Luruh Cinta Kerana Dia – Bab 4

Telefon yang dipegang Zikri jatuh ke lantai. Tubuhnya kaku di situ. Perkhabaran yang dibawa oleh ibu saudaranya tadi seolah-olah telah membawa rohnya kembali ke tanah air. Hanya jasadnya sahaja yang tinggal di tanah bekas jajahan British itu.

“Zikri! Kau okey ke tak ni?” Tubuhnya digoncang beberapa kali. Zikri tersentak. Seolah-olah baru dikejutkan daripada tidur yang panjang.

“Farid! Aku kena balik sekarang. Adik dan ayah aku kemalangan.”

“Hah?”

“Aku terpaksa pergi. Nanti kau tolong maklumkan pada urusetia, aku tak dapat ikuti seminar ni sampai habis. Aku nak ke airport sekarang.”

“Aku temankan kau balik.” Putus Farid. Masakan dia mahu membiarkan Zikri pulang seorang diri dalam keadaan fikiran Zikri yang bercelaru begitu.

“Tak perlu, sayang duit yang kau dah bayar untuk seminar ni.” Larang Zikri.

Kelmarin mereka berdua baru sahaja sampai di Hong Kong untuk mengikuti seminar yang diadakan berkaitan dengan teknologi dan rawatan terkini dalam bidang pergigian. Sudahlah jauh, yuran untuk mengikuti seminar ini bukanlah murah harganya.

“Aku lebih sayangkan kau daripada duit aku.” Balas Farid.

Zikri merenung wajah sahabat yang sudah dikenalinya sejak mereka sama-sama berada di sekolah berasrama penuh dulu.

Thanks Farid.”

No need to say that. Apa gunanya aku sebagai kawan kau kalau waktu kau sedih aku biarkan kau seorang. Dah, jom kita balik ke bilik, ambil beg dan terus ke airport. Harap-harap adalah penerbangan terus ke Malaysia petang ni.”

Tidak bertangguh lagi, kedua-dua sahabat itu mengatur langkah menuju ke bilik yang terletak di hotel yang sama di mana seminar perubatan yang diikuti mereka berdua diadakan.

 

“Ayah dan adik kamu dah tak ada Zikri. Emak kamu masih lagi dirawat di Unit Rawatan Rapi.” Zikri menyandarkan tubuhnya ke dinding sambil memejamkan matanya rapat-rapat.

Sepanjang penerbangan pulang dia tidak putus-putus berdoa semoga kesemua orang yang disayangi itu selamat. Berharap agar kemalangan yang dialami adalah biasa-biasa sahaja.

Tapi khabar yang diterimanya tidak sama dengan apa yang diharapkan olehnya.

“Emak kamu masih belum sedarkan diri. Kita kena uruskan segala urusan pengebumian itu secepat mungkin walaupun tanpa kehadiran emak kamu. Tidak elok kita melengah-lengahkan urusan menghantar ayah dan adik kamu ke ‘sana’.” Air mata yang ditahan Zikri akhirnya mengalir juga.

Dia terduduk di atas lantai hospital yang tidak pernah putus pengunjungnya.

Farid mendekati Zikri. Bahu sahabatnya ditepuk beberapa kali. Walaupun diucapkan perkataan sabar itu berkali-kali, hanya orang yang pernah mengalaminya sahaja tahu akan makna perpisahan abadi.


PROLOG BAB 1  BAB 2  BAB 3  BAB 4  BAB 5


BELI NOVEL LURUH CINTA KERANA DIA (PENULIS: MARYAM ADEL)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *