Nadiku – Bab 3

BUDI mengetuk-ngetuk kepala sendiri dengan telapak tangan. Seakan mahu dibetulkan kepala yang serasa linglung. Dua tiga hari ini dia merasakan dirinya seperti orang yang sedang hilang akal. Asyik termenung dan memikirkan sesuatu yang tak masuk di akal. 

Diraba dadanya yang mana jantungnya sedang beritma dengan kencang. Kenapa dengannya? Perasaan apa yang sedang bergayut kuat di tangkai hati sehingga berjaya membuatnya menjadi tak senang duduk seperti ini? Antara senang dan takut kerana perasaan ini tak sepatutnya hadir. Senang kerana masih wujud perasaan cinta dalam dirinya. Takut kerana cinta ini hadir untuk orang yang salah. 

Tempat pemegang kerusi dipegang erat. Dia cuba menguatkan duduknya. Memberi keyakinan pada diri bahawa yang dirasakan bukan perasaan yang sesungguhnya. Dah bertahun-tahun lamanya hal itu berlaku. Takkanlah rasa itu masih kukuh tersemat di sanubari?

Matanya dipejamkan. Seraut wajah seseorang muncul di ruang mata. Pantas matanya dibuka semula. 

Dia terlalu ingin menafikan, tetapi hatinya kuat mengatakan dia masih mencintai Nurul. Dia masih mencintai Nurul? Gila ke dia? 

Dah lima tahun! Tidakkah mustahil rasa cinta yang pernah terkandas di tengah jalan itu belum terkubur? Budi tergeleng-geleng. Berperang dengan fikiran sendiri. 

Direnung nombor telefon Nurul yang diambil diam-diam daripada telefon pintar Nadi. Pada pertemuan terakhir mereka bertiga sewaktu reunion malam itu, hanya Nadi dan Nurul yang bertukar-tukar nombor telefon. Sedangkan dia sedaya upaya cuba bersikap selayaknya seorang suami yang setia. Hanya berbagi senyum apabila perlu dan bertukar pandangan dengan Nurul dalam keadaan tidak sengaja. Kononnya! Padahal jiwa lelaki Budi begitu meronta-ronta untuk terus memandang wajah cantik Nurul.

Semakin cantik saja wanita itu! Jujur kalau Budi jenis lelaki tak tahu malu pasti dia tidak akan mengalihkan tatapannya daripada wajah Nurul walau cuma sesaat. Mana mungkin dia melakukan seperti itu pada saat isteri sahnya turut berada di situ. Dia belum cukup gila untuk menunjukkan perangai seperti seorang lelaki kasanova walhal dia bukan lelaki begitu. 

Tunak pandangannya di skrin telefon. Berfikir apakah dia patut menghubungi Nurul atau membiarkan saja rahsia hatinya kekal menjadi rahsia. Sungguh dia dalam dilema.

BUNYI suara Budi sedang berbual diselang-seli gelak ketawa begitu menarik perhatian Nash. Seperti biasa dia bersikap seenaknya saja, masuk ke bilik Budi tanpa mengetuk pintu. Benar seperti yang didengar sebelum masuk tadi, Budi sedang berbual dengan seseorang di telefon. Ralit sungguh Budi berbual sehinggakan langsung tak menyedari kehadiran Nash di dalam biliknya. Wajah Budi kelihatan begitu bahagia.

“Bila?”

Budi terangguk-angguk. 

“Okey. Aku tunggu.”

Budi ketawa. 

“Tak adalah, pandai-pandai aje kau cakap macam tu. Aku sama macam dulu juga. Tak ada apa pun yang berubah. Kau pula macam mana?”

Budi khusyuk mendengar suara lawan bicaranya. Bibirnya tak lekang mengukir senyum. Bahagia rasanya mendengar suara halus itu. Kalau boleh dia mahu mendengar suara itu buat seumur hidupnya. Andaikan saja dia belum mengahwini Nadi… Ah, kenapa nama Nadi tiba-tiba terlintas di fikirannya? Mengganggu saja! 

Sepuluh minit Nash tercegat di hadapan Budi sambil memerhati tingkah Budi yang tak ubah seperti orang dilanda kasmaran. Budi sedang bercakap dengan siapa? Nadi ke? Macam mustahil kalau tengok gaya Budi senyum-senyum seperti itu.

Ehem!” Keras Nash berdeham. Bosan menunggu Budi habis bertelefon. 

Melihat Nash di hadapannya, seketika air muka Budi berubah bagaikan baru lepas tertangkap basah. Bila masa Nash masuk ke biliknya? Separuh tak rela cepat-cepat panggilan telefon ditamatkan. Dia berdeham untuk membuang gugup. 

“Bila masa kau masuk? Aku tak dengar bunyi pun,” soalnya merenung Nash tajam. Kurang suka Nash menerjah biliknya sesuka hati, padahal sebelum ini memang begitu perlakuan Nash. Dia tak pernah peduli pun. Bahkan dia tak pernah kompelin. 

“Mana nak dengar kalau kau asyik bergayut. Kau cakap dengan siapa? Nadi ke?”

Hah? Err…” Budi tergaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Macam tak logik dia nak mengaku dia sembang dengan Nadi. Nash tahu setiap perkembangan hubungannya dengan Nadi, dari awal mereka menikah hingga detik ini. Jika benar pun dia sembang dengan Nadi, mustahil selama itu. Tak pasal nanti Nash syak yang bukan-bukan kalau dia menipu.

Melihat reaksi Budi kening Nash segera terangkat. Muka Budi tak ubah macam orang baru lepas buat dosa. Budi sebenarnya berbual dengan siapa tadi? Bila difikir-fikir tak logik Budi berbual dengan Nadi. Mereka tinggal serumah, mengapa perlu berbual selama itu di telefon?

“Bukan Nadi, kan?” teka Nash. 

Err…” Budi telan air liur. 

Errerr… kau dah kenapa?”

Curiga Nash semakin besar. Riak muka Budi jelas cuba merahsiakan sesuatu, namun dia tidak dapat mengagak rahsia tersebut. 

“Kau ada perempuan lain?” Kening Nash terangkat. 

Choi! Belum, woi!” jawab Budi seraya melempar sehelai kertas yang digumpalkan ke muka Nash. Nash mengelak. 

“Belum, maknanya akan datang boleh terjadi. Siapa perempuan tu?”

Nash duduk di hadapan Budi. Budi masih teragak-agak untuk bercerita. 

“Siapa perempuan tu?” Tegas suara Nash bertanya. Dia tak suka betul dengan sikap Budi. Tak pernah buka hati seluas-luasnya untuk Nadi masuk menetap di situ. Padahal menurut Nash, tidak sukar untuk mencintai wanita seperti Nadi. Wanita itu cukup pakej, Budi saja yang buta menilai. Terlalu fokus dengan perkataan ‘sahabat’ hingga lupa untuk mengerti nilai seorang ‘isteri’. 

“Nurul…” Perlahan suara Budi. 

“Siapa?” Dahi Nash berkerut. Kurang dengar suara Budi. 

“Nurul Ain.” Budi melepas keluhan panjang. “Kawan satu batch dengan aku dan Nadi. Kita orang pernah rapat dulu. Dan aku pernah sukakan dia.”

“Pernah? Maknanya sekarang dah tak suka?”

Makin berat dan panjang keluhan Budi. “Aku ingat perasaan suka tu dah tak ada. Bila aku jumpa dia semula, aku rasa perasaan tu tetap ada kat sini.” Budi sentuh dadanya. “Aku rasa aku masih mencintai dia. Masih menginginkan dia…”

“Kau dah gila? Habis tu Nadi kau nak letak kat mana?”

“Itulah yang aku tengah fikirkan. Serabut otak aku. Tiba-tiba rasa menyesal. Kalaulah aku tak terima keputusan mama dan papa kita orang untuk nikahkan aku dan Nadi, mungkin aku dan Nurul…”

Hoi!” Nash ambil gumpalan kertas yang dilemparkan Budi tadi, kemudian dia balas melempar kertas itu ke muka Budi. Budi meringis kerana lemparan Nash begitu padu dan hampir mengena matanya. 

“Kau dah dua tahun kahwin dengan Nadi. Kau boleh cakap kau menyesal? Kau jangan buat gila Budi. Nadi bukan perempuan yang boleh kau main-mainkan,” tekan Nash memberi amaran. Serasa mahu ditumbuk otak Budi supaya kembali ke pangkal jalan. Sudah ada isteri sesempurna Nadi tetapi masih sibuk memikirkan perempuan yang entahkan lebih baik daripada Nadi atau tidak. 

“Perasaan ni di luar kawalan aku. Kau ingat aku suka-suka aje ke wujudkan perasaan aku terhadap Nurul? Kau ingat selama aku dan Nadi kahwin, aku tak pernah cuba mencintai Nadi? Aku nak buat macam mana kalau di mata aku, aku hanya nampak Nadi sebagai kawan?”

“Kawan? Kah!” Nash gelak. “Kawan yang boleh kau kongsi tempat tidur? Siallah kau ni! Aku nak beritahu kau, nilai Nadi sebagai isteri kau lebih tinggi berbanding imaginasi bodoh kau terhadap Nurul. Kau jangan main dengan api. Jangan nanti bila dah hilang Nadi, baru kau nak sedar erti sebenar Nadi dalam hidup kau. Aku rasa kau sendiri yang bodoh. Tak tahu tafsir perasaan kau terhadap Nadi.”

Dia tak tahu mentafsir perasaannya terhadap Nadi? Apa maksud Nash? Jelas dia hanya menyayangi Nadi seperti seorang sahabat. Dia yakin hanya itu perasaannya terhadap Nadi. Takkanlah Nash lebih tahu hatinya berbanding dirinya sendiri? Mustahil, bukan? 

“Kalau aku jadi kau, aku takkan teruskan apa saja niat yang terlintas kat kepala aku terhadap Nurul.”

“Aku tak ada niat lain. Aku sedar aku ni suami orang. Apa salahnya kalau aku teruskan persahabatan kami?”

“Tak salah kau kata?” Nash senyum sinis. Tak tahu nak kata Budi bodoh atau tak ada otak. Nash malas berbicara panjang lebar dengan Budi. Hanya membuang masanya saja. Beritahu apa saja pada Budi tentang Nadi, Budi akan tetap menafikan perasaannya dan terus-terusan memberi alasan di matanya Nadi hanya sebatas sahabat. Dasar lelaki tak guna! Panas sungguh hati Nash. 

“Buang masa cakap dengan orang angau macam kau. Aku cuma nak bagi nasihat, sebelum kau buat sesuatu fikir dulu panjang-panjang. Jangan sampai kau menyesal di kemudian hari,” nasihat Nash. 

Budi angkat bahu. Apa yang nak disesalkan? Apakah dia takut kehilangan Nadi? Nadi sendiri tahu dia tak pernah mencintai Nadi. Isterinya itu pasti akan mengerti apa jua keputusan yang dia lakukan kelak.


PROLOG • BAB 1 • BAB 2 • BAB 3 • BAB 4  • BAB 5


BELI NOVEL NADIKU (PENULIS: AFNAN)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *