SELESAI sudah aku mengemas. Aku letak beg yang hendak aku bawa tepi dinding bilik. Rasa lengkap semuanya. Cukup untuk keperluanku selama seminggu di sana. Semangat mahu bercuti mula membuak. Sedikit tidak aku dapat melupakan perkara yang menyedihkan. Bodohlah nak terus-terusan menangis. Bukan ada faedah pun nak sedih lama-lama. Ady walaupun nama saja pak sanggup, mustahil tak dijamahnya Nana tu. Nanti dia akan guna alasan berdosa kalau tak jalankan tanggungjawab. Dasar lelaki. Semua sama.
Jadi, tak perlu aku nak sedih sangat. Reda dan pasrah ajelah. Insya-ALLAH, ada nanti jodoh buat aku. Mana tahu jumpa di Sapporo.
“Seronok nampak?” Nana muncul di muka pintu sambil peluk tubuh. Lusa dia akan menjadi isteri Ady yang sah. Aku nampak Nana semakin angkuh. Sangat menyakitkan hati. Aku dah lepas tangan pun masih nak kacau aku. Sedangkan aku tak bersalah langsung dalam hal ni.
“Mestilah seronok. Nak bercuti.” Selamba aku menjawab.
“Kakak ingat Nana akan ucap terima kasih? Jangan harap. Abang Ady tu dari dulu sukakan Nana. Selama ni dia kesian kat kakak saja.” Nana dah mulakan semula sesi menyakiti hatiku. Akibat dimanja berlebihan, inilah jadinya. Kakak sendiri pun tak tahu nak hormat. Dalam hal ini perlukah aku salahkan didikan arwah umi atau abah?
“Kakak pun tak minta Nana cakap terima kasih. Dah jodoh Nana dengan Ady. Nak diapakan lagi. Jadi kakak kenalah move on.”
Aku tatap muka Nana. Aku boleh saja berpatah arang dengan keluarga, putus hubungan atau lari dari semua ni. Tapi sebagai anak yang sudah dididik sebaik mungkin, mana boleh aku robekkan hati abah sewenangnya. Hanya kerana seorang lelaki aku sanggup lupakan kasih sayang abah. Bodoh sangatlah aku kalau ambil tindakan begitu. Aku bukannya anak yang tidak mengenang budi.
Nana tarik muka masam.
“Nana tak benarkan kakak berhubung dengan Abang Ady lagi selepas ni. Abang Ady milik Nana seorang. Kakak jangan nak menggatal dengan dia. Hati perut kakak tu bukan Nana tak tahu. Busuk sangat. Dengan adik sendiri pun dengki tak sudah.”
Hati dia lagi busuk dia tak sedar.
“Tak berhubung macam mana lagi kalau kita tinggal satu bumbung. Lagipun Ady tu jadi pak sanggup aje, kan? Entah-entah tak ikhlas pun. Manalah tahu lepas tu dia ceraikan Nana. Siapa yang tahu, kan?”
Sengaja buat perasaan Nana huru hara.
“Nana pun tak tahulah macam mana caranya nak buat kakak sedar diri. Akak dengar sini, sebenarnya Abang Ady tu tak sayang langsung pada akak. Abang Ady sendiri yang beritahu pada Nana yang dia hanya terpaksa sayang akak sebab dia tak ada pilihan. Dia tak nak abah tuduh dia sebagai seorang yang tak mengenang budi.”
Dan lagi alasan yang sama yang diberitahu. Muak aku mendengarnya.
“Ady cakap macam tu? Baguslah. Sekurang-kurangnya tak adalah akak kena tipu seumur hidup. Nampak tak betapa besarnya hikmah di sebalik perkara ni?” Aku senyum sinis.
“Tapi Nana pasti kakak akan goda semula Abang Ady bukan?
Bibir Nana terketar seperti sedang menahan marah. Sikit saja lagi pasti menjerit. Untuk mengelak dari mendengar dia menjerit, lebih baik aku mengalah saja. Dengan Nana, takkan menang punya kalau lawan bertekak.
“Nana nak kakak lupakan Abang Ady!” Nana mula menjerit. Kan dah cakap.
“Kakak dah lupa pun. Manalah tahu selepas ni kakak jumpa lelaki yang lebih handsome. Macam Lucas Gil ke.” Aku tersenyum lagi. Buat-buat senang hati.
“Yang kaya raya. Ada rumah banglo besar, ada kereta Ferrari ke. Kan? Siapa tahu jodoh kakak dengan orang macam tu.”
Aku tahu tu semua impian Nana. Nak rumah banglo besar dan mahu kereta mewah.
“Kakak nak dapat macam tu. Eh, jangan mimpilah! Cermin dulu muka kakak. Eh, lupa. Kakak mana tahu tengok cermin sebab muka kakak muka tembok.”
“Hurm, manalah tahu. Tuah ayam nampak di kaki, tuah kakak siapa tahu.”
Nana tarik bahuku dengan kasar. Bermakna dia sudah kalah. Dia kalau kalah, mula main kasar. “Nana belum selesai lagi dengan kakak.”
“Kalau belum selesai, baik selesaikan sekarang!”
Aku pandang wajah Nana dengan rasa marah yang mula membuak.
“Kakak jangan kacau Abang Ady lagi.” “Nana ingat kakak lapar sangat ke dengan lelaki macam dia? Nampak sangat dia tu tak ada kualiti langsung. Nana ambillah. Akak sikit tak hairan. Sampah, kalau kakak dah buang, takkan kakak kutip sama sekali. Tahu sampah? Benda yang orang dah tak nak.” Kalau itu pun Nana tak faham, aku tak tahu nak cakap apa lagi.
“Baik, Nana akan ingat kata-kata kakak. Kalau Nana tahu kakak masih lagi kacau Abang Ady, kakak memang kena dengan Nana. Nana tak peduli kakak ke tidak!”
“Aku pun tak hingin!” Aku tutup pintu bilik dengan kuat.
Puas hati! Nana masih meracau. Lantak dialah.
“DAH siap ke? Biar saya hantar.” Ady angkat beg pakaianku. Tak sangka pula dia balik awal.
“Eh, tak apalah. Saya dah minta tolong Mira.”
“Tak apalah saya hantar. Lagipun saya dah cakap dengan abah saya nak hantar awak.”
“Tak apa, saya tak nak menyusahkan awak.” Aku tetap menolak. Selepas ini aku tidak mahu ada sebarang hubungan lagi dengan Ady.
“Dah orang tak sudi, tak payah kut terhegeh-hegeh nak hantar. Tak faham bahasa ke orang tak sudi?” Nana muncul dari arah biliknya.
“Nana. Janganlah cakap macam tu. Cuba cakap baik-baik dengan kakak.”
Sakitnya hati mendengar suara Ady. Entah apalah yang Ady dan abah takutkan sehingga masing-masing ikutkan saja cakap Nana. Bercakap pun punyalah lembut.
“Tak, selagi Nana tak kahwin dengan abang, Nana takkan cakap baik-baik. Nana nak sedarkan diri kakak yang selama ni memang tak pernah nak sedar diri. Dia memang bajet bagus. Berlagak nak mampus!”
Kasarnya bahasa Nana. Tak tahu kenapa dia mahu marah-marah sedangkan yang mengandung anak tidak sah bukan aku, tapi dia. Sebab dia Ady terpaksa jadi pak sanggup. Sepatutnya aku yang keluarkan kata-kata begitu.
“Kalau Nana nak sangat Ady, ambiklah. Kakak bagi percuma saja. Lagipun eloklah Ady jadi suami Nana. Dia pun bukannya bagus sangat. Asyik-asyik termakan budi. Makanlah budi tu kalau nak makan sangat.” Aku hamburkan pula kemarahanku kepada Ady. Baik tak bertempat. Lembut tak kena gaya.
“Fie…” Ady sebut namaku. Aku tahu dia terasa. Nasiblah nak terasa ke apa ke. Dah memang betul.
Aku tarik beg pakaianku dari tangan Ady dan atur langkah menuju pintu.
“Saya hantar awak.” Ady rampas semula beg pakaianku.
“Abang, jangan nak mengada hantar kakak!” marah Nana.
Aku ambil semula beg pakaianku dan tolak badan Ady dengan kuat.
“Jangan hantar saya!” marahku. Kemudian kedengaran bunyi hon. Bermakna Mira sudah sampai. Tanpa menunggu lama, aku terus tinggalkan rumah.
“Apa hal pula ni?” soal Mira sebaik sahaja aku masuk ke dalam kereta.
“Sakit sangat hati aku, Mira.”
“Dari dulu aku dah cakap. Ni semua kerja Nana. Kau percayalah, Nana tu bukannya mengandung. Aku kenal sangat adik kau tu. Kaki pembelit. Apa dia nak mesti dia dapat. Kau orang saja yang bodoh.”
Mira ni. Karang tak dapat Nana, dia pula yang aku belasah.
“Tak betul? Baik abah kau, Ady, dengan kau sekali memang selalu kena main dengan dia. Kalau adik aku, terus terang cakap. Dah lama aku pijak. Tu pasal adik-adik aku tak pernah mainkan aku. Kau selalu cakap abah kau tu lembut sangat. Ady pula lembik. Sebenarnya, kau lagi lembut dan lembik tau tak.”
Aku meraup wajah. Sebenarnya cakap Mira tu betul. Aku kuat mengalah. Aku kan kakak. Buruk-buruk Nana, tetap adik kandungku.
“Dia adik aku, Mira. Arwah umi aku suruh jaga dia dengan baik.”
“Hurm, malas aku nak cakap.”
Mira terus memandu.
BAB 1 • BAB 2 • BAB 3 • BAB 4 • BAB 5
BELI NOVEL NAK AJAK JUMPA ABAH (PENULIS: NUEEN)