MEREKA berjalan berpimpin tangan memasuki ballroom yang meriah dengan bunyi muzik. Kehadiran mereka mencuri pandangan mata tetamu yang lain. Ada yang memandang dengan rasa kagum, tak kurang juga yang memandang dengan pandangan jengkel.
Jengkel?
Mungkin kerana yang berdiri di sebelahnya sekarang ini ialah lelaki kegilaan ramai waktu di kolej dulu. Malangnya lelaki ini memilih dia sebagai pasangan hidup.
Bahagia?
Tak nampak senyuman yang sentiasa dia ukirkan ini? Kalau bukan senyuman bahagia, apa lagi? Memiliki suami yang menjadi kegilaan ramai ialah satu kebanggaan juga bagi dia dan selebihnya… biarlah dia saja yang tahu.
“Hai, lovebirds.” Tegur Syahmi.
Riftah angkat tangan membalas teguran Syahmi. Tangan Naili ditarik mengikut langkahnya. Kemas tangan wanita itu dalam genggaman. Dengan bangga dia menayangkan Naili kepada umum. Malah tanpa segan silu dia memaut pinggang wanita itu; menarik tubuh langsing itu rapat dengannya. Sejak di universiti, mereka pasangan yang dicemburui ramai. Baik dia mahupun Naili, masing-masing punya peminat sendiri.
“Seorang?” tanya Naili.
Syahmi, rakan satu batch dengan mereka. Lebih tepat rakan satu kepala dan sekaki dengan suaminya. Sebab itulah dua manusia ni boleh berkawan lama.
“Hei, mana boleh datang seorang diri. Aku bawa teman juga, dia ke buffet area kejap. Kau orang dah ambil makanan? Reunion kali ni makanan dia superb!” puji Syahmi.
“Bukan kau asal makanan saja semua superb?” tempelak Riftah.
“Rezeki, Rif. Sama juga dengan perempuan. Kalau ada rezeki untuk tambah kuota buat apa setia?” Syahmi cuba berlucu.
Naili senyum nipis. “Kan? So, kalau nanti perempuan buat macam tu juga, kau jangan melatah, Syah. Perempuan ni dia setia sebab satu saja. Duit!” Naili kenyit mata. Dia menoleh ke arah Riftah.
“Rif, I nak ambil air. Haus pula rasa tekak ni,” ujar Naili. Walhal dia jengkel dengan sikap terbuka Syahmi. Ya, dia tahu bagaimana ligatnya Syahmi dan Riftah; tapi tak perlulah tunjuk di depan dia.
“Biar I ambilkan untuk you,” pintas Riftah. Lagaknya seperti suami misali. Riftah sememangnya begitu dengan Naili. Dia memanjakan wanita itu bukan kerana terpaksa tetapi kerana dia mahukan begitu. Itu cara dia mencintai.
Syahmi sembunyi senyum. Nak muntah pula dia lihat sikap prihatin Riftah. Walhal belakang Naili, inilah raja segala buaya atas muka bumi. Mulut lelaki itu bercakap seperti madu bersarang di bibir. Perempuan yang jual mahal setara mana pun tunduk dengan Riftah.
“It’s okay. I boleh layan diri, Rif.” Ujar Naili lembut. Dia labuhkan kucupan ringkas di pipi Riftah.
“Wow!” komen Syahmi. “Aku hairan sebenarnya,” sambung Syahmi dengan dahi berkerut.
“Apa yang kau nak hairan?” soal Riftah dengan kening terjongket tinggi.
“Kau tengok Naili tu.” Pandangan mata Syahmi jatuh pada bahagian belakang Naili. Punggung yang terletak cantik. Sesuai dengan ketinggian wanita itu. Malah rambutnya yang panjang apabila disanggul begitu, menyerlahkan leher jinjang wanita itu. Menonjolkan lagi sisi seksi seorang Naili.
“Kenapa dengan Naili?”
“Cantik, seksi. Pinggul dia… aku yakin dia terbaik di ranjang, kan?” soal Syahmi senyum senget.
“Soal dalam kelambu kau tak boleh tahu,” ujar Riftah dalam tawa besarnya.
“Podah! Rahsia kau semua dalam kocek aku. Tak payah nak membongak sangat. Yang aku hairan, kenapa kau cari yang lain lagi? Aku kalau dapat yang macam Naili tu… pergh! Siang malam aku ulit tak cari lain.” Teruja, Syahmi bersuara. Bibir dia meleret senyum nakal. Imaginasi seorang lelaki kadang sukar diduga akal.
Riftah mencebik bibir. Dia atur langkah ke sofa. Matanya melilau ke segenap ruang ballroom. Soalan Syahmi dibiarkan tak berjawab. Rata-rata tetamu yang datang malam ini semuanya berteman. Siap ada yang membawa anak-anak. Dia pula malas mahu menegur sapa mereka. Malam masih panjang. Kalau majlis reunion yang diaturkan oleh Badrul, takkan pernah berakhir seawal sepuluh malam. Paling lewat dua belas tengah malam. Selalunya yang balik awal itu, mereka yang datang membawa anak-anak. Yang bujang atau datang berdua seperti dia dan Naili ini akan memilih bermalam di hotel; dan menghabiskan masa dengan kawan-kawan yang lain hingga ke pagi.
Lagi pula, setiap tahun Badrul menganjurkan majlis ini di hotel. Katanya senang nak check-in. Gila! Siapa tak kenal Badrul, sikap kepala biul sejak zaman belajar dibawa sampai ke tua.
“Badrul mana?”
“Tadi ada, lepas tu jumpa crush lama dia terus hilang.” Syahmi senyum senget.
Meledak tawa Riftah. Sudah boleh mengagak apa yang terjadi. Memang setiap tahun begitu, acara jejak kasih dan mengikat kasih yang terputus. Bukan untuk hubungan jangka masa panjang, hanya untuk kepuasan satu malam. Dia sudah maklum perangai setiap rakan mereka. Walaupun mereka sudah ada isteri dan anak; depan isteri pijak semut tak mati belakang isteri lima minit pun jadi.
“Rif,” panggil Syahmi.
“Hurm.” Gumam Riftah. Mata mencari kelibat Naili. Lama pula si isteri ambil air.
“Kau perasan tak?”
“Apa?”
“Perempuan pakai gaun paras lutut di hujung sana. Gaun warna biru. Dari tadi dia pandang kau,” tunjuk Syahmi.
Riftah menoleh ke arah yang dikatakan oleh Syahmi. Anak matanya dipicingkan kemudian dia senyum nipis dan menganggukkan kepala sedikit. “Ex-girlfriend akulah siot.” Ujar Ritfah. Tak sangka pula tahun ni Gee atau Fauziah nama sebenarnya, ikut serta majlis reunion mereka. Sebelum ini, wanita itu tak pernah muncul. Katanya sambung belajar di luar negara dan bekerja di sana. Tahun ini muncul pula.
“Wow! Maksud kau, Gee?” Buntang mata Syahmi.
“Yer la.”
“She’s so hot, bro.” Puji Syahmi.
“Kau ni semuanya hot. Mana partner kau?” tanya Riftah. Kata datang bawa teman tapi sejak tadi dia tak nampak pun.
Syahmi tepuk dahi. “Entah!” Dia seringai. Ala, dia bawa teman pun sebab tak nak dikatakan lonely oleh yang lain. Ke mana perempuan itu nak bawa diri, lantaklah.
“Aku nak cari Naili kejap.”
“Dah masuk mood suami misali ke?” Sarkastik bunyi soalan Syahmi.
Riftah betulkan kot di tubuh. Melayan Syahmi bukan ada faedah pun. Dia melangkah ke bahagian minuman, melilau mata dia mencari susuk tubuh Naili, tiada. Dia ke meja bufet, wanita itu juga tiada. Langkahnya diatur keluar ballroom, menuju kolam renang. Tidak jauh dari situ dia lihat Naili sedang berbual dengan seorang lelaki. Senyum manis yang terukir di bibir Naili membuatkan dada Riftah panas dengan rasa cemburu.
Dia cuba kawal emosinya. Nafas ditarik panjang kemudian dilepaskan perlahan. Setelah tenang dia melangkah mendapatkan wanita itu.
“Awak seorang, Akram?”
“Ya, masih solo macam dulu.”
Naili ketawa. “Memilih ni,” usik Naili.
Akram geleng kepala. “Taklah. Belum bertemu jodoh agaknya.”
“Jodoh?” Naili senyum nipis.
“Kenapa Naili?” soal Akram pelik. Reaksi Naili apabila menyebut fasal jodoh agak janggal padahal wanita itu sudah hidup berdua. Malah dia nampak senyuman yang tak lekang daripada wajah Naili sejak dia jejakkan kaki ke dalam ballroom ini. Senyuman yang dia rasa boleh diklasifikasikan sebagai wanita yang bahagia.
“Awak percaya akan jodoh?”
Soalan Naili buat Akram kerut kening. Perlukah seorang wanita yang sudah mempunyai suami bertanyakan soalan begitu? Atau lebih tepat, logikkah?
“Hai.” Sapa Riftah.
Naili menoleh seraya tersenyum manis. “Hai.” Ujarnya manja. Huluran tangan Riftah disambut mesra. Seperti selalu dia sentiasa layarkan raut bahagia apabila bersama Riftah.
“Siapa ni?”
“Tak kenalkah? Ini Akram. Sama batch dengan kita juga,” ujar Naili.
“Oh, ya?” Riftah memandang Akram. Boleh tahan kacaknya.
“Ya, kau tak kenal aku sebab masa studi dulu aku low profile. Kenal Naili pun masa satu group discussion Prof. Kuljit,” jelas Akram.
“I see,” Riftah angguk. “Okey, Akram. Nice to meet you tapi aku nak bawa Naili masuk dalam. Jumpa kawan-kawan yang lain.”
Akram angguk mempersilakan mereka berlalu. Hanya pandangan mata menghantar lenggok kedua-duanya. Dalam kepala, dia masih memikirkan soalan Naili tadi. Mengapa agaknya Naili bertanyakan soalan begitu?
BAB 1 • BAB 2 • BAB 3 • BAB 4 • BAB 5
BELI NOVEL RAPUH (PENULIS: SK AISYAH)