MENCUKA muka Datin Saloma. Berbincang dengan Mad ibarat mencurah air di daun keladi. Keputusan yang diharapkan tak dapat, hati jadi bertambah sakit.
“Papa!” Datuk Akil jadi sasaran. Diam saja dari tadi. Tak boleh ke bersuara sikit? “Cakaplah sesuatu!”
Datuk Akil masih diam. Duduk tenang di sebelah Datin Saloma.
Datin Saloma merengus. Tak puas hati dengan dua beranak yang tak endah dengan suaranya. Baik papa dengan anak, sama saja perangai. Dua-dua degil.
“Mad, kenapa nak bawa Khadeeja keluar? Kan elok kalau duduk dekat rumah ni. Rumah ni besar. Bilik banyak. Lagipun boleh Khadeeja temankan mama. Orang lain dekat rumah ni tak pernah tak busy. Tinggal mama sunyi sorang-sorang. Mad tak kesiankan mama ke?” Rungut Datin Saloma dengan suara sayu.
Baru dia hendak bergembira ada menantu yang boleh temankan dia di rumah, alih-alih malam ini kegembiraannya diragut. Mad memberitahu hasrat nak bawa Khadeeja tinggal di apartmen.
Mad dan Khadeeja berlaga pandang. Khadeeja mengunci mulutnya rapat, tak nak komen apa-apa. Keputusan keluar dari rumah ini adalah keputusan Mad. Sebagai isteri solehah, kononnya, dia ikut saja asalkan Mad tak suruh dia buat benda haram.
Lagipun dia agak bersetuju mereka keluar dari rumah ini kerana ini adalah untuk kebaikan bersama. Memandangkan mereka belum tahu untung nasib rumah tangga mereka, lebih baik jika mereka jauh dari keluarga. Jika berlaku sesuatu yang tidak diingini, maka tidak perlulah hal itu sampai melibatkan keluarga.
“Apartmen tu kecik, Mad. Tak selesa. Kenapa Mad nak jugak duduk situ?
Mad tergelak. Apartmen dia kecil? Biar betul Datin Saloma ni! Mahal kut dia beli apartmen tu. Balkoni pun luas. Kalau nak main kejar-kejar tanpa melanggar perabut pun boleh lagi.
“Mama, Mad dengan bini Mad ni bukannya besar sangat. Cuba mama tengok Khadeeja.” Kepala Khadeeja ditepuk-tepuk. Cepat isterinya merona. “Ketot je kan?”
Melihat Datin Saloma terjegil, Mad ketawa kecil.
“Apa buat kepala isteri macam tu?”
“Mad buat apa? Mad tepuk manja, bukan tepuk sakit.” Bibirnya mengulum senyum. Sementara itu sempat dia usik pipi Khadijah yang kemerahan. Khadeeja segan dilayan mesra oleh Mad.
Datin Saloma mendengus. Namun, sejuk hatinya melihat layanan Mad pada Khadeeja.
“Lagipun kami berdua aje. Duduk rumah besar istana buat apa? Apartmen Mad tu dengan rumah kita ni bukan jauh sangat. Kita ni tinggal dalam bandar yang sama aje mama, bukan Mad nak bawa Khadeeja pindah dekat Afrika sana!”
Panjang muncung Datin Saloma. Ingat senang nak pujuk hati dia?
“Mama tetap tak setuju Mad bawa Khadeeja duduk dekat apartmen. Dulu masa Mad duduk situ Mad bujang. Sekarang Mad dah kahwin. Rumah macam tu tak sesuai untuk orang yang dah berkeluarga. Mad tahu tak sejak akhir-akhir ini berapa ramai budak yang jatuh dari apartmen tinggi? Mama risau!”
Mad memandang wajah Datin Saloma dengan pandangan pelik. Budak yang dikatakan Datin Saloma tu merujuk kepada Khadeeja ke? Walaupun Khadeeja ni cekeding dan nampak macam budak sekolah, dia dah akil baligh kut. Umur pun dah sembilan belas tahun. Tak patut betul Datin Saloma fikir macam tu.
“Mama maksudkan anak Mad dengan Khadeejalah! Yang tengok mama pelik macam tu, kenapa?”
Hah? Anak Mad dan Khadeeja? Jauhnya Datin Saloma fikir!
“Mad….” Makin sayu Datin Saloma.
Tak sampai hati pula Mad tengok muka mamanya. Namun, untuk dia ubah keputusan memang mustahil. Dia tak rasa tinggal dengan keluarga adalah satu pilihan yang bijak. Sementelah dia belum lagi mendapat ilham kesudahan rumah tangga yang dibina bersama Khadeeja. Sekiranya hubungan mereka bermasalah di kemudian hari, dia harap hal itu tidak akan melibatkan orang lain. Justeru itu dia memilih hidup berdua saja dengan Khadeeja supaya senang dia membuat keputusan yang terbaik.
“Papa….” Datin Saloma mula merengek.
Tak risau ke Datuk Akil dengan keputusan Mad? Pernikahan Khadeeja dan Mad tidak berlangsung secara normal. Mereka menikah kerana terpaksa, bukannya kerana saling mencintai. Datin Saloma paling risau Mad akan mempersiakan Khadeeja.
Dia juga mempunyai anak dara. Seperti mana dia tidak mahu nasib buruk menimpa Qaseh, seperti itu juga dia tidak mahu Khadeeja mengalami nasib yang tidak elok. Apatah lagi jika yang membuat angkara itu anak lelakinya sendiri.
“Bila Mad nak bawa Khadeeja pindah?” Barulah Datuk Akil bersuara setelah sekian lama mendiamkan diri.
“As soon as possible. Kalau boleh malam ni juga.”
“Jangan nak merepek!” Tegah Datuk Akil. “Nak buat gila pun tunggu hari siang! Macam dah tak ada siang nak keluar malam-malam macam ni. Yang tak senang duduk dekat rumah ni, kenapa?
Papa bagi Mad warning! Dah bawa Khadeeja keluar, make sure jaga isteri elok-elok. Jangan nak buat perangai tak senonoh macam belum kahwin. Ingat, isteri tu amanah paling besar yang TUHAN bagi. Kalau baik suami, baiklah juga isterinya!”
Mad terpaksa tadah telinga mendengar syarahan Datuk Akil. Sekali-sekala berleter memang akan panjanglah bicaranya. Mad nak buat apa lagi? Dengar ajelah. Nak bangkang, apa yang Datuk Akil cakap satu kenyataan.
Tak kisahlah dia nak ikut atau tak, tapi apabila sesuatu yang dikatakan oleh mereka kepadanya betul, dia tidak akan membangkang. Sekurang-kurangnya dia akan menunjukkan rasa hormat dengan tetap mendengar.
Datin Saloma dan Khadeeja jadi pendengar. Datin Saloma sudah pasti tidak puas hati kerana suaminya menyokong keputusan Mad. Bila Datuk Akil sudah memberi sokongan, maknanya dia sudah tidak boleh menggoyahkan keputusan yang telah dicapai.
“Papa tak ada halangan kamu nak bawa Khadeeja duduk apartmen tapi papa nak kamu janji sesuatu….”
Aduh, janji apa pula ni? Mereka bukan sedang berbincang urusan perniagaan sampai hendak memeterai janji bagai.
“Mama dan Khadeeja jadi saksi.”
Datuk Akil dah keluar mood serius. Mad mula rasa tak sedap hati. Tolong jangan minta dia janji bukan-bukan. Sebagai anak jantan bila sudah berjanji, wajib ditepati. Buatnya Datuk Akil suruh Mad bertaubat hari ini juga, habislah nafsu serakahnya hendak dilampiaskan ke mana?
Takkan hendak bantai Khadeeja? Boleh ke Khadeeja? Nampak macam tulang saja yang ada. Kalau patah riuk tulang Khadeeja sewaktu melayannya, macam mana?
Datuk Akil berdeham sebelum kembali menyambung bicara. “Kalau nanti isteri kamu berbadan dua, papa nak kamu pindah rumah lebih layak, yang bertanah.” Dia berjeda sebentar. “Tak pun pindah saja ke sini semula. Rumah ini cukup besar untuk menampung kamu dan anak-anak kamu,” sambung Datuk Akil lancar.
What? Mad dan Khadeeja terperangah.
Anak? Apakah? Buat projek pun belum. Anak turun dari langit ke?
Bayi ajaib yang boleh muncul dalam rahim hasil daripada doa? Well Khadeeja bukan Mariam, wanita suci yang melahirkan seorang nabi.
Pindah rumah lebih layak dan bertanah bukan sesuatu yang sukar untuk dilakukan. Tinggal melaburkan wang ringgit saja. Sedikitpun tidak menjadi masalah bagi Mad. Semudah memetik jari.
Namun, untuk soal anak? Huh, Mad hela nafas panjang. Rengkung rasa tersangkut. Bagai ada beban yang menghalang pernafasannya. Bagaimana hendak memiliki anak, merancang kehidupan dengan Khadeeja pun belum?
“Mad!” Datin Saloma menepuk keras paha Mad.
“Apa, mama? Sakitlah.” Selamba Mad tarik tangan Khadeeja lalu dibawa mengusap pahanya yang ditepuk oleh Datin Saloma sebentar tadi. Keras tangan Khadeeja di pahanya. Wajah isterinya itu merona kemerahan. Mudahnya nak buat pipi Khadeeja merah. Dia geram nak cium!
Datin Saloma senyum simpul. “Mama nak cucu cepat.”
“Cucu?” Mad menoleh pantas kepada mamanya. Tangan Khadeeja tetap digenggam.
“Mama ingat buat anak tu macam beli baby doll dekat mall ke? Hari ni buat, esok terus jadi?” Tempelak Mad sambil menyeringai.
Topik yang boleh dikatakan agak menyenangkan kerana dengan itu Mad boleh melihat Khadeeja tak senang duduk. Ada peluang dia nak kenakan Khadeeja semula. Dia dendam lagi gara-gara punggungnya terbentur lantai. Belum lagi kaki Khadeeja yang menggunakan kekerasan.
Isteri tendang suami? Sangat tak patut. Mujur terkena perut, kalau kena asetnya? Siaplah Khadeeja bertanggungjawab buat seumur hidup.
“Sebab tu mama sarankan usaha lebih sikit. Awak tu dah tiga puluh lebih. Nanti awak dah tua, anak kecik-kecik lagi. Guna peluang dapat isteri muda belia macam Khadeeja ni untuk timang anak cepat-cepat,” balas Datin Saloma tak kurang pedas.
Sengaja mengingatkan umur Mad yang tidak lagi muda. Dah elok sangat ada anak. Nama Khadeeja yang turut disebut menjadikan telinga gadis itu berdesing.
Mad sudah tiga puluh lebih? Serta merta Khadeeja memerhati wajah Mad. Tak nampak macam tiga puluh pun! Awet muda kut suaminya. Wajahnya langsung tidak menggambarkan usia yang sebenar.
“Relakslah, mama. Muda lagi ni. Masih power!” Ujar Mad bangga sambil menepuk dadanya. Sebelah matanya mengenyit pada Khadeeja. Bertambah malu isterinya.
Datin Saloma mencebik mendengar keangkuhan Mad. Berlagak betul! Belum terbukti, bolehlah cakap besar. Kita tengok saja nanti. Semoga cepat hasil perkahwinan mereka, cepatlah pula nanti Datin Saloma menimang cucu.
“Boleh ya Khadeeja bagi mama cucu cepat? Mama cemburu tengok kawan-kawan mama semua dah bercucu. Padahal umur anak mereka kebanyakan lebih muda daripada Mad. Malu pun ada juga kadang-kadang,” pujuk Datin Saloma beralih mengambil tempat duduk di sebelah Khadeeja.
Sambil itu dia menjeling Mad. Tak dapat pujuk Mad, dia hendak pujuk menantu polosnya pula. Dia yakin Khadeeja akan menurut.
Khadeeja senyum kecut. Dia hendak jawab apa? Takkan dia hendak jawab tak boleh?
Tak boleh, datin. Saya tak nak mengandung. Saya tak nak beranak. Kami kahwin pun terpaksa. Kalau boleh jadi isteri pun saya tak nak.
Hesy, tak mungkin Khadeeja berani jawab begitu. Antara mahu dengan tak rela, Khadeeja memaksakan kepalanya mengangguk.
“Janji ya?”
Alamak, kena janji pula? Khadeeja pandang Mad. Mad angkat bahu. Tanda memberitahu Khadeeja pandai-pandailah bagi jawapan sendiri.
Mad tidak sudi berjanji bagi pihak Khadeeja. Lambat-lambat dalam keraguan yang berselirat, Khadeeja mengangguk sekali lagi.
Senyum tipis terbit dari bibir Datin Saloma. Satu pelukan dan sebuah kecupan dihadiahkan pada dahi Khadeeja sebagai tanda terima kasih. Usul diterima. Tinggal usaha dan tunggu hasil sahaja lagi.
SATU persatu bajunya dimasukkan ke dalam beg kecil di atas katil. Mad meminta mereka berpindah secepat yang boleh. Jika tidak ditegah Datuk Akil, pasti malam ini juga Khadeeja mengikut kerja gila Mad.
Selesai berkemas, dia duduk di birai katil sambil membelai kain cadar di bawah punggung. Perbuatan kecil yang memberikan kesan tenang pada hatinya.
Saat ini hatinya sedikit pun tidak berasa bahagia. Rumah ini besar bagaikan istana. Begitu juga bilik Mad.
Jiwanya semakin sunyi. Dia sedang berada di suatu tempat yang tidak sepatutnya.
“Ibu…” Di kala jiwanya sunyi seperti ini dia selalu berharap Amira ada di sampingnya menjalankan tugas sebagai seorang ibu. Pasti hidupnya tidak akan sesunyi ini. Dia akan mempunyai tempat bergantung. Setidaknya dia dapat merasakan nikmat memiliki seorang ibu.
Dia menggenggam erat rantai di leher. Perbuatan yang sering dilakukan apabila dia mahu rasakan kehadiran Amira di sampingnya.
“Macam mana Eja nak bahagiakan diri Eja? Hati Eja tak boleh terima.” Hanya dengan Amira dibahasakan dirinya sebagai Eja. Ketika itu dia berasa seperti anak yang manja. Bermanja pada ibu yang telah tiada.
Ah, dia rindukan Amira!
Dia mengerjapkan mata yang berair.
Bunyi ketukan pada daun pintu yang sedikit terbuka mengalihkan perhatian Khadeeja. Wajah Datin Saloma terjengul di sebalik daun pintu yang terkuak lebar.
“Boleh mama masuk?” Senyum lebar terukir mesra.
“Masuklah, mama.” Kekok Khadeeja menjawab. Belum terbiasa lidahnya memanggil Datin Saloma, mama. Turut tersenyum membalas keramahan ibu mentuanya.
“Dah siap berkemas?” Datin Saloma memandang beg Khadeeja di atas lantai. Khadeeja mengangguk.
Datin Saloma duduk di sebelah Khadeeja. Memerhatikan dengan saksama wajah gadis yang baru sehari menjadi menantunya. Wajah yang membuat hatinya jatuh sayang. Dalam masa yang sama turut menerbitkan rasa simpati pada gadis naif itu ketika kali pertama melihatnya.
Hati tuanya mudah benar jatuh suka pada Khadeeja. Tidak perlu gadis ini berbicara banyak, cukup dengan menatapnya saja hati Datin Saloma sudah terpaut suka.
Alangkah molek seandainya Mad mampu menjaga Khadeeja dengan baik. Memperlakukan Khadeeja sebagai isteri dengan selayaknya.
“Mama berat hati nak lepaskan Eja.”
Damainya hati Khadeeja ketika Datin Saloma memanggilnya Eja. Begini agaknya lembut suara Amira jika Amira masih hidup. Tak pernah ada orang lain yang teringin panggil dia begitu. Hanya Datin Saloma yang sudi. Kerinduannya pada Amira semakin menebal. Datin Saloma bangkitkan rindu yang menggebu. Rindu yang tak pernah mampu dicurahkan.
Datin Saloma mengeluh. “Mama tak faham kenapa Mad nak pindah. Rumah ni dah cukup besar. Budak tu memang susah nak faham dia. Bila dah buat keputusan tak ada siapa dapat membangkang lagi. Sama macam papanya. Keras kepala!”
Khadeeja hanya diam. Tiada niat mahu membalas. Baik untuk menafikan mahupun membenarkan kekesalan yang ditumpahkan oleh Datin Saloma.
Sikap Khadeeja yang satu ini jugalah yang membuatkan Datin Saloma berat hati untuk melepaskan Khadeeja jauh dari pandangannya. Datin Saloma bimbang Khadeeja akan menjadi mangsa buli suami sendiri. Apalagi kaki mengusik seperti Mad.
Meskipun apartmen Mad dan rumah keluarga tidak jauh mana namun tetap juga Datin Saloma risau. Membayangkan pernikahan Mad dan Khadeeja tidak seperti orang lain saja sudah membuatkan Datin Saloma tidak sedap hati.
“Eja.”
Khadeeja mendongak lalu memandang Datin Saloma. Datin Saloma menarik tangan Khadeeja seraya menggenggamnya erat.
“Boleh mama minta Eja janji sesuatu?” Pandangan Datin Saloma penuh berharap.
Khadeeja tersenyum kecil seraya mengangguk. Terlalu banyak janji yang dipohon Datin Saloma. Kali ini apa lagi permintaan Datin Saloma?
“Mama harap apa pun yang terjadi, jika ada sebarang masalah sama ada dengan Mad atau sesiapa saja, Eja tak segan datang jumpa mama. Jangan pendam masalah Eja sendiri. Mama sentiasa ada untuk Eja,” ucap Datin Saloma sambil menatap Khadeeja sayu.
Dia suka memanggil Khadeeja begitu. Dia dapat merasakan Khadeeja juga suka namun tak ditunjukkan. Mata Khadeeja lebih bercahaya setiap kali dia memanggil Khadeeja, Eja. Gadis ini terlihat seperti gadis yang benar-benar kekurangan kasih sayang. Kasihannya!
Khadeeja terdiam. Hati kecilnya tersentuh dengan perhatian yang diberikan Datin Saloma. Baru kali ini dia berasa ada orang menyedari kehadirannya dan bersungguh menganggapnya ada. Sungguhpun begitu hatinya ragu untuk berharap lebih jauh.
Bimbang di kala hati semakin sayang, semuanya hanyalah sebuah mimpi semata-mata. Mimpi indah yang perlu dilepaskan kala terbangun di pagi hari.
“Eja, boleh kan?” Datin Saloma mengusap kepala Khadeeja.
Apakah jawapan yang harus Khadeeja berikan? Khadeeja takut mengukir janji kerana itu sama seperti memberi harapan palsu kepada wanita separuh abad yang sangat baik hati ini.
“Bolehkah mama berharap pada Eja?”
Pandangan sayu nan berkaca-kaca diberikan Datin Saloma. Khadeeja serba salah. Apakah dia punya pilihan? Menolak atau menerima?
Di dalam hati kecamuk seribu. Ibarat kata pepatah, ditelan mati emak diluah mati bapak. Tiada pilihan yang lebih baik. Kedua-duanya sama menyepit Khadeeja.
Tangan Datin Saloma yang sedang mengusap kepalanya semakin menghangatkan hatinya yang rapuh. TUHAN, bolehkah dia berharap sekali ini? Bolehkah dia menyambut kasih yang ibu ini hulurkan? Salahkah jika pada akhirnya Khadeeja meluluhkan hatinya yang kontang?
“Insya-ALLAH, mama.” Suaranya kecil dan halus. Tapi Eja tak mampu janji. Hati kecil Khadeeja berbisik lirih.
Datin Saloma senyum lebar sampai ke telinga. Bersyukur dengan jawapan tidak pasti yang diberikan Khadeeja. Tidak pasti Khadeeja akan menunaikan janji atau tidak, sekurang-kurangnya dia boleh terus berharap bahawa Khadeeja akan datang padanya di satu hari yang tepat.
PROLOG • BAB 1 • BAB 2 • BAB 3 • BAB 4 • BAB 5
BELI NOVEL KUUKIR HANYA NAMAMU (PENULIS: AK RAFFHAN)