SOGO. Tempat yang selalu aku dengan Ady pergi. Pantang dia dapat gaji, mulalah aku merengek minta bawa pergi Sogo. Dia pun tak banyak bunyi. Ikutkan aje. Memang begitu agaknya perangai dia. Suka mengikut telunjuk orang. Dan sekarang aku tahu, dia sekadar hendak membalas budi, sebab itulah mahu jadi pak sanggup.
Kali ni membeli belah sorang-sorang. Nak ajak Mira, dia balik kampung. Lagipun payah sikit dengan dia tu. Nanti dia cakap, dah putus dengan Ady, baru cari dia.
Ah! Mati nanti dalam kubur pun sorang-sorang juga. Jadi, kenapa nak kisah sangat bila di dunia hidup sorang-sorang. Aku ke bahagian jualan pakaian musim sejuk. Nak cari winter coat, sarung tangan dan stoking dan macam-macam lagi. Kebetulan ada jualan murah sempena hujung tahun.
“Kenapa shopping tak ajak saya?”
Segera aku menoleh.
Huh!
“Eh, awak kan sibuk uruskan majlis nikah awak.” Aku buat tak layan. Tiba-tiba saja rasa menyampah tengok muka Ady. Walaupun aku tahu, Ady tak salah apa-apa cuma sikap lembut dia tu yang buat aku sakit hati.
“Bila masa saya sibuk. Untuk awak, saya ada je masa. Macamlah tak biasa.” Ady senyum-senyum.
Aku sambung pilih winter coat. Banyak pilihan sehingga aku tak tahu hendak pilih yang mana satu. Langsung tak hiraukan Ady. Bukan aku yang ajak dia ikut aku. Jadi, pandai-pandailah layan diri.
“Fie…” Ady panggil aku.
“Apa!” Kasar aku menyahut.
“Eh, janganlah marah. Macam ni ajelah. Kita selesaikan dulu masalah Nana. Nanti lepas tu kita fikirkan cara yang terbaik.”
“Cara terbaik? Eh, awak ingat nikah tu macam main pondok-pondok ke? Dahlah awak. Tak payah nak jadi hero sangat.” Boleh pula Ady cakap macam tu. Dia ingat kahwin tu apa? Tak faham betul aku dengan dia ni. Main mudah semua benda.
“Sabar Fie. Saya tahu sekarang awak sedang marah. Tapi demi maruah abah, kita cuba lakukan yang terbaik. Saya pun tak sangka akan berlaku perkara ni pada keluarga kita. Tiba-tiba saja Nana beritahu dia dah mengandung. Saya dengan abah memang betul-betul terkejut. Lelaki tu pula menghilangkan diri. Tak menggelabah abah dibuatnya.”
Ya, demi maruah abah. Demi keluarga. Apa lagi yang mampu aku lakukan. Aku tahu, Ady pun tak boleh disalahkan. Dia juga mangsa keadaan. Dia tidak boleh mementingkan diri sendiri bila dia memang sudah benar-benar termakan budi abah. Tapi aku tak boleh terima semua ini.
Aku hela nafas dalam-dalam. Sambung pilih winter coat. Kalau boleh, nak lupakan semuanya. Belajar untuk reda dengan apa yang berlaku.
“Yang ni cantik. Sesuai untuk awak.” Ady tayang sehelai winter coat berwarna hitam.
Lebih feminin. Sesuai dengan bentuk tubuhku yang kurus dan kecil.
Aku menghampirinya. Melihat tanda harga. “Lapan ratus lebih?”
“Tak apa, saya belikan untuk awak.”
Aku pandang muka Ady. Elok juga dia belikan. Dia kan dah biasa termakan budi abah, jadi apa salahnya dia balas budi.
Aku ambil winter coat dari tangan Ady. Sarung ke badan. Memang sesuai. Berkali-kali aku pandang cermin.
“Sangat cantik.” Ady memuji. Kalau dulu aku sambut dengan gurauan kata-kata Ady itu, tapi sekarang aku memang sudah tiada perasaan hendak bergurau dengannya. Tawar.
Aku tanggal semula winter coat dan aku serahkan kepada jurujual.
“Saya pilih yang ni.”
“Barang lain tak nak ke?” soal jurujual dengan ramah sambil tersenyum cantik.
“Ya, tengah cari ni.”
Aku pilih pula stoking. Ady pun sibuk memilih. Aku tetap tak layan.
“Yang ni cantik.” Dia letak di hadapanku stoking warna kelabu dan merah jambu. Tahu saja warna-warna kegemaranku.
Aku ambil keduanya.
“Rasanya ini kali terakhir awak temankan saya shopping, kan?”
“Kenapa pula? Lepas ni bila-bila awak rasa nak shopping, awak ajak saja saya.”
“Tak lama lagi awak akan jadi bakal adik ipar saya. Keadaan pasti tak sama macam dulu lagi.”
“Apa pula tak samanya. Sama saja.”
Telefon bimbit Ady berbunyi. Ady hanya pandang tanpa mahu menjawab.
“Kenapa tak jawab?”
“Tak penting pun.”
“Kan bakal isteri yang telefon tu. Takkan tak penting pula.” Aku sekadar meneka. Mana tahu memang betul Nana yang telefon.
“Lantak dialah.”
Maka benarlah tekaanku.
“Jawablah. Nanti bising.”
“Biarlah dia nak bising. Saya tolong dia dah cukup bagus.”
Seperti Ady mula merungut.
“Eh, yang ni cantik la.” Ady hulur stoking berwarna corak-corak.
“Tak nak. Tak cantik.” Aku menolak.
Aku sambung memilih barang-barang. Ady janji mahu bayar semuanya. Jadi, aku pun berbelanja tak ingat dunia.
SEBAIK sahaja aku sampai di muka pintu, terus Nana simbah aku dengan jus oren dari gelas di tangannya. Betul-betul terkejut dengan tindakan Nana.
“Gila ke apa?” marahku.
“Memang Nana dah agak kakak keluar dengan Abang Ady. Tu pasal Abang Ady tak jawab panggilan Nana. Kakak ni memang tak sedar diri, kan? Perempuan gatal. Tak tahu malu. Terhegeh-hegeh!” Nana terpekik seolah-olah aku sudah buat kesalahan yang sangat besar.
Aku sabarkan perasaan. Tak mahu cari gaduh. Bergaduh pun tak guna sekarang ni. Hanya sekadar mengeruhkan keadaan saja. Takkan mampu mengubah sebarang keputusan.
“A’ah. Ady yang ajak akak keluar. Belikan akak kelengkapan nak pergi Sapporo. Salah ke? Tak salah, kan?” Selamba aku menjawab. Masih berusaha mengawal emosi.
Cakap jujur pun tak guna. Aku juga yang kena. Baik aku tokok tambah cerita yang tak ada. Mana tahu mampu menyakiti hati Nana. Itu saja caranya untuk membalas perbuatan Nana yang semakin kurang ajar sekarang ini.
“Kan Ady. Ni semua Ady yang belikan.”
Aku tayang-tayang beg-beg plastik dan kertas depan Nana. Puas hati aku. Nak harap Ady buka mulut? Memang tak la!
“Abang?” Nana jeling Ady dengan jelingan tajam. Seolah-olah mahukan penjelasan daripada Ady.
“Ya, memang abang temankan Fie pergi beli barang-barang dia. Salah ke?”
Eh, berani pulak menjawab macam tu. Ingatkan tak berani. Mana tahu nak jaga hati ibu mengandung, tak berani nak bersuara.
“Salah, memang salah. Abang dah nak kahwin dengan Nana. Mana boleh abang keluar dengan kakak lagi.”
Nana mula mengedik. Kaki dia hentak-hentak. Silap gaya, ini mahu makan pelempang.
“Tapi abang belum lagi jadi suami Nana. Sebelum abang jadi suami Nana, abang bebas nak keluar dengan sesiapa pun. Tak ada siapa-siapa yang boleh halang abang.”
Baru aku dengar suara tegas Ady.
Nana hentak kaki. Dia tinggalkan ruang tamu selepas itu.
“Puas hati sekarang? Nampak tak apa yang awak dah buat pada saya dan Nana?” Aku marah Ady.
“Saya buat apa? Saya cakap yang benar.”
“Mulai sekarang, awak tak payah nak baik-baik dengan saya.”
“Saya jugak ke yang salah?” Ady terus ke biliknya dan aku dengar pintu bilik dihempas sekuatnya. Aku tahu Ady marah. Aku juga marah sekarang ini.
Aku ke dapur nak basuh muka. Kurang ajar punya adik. Tak apa, tunggulah nanti. Bukan saja aku simbah dengan jus, aku simbah dengan air panas terus.
Aku bawa semua barang-barangku masuk bilik. Campak semua atas katil. Sakit betul hati.
Belum apa-apa Nana dah menyerbu masuk.
“Dah berapa kali Nana bagi amaran pada kakak. Jangan rapat lagi dengan Abang Ady. Kenapa kakak degil sangat? Kenapa kakak tak faham-faham? Tolonglah sedar diri sikit!”
Nana tolak badanku hingga aku jatuh ke katil. Kurang ajar betul perempuan ni. Aku bangun dan terus tampar pipi Nana. Hilang juga kesabaranku. Sudah tidak peduli dia tu sedang mengandung.
“Sebelum Ady jadi suami, dia berhak untuk keluar dengan sesiapa pun. Tak payah nak cemburu sangat.”
“Kenapa kakak tak sedar diri lagi? Abang Ady memang tak sayangkan kakak. Dia buat macam tu sebab dia kasihan kan kakak semata-mata sebab selama ni kakak yang terhegeh-hegeh dengan Abang Ady.”
Aku pun tak tahu, siapa sebenarnya yang tak sedar diri sekarang ini. Aku atau Nana?
“Tak kisahlah tak sedar diri ke apa ke. Tak ada kena mengena dengan kau!” Aku sudah gagal mengawal emosi.
“Dasar perempuan tak sedar diri. Perempuan tak ada maruah!” Nana mula tarik rambutku. Aku tarik pula rambutnya sekuat hati. Sekarang ini aku tak mahu berlembut lagi dengan Nana walau dia adik kandung aku sendiri. Peduli apa dengan dia mengandung. Ikutkan aku tendang aje perut dia. Anak haram kut.
“Siapa sebenarnya yang tak ada maruah? Kau ke aku? Kalau maruah kau bagus sangat, kau takkan bunting!” Rambut Nana aku tarik lagi. Kali ini lebih kuat lagi bagi melepas segala rasa geram aku terhadapnya.
Nana menjerit.
“Astaghfirullahal’adzim. Ni dah kenapa bergaduh macam ni.”
Abah datang leraikan kami.
“Kakak tu perempuan tak tahu malu. Dia ajak Abang Ady temankan dia shopping sedangkan kakak tahu hari ni kita orang nak pergi cuba baju pengantin!” Nana mula menangis dan mengadu pada abah.
Sumpah, aku tak tahu pun hari ni mereka nak cuba baju pengantin. Ady pun bodoh aje cakap tak sibuk.
“Kakak, kenapa kakak buat macam ni. Kakak dah janji kan tak nak kacau Ady lagi.” Abah pulak salahkan aku.
Aku rasa tak guna aku jelaskan apa-apa. Aku tetap juga bersalah kononnya masih tak boleh lepaskan Ady. Sudahnya aku duduk di birai katil sambil betulkan rambutku.
“Dah, dah. Nana keluar dulu. Sempat lagi kalau nak pergi cuba baju pengantin. Awal lagi. Pergi ajak Ady.” Abah keluarkan arahan.
Nana keluar dari bilikku dengan hentakkan kakinya seperti selalu sebagai tanda tidak puas hatinya.
“Kakak…” Abah seperti mahu bagi ceramah lagi.
“Tak apa abah. Kakak penat ni. Mulai sekarang, kakak akan jauhkan diri daripada Ady. Abah jangan bimbang.”
Aku baring atas katil dan aku ambil bantal. Tekup muka. Menangis dalam hati semahunya.
Aku dengar abah tutup pintu bilikku dengan kuat juga. Aku tak tahu abah marahkan siapa.
Tadi sekadar menangis dalam hati, sekarang aku benar-benar menangis.
BAB 1 • BAB 2 • BAB 3 • BAB 4 • BAB 5
BELI NOVEL NAK AJAK JUMPA ABAH (PENULIS: NUEEN)