHAN!
Khadeeja melompat turun dari katil. Menoleh sekilas pada Mad yang terduduk di atas lantai sambil mengusap lembut punggungnya.
“Maaf, saya tak sengaja,” ucap Khadeeja halus sebelum mencicit lari meninggalkan Mad yang sedang berusaha bangun. Cepat tangan kecilnya memulas tombol pintu sebelum sempat tangan Mad meraih bahunya.
Di belakang badan Qaseh, Khadeeja menyorok. Membiarkan Mad menggeram menatap Qaseh dengan pandangan sebal. Baru saja dia hendak bermanja dengan isterinya sudah diganggu pula. Hilang sudah keseronokan yang dirasakan sebentar tadi.
“Apa?” Tanya Mad dalam nada bengang pada Qaseh. Bila masa budak ni balik? Tadi bukan Qaseh tak ada kat rumah ke?
Qaseh mencebik. Apa kena entah laki bini ni petang-petang main kejar-kejar? Kenapa Khadeeja menyorok di belakang dia?
“Mama ajak minum petang.” Qaseh menjeling Khadeeja di belakangnya.
Wajah gadis itu merah sambil mulut tertutup dengan sebelah tangan. Khadeeja tengah tahan gelak ke?
Qaseh beralih pula pada Mad, juga sedang berdiri dengan muka merah. Muka Mad lebih terlihat kemerahan kerana marah. Qaseh kenal sangat pandangan dengan bola mata berkobar menahan marah itu.
Mad marahkan siapa sebenarnya? Khadeeja yang sedang menyorok di belakangnya sambil menahan tawa atau Mad marahkan Qaseh kerana mengganggu pasangan pengantin baru ini bercengkerama?
Yaiks! Pengantin barulah sangat. Geli-geleman Qaseh menyebutnya.
Dengan cekatan Qaseh menarik tangan Khadeeja. Meninggalkan Mad yang sedang geram. Menyumpah seranah di dalam hati. Memikirkan cara untuk membalas dendam yang paling indah.
Kurang asam punya bini! Siap kau malam nanti Bentak hati Mad geram. Sakit kut punggung dia!
PROLOG • BAB 1 • BAB 2 • BAB 3 • BAB 4 • BAB 5
BELI NOVEL KUUKIR HANYA NAMAMU (PENULIS: AK RAFFHAN)