WALAUPUN penerbanganku pukul sebelas malam, aku minta Mira hantar aku lebih awal. Pukul enam aku sudah minta dia jemput aku. Aku tak nak pandang muka sesiapa pun. Selesa begini. Selesa berada di luar.
Aku pilih lepak di Starbuck. Memandangkan aku dalam keadaan uzur, tak perlu tergesa-gesa untuk check in.
Aku perhatikan seorang demi seorang pelanggan yang keluar dan masuk. Seorang lelaki berambut panjang paras bahu. Bertubuh tegap melintasi depanku membuatkan mataku tidak berkedip.
Hurm, segak.
Ah! Gatal pulak mata ni. Cuci mata apa salahnya. Dah betul dia segak. Takkan tak nak pandang. Aku pun ada naluri wanita. Yang suka pada kacak dan segak.
Lelaki segak bawa bekas minuman dan duduk di kerusi berhadapan dengan mejaku. Dia toleh kiri kanan. Sebelum dia pandang aku baik aku pandang telefon bimbit.
Aku pura-pura pandang depan untuk melihat dia. Dia sedang melihat telefon bimbitnya dengan wajah serius. Sesekali dia urut batang hidung dengan kening dijongket sedikit. Walau serius aku rasa seperti ada daya penarik di situ.
Aku toleh kiri kanan. Dan laju aku tangkap gambar dia. Nak bagi pada Mira. Mira memang suka lelaki rambut panjang macam ni.
Tak sampai beberapa minit, telefon berbunyi. Dah agak.
“Wei, siapa tu? Handsome gila kut. Ada iras-iras Nicholas Saputra sikit, kan?”
“Mana la aku kenal siapa lelaki tu. Eh, kau ni dah sampai rumah ke belum?”
“Dah la. Kalau tidak takkan aku call kau.”
Amboi, pantang tunjuk gambar lelaki hot sikit. Gedik semacam.
“Eh, kau tolong ambil gambar mamat tu lagi boleh?”
“Tak nak la. Karang dia perasan.”
“Bukannya satu kapal terbang dengan kau pun.”
“Serius, memang segak.” Aku ketawa sambil pandang lelaki di hadapanku. Dia langsung tidak terkesan dengan ketawaku. Masih leka dengan telefon bimbitnya.
“Jangan buat aku terbakar boleh tak?”
“Cuba kau doa-doa sikit kut ini bakal pengganti Ady.” Lagi aku bakar perasaan Mira.
“Ya, aku doakan kau dengan lelaki tu ada jodoh. Tapi pastikan bukan suami orang tau. Jangan cari penyakit dengan suami orang.”
“Wei, kapal terbang pun orang berani rampas, inikan pulak setakat suami orang.”
“Aku takkan mengaku kau kawan dunia akhirat kalau kau buat perangai macam tu.”
“Yalah, yalah. Aku tahulah. Ingat aku bodoh sangat ke? Okeylah Mira. Aku nak check in dah ni. Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam.”
Aku simpan telefon bimbit dan mula tinggalkan tempat duduk. Tolak troli menuju tempat untuk check in.
Lelaki segak tu masih di situ. Leka dengan telefon bimbitnya.
Hurm…
Serius segak. Ady memang kalah teruk dengan lelaki tu.
EH?
Bukan sedikit rasa terkejut aku bila melihat lelaki segak tadi turut sama berada di ruang menunggu.
Wei, takkan dia pun pergi Sapporo juga.
Perlahan aku halakan telefon bimbit dan ambil gambar dia.
Gatal!
Aku kirim pada Mira. Pasti melompat perempuan tu.
Mira
Dia pergi Sapporo?
Aku balas pertanyaan Mira dengan jawapan ya.
Mira
Ruginya tak ikut kau !
Aku cuma memberi jawapan emoji tersenyum sahaja kepada Mira.
Kembali menjeling dia yang masih leka dengan telefon bimbit tanpa peduli orang sekeliling.
Tidak lama selepas itu, kami dibenarkan masuk ke dalam pesawat mengikut zon. Memandangkan aku duduk di zon pertama, maka aku berjalan masuk terlebih dahulu.
Eh, dia pun masuk juga? Aku mengekori dia dari belakang. Kalau dari belakang juga nampak menawan, apatah lagi kalau lihat dia dari hadapan.
Ah! Flatbed juga ke? Haluan lelaki tu seperti menuju flatbed saja.
Betullah.
Aku terpaksa menanti lelaki bertubuh tinggi lampai itu menyimpan beg di tempat simpan barang kerana dia menghalang laluan. Sambil mata melihat tempat dudukku. Di tangan tetap pegang tiket yang abah belikan untukku. Memang abah belikan kerusi flatbed.
Lelaki tinggi lampai duduk. Eh, takkan aku duduk sebelah dia. Tapi nombor kerusi memang betul. Kerusi untuk flatbed Air Asia pun bukannya banyak. Hanya ada 12 kerusi sahaja.
“Err, saudari nak duduk tepi tingkap ke?” soal lelaki tu tiba-tiba. Cepat aku geleng. Baik pula. Tapi muka dia tetap serius.
Aku duduk. Sesekali menjeling lelaki di sebelahku. Kalau aku cerita pada Mira, mahu pengsan kawan tu. Tak apalah. Sampai Sapporo nanti aku beritahu Mira.
“Bercuti?” soal lelaki segak tu dengan tiba-tiba. Dia toleh pandang aku. Pandangan saling bertemu sehingga menembus jantung. Sebab itu jantung terus tak duduk diam.
Segak sangat ni!
Aku angguk.
“Sorang-sorang?”
Bahaya kalau beri sebarang maklumat kepada lelaki yang tidak dikenali. Lebih-lebih ketika di negara orang. Tapi kalau aku cakap pergi dengan kawan, mana kawan-kawan aku? Sedangkan aku perasan sejak di ruang menunggu tadi dia duduk berhampiran denganku.
“Nama saya Hann, dua N ya.” Terus dia perkenalkan diri bila aku biarkan kosong pada ruang jawapan untuk soalan sorang-sorang tadi.
Aku angguk sebagai jawapan. Lepas tu lama kami berdiam diri sambil menantikan waktu berlepas.
“Nama saudari?”
“Fie. Tak ada dua E.” Aku pun nak loyar buruk juga.
Bibir milik lelaki segak berwajah serius itu bergerak sedikit. Dia mahu senyum tapi senyumnya tak menjadi. Mungkin kata-kataku tak mampu buat dia tersenyum.
“Selamat berkenalan.” Dia tunduk sedikit kepala. Gaya orang Jepun pun ada.
“Ya, selamat berkenalan.” Aku juga tundukkan sedikit kepala.
Lama kami berdiam diri selepas itu sambil menantikan kapal terbang berlepas.
“Encik Hann pun bercuti juga ke?”
“Ya.”
“Sorang-sorang?”
“Kalau ada isteri atau kekasih, bodohlah bercuti sorang-sorang.”
Terkena aku. Banyak lagi tanya, kan dah dapat.
“Awak pun bercuti sorang-sorang ke?”
“Kalau ada suami atau kekasih, bodohlah bercuti sorang-sorang.” Aku kenakan dia balik.
Dia gigit hujung bibir tanda dia geram atau sedang bercakap sendiri. Padan muka aku.
Entah kenapa, aku suka pula tengok dia begitu. Nampak seksi.
“Awak kerja di mana?” Dia tanya aku. Rasanya tu ayat menyambung bicara. Tapi soalan kurang ajar sebenarnya. Sampai kerja orang pun nak ambil tahu.
“Dah enam bulan tanam anggur.”
Terakhir aku bekerja di firma guaman. Banyak sangat masalah yang buat kepala aku selalu serabut, aku terus berhenti. Abah ada ajak aku kerja di syarikat, aku cakap nantilah. Nak enjoy dulu. Nanti dah kerja susah pulak nak makan angin.
“Encik Hann?”
“Tak payahlah nak berencik dengan saya. Hann sudahlah. Dulu saya kerja sebagai gigolo.”
“Hah?” Gigih kepala aku cari makna perkataan gigolo.
“A’ah. Gigolo.”
Melihat pada gaya dia, rasanya memang pernah jadi gigolo. Perempuan manalah yang pernah bela dia.
“Umur saya dua puluh tiga tahun, saya kerja dengan MAS.”
“Pramugara?” soalku.
“Taklah, tukang cuci dalam pesawat aje.”
Baik, dia mahu berubah. Walaupun kerja yang dia lakukan itu agak kotor, tapi jauh lebih mulia daripada pekerjaan dia sebelum ini.
“Dua tiga tahun juga saya kerja dengan MAS. Selepas tu saya dapat jadi CEO.”
Ke, aku kena goreng dengan mamat nama Hann ni? Nampak muka serius, tapi boleh tahan jugak loyar buruk dia.
“Awak ni kerja apa sebenarnya. Kejap gigolo, kejap tukang cuci. Lepas tu terus melompat jadi CEO.”
“Saya gurau aje. Sebenarnya saya hanya jurugambar bebas dan juga pemandu pelancong terutama ke negara Jepun.”
Apa-apa ajelah. Suka hati dialah nak jadi apa. Tak ada kena mengena dengan aku sebenarnya. Tapi sikapnya yang sedikit ramah itu membuatkan aku tidak sangka. Ingatkan muka serius habis susah nak bercakap.
Aku turunkan tempat duduk ke posisi berbaring.
Namun dikejutkan bila seorang pramugari menyerahkan satu borang yang perlu aku isi. Borang yang akan menjadi pas kemasukan ke Sapporo nanti. Semua maklumat penginapan perlu diisi.
“Awak pun menginap di Hotel Resol juga?” soalnya tiba-tiba. Terkejut aku jadinya. Bila aku toleh dia sedang melihat butiran yang sedang aku tulis. Bermakna dia tahu aku bakal menginap di mana.
“Kebetulan. Saya pun menginap di Hotel Resol juga.”
Ah! Sudah.
Kenapa banyak sangat kebetulannya? Buat aku tak sedap hati saja.
Lepas siap isi semuanya, aku turunkan semula kerusi. Nak baring dan lelapkan mata. Tak nak fikir apa-apa. Aku hanya fikir aku nak bercuti dan bergembira.
Hal-hal lain, lantaklah!
BAB 1 • BAB 2 • BAB 3 • BAB 4 • BAB 5
BELI NOVEL NAK AJAK JUMPA ABAH (PENULIS: NUEEN)