Nadiku – Bab 1

BABE, cuba tengok ni…”

Nadi menghulurkan telefon pintarnya kepada Budi. Budi tak ambil telefon, sebaliknya isterinya itu dijeling tajam. Tak semena-mena dahi Nadi dijentik.

Auch! Apa ni jentik-jentik orang? Sakitlah!” Nadi terjerit halus. Dahi yang dijentik Budi segera digosok. Suka sangat jentik dahi dia yang luas macam padang. Budi dengki ke?

“Mulut tu memang nakal sangat, kan? Berapa kali nak kena pesan? Biasakan diri panggil abang.”

Nadi menjuih. Beberapa bulan kebelakangan ini Budi agak buang tabiat. Dah dua tahun usia pernikahan mereka, baru Budi meminta mereka tukar cara panggilan. Daripada aku-kau, jadi saya-awak, sehingga diminta bertukar kepada abang-Nadi atau abang-sayang. Dia tak biasa. Pelat rasa lidah nak menyebut, apatah lagi mereka sebaya. Budi hanya tua beberapa bulan daripadanya.

“Yang salah mulut, bukan dahi. Kenapa jentik dahi Nadi? Sakit tahu tak?” Muncung Nadi semakin panjang.

“Oh, nak kena jentik mulut la kalau macam tu. Bak sini mulut Nadi abang jentik.”

Budi angkat tangan. Melihatkan itu spontan Nadi tutup mulutnya. Takut kena jentik sekali lagi.

Budi ketawa halus. Dahi Nadi yang dijentik sebentar tadi digosok. Sementara tangan Nadi yang menutup mulut dijatuhkan. Dia tersenyum nakal. Tanpa sebarang amaran bibir Nadi dikucup lama sehingga akhirnya Nadi sendiri yang menolak dadanya meminta diberikan oksigen.

Budi tersengih melihat pipi Nadi yang kemerahan. 

“Bibir tu kalau nakal lagi siaplah. Abang tak peduli depan siapa. Lepas ni panggil lagi macam tu abang kiss aje.”

Terbeliak biji mata Nadi. Sesuka hati Budi saja. Ingat mereka kat negara luar ke Budi nak buat macam tu? Bibir bekas ciuman Budi digigit perlahan.

“Bibir tu jangan gigit-gigit. Ke tak puas lagi? Nak abang cium lagi?”

“Hesy, aw…”

Alamak! Bergegas Nadi tutup mulut. Takut kena cium lagi. Dia bukan tak suka. Cuma dia ada hal lain yang nak disembangkan dengan Budi. Kalau layan nakal Budi, alamat tak terluah apa yang ingin dikatakan.

Sorry…”

“Nasib baik ingat. Nadi nak tunjuk apa tadi?”

Nadi tekan ibu jarinya pada skrin telefon.

“Ini, hah. Cuba abang tengok.” Kali ini Nadi tak tersasul lagi.

Budi ambil telefon Nadi. Dibaca pesanan yang berpusu-pusu masuk ke dalam grup WhatsApp yang ditunjukkan Nadi. 

“Arham anjurkan reunion lagi this year.”

Dalam grup WhatsApp itu hanya ada Nadi. Tak tahu kenapa Budi tak berminat menyertai grup WhatsApp rakan universiti mereka dulu. Menurut Budi bukan mereka tidak ada nombor telefon masing-masing. Apa-apa hal boleh terus roger, tak perlu bermesej bagai. Lebih senang dan cepat. 

Budi menyerahkan semula telefon pintar Nadi. Dia berjalan keluar ke balkoni. Setelah itu kerusi rotan yang terdapat di situ diduduki. Nadi mengekori. Agak bengang dengan Budi yang tampak tak berminat dengan apa yang ditunjuk.

“Abang dengar tak apa Nadi cakap tadi?” Nadi berdiri di sebelah Budi.

Budi tak berminat langsung dengan reunion. Dia lebih berminat dengan Nadi yang kelihatan begitu seksi di matanya. Tiba-tiba saja Nadi kelihatan begitu menggiurkan. Apatah lagi bila dia ternampak bayangan di dalam baju putih yang dikenakan Nadi yang terbuai-buai bila ditiup angin. Hal itu tambah menyerlahkan keseksian Nadi. Tangannya tangkas menarik pinggang Nadi sehingga wanita cantik itu jatuh di pangkuannya. 

“Abang!” Nadi terjerit kecil. Terkejut dengan tindakan Budi. Seketika kemudian dia terdiam pada kala Budi membenamkan bibir lelaki itu ke tengkuknya. Protesnya terkunci di dalam mulut. Dia menahan nafas dengan perbuatan Budi. 

I miss you so much, sayang,” ucap Budi di sela-sela kecupannya di leher Nadi. 

Dia tak menipu dengan perasaan rindu itu. Seminggu berjauhan dengan Nadi dia bagaikan ternampak-nampak kelibat Nadi di sampingnya. Nadi pula hanya sesekali menghubunginya. 

Kata Nadi seminggu ini ketika ketiadaan Budi, Tri datang bercuti ke sini. Kesempatan itu digunakan Tri sepenuhnya untuk menemani Nadi memandangkan mereka jarang berjumpa sejak Nadi berkahwin dengan Budi. Abang saudaranya itu membawa dia berjalan-jalan ke mana saja yang dia inginkan. Bahkan mereka turut menonton wayang bersama-sama. Mereka seperti mengulang nostalgia lama sebelum status Nadi bertukar menjadi isteri. Yang mana ketika itu dia dan Tri bebas ke mana saja tanpa larangan sesiapa. 

Budi ingin menolak kenyataan yang sedang menghentam dadanya bahawa dia mencemburui keakraban perhubungan Nadi dan Tri. Namun, untuk mengakui yang dia benar-benar cemburu rasanya tidak mungkin. Dia cemburukan Nadi? Kenapa perlu cemburu jika dia tidak mencintai Nadi? Bukan bermakna dia rela Nadi bermain cinta di belakangnya dengan lelaki lain. Tetapi dia tetap berfikir untuk cemburu, bukankah dia perlu mencintai Nadi terlebih dahulu? Sedangkan rasa cinta itu begitu jauh dari hatinya. 

Dia yakin di matanya Nadi hanya sahabat yang bertukar status menjadi isteri, makanya dia bebas melakukan apa saja terhadap Nadi. Halal, bukan? Itulah bahagian yang paling seronok, bahagian ‘halal’. Tidak ada batas untuk keintiman mereka. Dia bukan saja bebas berimaginasi tentang sahabatnya, bahkan dia bebas menjadikan imaginasinya satu kenyataan. Nadi seorang wanita yang taat. Apa saja dia pinta, pasti Nadi akan turuti. Setakat itu saja. Nadi bukannya isteri yang bergelar cinta hati, yang didamba Budi sejak sekian lama.

“Abang…”

Nadi menolak tubuh Budi apabila tangan besar suaminya itu cuba menyeluk masuk ke dalam bajunya. Dia bingkas bangun dari pangkuan Budi. Wajahnya kemerah-merahan menahan perasaan. Bukan hanya ghairah yang menyerbu ke kepala tetapi kerana hari masih siang. Mereka pula berada di balkoni. Tak manis jika dilihat orang.

“Kenapa?” Budi sedikit hampa. Nadi menolak perhatian yang cuba diberikan padahal dia begitu merindui dan menginginkan Nadi.

Baru malam tadi dia pulang. Mamai-mamai Nadi menyambut kepulangannya. Tak sempat dia nak melepaskan kerinduan, Nadi tertidur semula.

“Kenapa abang tanya?” Nadi tarik muncung panjang. “Tengoklah sikit kita kat mana!”

Budi memerhati sekeliling. Setelah itu dia tertawa halus. Baru teringat mereka berada di balkoni. Mana nak ingat kalau otak asyik memikirkan isteri di hadapan mata. Kemaruk rindulah katakan. 

“Kalau macam tu, jomlah!” Budi bangun seraya tangannya dihulurkan kepada Nadi. Berkerut dahi Nadi.

“Nak ke mana?”

“Masuk bilik la, sayang. Nak ke mana lagi?”

Budi tersenyum nakal. Sebelah matanya dikenyitkan. Pipi Nadi bertambah merah. 

Hesy, tak naklah. Nadi nak cakap pasal re… Abang!”

Nadi memukul dada Budi yang tiba-tiba mengangkatnya. Budi galak tertawa. Tak peduli pada protes Nadi yang memintanya segera menurunkan isterinya itu. 

Ah, mana boleh lepas! Dia dah terlampau rindu dendam. Kalau tak dilepaskan rindunya, tak mustahil dia boleh mati berangan. 

NADI meletakkan kepalanya di atas dada Budi. Sebelah tangannya memeluk pinggang Budi. 

“Abang…” Jarinya membentuk pola bulatan pada dada bidang Budi.

“Hurm.” Budi mengecup singkat ubun-ubunnya. 

“Apa kata kalau kita pergi reunion kali ni?”

“Nadi nak pergi?”

Nadi angguk.

“Nadi teringin nak jumpa kawan-kawan lama kita. Abang lainlah. Selalu jumpa dia orang kat luar. Macam Nadi ni semenjak kita habis belajar tak pernah langsung jumpa dia orang. Rindulah…”

“Bila abang ajak Nadi ikut masa abang jumpa dia orang, Nadi juga yang tolak.”

“Memang la Nadi tolak. Abang nak jumpa kawan-kawan lelaki kita. Seganlah Nadi nak menyibuk bila abang jumpa dia orang. Entah apa-apa abang dengan dia orang sembang nanti, Nadi juga yang malu.”

“Hai, sejak bila isteri abang jadi penyegan ni? Dulu Nadilah paling seronok jumpa dia orang. Lagipun macam Nadi tak biasa dengan kawan-kawan abang. Kawan-kawan abang bukan ke kawan-kawan Nadi juga?”

“Oh, abang tak kisahlah Nadi bertepuk tampar dengan dia orang macam dulu?” Selajur itu badan Nadi sedikit tegak, memperlihatkan dadanya yang putih melepak. Budi cepat-cepat menarik Nadi supaya berbaring semula. Bimbang tergoda semula meskipun Nadi sedikit pun tak berniat menggoda.

“Abang tak bermaksud macam tu. Lagipun, beranilah Nadi bertepuk tampar dengan kawan-kawan lelaki kita. Bukan dengan Nadi aje abang hukum, dengan dia orang sekali abang belasah.”

“Bunyi macam cemburu aje…” Nadi tayang senyum nakal.

“Bukan cemburu. Cuma…”

Kening Nadi terjongket. “Cuma?”

Budi tak dapat fikirkan alasan yang sesuai. Hati tetap menafikan dia cemburu. Dia tak pernah suka Nadi terlalu rapat dengan mana-mana lelaki selain dia. Sejak dulu lagi dia sudah berfikiran begitu. Dia pun tak tahu kenapa dia begitu protective dengan Nadi walhal bukannya Nadi tak pandai menjaga diri. 

Nadi yang sekarang bukan seperti Nadi yang dulu. Nadi di universiti masih perwatakan tomboi. Lantaran itu Nadi lebih ramai kawan lelaki berbanding kawan perempuan yang boleh dibilangi dengan jari. Nadi berubah menjadi lebih feminin selepas mereka memasuki alam pekerjaan. Dan menjadi semakin feminin bila mereka mendirikan rumah tangga. Bukan itu saja, Nadi berubah menjadi manja dan kelihatan lebih seksi. Bahagian seksi itu biarlah dia seorang yang tahu dan merasakan keberuntungan memiliki seorang wanita yang bernama Nadi. Banyak perubahan yang Nadi lakukan selepas dia mengambil keputusan untuk mengubah imej menjadi feminin. Yang paling ketara, Nadi bersedia menutup auratnya seratus peratus. Dia yang rapat dengan Nadi bangga dengan keputusan Nadi. Daripada berambut pendek dan berpakaian seperti lelaki kepada wanita yang tampil bertudung dan ayu.

“Nadi dah berubah macam sekarang. Takkan nak jadi macam dulu semula? Bertepuk tampar dengan lelaki? Nadi tak sayang papa? Tak sayang abang? Kalau Nadi berdosa, kami yang akan dipersalahkan sebab tak pandai mendidik anak dan isteri. Nadi nak kami dilabel macam tu?”

Nadi mencebik.

“Nadi sentiasa sayangkan abang. Abang tu aje yang tak pernah sayangkan Nadi.”

Budi terdiam. Namun begitu tangannya mengelus rambut panjang Nadi.

“Macam mana dengan reunion ni? Boleh tak kita pergi? Kalau abang tak nak pergi, apa kata abang izinkan Nadi pergi sorang?”

No! Dalam bayangan pun tak boleh.”

Begitulah Budi. Diajak pergi bersama Budi tak mahu. Bila Nadi mahu pergi bersendirian, Budi tak izinkan pula. Itu juga punca kenapa Nadi tak pernah menghadiri perjumpaan alumni bekas pelajar universiti mereka kerana Budi tak mengizinkannya pergi.

“Nadi betul-betul nak pergi ke?”

“Dari tadi Nadi cakap, abang…”

Budi mengeluh perlahan. Berat hati nak memberikan persetujuan. Tengok muka Nadi yang sangat berharap tak sampai hati pula nak menghampakan perasaan isterinya untuk kesekian kalinya.


PROLOG • BAB 1 • BAB 2 • BAB 3 • BAB 4  • BAB 5


BELI NOVEL NADIKU (PENULIS: AFNAN)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *