AKRAM berpaling ke arah Naili. Sudah lima minit dia memberhentikan kereta di tepi jalan. Naili yang minta dia berhenti di sini. “Tak nak saya hantar ke rumah?” tanya dia lagi.
“Takpe. Kat sini pun dah cukup Akram. Terima kasih tumpangkan saya,” balas Naili lembut. Dua jam selepas menunggu Riftah, dia memutuskan untuk mencari si suami. Manalah tahu Riftah terlalu asyik bersembang dengan teman-teman sehingga terlupa dia di bilik.
Tapi di bawah pun lelaki itu tiada. Tidak perlu berkata apa-apa kerana dia mula yakin dengan kata hatinya. Riftah…. Dia hela nafas berat. Berapa lama lagi dia harus menganyam mimpi palsu tentang lelaki itu?
“Betul ni awak okey?” Raut wajah Naili tidak menunjukkan yang wanita itu okey. Risau pula dia mahu meninggalkan Naili. Andai terjadi sesuatu kepada wanita ini pasti dia yang akan dicari kerana dia yang berada bersama Naili sekarang.
“Saya bukan budak kecil, Akram.” Ujar Naili seraya menggelengkan kepala. “Lagi pula saya dah call kawan saya nak jumpa dia kat sini.”
“Tepi jalan ni?”
“Akram, depan tu bus stop. Saya tunggu dia kat situ,” balas Naili.
“Kalau macam tu, saya tunggu sampai kawan awak sampai.” Putus Akram.
“Tapi…”
“Awak perempuan, Naili. Tak elok perempuan duduk di bus stop sendirian.” Mata Akram memandang Naili atas dan bawah. Dengan dress labuh kembang di bawah namun bahagian atas yang agak terdedah, dia yakin meninggalkan Naili sendirian di sini bukan keputusan yang tepat.
Faham apa yang dimaksudkan Akram, dia akur. Suasana dalam kereta sepi. Naili tak tahu apa yang dia nak dibualkan. Begitu juga Akram. Sudahnya, hanya kesunyian yang menemani suasana dalam kereta sehingga telefon Naili berdering.
“Gina, you dah sampai?”
“Ya, I cari you takde pun.”
“Oh, I dalam kereta Honda Civic warna kelabu. Tak jauh dari bus stop tu. Kejap I keluar.” Naili menolak pintu kereta. Naili berdiri tidak jauh dari kereta, matanya melilau mencari kelibat Gina. Dia melambaikan tangan sebaik sahaja nampak Gina. Talian dimatikan.
“Itu kawan saya. Terima kasih, Akram.”
Akram kerdipkan mata. Dia menghantar Naili dengan pandangan hingga wanita itu masuk ke dalam kereta. Stereng kereta diketuk perlahan, baru dia teringat sesuatu. Ke mana Riftah pergi sehingga membiarkan Naili pulang sendirian?
“You dengan siapa? Mana Rif?” tanya Gina sebaik saja Naili bolos ke dalam perut keretanya.
“You ada kelas yoga hari ni?” Soalan Gina dibiarkan sepi, sebaliknya dia melemparkan soalan kepada si teman.
“Ya. Masa you call tadi, I nak ke studio. Naili, soalan I you tak jawab lagi. Dengan dress lagi, you dari mana sebenarnya ni?” Gina pandang Naili atas dan bawah. Bergaduhkah Riftah dan Naili?
“You lari dari rumah, Naili?” tebak Gina lagi.
Naili menjulingkan mata ke atas. Dia pandang Gina di sebelah. “Gina…” rengek Naili. “I nak ikut you ke studio, ya?” Naili kerdipkan matanya.
Gina tayang muka sebal. Geram soalan dia tak berjawab. “Memang you kena ke sana pun. Pelajar I dah lama tunggu.”
“Sorry.” Naili sengih.
“Soalan I, Naili?” tekan Gina.
“Aduh! Ingatkan dah lupa.” Naili tayang muka kecewa. “I keluar ke majlis reunion semalam dengan Rif. Stay kat hotel sebab kaki I injured tapi sekarang dah okey,” jawab Naili pantas sebelum Gina membebel. Tindakan pantas Akram semalam, mungkin telah menyebabkan kaki dia cepat sembuh. “Rif pula…” Naili diam seketika. “Dia hilang.” Tenang Naili menjawab.
“Hah?” Terkejut Gina. Nak kata serius, muka Naili biasa-biasa saja. Tidak ada riak risau pun. “Seriuslah, beb.”
“Betullah. Rif hilang ditelan hotel kut. Dia cakap nak turun ambilkan baju I, dua jam I tunggu tak muncul. I turun dia takde kat kafe atau lobi. Tanya pada kawan dia pun tak tahu. Kalau tak hilang, apa lagi? Kena sorok bunian?” Selamba saja Naili bersuara.
“Oh God, Naili!” Gina jadi geram. Dia menjeling Naili sepintas. Melihat raut wajah Naili yang mula berubah, Gina memutuskan untuk berdiam diri. Tutup kisah Riftah. “Kau tak nak tukar baju?”
“Ada baju spare?”
“Ada. Nanti tukar kat studio aku.”
“Oh, lega. Gatal tau pakai baju dari semalam. Dengan…”
“Hah, yang tu takde I nak bagi okey. Apa benda sampai ke situ nak kongsi?” pintas Gina.
Naili ketawa. “Eii, you ingat I tak geli?” Menggeletik bahu Naili geli. Tercetus tawa kedua-duanya.
Naili beruntung dianugerahkan Gina sebagai sahabat. Biarpun berlainan agama dan budaya, Gina merupakan sahabat yang sangat baik untuknya.
BAB 1 • BAB 2 • BAB 3 • BAB 4 • BAB 5
BELI NOVEL RAPUH (PENULIS: SK AISYAH)