Rapuh – Bab 2

NAILI lepaskan nafas berat. Rimas kerana hari ini dia kena bekerja. Belum siap kerja, Riftah heret dia ke sini. Sebenarnya dia sendiri sudah lupa tarikh reunion ni. Tambahan pula dia bukanlah penggemar majlis macam ni, datang sekadar menemani Riftah. 

Datang majlis begini bukan untuk bertanya khabar tentang kawan-kawan, sebaliknya mereka sibuk menunjukkan kemewahan diri. Sibuk menayang suami yang kacak dan kaya. Yang lagi tak boleh tahan, apabila suami tu mat salleh. Banggalah dapat menayang pada kawan-kawan yang rata-ratanya bersuami orang Asia.

Jengkel juga dia melihat aksi mereka. Terlalu mencuba untuk nampak lebih berjaya daripada orang lain tak kira daripada aspek apa pun.

“Rif, you tak nak balik lagi?” tanya Naili.

“Sekejap lagi sayang. You dah bosan?” soal Riftah berbisik.

“Penat.” Adu Naili manja.

“Nanti I urut you,” tingkah Riftah seraya kenyit mata.

Naili jeling manja. “Kalau you yang urut, I lagi rela tidur dalam kepenatan.” Dia tersenyum manis.

“Hai, Rif.” Tegur Gee. Kepada Naili, dia layangkan senyum nipis. Sejak tadi dia perhatikan pasangan ini. Puas dia tunggu peluang untuk menyapa Riftah tapi hampa. Meluat dia melihat kedua-duanya asyik berkepit sahaja. Jadi dia putuskan untuk menegur sahaja. 

Naili membalas ala kadar. Dia perasan yang Gee asyik memandang mereka sejak tadi. Huh! Datang tegur selepas putus asa menunggu peluang Riftah bersendirian. Perempuan macam Gee, tingkahnya dalam kocek Naili saja.

Riftah angguk sahaja. “You seorang saja?” tanyanya sekadar berbasa-basi. Takkanlah nak tunjuk sombong pula. Jatuhlah maruah Gee nanti. Apa-apa pun mereka masih kawan.

“Ya. Takde teman malam ni.”

“Oh.”

“You tak menari?” tanya Gee pula. 

Naili yang mendengar tunduk bersama senyum senget. Gelas di tangan diputar-putar. Daripada nada Gee, dia tahu gadis itu bukan sekadar bertanya. Alah, dia dulu pun pernah bersikap seperti Gee apabila berdepan dengan lelaki yang pernah menjadi crush dalam diam.

“Sekejap lagi, I menari dengan Naili,” ucap Riftah lembut. 

“I nak menari tapi takde teman.” Balas Gee sambil melirik Naili kemudian memandang Riftah.

See? Bukankah dia sudah kata yang Gee bukan bertanya tapi mengajak Riftah untuk menjadi pasangan dia. Pandangan Naili menata pada raut Riftah, dia mahu dengar jawapan suaminya. Boleh saja dia masuk campur tapi sengaja dia diamkan diri dan menjadi pemerhati.

“I…”

“Naili, you okey kan Rif teman I menari? Bukan I nak curi Rif pun. He is forever yours.” Ujar Gee.

Naili jongket bahu. Jawapan bukan di tangan dia. Lagi pula, dia bukan jenis tipikal isteri yang membuat keputusan untuk suami. “You tanya tuan punya badan, kalau dia okey, I okey.” Kosong nada Naili. Gelas minuman diletak atas meja. Tak perlu menunggu lama, dia sudah boleh agak jawapan Riftah. Lelaki ini peramah dengan semua perempuan.

“Sayang,” Riftah tarik tangan Naili, mendorong tubuh itu ke dalam dakapannya. Tangan kirinya memeluk erat pinggang Naili. “Betul, tak kesah I menari dengan Gee?”

Tangan Naili naik bermain di dada Riftah. Bibirnya dipaksa senyum. “Dan, I harap you tak kesah I menari dengan lelaki lain.” Pipi Riftah dia kucup lama. Matanya mengerling Gee yang mencebik marah. Cemburu barangkali. Tangan Riftah di pinggang dia tolak lembut. 

Dia sekadar berjalan di sekitar ballroom. Bosan sendirian, dia menyertai kumpulan Rita. “Hai,” sapanya.

“Hai, Naili. Ingatkan tak nak tegur kita orang.” Rita seperti berjauh hati.

Naili sengih. “Baru dapat lepas daripada Rif.”

“Ya, I can see that,” celah Ayuni sambil memuncungkan bibir ke arah ruang tengah ballroom di mana ada beberapa pasangan sedang menari termasuklah Riftah dan Gee.

Naili ketap bibir.  Namun, dia cuba untuk mengekalkan wajah tenang. Rapatnya tubuh Riftah dan Gee, membuat hati dia panas. Tambah pula dengan selamba Gee labuhkan kepala di dada Riftah. “Takpelah, menari saja pun.” Ulasnya ala kadar. “Anak-anak kau mana, Rita?” Sengaja Naili lencongkan topik perbualan.

“Dengan suami aku. Meragam pula dia malam ni.”

“Oh, dah berapa orang anak kau?”

“Seorang, Naili. Baru umur setahun, tengah lasak lagi.” Cerita Rita dengan nafas berat. Kepenatan barangkali.

“Tanya orang, kau bila nak dapat anak? Dah enam tahun kahwin masih lagi berdua,” balas Ayuni.

Naili senyum menerima soalan sinis Ayuni. Dah lali kut. Setiap tahun kalau dia ke majlis reunion ni itu sajalah soalan yang mereka tanya. Itulah salah satu sebab kenapa dia lebih suka bawa diri dalam majlis begini. Menyesal pula dia menyapa mereka tadi. Bosan punya pasal dan sekarang dia sakit hati

“Belum puas hidup berdua, Ayuni.” Dalih Naili.

Hurm… orang tua selalu kata, anak ni pengikat kasih sayang suami isteri. Enam tahun takkan tak puas lagi berdua? Jangan nanti, Rif cari lain sudahlah. Orang lelaki ni bukan boleh percaya. Mulut cakap tak kesah tapi dalam hati lain pula. Belakang isteri diam-diam pasang lagi.” Bersungguh Ayuni bercerita. 

Dia tarik nafas panjang. Kalaulah Ayuni tahu hal sebenar, pasti wanita ini tidak akan bercakap begitu. Orang yang melihat hanya mampu menilai daripada luaran, yang menanggung… dia. Hanya dia yang tahu apa yang dia mahukan! Apa yang dia harapkan daripada perkahwinan ini! 

“Naili.”

Naili menoleh ke sisi. Lidahnya yang mahu membalas bicara Ayuni, terbantut. Kening mengerut cuba mengenali lelaki di hadapannya. “Siapa?”

“Oh, come on? Tak ingat I?”

Teragak-agak Naili angguk. 

Your crush.” Ujar lelaki itu.

“Badlishah?” soal Naili tak percaya.

“Ya, I la.” Lebar senyum lelaki itu.

Not bad you sekarang.” Puji Naili. Atas bawah dia pandang Badlishah. Lelaki yang dulu kelihatan sangat jambu pada mata dia, sekarang sangat manly. Dengan tona warna kulitnya yang gelap sedikit dan berjambang nipis, Badlishah nampak sangat macho.

Badlishah tersenyum bangga.

“Hai, tegur Naili saja?” soal Rita dengan mata terjegil. Bertuah punya kawan.

“Oh, sorry Rita, Ayuni. Kau orang dah lama sampai?”

“Lamalah juga. Aku tunggu Badrul. Aku dah booked bilik hotel ni. Faham sajalah anak kecil ni,” jelas Rita.

Naili angguk. Untung Rita walau baru kahwin dua tahun sudah dapat anak. Dia? Bukan tak boleh tapi Riftah yang menolak. Alasan belum puas hidup berdua bukan datang daripada dia, tapi Riftah. Enam tahun berdua. Seperti kata Ayuni takkan tak puas lagi hidup berdua. Jika ditanya, sudah lama dia teringin hidup bertiga, berempat dan seramai mungkin. Naili sendiri anak tunggal, dia mahukan keluarga yang besar. Riftah ada keluarga besar namun masing-masing bawa haluan sendiri. Hendak jumpa setahun sekali pun susah.

“Badrul tengah selesaikan hal bilik la tu. Ramai pula yang nak check-in.” Dalam maksud kata-kata Badlishah. 

“Macam kau tak tahu. Setiap tahun macam ni. Sebab tu Badrul buat reunion ni kat hotel,” celah Ayuni. 

Naili diam. Ini lagi satu perkara yang dia tak suka. Umpama sudah menjadi satu budaya, selepas reunion masing-masing akan ada urusan sampingan lain. Datang majlis sekadar alasan semata. Badrul pun bodoh, sudah serupa bapak ayam. Ikutkan sangat suara majoriti yang mahukan layanan eksklusif selepas reunion. Huh!

Pandangan dia meliar ke lantai tari. Susuk tubuh Riftah dan Gee sudah hilang. “Sorry guys, I nak ke ‘ladies’ kejap.” Naili beralasan. Dia mahu mencari Riftah dan Gee. Tanpa menunggu balasan yang lain, dia terus atur langkah meninggalkan mereka. Seluruh ruang ballroom dicari tapi susuk tubuh kedua-duanya tidak kelihatan.

“Naili.” 

Langkah terhenti. Dia menoleh ke belakang. Akram!

Akram senyum. 

 

“GEE are you sure?”

Yes!” jawab Gee manja. Dia tolak tubuh lelaki itu ke atas katil. Satu per satu butang kemeja dibuka. 

“Gee, I takkan bertanggungjawab if anything happen to you.” Dia mahu perempuan ini jelas tentang situasi mereka. 

I know.” Nada suara Gee berubah dalam dan menggoda. 

“Gee…”

Shhhlet’s have fun. I want you! Yang lain I tak kesah,” bisik Gee lembut. Dia hanya mahu menakluki apa yang tak menjadi miliknya. Peduli apa jika dia perlu membuang maruah dia atau dia perlu menceroboh hak orang.

Tatkala manusia berdua itu tenggelam dalam kenikmatan dunia, mereka terlupa bahawa ada DIA yang melihat. 


BAB 1 • BAB 2 • BAB 3 • BAB 4  • BAB 5


BELI NOVEL RAPUH (PENULIS: SK AISYAH)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *