Luruh Cinta Kerana Dia – Bab 3

“Awak ni yang tak senang duduk sangat malam ni kenapa? Dari siang tadi saya perhatikan, awak macam serba tak kena. Dah macam cacing kepanasan. Nak kata panas, aircond bukan main sejuk lagi. Nak kata lapar, lepas maghrib tadi, dua pinggan nasi awak bedal. Rimas saya tengok awak ke hulu ke hilir macam suami tengah tunggu isteri bersalin dekat luar dewan bedah.” Pening mata Haji Othman melihat kelakuan Hajah Naemah. Mahu menonton televisyen pun terganggu dia dibuatnya.

“Awak diamlah! Saya tengah susah hati ni.”

“Saya tanya aje pun kena marah? Awak susah hati tentang apa pulak ni?” Tanya Haji Othman prihatin. Walaupun pertanyaannya sebentar tadi dibalas dengan kasar oleh Hajah Naemah, namun dia malas mahu ambil pusing. Hajah Naemah memang sudah begitu sikapnya, terima sahajalah, takkanlah sudah tua-tua begini mahu bergaduh pula disebabkan perkara yang remeh-temeh. Buat malu orang keliling sahaja.

“Awak ada tak kenal mana-mana anak dara yang muda-muda? Bekas staf awak masa awak bekerja dulu ke, atau anak kawan-kawan awak ke. Ada tak?” Hajah Naemah tidak menjawab soalan Haji Othman, sebaliknya menyoal semula.

Haji Othman mengerutkan dahinya. Pelik! Tiba-tiba sahaja Hajah Naemah bertanyakan tentang anak dara orang. Ada apa agaknya dalam fikiran isterinya itu.

“Awak nak buat apa sebenarnya ni? Tiba-tiba, tak ada angin, tak ada ribut, tanya saya tentang anak dara orang. Awak nak hadiahkan saya isteri baru ke?” Haji Othman tergelak-gelak. Saja mahu mengusiknya. Tawanya terhenti apabila tiba-tiba kusyen kecil yang dilempar Hajah Naemah melayang mengenai mukanya.

“Rasakan! Gatal sangat. Tua-tua pun ada hati nak berbini muda lagi.” Rengus Hajah Naemah. Haji Othman menggeleng-gelengkan kepalanya. Tahu, salahnya juga, bergurau tidak kena tempat dan masanya.

“Saya bergurau aje Naemah… Awak nak buat apa sebenarnya ni? Nak dijadikan sebagai anak angkat?”

“Bukanlah! Saya tengah fikirkan cara nak selesaikan masalah si Shauqi ni.”

“Shauqi ada masalah ke? Tak ada pula dia cerita pada saya.” Shauqi itu walaupun hanyalah sekadar anak tirinya sahaja, namun hubungan mereka berdua tetap rapat. Adakalanya Shauqi lebih suka bercerita kepadanya jika mahu dibandingkan dengan Hajah Naemah sendiri.

“Masalah tentang anak itulah. Dah bertahun-tahun kahwin, tapi si Athisah tu tetap tak mengandung juga. Mandul! Aku dah larang dia kahwin dengan budak tu dulu, tapi Shauqi tu degil sangat. Dari dulu aku dah kata, aku tak berkenan dengan orang yang kerja macam Athisah tu. Basuh berak kencing orang. Cuci luka orang. Bergelumang dengan darah, dengan nanah. Ei, jijik aku! Tapi Shauqi tu langsung tak mahu dengar. Dah jadi macam ni, nak menyesal pun tak guna!”

“Tak ada salahnya dengan kerja si Athisah tu. Awak ingat semua orang boleh buat kerja macam dia tu? Nak jaga, nak bersabar dengan orang sakit ni bukan senang Naemah oi!. Anak itukan rezeki. Bukan kuasa kita pun. ALLAH tak mahu beri lagi, bersabar ajelah. Adalah tu hikmahnya. Lagipun saya tengok baik Shauqi mahupun Athisah, mereka baik-baik aje, orang luar yang dok sibuk-sibuk sangat tanya pasal anak ni.”

“Awak apa tahu? Saya ni sakit telinga, sakit hati setiap kali dengar mulut-mulut orang mempersendakan anak saya tu tau! Awak tak rasa sebab Shauqi tu bukannya anak awak.” Bidas Hajah Naemah.

“Ya, saya tahu Shauqi tu bukan anak kandung saya. Tapi sejak hari pertama saya berkahwin dengan awak, saya tak pernah anggap anak-anak awak tu orang asing. Saya terima mereka seperti anak saya sendiri. Tak perlulah awak ungkit yang saya ni cuma bapa tiri pada anak-anak kita tu.”

“Sudahlah! Ni, soalan saya tadi awak belum jawab pun lagi. Ada tak mana-mana anak-anak dara yang awak kenal? Takkan tak ada anak kawan-kawan tu yang baru habis belajar.”

“Ada tu ada, tapi saya yang tak faham lagi ni. Apa kena mengena pula anak-anak dara tu dengan masalah si Shauqi?”

“Awak ni, itu pun tak boleh nak agak ke? Saya nak suruh Shauqi kahwin lainlah! Kahwin dengan anak dara yang muda-muda. Yang subur. Biar cepat dapat anak. Biar terdiam mulut orang yang duduk mengata anak saya tu mandul dan bukan anak jantan selama ni.”

“Astaghfirullahalazim… Awak ni. Biarlah Shauqi yang uruskan hal tu. Kita tak payahlah nak masuk campur. Adalah rezeki mereka nak menimang anak tak lama lagi tu nanti.” Tergeleng-geleng kepala Haji Othman dengan rancangan Hajah Naemah yang dirasakannya tidak masuk akal. Mahu bergaduh pula Shauqi suami isteri kalau Hajah Naemah benar-benar mengotakan rancangannya.

“Tak lama lagi tu bila? Cuba awak cakap pada saya. Dah lima tahun saya tunggu tau! Takkan nak tunggu Shauqi tu bongkok tiga baru si Athisah tu nak beranak? Atau nak tunggu saya masuk dalam lubang kubur baru si Athisah tu nak mengandung? Saya dah tak boleh sabar dah ni. Saya akan pastikan Shauqi tu berkahwin lain dan dapat anak.”

“Awak ingat anak tu boleh dipetik-petik atau diseru-seru ke Hajah Naemah oi! Kalau macam tu, tak payahlah budak berdua tu ke sana ke mari berikhtiar nak dapatkan anak. Doktor pun dah kata mereka berdua tu tak ada masalah kesuburan atau masalah-masalah lain. Cuma masih belum sampai rezeki mereka lagi. Kita berdoa ajelah moga-moga rezeki mereka nak menimang cahaya mata tu dipermudahkan.”

“Saya tak peduli. Awak tak mahu tolong, sudah! Saya akan uruskan sendiri. Awak tak payah nak masuk campur. Hal anak saya, biar saya yang uruskan!” Hajah Naemah bangkit daripada kerusi. Meninggalkan Haji Othman yang termangu-mangu di situ.

Naemah, Naemah. Nasihat orang tak pernah awak nak dengar. Awak sahajalah yang betul. Keluh Haji Othman. Tangannya mencapai alat kawalan televisyen, mahu mengubah siaran. Rancangan berita yang mahu ditontonnya sebentar tadi sudah pun tamat siarannya. Semuanya gara-gara sibuk melayan Hajah Naemah dan rancangannya mahu mencarikan calon isteri baru buat Shauqi.


PROLOG BAB 1  BAB 2  BAB 3  BAB 4  BAB 5


BELI NOVEL LURUH CINTA KERANA DIA (PENULIS: MARYAM ADEL)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *