Luruh Cinta Kerana Dia – Bab 1

“Kamu suami isteri sampai bila nak hidup macam ni? Orang lain yang kahwin sama tahun dengan kamu, dah beranak-pinak tiga empat orang anak pun. Kalau tanam pokok rambutan, silap-silap dah boleh makan hasil. Ayu, anak Teh Salamah yang kahwin pertengahan tahun lepas, pun dah bersalin dua bulan sudah. Kamu berdua tak pergi berubat dekat mana-mana ke?”

Belum pun sempat Athisah melabuhkan punggung, ibu saudara Shauqi sudah menyerangnya dengan soalan yang klise. Setiap kali ada kenduri-kendara, mahupun perjumpaan keluarga, itulah soalan yang paling popular. Malah jika terserempak di mana-mana, di pasar raya mahupun taman bunga, tidak dapat tidak, soalan itu jugalah yang akan ditanya. Sehinggakan kalau boleh mengelak, Athisah mahu menumpang bersembunyi dalam mana-mana lubang sehinggakan tiada sesiapa pun dapat mencarinya.

Athisah menarik nafas panjang. Walaupun soalan yang diajukan kepadanya bukanlah satu soalan yang baru, malah mungkin sudah beratus-ratus kali dia diasak dengan soalan yang sama, namun sedikit sebanyak hatinya tetap rasa terluka. Namun sedaya mungkin, senyuman manis cuba dilemparkan kepada wanita yang mempunyai hubungan darah dengan ibu mentuanya itu.

“Belum ada rezeki lagi mak alang.” Balasnya lembut.

“Kalau tak berusaha, mana nak datangnya rezeki tu. Si Ruby, anak mak alang tu, baru aje kahwin tiga bulan lepas, dah mula muntah-muntah pun. Kalau kena orang yang tanahnya subur, cepat aje lekat benihnya. Kalau kena tanah tandus, puas dibaja, jangan kata nak tumbuh, benih yang elok pun jadi sia-sia.” Balas Mak Alang Noriah beria-ia.

Habis tu, nak mengata aku tak suburlah ni? Athisah rasa mahu menjerit sekuat-kuat hati. Inilah antara punca dia sering mengelak jika diajak Shauqi untuk menemaninya ke majlis-majlis anjuran keluarga di sebelah suaminya, bimbang kalau-kalau hatinya tidak cukup kuat. Balik rumah nanti, yang menangis, dia juga.

“Alhamdulillah. Rezeki mak alang nak dapat cucu lagi.” Balas Athisah lemah. Hatinya sudah berdebar tatkala terpandang jelingan tajam dan wajah mencuka Hajah Naemah, ibu mentuanya yang duduk tidak jauh dari situ.

“Kamu tak usaha bersungguh-sungguh nak dapatkan anak ni… Main serahkan semuanya pada takdir. Kalau berusaha tak mungkinlah tak dapat sehingga sekarang!” Serkap Mak Alang Noriah lagi.

“Dah puas usaha mak alang. Cara moden kami dah cuba, cara tradisional pun dah merata tempat kami pergi. Makan ubat sudah, jamu sudah, berurut pun sudah. ALLAH belum nak beri rezeki pada kami lagi mak alang.” Pernah juga Athisah usulkan kepada Shauqi supaya mereka mencuba kaedah IVF yang dicadangkan oleh doktor. Namun kata Shauqi, sabar sahajalah, tunggu, kalau ada rezeki tidak akan ke mana. Tetapi jika keadaan seperti ini berterusan, Athisah pun tidak tahu, sehingga bila sabarnya akan bertahan.

“Keturunan kamu ada yang mandul?” Mak Uda Pidah, adik kepada ibu mentuanya pula menyampuk.

“Tak ada mak uda.” Athisah masih berlagak setenang mungkin.

“Atau kamu berdua ni tak pandai buat? Shauqi tak habis menuntut lagi agaknya…” Terdengar kekehan kecil keluar daripada mulut beberapa orang saudara-mara yang berada di situ. Lucu agaknya mendengar soalan yang diajukan oleh Mak Uda Pidah.

Athisah langsung tidak hairan atau pelik, memang Mak Uda Pidah itu cakapnya memang selalu lepas. Langsung tidak teragak-agak jika mahu bersuara. Langsung tidak pernah mahu memikirkan hati dan perasaan orang.

“Anak aku tu pandai aje buat. Dah dapat isteri yang macam kayu atas katil, nak dapat anak macam mana?” Hajah Naemah menyampuk. Sakit hati pula mendengar perihal kejantanan anaknya dipersoalkan orang.

“Kak Naemah ni macam tahu-tahu aje…” Provok Mak Uda Pidah lagi.

“Anak aku, aku tahulah! Orang nak dapatkan anak ni, bukannya bergantung pada suami semata-mata. Isteri pun kenalah pandai juga bila di atas katil tu. Ini kalau dah kaku, kejung macam batang kayu mati, nak dapat anak celah mana?” Lantang suara Hajah Naemah. Rasanya boleh didengari hingga ke depan. Matanya sempat menjeling Athisah yang kelihatan kucam wajahnya. Huh, sedihlah tu konon!

Athisah mengetap bibir. Cuba mengempang rasa sebak apabila cerita dalam kelambunya dibicarakan di tengah-tengah khalayak ramai. Malu dan terhina, itu yang Athisah rasakan saat ini. Seolah-olah maruahnya ditelanjangi dan dipertontonkan di tempat awam.

 

Shauqi mengerling kepada Athisah yang senyap sahaja sejak dari tadi. Sejak mula masuk ke dalam kereta, hinggalah sudah hampir separuh perjalanan mereka, sepatah perkataan pun Athisah tidak bersuara. Hanya merenung ke luar tingkap kereta. Macamlah ada pemandangan yang menarik di luar sana.

“Kenapa ni? Diam aje sejak dari tadi.” Athisah menoleh. Memandang Shauqi yang sesekali mencuri pandang ke arahnya.

“Hurm… Tak ada apa-apalah.”

“Ini tak ada lain. Mesti kecil hati dengan soalan-soalan klise tu. Asal balik daripada kenduri, muka Tisa mesti kelat semacam. Tisa, Tisa, macamlah tak biasa. Buat tak tahu, sudahlah. Tak payahlah nak difikirkan sangat cakap-cakap orang tu.”

“Abang tak rasa, mereka tak pernah soal depan abang, tak pernah pun buka mulut depan abang, tapi Tisa ni yang kena hadap soalan-soalan yang Tisa sendiri pun dah letih nak mendengar apalagi mahu menjawabnya.” Bentak Athisah. Sedikit kecewa dengan kata-kata Shauqi yang langsung seolah-olah tidak memahami perasaannya.

“Siapa kata tak pernah? Abang bahasakan aje mereka yang bertanya tu. Sebab itulah mereka tak berani nak buka mulut depan abang. Tak payah nak bagi peluang pada orang yang macam tu. Ini Tisa tidak, hati sakit pun tetaplah nak tersenyum-senyum depan orang, balik rumah, mulalah menangis. Dengar sini abang nak nasihat, lain kali bila orang cakap macam-macam, Tisa sepatutnya balas aje. Tak payahlah nak simpan dalam hati. Jangan jadi baik sangat Tisa. Masa-masa macam inilah kalau kita nak guna pepatah buat baik dibalas baik, buat jahat dibalas jahat.”

“Abang bolehlah cakap macam tu. Itu emak saudara- emak saudara abang. Sepupu-sepupu abang. Tisa ni anak saudara sabit kata orang. Anak saudara kandung cakap dengan anak saudara sabit yang cakap, feelnya lain tau! Kalau abang yang balas, mereka tak simpan dalam hati, tak macam kalau Tisa yang cakap. Silap-silap kalau Tisa ikut cara abang tu, tak fasal-fasal mereka cop Tisa ni kurang ajar atau umi dan abah Tisa tak pandai didik anak.”

“Habis tu, kalau dia orang tanya soalan yang langsung tak fikir perasaan orang lain tu boleh pulak? Tisa pun satu, tak payahlah nak jaga hati orang sangat! Hati Tisa tak ada orang peduli pun.” Geram Shauqi dengan sikap isterinya. Terlalu lembut, terlalu beri muka. Sebab itulah saudara-mara semakin menjadi-jadi. Sudah seperti soalan wajib setiap kali berjumpa, anak, anak, anak! Sudah nampak mereka masih berdua, perut Athisah pun kempis sahaja, tidak perlulah ditanya soalan yang bakal merobek hati isterinya itu. Kalau benar Athisah hamil, tidak perlu ditanya, Shauqi sanggup membeli iklan berbayar di radio ataupun televisyen demi membuat pengumuman yang dia dan Athisah bakal menjadi ibu dan ayah.

“Tisa tak pandailah nak menjawab macam abang buat. Tisa bimbang nanti ada pula yang bermasam muka dengan kita lepas ni.”

“Terpulang! Tapi abang tak mahu bila balik rumah, Tisa sampai bengkak-bengkak mata menangis. Dengar tak tu?” Athisah diam tidak menjawab. Sudah lama sebenarnya dia tidak menangis di depan Shauqi. Bimbang kalau-kalau Shauqi bakal naik angin pula. Kalau mahu menangis pun, biasanya dia akan buat secara sembunyi-sembunyi waktu seorang diri dalam bilik air ataupun ketika dia berseorangan kala Shauqi keluar bekerja.


PROLOG BAB 1  BAB 2  BAB 3  BAB 4  BAB 5


BELI NOVEL LURUH CINTA KERANA DIA (PENULIS: MARYAM ADEL)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *