Nadiku – Bab 4

HARI yang Budi nantikan tiba jua, di mana dia akan bertemu dengan wanita yang selama ini dia puja-puja. Tak dapat disangkal dia teruja dengan pertemuan mereka. Sengaja dia datang lambat beberapa minit. Bukan apa, dia tidak mahu kelihatan seperti dia terlalu teruja untuk berjumpa Nurul. Biar dia tetap kelihatan cool di mata Nurul. Sebaik ternampak Nurul yang sedang melambai sewaktu dia sampai di tempat yang dijanjikan, dia terus melempar senyum manis.

“Dah lama ke sampai?” soalnya.

“Taklah. Aku baru aje sampai.”

Dia duduk di kerusi bertentangan dengan Nurul. Tengah hari tadi semasa dia mengajak Nurul bertemu, dia meminta Nurul sendiri yang memilih tempat pertemuan mereka. Tak sangka Nurul memilih sebuah kafe yang berdekatan dengan tempat kerjanya.

“Jauh ke kafe ni dengan ofis kau? Sorry kalau jauh. Aku malas nak meredah jammed. Kau tahu ajelah kat sini kalau jammed bukan sebarang jammed. Boleh keluar segala maki hamun kalau tak sabar.” Nurul ketawa perlahan, sopan bunyinya.

“Tak apa. Aku faham. Tempat ni tak jauh mana pun. Dua tiga blok bangunan aje dari ofis aku.”

“La, ya ke? Ah, seriuslah Budi?”

Budi angguk. Tersenyum melihat muka terkejut Nurul.

“Tempat kerja aku pun tak jauh dengan kafe ni. Bangunan belakang aje. Sebab tu aku pilih jumpa kau kat kafe ni.”

Seriously?” Budi pula yang ganti terkejut. Tak sangka selama ini mereka berada di tempat yang berdekatan, tetapi sayang jodoh tidak pernah menemukan mereka sehinggalah ke hari ini. 

“Dunia ni kecil aje, kan?” 

“Dunia memang kecil. Tapi macam mana kita sekali pun tak pernah terserempak? Kau selalu ke lepak kat kafe ni? Aku pernah juga ke sini walaupun tak kerap.”

“Mungkin sebab kita tak berjodoh. Orang kata kalau kita tak berjodoh dekat macam mana sekalipun kita tetap takkan bertemu. Sama dengan konsep rezeki. Kalau bukan rezeki kita, yang ada dalam genggaman pun boleh terlepas.” Selamba Nurul jawab. Dia menyedut air yang dipesan sebaik saja dia tiba di kafe itu.

Terkedu seketika Budi mendengar kata-kata Nurul. Jodoh… Benarkah dia dan Nurul memang tidak berjodoh? Lantaran itu setelah sekian lama baru mereka ditemukan? Itu pun setelah salah seorang di antara mereka sudah menjadi milik orang lain.

Ah, kenapa pertemuan ini lambat hadir? Soal hati kecil Budi. Bila mereka sudah bertemu begini, bukankah ini petanda jodoh juga?

“Hei, Budi! Kau fikir apa tu? Tak nak pesan apa-apa ke?” soal Nurul apabila Budi tiba-tiba terdiam. Takkan masuk ke kafe sekadar untuk berbual? Sekurang-kurangnya kena pesan segelas air baru tak dikata menumpang duduk di kedai orang. 

“Pesanlah cepat. Aku belanja kau.”

“Eh, mana boleh! Biar aku yang belanja. Takkan kau nak minum air aje? Pesan makan sekali.” Budi menolak tawaran Nurul. Apa barang makan perempuan yang belanja. Dia lebih daripada mampu nak membayar harga makanan mereka. Malah beli restoran ini pun dia mampu.

“Masih ego macam dulu juga kau ni, ya. Tak habis-habis nak jaga air muka. Takut sangat orang mengata kau makan duit perempuan.” Nurul mencebik. “Sekali-sekala bagilah aku belanja juga. Aku pun nak tunjuk aku ada duit. Asyik kau aje.”

Budi menggosok belakang tengkuk. Tahu Nurul hanya ingin mengusiknya, namun dia tetap berpegang pada prinsip dia takkan pernah membiarkan perempuan mengeluarkan duit jika makan semeja dengannya. Bukannya dia tak berkemampuan. Lagipun hal ini sudah menjadi satu tabiat. Bagaikan satu dosa besar jika dia membiarkan seorang perempuan membayar makanan dan minuman yang menjadi darah dagingnya.

“Hesy, kau ni! Muka kau tu tak payahlah serba salah sangat. Aku gurau ajelah. Aku dah faham sangat perangai kau yang pantang makan duit perempuan.”

Hah, tahu pun kau!”

“Saja ajelah nak usik kau. Lama tak jumpa kau. Rindu…”

Ucapan rindu itu bagaikan siraman air hujan yang menyejukkan hati Budi. Tiba-tiba dalam hatinya tumbuh sekebun cinta yang sarat dengan bunga-bunga rindu. Indah sungguh! 

Mereka memanggil pelayan untuk memesan makanan. Setelah memesan makanan, Nurul menatap wajah Budi tak berkerdip. Agak teruja dengan pertemuan mereka kali ini. Maklumlah sudah lama dia tidak berjumpa dengan Budi.

Setelah sekian lama tak berjumpa, perjumpaan kali ini tak dapat terlepas daripada fikiran yang mengenang nostalgia lama. Tak sangka dia akan berjumpa kembali dengan Budi. Melihat Budi saat ini, Nurul yakin banyak perubahan yang telah berlaku dalam hidup Budi. Fizikal Budi saja boleh berubah, apatah lagi hidup Budi. Salah satunya adalah Budi yang dahulunya bujang kini sudah menjadi suami seorang wanita yang bernama Nadi.

“Mana Nadi? Kenapa kau tak bawa dia sekali? Bila jumpa kau orang balik tiba-tiba jadi teringat masa dulu-dulu. Ke mana saja kita bertiga. Aku tak sangka betul bila dengar kau dan Nadi kahwin. Kau dah lama eh, simpan hati pada Nadi?”

Nurul angkat kening. Niatnya ingin mengusik Budi. Namun usikan Nurul tak berbekas di hati Budi. Bahkan Budi begitu pelik dengan kata-kata Nurul. Kenapa Nurul berkata begitu? Bukankah Nurul tahu sejak dulu Budi sukakan dirinya? Kenapa wanita itu bertanya seolah-olah Budi sukakan Nadi, bukan dirinya sendiri? Di sebalik keanehan yang dirasakan, Budi tak mengungkit hal itu. Mungkin Nurul ingin melupakan cerita semalam. Cerita bagaimana Nurul menolak Budi dengan buat tak endah segala luahan hati yang mengungkapkan rasa cintanya kepada Nurul.

Bila diingat-ingat Budi jadi malu. Dia saja yang terhegeh-hegeh. Terkenang cerita lama yang tidak kesampaian sedangkan Nurul langsung tak berasa apa-apa.

Budi tersenyum hambar. Merenung wajah Nurul yang tunduk memandang skrin telefon sambil sesekali menyedut air di dalam gelas.

Degup jantung masih mengalunkan debar yang begitu keras. Berada sedekat ini dengan Nurul mencambahkan kembali rasa cinta yang pernah tertanam di hatinya. Tiba-tiba hatinya berasa sangat bahagia. Dengan hanya melihat wajah Nurul dia sudah dapat merasakan seperti dunia ini dia yang punya.

“Budi!” Petikan jari di hadapan muka membuatkan Budi terkebil-kebil. “Hesy, kau ni! Tengah ingatkan Nadi ke?”

Budi tersengih malu. Mustahil dia memberitahu hal sebenar.

“Lain kali bawa Nadi sekali, eh? Rindu aku nak sembang dengan kau orang. Hari tu tak sempat nak cerita panjang.”

“Insya-ALLAH.” Perlahan Budi menjawab. Padahal dalam hati tidak mahu menjawab seperti itu. Kalau boleh dia tidak mahu ada Nadi di setiap pertemuannya dengan Nurul. Dia mahu Nurul memusatkan seluruh perhatian padanya. Sama seperti yang sedang dilakukan mereka sekarang. Tidak perlu ada orang ketiga di antara mereka walaupun orang itu adalah Nadi, wanita yang telah menjadi isterinya sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Ah, setakat isteri yang tak dicintai! Apalah sangat nak dibandingkan dengan cinta pertama yang kini di hadapan mata.

Bahagianya bukan sedikit saat telinga disapa bunyi tawa yang keluar daripada bibir Nurul. Lama dia tak mendengar bunyi tawa itu.

Mereka terus berbual apa saja, kecuali soal hati yang mana seorang pernah mengecewakan, seorang lagi patah hati dikecewakan. Sesekali tawa mereka bergabung apabila teringat kejadian lucu yang pernah mereka lalui bersama.

Budi terlalu teringin kembali ke masa lalu. Ketika dia masih single dan available supaya dia boleh mengungkapkan semula cinta yang pernah ditolak. Mana tahu kali ini cintanya bakal berbalas. Namun rasa kecewa bergayut di hati bila seraut wajah Nadi menjelma di fikiran. Meskipun galau, terpaksa diakui di antara dia dan Nurul telah wujud Nadi. Suka atau tidak, itulah hakikat yang terpaksa diakui.


PROLOG • BAB 1 • BAB 2 • BAB 3 • BAB 4  • BAB 5


BELI NOVEL NADIKU (PENULIS: AFNAN)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *