Athisah sudah tidak tahan lagi. Saban hari Hajah Naemah menelefonnya tanpa rasa jemu. Mengalahkan pasangan yang sedang dilanda angin asmara. Paling kurang tiga hingga empat kali sehari wanita itu akan menghubunginya. Tidak cukup melalui panggilan telefon, dihantarnya mesej yang bertali arus umpama benang sutera yang sedang ditenun. Bersambung-sambung dan tidak putus-putus.
“Macam mana ni? Tisa dah penat. Hari-hari emak Shauqi telefon Tisa. Marah-marah, minta Tisa tinggalkan Shauqi. Tisa dah tak laratlah nak hadap masalah ni.”
“Tisa janganlah cepat sangat menyerah. Emak memang macam tu. Tisa sabarlah ya. Shauqi akan cuba pujuk emak supaya setuju dengan rancangan perkahwinan kita tu.”
“Kalau sampai ke akhirnya emak Shauqi tak setuju macam mana?” Athisah berpeluk tubuh. Memandang wajah Shauqi yang jelas kelihatan kusut. Sejak mereka membuat keputusan untuk menghalalkan hubungan mereka, Hajah Naemah, emak Shauqi tidak habis-habis menentang. Kalau sewaktu mereka berkawan dulu tentangannya tidaklah begitu nyata, namun sekarang, kalau boleh hingga ke seluruh dunia Hajah Naemah mahu khabarkan yang dia tidak sukakan Athisah.
“Kita tetap akan berkahwin walaupun tanpa persetujuan emak.” Tegas sahaja suara Shauqi. Dia pun sebenarnya sudah lelah dengan kerenah emaknya itu. Entah apalah yang dibencinya sangat pada Athisah.
“Shauqi tahu tak, semalam emak Shauqi datang ke rumah Tisa?”
“Hah! Dia buat apa dekat sana?” Shauqi yang sedang duduk di atas kerusi batu yang menghadap tasik itu terus terbangun dibuatnya. Terkejut dengan perkhabaran yang disampaikan oleh buah hatinya.
“Kata umi, mak cik datang marah-marah umi dan abah yang tak tahu mendidik Tisa katanya. Dia suruh umi dan abah nasihatkan Tisa supaya jangan berangan nak berkahwin dengan anak dia. Shauqi jurutera, tak sepadan dengan Tisa yang kerjanya cuci luka dan basuh berak kencing orang. Malu umi dan abah dibuatnya pada jiran tetangga. Ajak masuk untuk berbincang, emak Shauqi tak mahu. Terus sahaja bising-bising di halaman rumah. Teruk Tisa kena marah dengan umi semalam. Umi kata…”
“Umi Tisa kata apa?” Cepat-cepat Shauqi memotong ayat Athisah. Sudah tidak sabar-sabar lagi mahu tahu apa yang dikatakan oleh bakal ibu mentuanya itu.
“Umi kata, lebih baik kita berpisah aje. Emak Shauqi nampaknya tidak main-main menentang hubungan kita. Umi bimbang kalau-kalau kita jadi berkahwin, makin buruk pula layanan emak Shauqi pada Tisa nanti.” Shauqi sudah memicit-micit dahinya. Aduh! Malu dibuatnya dengan tindakan Hajah Naemah itu. Bagaimanalah dia mahu berhadapan dengan Cikgu Hamimah dan Cikgu Fadzil selepas ini? Wajahnya terasa tebal berinci-inci selepas mendengar cerita daripada Athisah tadi.
“Tisa jangan bimbang. Shauqi akan pastikan emak tak akan ganggu rumah tangga kita. Walauapapun Shauqi tetap akan jadi suami Tisa, dah jadi tugas suami untuk melindungi dan membela isterinya. Kak Rina pun setuju dengan keputusan Shauqi. Balik nanti, Tisa beritahu umi dan abah, hujung minggu ni, Shauqi akan datang menghantar wakil meminang Tisa secara rasmi.”
“Tapi emak Shauqi tu…”
“Itu tak perlulah Tisa bimbang. Tahulah Shauqi nak uruskan emak tu. Shauqi lelaki, Shauqi tak perlukan kebenaran sesiapa ataupun wali untuk berkahwin.”
“Tapi dia tetap emak Shauqi. Shauqi jangan lupa tu.”
“Iya, Shauqi tahu. Tisa jangan bimbang. Emak mungkin menentang hari ini, tapi nanti bila kita dah berkahwin, dah ada anak, emak pasti akan dapat menerima hakikat yang jodoh kita sudah ditakdirkan bersama.”
“Tisa takutlah Shauqi. Kahwin tanpa restu orang tua ni, kata orang rumah tangga tak akan berkat.”
“Tisa, kalau kita mahu dengar dan ikut kata-kata orang, sampai bila-bila pun kita tak akan berkahwin tau! Tisa sanggup ke nak berpisah dengan Shauqi?” Athisah menggeleng. Mahu membayangkan hidup tanpa Shauqi pun dia tidak sanggup, inikan pula mahu berpisah?
“Kalau macam tu kita kahwin ya? Shauqi janji, Shauqi akan jaga Tisa, akan lindungi Tisa, akan bahagiakan Tisa hingga ke akhir hayat. Cukuplah hanya Tisa sahaja. Shauqi sudah tidak mahukan perempuan lain.” Janji Shauqi tulus. Athisah hanya mampu mengangguk. Dia percaya, Shauqi tidak akan pernah memungkiri janji.
PROLOG • BAB 1 • BAB 2 • BAB 3 • BAB 4 • BAB 5
BELI NOVEL LURUH CINTA KERANA DIA (PENULIS: MARYAM ADEL)