Risik Pada Hati – Bab 2

HATI yang sakit bagai tidak mahu hilang. Menyesal rasanya dia naik ke tingkat atas mencari Adam. Lain yang dicari lain pula yang dia jumpa. Melihat aksi mesra Adam dan Hayfa bagai melihat gunung api yang meletus. Bahangnya terus meresap ke hati. Sungguh di luar dugaannya aksi yang dilihat petang tadi.

“Bodoh. Bermesra tak kira tempat. Saja nak suruh aku tengok laki kau sayang kau? Ingat aku peduli? Tapi, memang aku pun…” dia mengeluh lemah di hujung ayat.

Turun naik nafasnya teringatkan senyum Hayfa yang seakan mengejeknya. Senyum Hayfa penuh kemenangan. Dia pula, seakan orang bodoh. Tidak mampu bergerak walau satu inci pun dek kerana terkejut dengan aksi Adam.

“Abang Adam ni memang bodohlah. Aku punyalah elok. Cantik, muda… sah-sah tak mandul macam si Hayfa tu. Tapi perempuan tu juga yang dia pandang. Menyampah!”

“Dah kenapa ni? Muncung dah panjang sedepa. Bercakap sorang-sorang. Kena sampuk ke?”

“Ya!” Geram nada jawapannya bersama muncung yang semakin panjang.

“Sampuk dek hantu apa?”

“Hantu Hayfa!”

Adibah tersenyum nipis sambil perlahan menggeleng.

“Sudahlah. Tak payah buat muka macam ni depan mak. Cuba bagitahu apa masalahnya? Hayfa buat apa kat kamu?”

Erra mengeluh panjang. Merengek geram sambil menghentak kedua-dua kaki ke lantai. Sungguh ada rasa geram yang terkumpul di hatinya. Terperangkap di situ tanpa mampu dia keluarkan.

“Abang Adamlah mak… orang bencilah. Perlu ke dia nak mesra-mesra dengan bini dia tu depan orang? Sakitlah hati. Yang Hayfa tu pulak. Ya ALLAH!! Menyampahnya!”

Adibah tergelak.

“Padan muka. Kenapa pergi tak ajak mak? Kalau mak ada tahulah macam mana mak sekolahkan Adam dengan Hayfa tu.”

Erra hanya mencemik. Panas hatinya masih belum hilang ibunya pula sesedap rasa menambah bara.

“Sabar je lah. Yang penting kamu terus buat baik dengan mak long kamu. Dengan Adam tu. Jangan jemu-jemu. Sampai bila dia nak mesra-mesra dengan bini mandul dia tu? Sampai bila mak long kamu nak bela menantu mandul dia tu? Betul tak?”

Erra mengeluh.

“Terus je buat baik dengan Adam tu. Dia cakap apa pun buat tak tahu je. Pandai kamu ambil hatinya jadi hak kamulah Adam tu. Takkanlah si Adam tu tak nak anak langsung. Yang penting kamu. Jangan cepat sangat mengalah kalau memang kamu nakkan Adam.”

“Memanglah orang nak mak. Dari dulu lagi orang nak Abang Adam. Tapi Hayfa tu datang merampas. Kalau Hayfa tu tak wujud dalam hidup Abang Adam sekarang ni mesti orang dah jadi isteri Abang Adam.”

“Alah… tak payah nak fikir sangatlah. Tengoklah apa balasan orang yang potong jalan anak mak? Mandul jadinya!” Bersungguh Adibah bersuara memberi semangat.

“Apa yang lebih kat Hayfa tu yang tak ada kat orang, mak?” Tanpa mengacuhkan kata-kata semangat daripada ibunya, Erra mengajukan soalan dengan perasaan yang terbuku. Entah kenapa, walau sudah bertahun-tahun, dia tetap tidak dapat melupakan Adam.

“Tak ada apa yang kurang pada kamu Erra. Kalau Adam nak isteri yang kerja bagus kamu pun kerja bagus. Nak yang cantik kamu jauh lagi cantik daripada bini dia tu.”

Erra mengerling.

“Dah orang anak mak, mestilah mak cakap orang yang cantik.”

Adibah ketawa rendah. Erra menarik nafas dalam-dalam.

“Susah-susah carilah orang lain Erra. Lelaki dalam dunia ni bukannya Adam sorang. Kamu tunggu Adam tu sampai sudahlah mak ni tak merasa nak bermenantu. Bercucu jauh sekali.”

Erra menggeleng. Bagaimana dia mahu mencari orang lain sedang di dalam hatinya hanya ada Adam seorang?

“Orang sayang Abang Adam. Mak pun suka sangat dengan Abang Adam kan? Anak saudara kesayangan mak kan? Lagipun cucu mak dah berderet kut. Tu… anak kak long, anak abang ngah.”

Giliran Adibah yang mengeluh panjang.

“Orang akan usaha sampai Abang Adam tu pandang orang ni. Jatuh hati pada orang.”

“Sebab mak tahu Adam tu baik orangnya. Ikut kamulah kalau kamu nak juga si Adam tu. Tapi ingat… kamu tu bukannya makin muda.”

Erra diam. Ibunya berlalu. Dia bersandar ke sofa. Mendongak merenung siling. Memandang kipas yang berputar. Fikiran kembali sesak dengan bayangan insiden petang tadi.

“Kalaulah aku yang Abang Adam dukung…” Tidak habis kata-katanya, Erra tergelak sendiri.

“Gatal kau Erra.” Omelnya mengekek sambil bingkas bangun. Tidak mahu lagi terus melayan rasa geram di hati.


PROLOG • BAB 1  BAB 2  BAB 3  BAB 4  BAB 5  BAB 6


BELI NOVEL RISIK PADA HATI (PENULIS: HANNI RAMSUL)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *