Nadiku – Bab 5

SAMBIL menunggu di ruang tamu, sesekali Nadi bangun untuk menyelak helaian langsir. Mengintai kalau-kalau Budi sudah pulang. 

Sejak akhir-akhir ini Budi sering pulang lewat, boleh dikatakan hampir setiap malam. Dan setiap malam itu juga dalam tekad mahu menyambut kepulangan Budi, dia pasti akan tertidur dalam penantiannya. Padahal sebelum itu dia merasakan malamnya begitu panjang dan sunyi bila tak ada Budi di sampingnya. Pada akhirnya dalam kesunyian itu dia tetap juga tertidur.

Jujur dia tidak tahu apa yang dikerjakan Budi sehingga suaminya menjadi begitu sibuk. Walaupun sedari awal mama dan papa meminta dia masuk bekerja di syarikat untuk belajar selok-belok perniagaan yang dibangunkan papa bersama Uncle Borhan, hingga ke saat ini dia masih dengan alasan sama. Dia belum bersedia terjun ke bidang perniagaan. Buat masa ini dia masih senang mengutip pengalaman bekerja, makan gaji di syarikat orang lain. Lagi pula ada Budi yang lebih cekap yang boleh membantu keluarga mereka. Budi pasti mampu menjadi ketua yang lebih baik berbanding dirinya. Setidaknya itu pendapatnya buat masa sekarang. 

Papa tidak setuju dengan keputusannya. Menurut papa, menimba pengalaman secara terus di syarikat keluarga lebih baik daripada makan gaji di tempat orang. Jika dia mahu menempatkan diri di posisi paling bawah demi sebuah pengalaman, papa tidak keberatan asalkan di syarikat sendiri. Namun dia keras kepala. Tetap dengan keputusannya untuk bermajikan orang lain, bukan papa sendiri. Mahu tak mahu papa terpaksa setuju namun ditambah syarat, tepat umur 30 tahun dia wajib masuk ke syarikat keluarga. Masih ada dua tahun untuk mempersiapkan diri. Masih lama, membuatkan dia setuju dengan syarat papa. Syarat papa tidak begitu buruk dan merugikan sesiapa pun. 

Dia hampir saja mahu terlelap sewaktu telinganya mendengar bunyi enjin kereta di luar rumah. Matanya dicelikkan luas. Dia menyelak langsir. Setelah pasti kereta itu adalah kereta Budi, bergegas dia menuju pintu. Sebelum itu sempat dia meraba muka mencari bendasing yang mungkin melekat di wajah dan membuat wajahnya menjadi jelik saat menyambut suami kesayangan pulang ke rumah. 

“Abang!” Dia bersuara teruja sebaik saja pintu dibuka. Budi tampak tersentak menatap dirinya yang berdiri dengan lagak ceria di muka pintu. 

“Tak tidur lagi?”

“Belum.”

Budi masuk ke dalam rumah. Sungguh-sungguh terkejut melihat Nadi yang menyambutnya di muka pintu. Mujur tak gugur jantung, namun dia cepat mengendalikan diri. 

“Kenapa tak tidur lagi?”

Biasanya Nadi sudah tertidur di sofa sewaktu dia balik. Penat bagaimana pun dia tidak akan membiarkan Nadi terus tidur di sofa kerana dia tahu isterinya itu pasti tertidur kerana menunggu kepulangannya. Dialah yang akan jadi tukang angkat Nadi membawa wanita itu masuk ke bilik. Jarang sangat Nadi tersedar diangkat begitu. Sehingga dia siap membersihkan diri dan membawa Nadi masuk ke pelukannya sebelum dia sendiri terbuai dalam mimpi indah pun, Nadi tetap tidur pulas. Ah, isterinya ini! Kalau sudah tidur, gempa bumi berlaku pun belum tentu sedar. Agaknya Nadi penat menunggunya. Pemikiran yang adakala membuatnya rasa bersalah pada Nadi, namun sering diabaikan. 

Kenapa dia perlu rasa bersalah, sedangkan dia tak pernah meminta Nadi menunggunya? Sekiranya mengantuk Nadi bebas tidur bila-bila masa. Tak perlu nak tunjuk solehah dengan menunggunya pulang, tetapi tertidur di ruang tamu. Alih-alih Budi juga yang susah. Kena angkat Nadi bawa masuk ke bilik.

“Nadi tunggu abang.”

Beg laptop yang diletakkan Budi di atas lantai diambil lalu diletakkan di atas sofa. Budi yang masuk-masuk saja terus hempaskan punggung di atas sofa bersandar lesu. Nadi tercegat menatap wajah suami yang tidak menghiraukannya. Penat sangat ke Budi sehingga mukanya kelihatan lemas begitu?

“Banyak kerja kat ofis?”

Hurm.

“Abang nak air?”

“Tak payah.”

“Abang dah makan?”

Hurm

Budi bingkas bangun. Bergegas dia naik ke bilik di tingkat atas meninggalkan Nadi yang terkebil-kebil menatap belakang punggungnya.

Dahi Nadi berkerut. Kenapa dengan Budi? Dia dapat merasakan kedinginan Budi terhadapnya sejak akhir-akhir ini. Meskipun setiap pagi dia masih terjaga dalam pelukan Budi, namun dia tahu Budi tak seperti biasa. Seakan ada sesuatu yang membuat suaminya itu berubah. 

Nadi mengambil beg laptop untuk dibawa naik ke bilik. Hatinya tak tenang. Dia tidak mahu mencari pasal dalam keadaan Budi sedang penat. Silap bicara mereka boleh bertelingkah. 

Dipujuk hati sendiri. Mungkin Budi terlalu penat bekerja, lantaran itu sikap Budi sedikit berubah. 

BUDI ingin marah pada diri sendiri. Seperti ingin dihantukkan kepalanya ke dinding. Mengapa dia melayan Nadi acuh tak acuh? Nadi tak berbuat salah padanya. Lantas mengapa dilepaskan segala rasa kecewanya pada Nadi?

Maafkan abang, Nadi. Hati kecilnya berbisik kesal. 

Dia masuk ke bilik air. Sengaja berlama di dalam bilik air bagi memastikan Nadi sudah tidur setelah dia siap membersihkan diri. Anggaran masanya tepat. Keluar dari bilik air dia melihat Nadi sudah tertidur di atas katil.

Dia merenung wajah polos Nadi. Keluhan tipis dilepas perlahan. Setelah dia mengambil telefon pintar di dalam poket seluar dia keluar dari bilik menuju ke ruangan menonton TV di hadapan sebuah bilik kosong yang disediakan khusus untuk tetamu yang bermalam di banglo kecil milik mereka.

Duduk santai di sofa, dia mendail nombor telefon Nurul. Tidak begitu berharap Nurul menjawab panggilannya kerana tahu hari sudah lewat. Dia mencuba dua kali, hujung deringan panggilannya dijawab Nurul.

“Tak tidur lagi?” soalnya perlahan.

“Baru lepas solat isyak. Kau dah sampai rumah ke?”

“Dah.”

Budi baring di sofa panjang. 

“Esok kau pergi kerja naik apa? Nak aku tolong ambil?”

“Eh, tak payah susah-susah. Dah ada orang tolong aku esok.”

“Siapa?” soal Budi. 

“Adalah. Sibuk aje nak tahu.” Nurul ketawa-ketawa. “Nadi dah tidur ke?”

“Dah.” Pendek jawapan Budi. Tak tahu kenapa dia tak suka setiap kali Nurul menyebut nama Nadi, seakan ingin mengingatkan statusnya sebagai suami Nadi.

“Okeylah. Aku nak tidur. Esok kena bangun awal. Kau pun tidurlah. Terima kasih tolong aku tadi. Jangan lupa sampaikan salam aku pada Nadi. Bye, Budi.  Selamat malam.”

“Se…” Tak sempat dia membalas ucapan selamat malam, Nurul sudah pun memutuskan talian.

Budi merenung skrin telefon yang gelap. Dia tidak mahu menyampaikan salam Nurul kepada Nadi. Cukup dia saja tahu pertemuan mereka walaupun pertemuan itu bukanlah disengajakan.

Kereta Nurul rosak di hadapan bangunan pejabat wanita itu tadi. Lantaran tiada siapa yang boleh diharapkan, dia dihubungi. Dia tak kisah apa pun alasan Nurul, yang penting namanya terpahat di ingatan Nurul ketika berada dalam kesusahan. Bangga sekejap kerana berasa dirinya begitu berguna untuk wanita pujaannya. 

Budi akui sejak pertemuan terakhir mereka, dia sering makan di kafe tempat pertemuan mereka. Berharap dia akan terserempak dengan Nurul. TUHAN tidak mengabulkan niatnya. Dia sering keluar dari kafe dengan perasaan hampa kerana tidak dapat bertemu Nurul. Ternyata takdir TUHAN belum menyebelahinya sehinggalah malam tadi Nurul meminta bantuannya. 

Budi melepas keluhan panjang. Dia menoleh ke pintu bilik yang sedikit renggang. Seorang wanita bergelar isteri yang telah dinikahi selama dua tahun tidur di dalam bilik itu. Perasaannya terhadap wanita itu terasa kosong, namun anehnya dia merindui seseorang yang muncul kembali dari masa lalunya. Kalau betul TUHAN tidak mahu dia dan Nurul bersatu, kenapa TUHAN jadikan rasa cintanya terhadap Nurul semakin besar? 

Malam ini dia ingin tidur di sofa saja. Tak terasa mahu memeluk Nadi seperti malam-malam sebelumnya. Pejamkan mata seraut wajah Nurul muncul di ruang ingatan. Diambil sebiji bantal kusyen lalu dipeluk erat. Tak dapat peluk orangnya, cukup sekadar membayangkan. Hatinya berasa sangat puas. Melupakan kenyataan di dalam bilik ada isteri yang halal dipeluk, dia malah membayangkan wanita yang haram dia munculkan dalam imaginasi liarnya.


PROLOG • BAB 1 • BAB 2 • BAB 3 • BAB 4  • BAB 5


BELI NOVEL NADIKU (PENULIS: AFNAN)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *