Luruh Cinta Kerana Dia – Bab 2

Hajah Naemah mengibas-ngibaskan selendang yang dipakainya. Hati yang sedang hangat tidak mampu disejukkan walaupun suhu penghawa dingin sudah diturunkan sehingga ke tahap minimum.

“Sakit! Sakit hati aku ni.” Dia menghenyakkan tubuhnya yang gempal itu di atas sofa kulit berangkai tiga yang berada di tengah-tengah ruang tamu itu.

“Mak ni kenapa? Orang lain balik kenduri seronok sebab perut kenyang, mak pula balik dengan muka ketat mengalahkan pengantin yang kena denda basuh periuk belanga lepas selesai kenduri.” Rina mencapai alat kawalan jauh televisyen yang berada di atas meja kopi. Suaminya masih berada di luar bersama ayah tirinya, Haji Othman. Entah apa jugalah yang tidak habis-habis dibualkan oleh mereka berdua tu. Rancak benar nampaknya sejak di majlis kenduri tadi lagi.

“Kamu tak dengar ke tadi apa yang dia orang cakap tentang adik kamu si Shauqi tu? Kamu tak terasa apa-apa ke orang cakap adik kamu macam tu?” Mata Hajah Naemah sudah mencerlung tajam. Geram melihat Rina yang bersikap endah tidak endah sahaja, sedangkan hatinya sendiri sudah terasa mahu meletup marah.

“Lah… Soalan biasa. Mak pun selalu juga tanya orang lain soalan macam tu kan? Bila kena pada Shauqi, pandai pula mak nak marah.” Balas Rina selamba. Dengan Hajah Naemah memang dia tidak perlu berkias-kias. Padanlah dengan perangai Hajah Naemah yang kalau mahu bercakap, baik dengan dia mahupun suaminya main pakai lepas sahaja.

“Huh! Kamu ni memang, tak pernah nak sokong aku. Lupa daratan! Tak ingat siapa yang lahirkan kamu, jaga kamu sejak dari kecil sampai besar ni? Anak tak kenang budi!” Hajah Naemah terus menghamburkan kemarahannya kepada Rina. Namun anak itu tetap tenang wajahnya. Langsung tidak terkesan dengan kata-kata Hajah Naemah.

“Ingat mak… Apa pula tak ingatnya. Memang emak yang lahirkan saya. Dan saya tak pernah lupa, masa saya berumur lima tahun, emak bercerai dengan ayah. Emak tinggalkan saya dan Shauqi pada nenek. Nenek yang jaga saya dari kecil sehinggalah saya masuk ke universiti. Emak pula asyik sibuk membilang suami” Balas Rina selamba. Matanya langsung tidak memandang Hajah Naemah. Tetap juga pada kaca televisyen yang sedang menayangkan filem hindustan lakonan Salman Khan. Langsung tidak ada riak kekesalan pada wajah Rina tatkala mengungkit perkara yang sudah lama berlalu. Memang itu perkara yang sebenarnya pun. Hajah Naemah memang jaguh bersuami. Bukan satu atau dua, malah, termasuk Haji Othman, sudah tujuh orang suami Hajah Naemah.

Shauqi dan dia merupakan anak Hajah Naemah bersama suaminya yang kedua. Mereka hanya dua beradik sahaja seibu dan seayah. Sebab itulah hubungannya dengan Shauqi memang rapat. Hampir semua perkara Shauqi akan kongsikan dengannya. Adik-beradik mereka yang berlainan ayah, ada yang menetap di Johor, Melaka dan Perak. Cuma dia dan Shauqi sahaja yang tinggal di Kuala Lumpur.

Hubungan dia dengan Hajah Naemah sejak dari kecil tidaklah serapat mana. Tambah-tambah lagi, Hajah Naemah hanya menjengukkan muka di kampung apabila menghadapi masalah rumah tangga dengan suami-suaminya ataupun ketika dalam tempoh Hajah Naemah menjadi janda sebelum bertemu jodoh yang baru. Cuma sejak nenek mereka meninggal dunia sewaktu Shauqi berusia sepuluh tahun, barulah Hajah Naemah mengambil Shauqi tinggal bersamanya. Sedangkan dia pada waktu itu sudah pun memasuki sekolah berasrama penuh. Pulang ke kampung pun jarang-jarang sekali. Kalau ada cuti pun, dia lebih suka mengikut rakan-rakannya yang lain pulang ke rumah mereka. Keluar sahaja keputusan SPM, dia terus melanjutkan pelajaran ke universiti. Jadi memang tidak hairanlah kalau dia dan Hajah Naemah itu memang jarang benar bertemu pada titik yang sama.

Hajah Naemah mengetap bibir. Rina memang langsung tidak tahu menjaga hatinya. Sejak dari dulu, Rina dan dia memang selalu sahaja tidak sekata. Rina tu ingat, kalau dia marah-marah, masa yang lalu dapat diundur semula agaknya. Sudah jodoh aku datangnya berkali-kali, nak buat macam mana? Macamlah jodoh tu boleh dihalang-halang, boleh dilarang-larang. Gerutu Hajah Naemah.

Hajah Naemah berkahwin buat kali pertama dengan lelaki pilihan keluarga ketika usianya enam belas tahun. Perkahwinan itu hanya bertahan selama setahun sahaja sebelum mereka bercerai dan dikurniakan seorang anak. Habis idah, dia berkahwin lagi. Kali ini dengan seorang salah seorang pekerja di bengkel membuat perahu yang dimiliki arwah ayahnya. Itulah ayah Shauqi dan juga Rina. Perkahwinan ini juga tidak lama, hanya enam tahun sahaja usianya. Dia berkahwin pula buat kali ketiga dan kali ini dia dikurniakan tiga orang anak. Tidak lama kemudian, dia bercerai dan berkahwin lagi dan begitulah seterusnya sehinggalah sampai kepadanya suaminya sekarang, Haji Othman. Perkahwinannya yang paling lama ialah dengan suaminya yang kelima. Hampir lapan tahun usia perkahwinan mereka. Dengan yang lain-lain, ada yang tidak sampai setahun pun.

Bersama Haji Othman, mereka tidak dikurniakan anak memandangkan sewaktu mereka berkahwin, dia sendiri pun sudah berusia lima puluh lapan tahun dan Haji Othman pula baru sahaja bersara wajib daripada perkhidmatan dalam kerajaan. Kini usia perkahwinan mereka sudah mencecah tahun ketiga dan Hajah Naemah berharap, inilah perkahwinannnya yang terakhir. Tidak sanggup pula rasanya dia mahu berkahwin lagi dalam usia yang sudah senja begini. Malu dikata orang pula nanti.

“Kamu ni, apa yang emak cakap, tak pernahnya kamu sokong. Semuanya kamu nak bangkang! Kamu nak marah-marah sebab emak tak jaga kamu dulu, perkara tu dah lama berlalu. Bukannya boleh diundur pun.”

“Saya tak kisah pun emak tak jaga saya. Tapi emak tu janganlah melampau sangat. Rumah tangga Shauqi tu, tak perlulah emak nak masuk campur. Pandailah Shauqi nak mentadbir rumah tangga dia tu.”

“Emak cuma fikirkan demi kebaikan adik kamu tu aje. Kamu tak mahu tengok ke adik kamu tu beranak-pinak macam orang lain? Kalau nak mengharapkan perempuan tu mengandung, hurm… Aku tengok macam tak ada harapan.”

“Habis tu emak nak buat macam mana lagi? Emak ingat anak tu boleh dipetik-petik ke?” Rina menjeling. Tidak suka sebenarnya apabila Hajah Naemah tidak habis-habis menyibuk dalam urusan rumah tangga adiknya. Ada sahaja yang tidak kena dengan Athisah. Sekuat mana Athisah mencuba untuk mengambil hati emaknya, kuat lagi Hajah Naemah menolak kehadiran Athisah dalam keluarga mereka. Entah apa jugalah yang Hajah Naemah marahkan dengan Athisah itu, Rina sendiri pun tidak faham.

“Emak nak suruh adik kamu tu kahwin lain! Shauqi tu bukan tak mampu nak berpoligami. Kalau Athisah tak setuju, ceraikan aje dia. Dia ada pun bukan boleh memanjangkan zuriat.”

“Emak ni bercakap macam emak tu TUHAN! Macamlah bila Shauqi kahwin lain, emak dapat beri jaminan yang perkahwinan tu pasti akan menghasilkan zuriat untuk Shauqi. Cuba emak bayangkan kalau melalui perkahwinan kedua itu pun Shauqi tak dapat anak, macam mana? Siapa yang malu?” Rina sudah hilang minat mahu menonton. Cadangan emaknya memang benar-benar sudah keterlaluan.

“Emak yakin, Shauqi akan dapat anak kalau berkahwin dengan perempuan lain. Perempuan yang subur keturunannya. Bukan macam si Athisah tu.”

“Emak, Athisah tu ada lima beradik tau. Bukan berbilang suami Mak Cik Mimah tu dapat lima orang anak, lima orang tu dia dapat dengan sekali kahwin aje tau! Suka-suka hati aje emak nak kata keturunan orang lain tak subur.” Rina sudah menggeleng-gelengkan kepalanya. Bercakap dengan Hajah Naemah memang memerlukan tahap kesabaran yang bukan sedikit.

“Kamu ni anak emak ke anak Cikgu Hamimah tu? Sokong bukan main lagi kamu dengan si Athisah tu.”

“Saya sokong mana yang saya rasa betul. Dahlah, saya malas mahu masuk campur. Cuma saya harap, emak batalkanlah hajat emak tadi tu. Kasihanlah pada Shauqi. Dia dan Athisah tak ada apa-apa, orang luar pula yang sibuk.”

“Eh, emak ni bukan orang luar tau! Emak ni ibu kandung dia, ibu kandung kamu.” Rina tidak menjawab. Terus menghulurkan tangan untuk bersalaman sebelum menonong berjalan ke pintu keluar. Terasa menyesal pula dia menerima pelawaan ayah tirinya untuk singgah di situ sebelum pulang ke rumah. Buat hatinya terbakar sahaja.


PROLOG BAB 1  BAB 2  BAB 3  BAB 4  BAB 5


BELI NOVEL LURUH CINTA KERANA DIA (PENULIS: MARYAM ADEL)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *