0

Nak Ajak Jumpa Abah – Bab 2

KAMI makan malam bersama buat julung kalinya selepas aku bersikap dingin beberapa hari kebelakangan ini. Rupanya dalam diam dan tanpa pengetahuanku, abah dan Ady sudah menetapkan tarikh pernikahan. Terpaksa dipercepatkan demi menutup aib kami sekeluarga. Bimbang kandungan Nana semakin membesar. Sekarang juga sudah masuk tiga bulan. Kalau ditangguhkan lagi mahu saudara mara akan terhidu sesuatu.

Sakitnya hanya TUHAN yang tahu namun aku berusaha untuk bersabar. Semua persiapan majlis perkahwinan juga sudah abah dan Ady rancangkan dengan baik sekali bagi menutup segala aib.

“Kakak tak nak berada di Malaysia masa tarikh perkahwinan tu. Kakak nak bercuti.” Aku suarakan hasratku. Memang aku tidak sanggup untuk melihat majlis yang bakal berlangsung. Bimbang aku bakal mengambil tindakan yang bukan-bukan yang tentunya akan memalukan abah juga. Baik aku bawa diri jauh-jauh.

Dalam tempoh ini, tak sudah aku berfikir bagaimana caranya untuk aku mengelak dari berada di sini. Dan akhirnya salah satu cara ialah, pergi jauh-jauh. Tak perlu berada di tempat di mana hati aku memang benar-benar tiada.

“Kakak nak ke mana?” tanya abah.

Abah tidak nampak terkejut mungkin bersetuju dengan cadanganku. Rasanya semua pun setuju agar aku tidak hadir di majlis tersebut terutama sekali Nana.

“Sapporo.” Sepatah aku menjawab.

Aku sendiri tidak tahu kenapa mulutku boleh menyebut perkataan Sapporo sedangkan tiada dalam perancangan pun mahu ke sana. Baru lagi aku ke sana musim luruh hari tu. Tak sampai tiga bulan.

“Kan hari tu kakak dah pergi. Takkan nak pergi lagi.” Abah memujuk. Tak tahu abah setuju atau tidak, tapi cara abah menjawab seolah-olah abah keberatan hendak lepaskan aku pergi.

“Hari tu autumn, sekarang winter. Kakak nak main salji.”

Aku berkeras juga dengan keputusanku. Mahu pergi Sapporo juga. Aku sudah jatuh suka dengan Sapporo.

“Okey, kalau macam tu nanti abah uruskan. Kakak nak pergi berapa lama pun tak apa. Abah akan tanggung semua.”

Aku angguk. Memang aku nak abah tanggung semuanya. Sekurang-kurangnya berbaloi juga pengorbananku.

“Kakak ada nak pergi dengan sesiapa ke?” soal abah lagi.

“Kakak nak pergi sorang-sorang.”

“Bahaya tu kakak.”

“Kakak pandai jaga diri.” Aku menjawab. Bukan susah pun. Ikut saja arahan. Sapporo bukannya macam Tokyo. Kalau Tokyo lain cerita. Lagipun aku sudah ada pengalaman.

“Untunglah, merajuk sikit dapat pergi jalan-jalan. Anak kesayanganlah katakan. Apa nak semua dapat.”

Nana bersuara. Kata-kata Nana itu seperti ada sesuatu sedang menghiris hati dan perasaanku. Terus aku pandang wajahnya. Aku ingat Nana tu darah daging aku sahaja, kalau bukan memang aku tak teragak nak lempar pinggan ke mukanya. Kurang ajar betul.

“Merajuk sikit?” soalku dengan kasar. Sengaja menaikkan darahku di hadapan rezeki. Kalau tak mencari pasal memang tak sah. Memang benar-benar meluat tengok muka Nana. Rasa macam nak koyak-koyak saja mulut dia.

“Kalau tak merajuk sikit, merajuk banyaklah tu. Untunglah…” Nana menyindir lagi.

“Aku merajuk sikit ke banyak ke, yang kau susah hati kenapa?” Kasar sudah bahasaku. Hilang sabar.

“Dahlah. Depan rezeki pun nak bergaduh ke?” Mujur cepat abah leraikan kalau tidak memang ada acara lempar pinggan.

“Yalah, merajuk sikit aje dapat pergi bercuti. Memang anak kesayangan abah, kan?” Nana masih menyakiti hatiku. Dengan reaksi wajahnya begitu memang sudah membuatkan darahku mendidih.

“Dahlah tu…” Abah tegur Nana.

Aku tak boleh tunggu lagi. Bimbang aku bakal lempar pinggan ke muka Nana.

Untuk mengelak perkara tersebut berlaku, baik aku tinggalkan saja mereka. Kelak, bukan saja hati aku yang sakit, hati abah juga. Manalah tahu aku gagal mengawal perasaan. Mati pula Nana aku kerjakan.

Aku bawa pinggan yang masih berbaki dengan nasi dan lauk ke singki.

“Tengok perangai anak abah. Sikit-sikit merajuk. Sikit-sikit merajuk. Tua bangka pun nak merajuk lagi. Mengada betul.” Nana tak sudah lagi menyakiti hatiku.

Aku tak dengar pula siapa marah Nana. Baik abah atau Ady masing-masing tutup mulut. Kenapa tak boleh marah? Takut emosi Nana terganggu sebab dia mengandung? Memang semua kayu!

“Tak kisahlah merajuk ke apa ke. Anak kesayangan ke tidak, janji dapat pergi Sapporo juga!”

Aku membalas untuk sakitkan hati Nana. Aku tahu Nana pun dah lama nak ke Sapporo, tapi tak ada seorang pun yang nak bawa dia.

“Ya, nanti abah uruskan semuanya. Janji akak happy…” kata abah.

“Untunglah. Lepas ni rajin-rajinlah merajuk. Mana tahu dapat pergi Iceland pula!” Nana menyindir lagi.

Selesai basuh pinggan, aku lap tangan dengan tuala yang terletak di tepi tingkap.

“Nana lagi untung, kan? Belum nikah dah mengandung.” Giliran aku pula perli Nana. Wajah Nana berubah.

“Ada pula yang sukarela jadi pak sanggup.” Aku sindir Ady juga. Ady langsung tidak memberikan sebarang tindak balas. Dari tadi tunduk menyuap nasi. Seperti tiada perasaan langsung.

Abah juga tidak membalas. Aku tahu abah sedang berusaha bersabar dengan kata-kataku. Akhirnya aku tinggalkan ruang makan. Tidak mahu membuatkan suasana bertambah tegang.

Aku ke bilik memujuk diri. Rasanya buat seketika aku perlu mengelak dari berkumpul dengan mereka sehinggalah segala rasa sakit hati dalam diri berkurangan. Kalau tidak memang aku akan emosi.

Pintu bilik diketuk tidak lama selepas itu. Dengan rasa malas aku bangkit dari katil.

“Ada apa?” Aku menyoal sambil pandang muka Ady.

“Betul ke nak makan angin?”

“Tak perlu kut ambil berat. Suka hatilah saya nak pergi mana pun.”

“Fie, tolonglah jangan macam ni. Saya risau tau kalau awak pergi sorang-sorang.” Manisnya kata-kata.

“Risau? Tak payahlah nak berlakon lebih-lebih.”

“Kenapa cakap macam tu pula?” Lembut suara Ady memujuk. Hampir saja aku mengalah.

“Nana cakap awak beritahu dia selama ni awak tak sayang saya pun. Awak sekadar berpura-pura untuk menjaga hati saya. Sampai hati awak, kan?”

“Saya tak pernah cakap macam tu pun. Awak kenal saya bukan sehari dua.”

“Dahlah, Ady. Tak payahlah nak pujuk saya lagi. Sekarang ni keputusan saya muktamad. Saya nak pergi Sapporo. Dan satu lagi, tolong beritahu abah. Saya nak tiket flatbed pergi balik.” Tutup pintu dengan kasar selepas itu. Sakitnya hati. “Fie…” Ady masih ketuk pintu. Aku duduk belakang pintu dan menangis lagi.


BAB 1  BAB 2  BAB 3  BAB 4  BAB 5


BELI NOVEL NAK AJAK JUMPA ABAH (PENULIS: NUEEN)

  • Share post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *