“Kau ni nurse ke tukang kayu? Balut luka pun tak kemas! Tengok, bergumpal-gumpal kain balutan ni kau buat. Kau tak belajar betul-betul ke dulu sebelum jadi nurse? Cuci luka pun tak bersih, ada lagi kesan darahnya. Kalau macam ni, orang tak sekolah pun boleh jadi nurse. Aku tak tahulah macam mana hospital ni boleh terima kau kerja dekat sini.” Athisah hanya tersenyum. Langsung dia tidak menjawab. Diteruskan juga kerjanya membalut luka pada kaki pesakit yang nampak berang wajahnya.
“Kau ni pekak ke apa? Aku bercakap dengan kaulah!” Panas hati agaknya lelaki itu apabila segala kata-katanya langsung tidak diendahkan Athisah. Sejak dari tadi, wajah jururawat itu tenang-tenang sahaja walaupun dimarahi dan ditengking di depan para pesakit lain.
“Dah siap pun pak cik. Insya-ALLAH, tak lama lagi baiklah luka pak cik ni. Kalau pak cik perlukan apa-apa, tekan aje suis yang ada kat belakang katil pak cik tu ya. Saya minta diri dulu.”
“Huh! Kamu ingat aku ni dah nak mati? Dah tak berdaya sangat sampai apa-apa pun nak kena panggil kamu semua? Aku kuat lagilah! Aku bukan orang tua tak guna. Kamu ingat disebabkan aku terlantar dekat hospital ni, maka aku ni dah serupa dengan orang yang sedang menunggu mati? Semuanya nak mengharapkan bantuan orang!”
“Tidak pak cik. Saya tahu pak cik masih kuat. Cuma keadaan kesihatan pak cik sahaja yang tidak mengizinkan sekarang. Jadi untuk sementara waktu, pak cik terpaksa meminta bantuan daripada sesiapa untuk memudahkan pergerakan pak cik. Saya yakin, lepas pak cik sembuh, mesti pak cik lagi kuat.”
“Kamu jangan nak mengejek aku!” Kedengaran kata-kata Athisah seperti suatu ejekan sahaja di telinganya.
“Ya ALLAH pak cik, saya langsung tak ada niat nak mengejek pak cik. Saya doakan pak cik cepat sembuh dan dapat berjalan seperti biasa tidak lama lagi.”
“Berjalan seperti biasa dengan kaki yang dah macam ni? Kamu ni memang sengaja nak main-mainkan aku.” Athisah tersenyum memandang lelaki yang usianya lebih tua beberapa tahun jika mahu dibandingkan dengan usia ayahnya, Cikgu Fadzil.
“Tidak pak cik. Saya langsung tak ada niat macam tu. Saya doakan pak cik semoga cepat-cepat sembuh dan dapat berjalan semula seperti biasa. ALLAH cuma tarik nikmat sebelah kaki pak cik sahaja. Pak cik masih ada sebelah kaki lagi. Insya-ALLAH melalui kemajuan teknologi sekarang, pak cik boleh gunakan kaki palsu untuk bantu pak cik berjalan nanti.” Athisah simpati sebenarnya. Lelaki itu baru sahaja dipotong kaki kanannya akibat jangkitan kuman. Luka terpijak paku karat dibiarkan berhari-hari lamanya tanpa sebarang rawatan dan akhirnya merebak. Lebih memburukkan keadaan, lelaki berusia enam puluh lima tahun itu merupakan penghidap diabetes.
“Kamu fikir kamu tu wali? Mampu dapat apa sahaja dengan doa? Kalau macam tu, baik kamu doakan kaki aku ni tumbuh semula. Esok-esok, aku bangun tidur, tengok-tengok kaki aku dah ada, berkat doa kamu.” Lelaki itu mencebikkan bibir. Benci rasanya mendengar bicara jururawat yang berlagak konon-konon alim ni.
“Saya bukanlah wali atau alim ulama pak cik. Tapi kitakan memang dituntut supaya selalu berdoa. Insya-ALLAH doa kita itu ALLAH akan makbulkan atau gantikan dengan sesuatu yang lebih baik buat kita.”
“Dah, tak payah kamu nak berceramah dekat sini. Pergi! Suara kamu tu bising macam nyamuk dekat telinga aku ni. Menyemak tak habis-habis.” Lelaki itu mengibas-ngibaskan tangannya, menghalau Athisah supaya cepat-cepat pergi dari situ.
Haida memandang simpati wajah Athisah yang kelihatan tenang-tenang sahaja walaupun baru sahaja dimarahi oleh salah seorang pesakit di Wad 4B. Tadinya dia juga turut berada di situ dan mendengar dengan jelas butir bicara keduanya. Mahu masuk campur, rasanya tidak wajar, tambahan pula, dia tahu Athisah lebih bijak mengendalikan situasi seperti itu berbanding dengan dirinya yang kadangkala mudah sahaja hilang sabar.
Pesakit itu sudah lebih seminggu terlantar. Kaki kanannya yang terkena jangkitan kuman akibat terpijak paku karat terpaksa dipotong sehingga ke paras lutut. Penyakit kencing manis yang sudah sekian lama dihidapi pesakit itu tambah memburukkan keadaan. Sejak dimasukkan ke hospital, sehinggalah ke hari ini, tidak kira pagi, petang mahupun malam, tahunya bertempik sahaja. Semua orang dimarahinya sehinggakan doktor yang datang merawat pun sudah lali dengan perangai lelaki tua yang bernama Seman bin Jemali itu. Pak Cik Perengus, itulah gelaran yang diberikan di kalangan para staf hospital ini pada lelaki tua itu.
“Kau dah siap buat dressing ke kat Abang Seman tu?” Bisik Haida perlahan.
“Dah.” Balas Athisah pendek.
“Dia mengamuk kenapa? Satu wad boleh dengar suara dia bertempik.”
“Biasalah. Orang tengah sakit, kehilangan kaki pula tu, mestilah emosi dia tak stabil.”
“Salute aku dengan kau ni tau. Muka kau boleh aje tenang-tenang walaupun dia dah menjerit-jerit macam tu tadi. Kalau ikutkan aku, dah lama mulut dia tu aku tampal dengan plaster.”
“Hish, kau ni. Macamlah baru sehari dua jadi jururawat! Lebih teruk daripada ni pun kita pernah kena kan? Setakat kena marah apalah sangat.”
“Iyalah. Sabar tu sabarlah juga. Tapi kita ni manusia biasa, ada hadnya. Tambah-tambah kalau dah penat bekerja, kena pula syif malam, balik rumah bukannya terus dapat berehat, nak kena layan anak-anak, layan suami, membasuh, memasak, mengemas, semuanya kita kena buat juga. Bukannya balik terus terbongkang tidur. Dahlah kita dah penat-penat tolong cucikan luka, letak ubat, bersihkan berak kencing, bukannya nak berterima kasih, dimarah-marahnya pula kita, mahu tak hilang sabar dibuatnya.”
“Sudah! Jangan nak merungut. Kau patut bersyukur, sekurang-kurangnya balik rumah kau disambut dengan suara anak-anak. Aku ni balik rumah, hadaplah dinding dengan pintu tu. Sunyi, kau tahu tak tu? Ini kau dah diberi rezeki anak-anak, nak merungut lagi. Lagipun bukankah salah satu kriteria nak jadi jururawat ni kena banyakkan bersabar. Kau dah lupa ke? Amboi, masa temu duga mohon kerja ni dulu, bukan main lagi, semuanya saya sanggup, saya rela, tapi sekarang belum pun cukup sepuluh tahun bertugas dah hilang sabar kau tu?”
Haida sudah ketawa kecil. Langsung tidak terasa hati dengan kata-kata Athisah. Dia dan Athisah sudah kenal agak lama, sejak dia ditukarkan ke hospital ini kerana mengikut suaminya yang bertukar tempat kerja. Athisah yang dikenalinya bukanlah sahabat yang suka menjaga tepi kain orang, Athisah tahunya buat hal sendiri sahaja.
Cuma sesekali ada juga dia terdengar keluhan Athisah yang begitu inginkan cahaya mata setelah lebih lima tahun berkahwin. Kasihan juga dia dengan Athisah yang nampaknya begitu kepingin sekali mahu menimang cahaya mata. Setiap kali melihat bayi yang baru dilahirkan di hospital itu, dia dapat memandang mata Athisah yang kelihatan begitu bersinar sekali.
PROLOG • BAB 1 • BAB 2 • BAB 3 • BAB 4 • BAB 5
BELI NOVEL LURUH CINTA KERANA DIA (PENULIS: MARYAM ADEL)