HAMPIR jam dua belas tengah malam barulah Naili sampai di rumah. Tadi, segala panggilan Riftah diabaikan malah dia telah menutup telefonnya. Melihat kereta yang terletak elok di garaj, dia maklum yang Riftah sudah ada di rumah. Ingatkan suaminya itu hendak bertapa di hotel.
Langkah kaki diatur masuk ke dalam. Pintu utama ditolak. Ruang tamu yang gelap tidak membuatkan dia menunggu lama. Dia terus meniti anak tangga naik ke atas. Lagi pula badan dia penat sangat.
Apabila pintu bilik ditolak, wajah Riftah yang terjengul di depan mata. Jelas yang lelaki itu menunggu kepulangan dia. Huh! Tunggu dia atau…
“You dari mana Naili? Dari siang I tunggu you balik.”
“Kenapa tunggu I? Tak puas lagi lepaskan beban asmara kat hotel tadi?” Sinis saja balasan Naili.
“Naili, jangan tuduh I yang bukan-bukan!” tegas Riftah. Tergugat juga dia apabila bicara Naili tepat kena di batang hidung. Macam mana Naili tahu?
“Tuduh?” soal Naili berjeda. Dia letak beg kertas atas lantai. “Okey, fine. Benda yang takde bukti, jadi tak perlulah I bahaskan. I penat nak mandi dan tidur.”
Riftah kertap gigi. Dia belum habis bercakap dan Naili mahu berlalu? “You belum jawab soalan I, Naili.” Tagih Riftah. Dia tidak menunggu Naili pulang saat ini hanya untuk melihat wanita itu tayang muka tak bersalah. Dia mahukan penjelasan.
Kaki yang baru mahu melangkah terbantut. Dia pusing tubuhnya menghadap Riftah. “You tanya I pergi mana? I akan jawab tapi you jawab soalan I dulu. You pergi mana siang tadi? Selepas you keluar dari bilik jam sepuluh lima belas pagi?
I tunggu you dua jam dalam bilik. I turun tanya pada Syahmi, dia pun tak tahu you ke mana. Hurm, part tu I’m a little bit curious. Your best buddy pun tak tahu you ke mana, macam ada yang tak kena saja.” Bicara Naili seraya memeluk tubuh dan memaku pandangan kepada raut Riftah. Dia cuba mencari keresahan pada raut wajah lelaki itu.
Urgh! Sangat bijak Riftah menyembunyikannya.
“I ada saja kat hotel tu. Bad ajak I teman dia jumpa Gee. Takkanlah I nak tolak apabila Bad guna alasan tak elok berduaan lelaki dan perempuan,” balas Riftah tenang. Riak wajah langsung tidak berubah, sedaya upaya dia kawal.
Naili mencebik. Polosnya jawapan Riftah. Apakah dengan jawapan begitu Riftah jangka dia akan percaya? Ya, bak kata Riftah jangan menuduh. Dan dia tak punya bukti. “I bukan budak kecil, Rif!” Naili melangkah ke bilik air namun lengannya disambar Riftah.
“Sayang…” Riftah melunakkan suaranya. Tak guna bergaduh kerana dia tahu jika diteruskan juga, dia yang akan terperangkap nanti. “Okay, I’m sorry.” Pinta Riftah lembut. “I tahu I salah biarkan you tunggu lama. Tapi I tak buat apa yang ada dalam kepala you tu,” tambah Riftah lagi.
Jeda.
Naili hanya diam mendengar. Dia mahu bertanya kepada Riftah, ke mana lelaki itu menghilang bersama Gee? Kenapa malam tu Riftah tinggalkan dia? Dia mahu tanya banyak soalan namun dia memilih untuk diam. Tanpa sebarang bukti, perbahasan apa pun hanya akan jadi sia-sia. Dia cuma berharap ini semua mainan perasaan dia sahaja.
“Jangan permainkan kepercayaan I kepada you, Rif,” kata Naili perlahan. Lengan Riftah ditolak dan dia masuk ke dalam bilik air. Penat! Hari ini dia sangat penat.
BANGUN pagi itu, Naili berasa pelik. Bau semerbak yang masuk ke rongga hidung sangat menggoda perutnya. Gebar yang menutupi tubuh ditolak hingga jatuh ke lantai. Dia segera turun dari katil dan menyanggul rambutnya. Hanya dengan baby T dan short pants dia turun ke bawah. Bau semerbak itu datang dari arah dapur. Rumah ini hanya ada dia dan Riftah. Tak mungkin Riftah yang memasak.
Naili menjengah ke dapur. Keningnya terjongket melihat Riftah yang sedang menyiapkan meja makan. Matanya mengerling meja yang penuh dengan sarapan. Sepanjang enam tahun mereka berkahwin, inilah kali pertama dia melihat lelaki ini memasak.
“You masak?” soal Naili tidak percaya. Tangan menongkat kepala kerusi. Mata tunak memandang belakang Riftah. Lelaki ini memang lahir semula jadi dengan pakej memukau. Dari belakang sahaja orang sudah boleh menjangkakan rupa paras Riftah. Tanpa sedar bibirnya mengukir senyum.
“Sayang.” Lebar senyum Riftah. Dia melangkah mendapatkan Naili. Tangan wanita itu diraih lalu ditarik duduk di kerusi. “I masak spesial untuk you.” Pipi Naili dikucup lembut.
Dahi Naili mengerut. Dia picingkan mata merenung Riftah. “Kenapa tiba-tiba masak sarapan ni?” Tangan naik menongkat dagu.
Riftah yang duduk di sebelah mencuit hidung Naili. “Saja, nak ubah angin. Selalu you saja masak.”
“Itu pun jarang sangat you makan,” bidas Naili.
“Hurm, my bad.” Riftah sengih. Kedua-dua tangannya memegang telinga sendiri.
Naili ketawa kecil. Dia menundukkan kepala seraya menggeleng. Kenapa dia lihat Riftah sangat comel dengan aksi begini. Bibir yang menggernyut, hidung juga sama. Dahi mengerut dan bibir yang melebar senyum. Seperti anak kecil yang tertangkap salah tapi cuba memujuk meminta maaf.
“Peanut butter pancake with chocolate untuk you.” Riftah letak pinggan berisi pankek di hadapan Naili. “Atau, you nak I suapkan?” tingkah Riftah, lalu didekatkan tubuhnya dengan Naili.
“You nak suap I?” Naili jongket kening. Lihat pada gaya Riftah, lelaki itu bukan mahu menyuap dia makan tapi…
“Atau, nak menggatal dengan I?” tempelak Naili. Pankek dia suap ke dalam mulut Riftah sebelum lelaki itu sempat menjawab.
“I cuti hari ni,” beritahu Riftah.
“Cuti?”
“Ya, esok I nak kena ke Sabah.”
“Again?”
“Selagi projek kat sana tak selesai.”
“Hurm,” gumam Naili.
Riftah jeling dari ekor mata. “Tak suka, ke?”
“Ada ke isteri yang suka ditinggalkan oleh suami, Rif?” Berubah nada Naili. Dia belum gila hendak melompat gembira apabila suaminya pergi jauh. Sendirian di rumah boleh buat dia gila kerana sunyi.
“I pergi kerja.”
“Tahu,” balas Naili perlahan. “Rif, I rasa dah tiba masa kita ada anak.”
Riftah letak sudu atas pinggan. Dia cicip Nescafe dalam cawan. Badan bersandar pada kerusi. “Lepas sarapan kita keluar nak?”
“Rif.” Naili bengang.
“Dah lama tak ke rumah mama dan papa.” Riftah masih begitu. Cuba mengelak daripada membincangkan isu anak.
Helaan nafas berat dilepaskan. “Sampai bila nak mengelak, Rif? Usia perkahwinan kita dah enam tahun. Orang yang kahwin kemudian daripada kita dah ada anak dua tiga orang. Tapi kita masih juga begini,” luah Naili. Dia juga seperti wanita lain yang mahu merasa pengalaman mengandung dan menjaga bayi. Naili tahu bukan mudah untuk menjadi ibu bapa tetapi dia tetap mahu mencuba. Tapi Riftah…
“Baru enam tahun Naili. Orang lain kahwin bertahun-tahun belum ada anak masih relaks.” Sangkal Riftah tanpa rasa bersalah. Mengapa dia perlu rasa bersalah? Dia hanya mahukan Naili buat masa ini bukan anak-anak yang bakal mengunci langkah mereka.
“Mereka lain, Rif. Kita tak pernah cuba pun. Jangan samakan keadaan kita dengan mereka.” Panas hati Naili. Jika Riftah pernah mencuba sebelum ini, dia tidak kesah. Masalahnya sejak awal perkahwinan mereka lagi Riftah sudah menegaskan yang dia tak mahu anak untuk satu tempoh yang dia sendiri tak tahu selama mana.
Riftah bangun mendapatkan Naili. Punggung dilabuhkan atas meja. Tubuh direndahkan sedikit, dua tangan jatuh pada pemegang kerusi. “I sayang you, itu dah cukup, kan,” bisik Riftah.
“Rif.”
Bibirnya yang jatuh pada bibir Naili, menutup bicara wanita itu. Mengapa begitu payah untuk Naili menerima keputusan dia tentang anak? Riftah ada sebab kenapa dia masih selesa berdua dengan Naili.
SYAHMI angkat tangan melambai Naili dan Riftah. Aduh, ingatkan Riftah datang sendirian diangkutnya Naili sekali!
“Hai, berkepit saja kau orang.” Seloroh Syahmi.
Naili mencebik. “Rif, I nak ke tingkat atas kejap. Kau orang boraklah. Dah siap call saja I.”
Naili berjauh hati dengan bicara Syahmi. Apa dia ingat Naili ini jenis isteri yang suka mengongkong suami? Kalau bukan sebab Riftah yang beria-ia mengajak, tak ingin dia ikut serta perjumpaan Riftah dengan Syahmi.
“You okey ke seorang?”
“Okey saja.” Naili terus berlalu.
“Aku ingat kau datang seorang.” Suara Syahmi.
“Hurm… Naili merajuk dengan aku. Jadi aku angkutlah dia sekali.”
“Merajuk?” Syahmi ketawa. “Fasal kes kat hotel tu?”
Riftah geleng. “Bukan.”
“Dah tu?” Syahmi menegakkan duduk. Teruja ingin tahu sebab yang membuatkan Naili merajuk dengan Riftah.
“Dia bangkitkan soal anak.”
Meledak tawa Syahmi. “Yang kau anti sangat dengar fasal anak kenapa?”
“Huh! Aku belum sedia nak jadi ayahlah.”
“Alasan! Cuba kau terus-terang dengan aku, kenapa kau tak nak Naili mengandung?”
Riftah menjeling Syahmi. Dia tidak mampu sorok apa-apa daripada Syahmi. “Kau tahulah perempuan apabila dah kahwin macam mana. Sibuk dengan anak dan kerja, lepas tu aku ni terabai.
Nafsu aku… urgh! Belum lagi yang jadi gemuk lepas beranak. Badan berbau dan kau pun tahu kan bahagian sensitif dalam hubungan suami isteri. Kurang nikmat! Aku tak nak semua tu. Belum lagi apabila dah penat dengan kerja, apabila ajak bersama asal lepas sahaja,” luah Riftah.
Makin kuat tawa Syahmi. “Hei, sekarang ni banyak treatment modenlah. Asal ada duit saja. Kau lebih daripada mampu kut. Sekali dapat projek, bukan sikit gaji dan komisen yang kau dapat. Kau pun aku rasa lebih daripada mampu nak upah pembantu rumah,” balas Syahmi.
“Aku tahu, tapi tetap takkan sama seperti sebelum beranak, kan? Lagi pula aku suka dengan keadaan sekarang. Tak perlu kalut nak siapkan anak-anak. Hanya hidup berdua, buat apa yang kami mahukan berdua tanpa risau akan hal lain.” Riftah leret senyum penuh makna.
Syahmi mencebik. Dia faham sangat dengan maksud Riftah. “Macamlah sekarang kau setia gila dengan Naili.” Sengaja Syahmi menekan perkataan ‘setia’ biar Riftah tahu yang definisi setia lelaki itu salah.
“Aku peliklah, kenapa perempuan selepas kahwin sibuk nak anak? Dia orang tak risaukah nanti bentuk tubuh mereka berubah? Aku tengok kawan-kawan perempuan kita masa reunion hari tu, memang tak dinafikan mereka masih bergaya walau dah ada anak tapi ketara sangat saiz tubuh mereka dah berbeza. Kalau tubuh dah berubah mesti bahagian yang lain pun berubah kan?” ujar Riftah dengan nada nakal pada hujung bicaranya.
“Kau ni kan, tak habis otak fikirkan hal tu.” Syahmi geleng kepala.
“Bagi aku dalam perkahwinan kepuasan batin yang utama. Aku nak tengok isteri aku sentiasa menggoda seperti mana awal perkahwinan,” jelas Riftah. Naili juga tahu akan pendirian dia itu.
“Huh! Habis tu yang kau cari makan luar, kenapa? Naili tu, usaha semua cara untuk jaga penampilan diri.” Tempelak Syahmi.
Riftah jongket bahu. Dia sendiri tak tahu kenapa dia semakin ligat bersuka ria dengan perempuan lain. “Dah tabiat aku kut.” Tanpa rasa bersalah Riftah menjawab. “Hah, kenapa hari ni kau nak jumpa aku?”
Syahmi tepuk dahi. “Aku dah lupa. Gee cari kau. Sebenarnya dia yang suruh aku ajak kau keluar. Dia nak jumpa kau. Nasib baik aku belum beritahu dia yang kau free hari ni. Kalau tak, ada orang puasa malam nanti,” sindir Syahmi.
“Gee? Apa lagi perempuan tu nak? Aku ingat dah habis kisah kami di hotel tu kelmarin.”
“Aku tak tahu. Tapi kau siap sedialah.”
“Maksud kau?”
“Perempuan, Rif.”
Riftah mengeluh. Faham maksud ‘perempuan’ Syahmi tu. Silap dia juga percaya yang Gee hanya mahukan hubungan di ranjang sahaja. Tiada hubungan perasaan. Nasib baik dia tak berikan nombor telefon kepada perempuan itu.
“Kau uruskan Gee. Aku nak pergi cari Naili.” Riftah bangun.
“Eh, macam tu saja nak blah?”
Riftah hanya melambaikan tangan. Jarinya pantas mendail nombor Naili. Hati Naili yang perlu dia pujuk sekarang. Tambahan pula, tidak lama lagi dia akan tinggalkan Naili untuk ke Sabah.
BAB 1 • BAB 2 • BAB 3 • BAB 4 • BAB 5
BELI NOVEL RAPUH (PENULIS: SK AISYAH)