MENGHADIRI perjumpaan dengan rakan-rakan lama mereka tidak seburuk yang Budi bayangkan sebelum ini. Dia bersama Nadi tenang dan santai berbual dengan rakan-rakan mereka.
Sebelum datang tadi beberapa kali dia berpesan kepada Nadi agar sentiasa menjaga tingkah. Beringat akan status diri sebagai isterinya dan imej Muslimah yang menjadi pegangan Nadi sekarang.
Nadi dengar saja apa yang Budi katakan. Dia tidak faham kenapa Budi risau dia bersikap di luar kawalan. Dia tahu menjaga nama baik Budi. Takkan dia nak bersikap seperti Nadi versi tomboi walhal dari sehari ke sehari dia semakin suka dengan penampilannya sekarang? Kerisauan Budi sungguh tak berasas.
“Oh, my god! You are so beautiful, Nadi! Macam mana you boleh transform jadi cantik macam ni?” puji Syed Atid yang baru sampai ke sebuah kafe yang disewa khas oleh Arham sempena reunion mereka. Arham hanya meminta sedikit bayaran, selebihnya lelaki itu tampung menggunakan duit sendiri. Maklumlah anak orang ternama. Duit pasti bergepuk-gepuk.
Nadi senyum tipis. Dia agak tersipu-sipu dipuji Atid.
“Kalau I tahu you akan jadi secantik sekarang, dulu lagi I dah mengurat you. Tak kisahlah masa tu rambut you lebih pendek daripada I sekalipun!”
Tawa Nadi dan Atid bergabung. Meskipun agak kekok dengan pertemuan semula dengan rakan-rakan lama, namun Nadi cepat membiasakan diri. Dia hanya tersenyum bila diusik tentang penampilannya yang jauh berbeza berbanding sewaktu dia masih belajar di universiti. Dia sudah dewasa, masakan dia masih di takuk lama. Dia harus berubah menjadi lebih baik seiring dengan usia yang bertambah.
“Sumpah, Nadi! You memang cantik gila sekarang.” Tak habis-habis Atid memuji.
“Sudah-sudahlah tu puji I. Girlfriend you keliling pinggang, kan? Apa sangat nak dibandingkan dengan I yang biasa-biasa ni.”
“Biasa you cakap macam ni? Alahai, Nadi. Humble sangat you ni. By the way siapa yang buat cerita I playboy? You percaya khabar angin yang salah, sayang. I am always single and available.” Atid cuba mencuit hidung Nadi, namun cepat Nadi mengelak.
“Sorry, Nadi. I lupa you dah tak macam dulu.” Serba salah muka Atid. Terasa seperti dia biadab dengan Nadi. Lupa Nadi dah tak tomboi seperti dulu. Spontan saja tangannya terangkat. Dia tiada niat buruk.
Sejujurnya dia agak terkesima melihat penampilan Nadi. Berbeza jauh dengan Nadi yang dikenali sewaktu pada zaman belajar dulu. Patutlah beria Budi sorokkan Nadi. Rupa-rupanya takut Nadi dirampas orang. Nasiblah Nadi sudah jadi isteri Budi. Kalau setakat kekasih mahu juga dia cuba nasib memikat Nadi. Mana tahu Nadi sangkut, dia tak keberatan buang perangai buayanya demi wanita secantik Nadi.
“It’s okay. You tak sengaja, kan?”
Atid angguk.
“Pasal girlfriend tu I nampak you sendiri yang post kat Facebook. Macam-macam jenis perempuan ada. You pun ada banyak girlfriend bukan nak sorok-sorok. Dia orang tak marah ke you sekejap dengan orang ni, sekejap dengan orang tu?”
Atid melepaskan tawa kecil. “Like I said before, they are just my friends, Nadi. Kawan ramai tak salah, kan? Bak kata pepatah berkawan biar seribu, berkasih biar satu.”
Nadi mencebik. “Yalah tu.”
“Hei, you cakap you tengok I kat mana tadi? Facebook?”
“Yup!”
“Kita kawan ke kat Facebook?”
“Nope!”
“Kalau kita tak kawan, maknanya you stalk FB I? Wow, tak sangka! Sejak bila you jadi stalker, Nadi sayang? Dengan I, you tak payah jadi stalker. You boleh terus add I, dengan senang hati I approved you.” Atid kenyit mata.
Tawa Nadi terburai. Perasan sungguh mamat playboy ini. Dia ingat Nadi tak ada kerja lain agaknya nak stalk dia.
“You jangan nak perasan! I bukan tak ada kerja sangat nak buang tabiat stalk you. You selalu tagged kawan-kawan kita. Ada a few yang you tagged kawan dengan I. So, I nampaklah post you yang public sangat tu.”
Menawannya Nadi bila ketawa! Bulat mata Atid merenung. “Oh, jealousnya I. Sampai hati you, kan? Dengan dia orang you add friend, dengan I tak pula.” Atid pura-pura merajuk.
“Add me, please? Kita kawan lama, kan? Setakat kawan di FB takkan Budi nak marah?”
Serba salah Nadi dibuatnya. Dia memang tak ramai kawan di Facebook. Kawan-kawannya di situ sekadar mereka yang penting dalam hidupnya, yang tak pernah terputus hubungan sejak kenal. Kebanyakan kawannya di FB, perempuan. Semenjak dia memutuskan untuk berubah imej, dia turut membuat keputusan drastik untuk tidak rapat dengan mana-mana lelaki kecuali Budi.
“Come on, Nadi. Tak pun apa kata you bagi I phone number you?”
Atid semakin mendesak. Nadi bingung memikirkan cara untuk menolak tanpa menyinggung perasaan Atid atau dicap sebagai sombong.
“Sayang…” Budi yang tiba-tiba muncul terus merangkul mesra pinggang Nadi. Tubuh Nadi dibawa rapat ke tubuhnya sehingga hairan Nadi dengan tingkahnya.
Dari tadi Budi perhatikan pandangan Atid yang tak lepas daripada wajah Nadi. Dia dapat menangkap rasa kagum pada pandangan itu. Bimbang Atid bersikap di luar batasan cepat-cepat mereka dihampiri. Semua orang sudah maklum tentang Atid yang terkenal dengan perangai buaya. Pantang nampak perempuan dahi licin, pasti gatalnya menjadi.
“Sembang apa rancak sangat ni?”
“Tak ada sembang apa. Borak-borak kosong aje. Kan, Atid?”
Atid sengih-sengih. “Aku puji isteri kau cantik sangat sekarang.” Tak segan-segan Atid memuji. Di hadapan Budi lagi. Semakin erat pautan Budi di pinggang Nadi.
“Please, excuse us.”
Budi meminta diri meninggalkan Atid yang melopong melihat dia dan Nadi berlalu tiba-tiba. Sakit hati dia melihat perangai Atid. Di hadapan dia pun nak menggedik. Bukan Budi tak suka bila orang memuji Nadi. Dia sendiri tidak akan pernah menafikan kecantikan Nadi, cuma bila yang memuji gatal semacam dia rasa tak selesa. Daripada dia terus melayan bualan Atid, lebih baik mereka mundur secara terhormat.
“Abang, kenapa ni?” Terkial-kial Nadi mengikut langkah Budi yang besar. Sudahlah Budi masih memaut pinggangnya.
“A…”
Langkah Budi mendadak terhenti. Dia tergamam melihat pemandangan indah yang tiba-tiba muncul di hadapan mata. Spontan tangannya yang memaut pinggang Nadi terlepas. Air liur diteguk perlahan.
Oh my God! Wanita itu… Wanita yang baru muncul di hadapannya saat ini adalah Nurul. Wanita yang suatu ketika dahulu pernah menjadi dambaan kalbu Budi. Yang menjadi punca utama Budi mengelakkan diri daripada menghadiri reunion. Dia bimbang hatinya tak kuat menghadapi Nurul.
Dan sungguhlah saat ini hati Budi buat gila. Melihat Nurul semula selepas bertahun-tahun tidak berjumpa melahirkan debar yang bukan sedikit. Dia seperti lelaki yang baru pertama kali jatuh cinta. Jantungnya membunyikan ritma yang tidak sekata. Tiba-tiba jadi tak tentu arah.
“MAKIN cantik kan, Nurul? Nadi sampai speechless tengok dia tadi. Macam bidadari yang jatuh dari langit.”
Nadi tertawa mengekek. Lucu dengan bicaranya sendiri. Dia tak ubah seperti seorang lelaki yang sedang mabuk cinta. Menganggap Nurul seperti seorang bidadari yang jatuh dari langit? Bukankah Budi yang sepatutnya berkata begitu?
“Abang…”
Nadi menoleh ke sebelah bila pertanyaannya tak disahut Budi. Budi tampak fokus pada pemanduan. Tak dengar ke apa yang dia katakan sedari tadi? Khusyuk sangat pemanduan Budi sehingga dia panggil pun tak dengar.
“Abang…” Lengan Budi digoncang perlahan.
“Hah! What is it, sayang?”
Barulah Budi memandang Nadi. Dia tersentak ditegur Nadi. Walaupun nampak seperti pandangannya fokus ke jalanan, hakikatnya dia sedang terbayangkan wajah Nurul. Tak sangka bidadari itu wujud. Nurul Ain cantik bagaikan bidadari. Hati lelakinya tak habis-habis memuji.
“Hah, tak dengarlah ni kan apa Nadi cakap?” Nadi pura-pura merajuk.
“Ala, janganlah merajuk. Nadi cakap apa tadi, sayang? Cuba ulang semula.”
“Huh, malaslah!” Nadi memusingkan badannya menghadap tingkap kereta.
“Nadi, abang tengah drive ni. Jangan merajuk, please. Susah abang nak pujuk.”
Tangan Budi memegang dagu Nadi. Memaksa Nadi memandangnya semula. Masak sungguh. Fikirkan crush lama sampai terabai isteri di sebelah. Kalau Nadi tahu apa yang dia fikirkan mahu Nadi hambat dia tidur di luar malam ini.
“Nadi cakap apa tadi?”
Nadi menggeleng. “Nothing important.”
Tiba-tiba saja dia rasa nak merajuk dengan Budi. Walhal hal kecil saja bila Budi tak dengar bicaranya.
“Betul ni?”
“Yup.”
Tangan Budi di bawah dagu diambil lalu digenggam lembut. Senyum tipis dihadiahkan buat Budi. Tak jadi merajuk walau hatinya seakan berjauh hati.
Kenapa dengan kau ni, Nadi? Tak ada angin melintang tiba-tiba merajuk. Nak datang bulan ke?
“Good, then.”
Budi membalas genggaman tangan Nadi sebelum dia kembali fokus ke jalanan. Menyambung semula ingatan ke wajah Nurul. Ah, hati! Belum kuatkah melepaskan masa lalu? Sekilas dikerling Nadi di sebelah. Mata Nadi terpejam rapat. Sudah tidurkah Nadi?
Hati Budi tertanya-tanya. Mengapa sukar menjemput cinta untuk wanita yang sah-sah telah jadi isterinya? Mengapa sekeping hatinya masih terisi nama wanita lain. Meski hakikatnya dia dan wanita itu tak pernah bercinta.
Sukar meneka rahsia hati. Seperti sukarnya untuk membuka hatinya untuk mencintai Nadi. Di hatinya sentiasa ada ruang untuk menyayangi Nadi, namun untuk cinta… Budi yakin dia tidak mencintai Nadi. Tidak tahu sampai bila hatinya akan tetap seperti ini. Apakah mungkin sehingga ke akhir nafasnya?
PROLOG • BAB 1 • BAB 2 • BAB 3 • BAB 4 • BAB 5
BELI NOVEL NADIKU (PENULIS: AFNAN)