Risik Pada Hati – Bab 4

TIDAK tahu sesuai atau tidak air mata mengalir pada hari ini. Namun, tetap perlahan ada air mata yang menitis. Lambat-lambat diseka sambil menghela nafas sedalam mungkin. Telefon di tangan, dipandang lagi. Membaca status yang ditulis di dada media sosial.

Kathy: Happy anniversary Abang Adam. Yang ke lapan kan? Tiap-tiap tahun sambut berdua, bila nak sambut bertiga pula?

Ucapan untuk ulang tahun perkahwinan dia dan Adam. Tetapi semua ucapan itu langsung tidak memberi rasa bahagia di hati. Ucapan daripada sepupu-sepupu Adam dan komen-komen di Facebook itu lebih menghiris sekeping hatinya.

Suzi: Sementara muda ni janganlah tangguh-tangguh nak dapat anak.

Kathy: Takut gemuk kut. Nanti Abang Adam cari lain. Hehehe.

Erra Latif: Tak apalah. Belum rezeki la tu. Kan Hayfa.

Khaty: Kalau jadi dengan kau dah berderet kut rezeki anak Abang Adam. Haha.

Erra Latif: No komen hahaha.

Telefon diletak ke atas meja. Tidak mahu terus menyakitkan hati sendiri. Namun bunyi notifikasi menarik kembali perhatiannya. Dalam enggan hatinya terus didesak untuk membaca setiap nada sinis manusia di sekelilingnya.

Haikal: Korang ni kan mulut dah ada insurans ke belum? Sibuk hal masing2 dah lah.

Khaty: Kau duduk jauh-jauhlah. Sentap pula. Tuan punya badan tak apa-apa, kau pula yang lebih.

Erra Latif: Sokong. Hayfa pun tak bising. Dia pula yang lebih. Haha.

Haikal: Aku sumpah laki dan bakal laki korang kahwin lain. Hahaha.

Diam seketika sambil memandang nama-nama yang masih seronok berbalas komen di ruang Facebook suaminya itu akhirnya dia membuat satu keputusan.

Satu per satu nama yang sedang rancak mempersendakan takdirnya itu disekat daripada terus berada dalam senarai rakan Facebook. Dia tidak perlukan kata-kata sinis sebegitu. Hatinya tidak begitu kebal untuk tolong ketawa setelah dirinya menjadi badut di kalangan insan-insan yang barangkali berasa diri masing-masing sangat sempurna.

Telefon diletak kembali ke atas meja sambil perlahan menyeka air mata. Kegembiraan untuk memberi kejutan kepada Adam juga sudah berkubur perlahan-lahan. Selintas satu perasaan menyelinap ke relung hati. Barangkali hanya dia yang teruja untuk membuat Adam gembira padahal hakikatnya Adam sendiri sudah hilang rasa gembira. Barangkali Adam juga sudah bosan dengannya. Dia tidak mampu memberikan Adam zuriat. Dia gagal menjadi seorang isteri yang sempurna untuk Adam.

Sudahnya dia mengangkat punggung. Telefon dicapai. Bergerak meninggalkan hidangan makan malam yang belum selesai dihidang. Membawa beban yang memberi rasa berat yang bukan calang-calang di hati. Langkah dibawa ke bilik. Diam di birai katil sambil mencerna setiap cakap-cakap manusia yang semakin lama membuat dia semakin tertekan. Air mata yang jatuh ke pipi diseka sekali lagi.

Lapan tahun berkahwin dan belum ada rezeki untuk menimang anak, terasa seluruh dunia sedang menilainya kini. Tiga empat tahun kebelakangan ini situasi terasa semakin mengganggu emosinya. Salah dia kah andai rezeki masih belum berpihak padanya? Lagu nada dering telefonnya mengganggu lamunan. Telefon yang masih di tangan dipandang sepi. Ibu mentuanya. Setelah menarik nafas sedalam mungkin, panggilan itu dijawab.

“Datang sini tak?”

Berkerut keningnya mendengar soalan itu sebaik salamnya berjawab.

“Kenapa umi?”

“Adam cakap nak makan ayam kurma umi. Umi dah masakkan ni. Pukul berapa nak datang?”

“Umi call abang Adam ya umi.”

“Kenapa pulak?”

“Saya kat rumah. Abang Adam belum balik. Nanti umi suruh Abang Adam pergi ke sana terus.”

“Kamu?”

“Saya tak sihat sikit. Rasa nak rehat je ni.”

“Tak sihat? Dah telefon Adam ke belum? Tak payah suruh Adam datang sinilah. Pergi klinik.”

Hayfa ketawa kecil. Itulah ibu mentuanya. Prihatin padanya sama sahaja dengan risau pada Adam kalau suaminya itu jatuh sakit.

“Penat sikit je umi. Tak payah risau pasal saya. Penat umi masak untuk Abang Adam. Tak apalah suruh aje Abang Adam terus ke sana.”

“Mana boleh macam tu. Kamu rehatlah. Adam balik ajak dia ke klinik. Ayam kurma ni esok-esok umi boleh buat lagi. Dah umi letak telefon ni. Kamu rehatlah. Assalamualaikum.”

Talian terus terputus. Salam dijawab perlahan sambil dia mengeluh lagi.

“Ayfa tak sihat?”

Laju dia berpaling. Adam sudah berada di bilik rupa-rupanya. Lambat-lambat dia menggeleng.

“Dah lama abang sampai?”

Adam tersenyum. Melangkah mendekat sambil memberi satu ciuman di dahi isterinya.

“Baru sampai. Kenapa meja makan macam tongkang pecah?”

Hayfa diam. Adam melabuhkan punggung di sisi.

“Ada apa-apa yang tak kena ke? Marah abang?”

Hayfa menggeleng. Adam mengangkat kening.

“Mogok nak sambut anniversary kita ke? Ingat abang lupa?” usik Adam bersama senyum.

Hayfa menggeleng lagi.

“Abang tak lupalah.”

Hayfa diam. Memandang wajah Adam yang nampak sangat ceria. Mana mungkin Adam lupa. Adam tidak pernah lupa hari istimewa mereka.

“Tell me. Kenapa ni? Mendung saja muka ni?” Masih bersama senyum riang lembut sahaja soalan Adam menyentuh gegendang telinga. Tiba-tiba hatinya jadi tertanya-tanya. Adakah hati Adam seriang wajahnya saat ini?

“Hulur tangan.”

Sambil terus menatap wajah suami arahan itu dituruti. Tangan dihulurkan. Adam memegang tangannya. Mengusap perlahan telapak tangannya.

“Pejam mata.”

Hayfa menggeleng. Adam jegilkan mata. Membuat dia tersenyum nipis. Tidak mahu menghampakan Adam dia ikutkan sahaja. Mata dipejam dan terasa sesuatu diletakkan ke atas telapak tangannya.

“Okey. Buka mata.”

Dia menurut dan ada kunci di tangannya. Kunci kereta.

“Apa ni?”

“Ayfa selalu tension kereta selalu rosak kan?”

“Ya. Tapi Ayfa tak nak kereta baru.”

Adam tersenyum sambil menjongket bahu.

“Betul ke tak nak?”

“Tak nak.”

“Tapi hari tu cakap nak.”

Hayfa mengerutkan kening.

“Bila?”

“Minggu lepas. Masa tidur.”

Hayfa ternganga. Adam ketawa.

“Ayfa tak pernah mengigaulah.” Nafinya sambil memukul bahu Adam. Adam ketawa lebih kuat.

“Sebab Ayfa tak pernah mengigaulah abang yakin bila dah mengigau tu maknanya Ayfa betul-betul nak kereta baru. ‘Abang… nak kereta baru’ haaa… Macam itulah Ayfa cakap.”

“Bohong! Abang tipu.” Semakin bertubi-tubi pukulannya singgah dibahu Adam. Adam mengelak sambil tergelak.

“Ya…ya… abang bohong. Memang abang nak belikan Ayfa kereta.” Akhirnya Adam bersuara sambil memegang kedua-dua tangan isterinya itu.

“Bukan nak cakap terima kasih. Pukul abang, ya?”

Hayfa mengerling. Adam mengangkat kening. Tangan Hayfa di genggamannya dibawa ke bibir.

“Selamat ulang tahun perkahwinan kita yang kelapan,” ucapnya di hujung kucupan. Hayfa tersenyum kelat.

“Selamat ulang tahun perkahwinan kita yang kelapan, abang.”

Adam mengangguk.

“Lapan tahun. Kalau abang kahwin dengan Erra, mesti dah berderet anak-anak abang, kan?”

Senyum Adam pudar perlahan-lahan.

“Apa ni?”

Hayfa menggeleng perlahan. Air mata kembali menjadi sangat murah.

“Kenapa cakap macam tu?”

“Itu yang sepupu-sepupu abang duk sembang kat wall Facebook abang.”

Berkerut dahi Adam. Telefon di dalam poket dikeluarkan segera. Membuka aplikasi media sosial yang dimaksudkan isterinya. Seketika dia meneliti ucapan ulang tahun perkahwinan yang seterusnya meleret menjadi tempat masing-masing menjadikan kekurangan Hayfa sebagai satu bahan gurauan. Dia mengeluh panjang sambil meraup wajah. Post ucapan itu dibuang terus.

“Ayfa tahu kan dia orang macam mana? Tak usah pedulikan.”

Hayfa menggeleng.

“Tak boleh, bang. Tak boleh. Sebab Ayfa ada perasaan. Ayfa tahu kekurangan Ayfa. Tapi bila semua orang anggap kekurangan tu bahan jenaka, hati Ayfa sakit bang.”

Adam tidak bersuara. Hanya perlahan dia memaut Hayfa ke pelukannya.

“Bukan kekurangan sesiapa Ayfa. Hanya ALLAH belum berikan kita rezeki tu. Kita dah jumpa doktor. Doktor pun dah cakap kita tak ada masalah. Belum rezeki kita. Jadi kita kena sabarlah. Sabar…usaha. Insya-ALLAH nanti sampai waktunya doa kita sama-sama ALLAH makbulkan. Jangan serabutkan kepala dengan orang-orang macam tu lah.”

“Abang tak kisah? Tak kisah ke dah lama kita kahwin tapi belum ada anak? Kalau lepas ni Ayfa tetap tak mengandung macam mana?”

“Abang tak kisah.”

Bersama jawapan yang selamba itu, Adam menggelengkan kepala. Hayfa diam. Hanya melentok ke bahu suaminya. Perlahan-lahan memeluk tubuh itu.

“Ayfa minta maaf. Tak sempat siapkan makan malam kita. Ayfa sakit hati.”

“Sebab tu, jangan layan Facebook kat dapur. Sebab post tak berfaedah tu tak adalah makan malam romantik malam ni?”

Hayfa tersenyum dalam diam.

“Dah tu abang nak makan apa ni? Makan Ayfa?”

Kali ini Hayfa tergelak kecil. Pandangan diangkat memandang wajah Adam.

“Tadi, umi call. Umi cakap abang suruh dia masak lauk favourite abang. Umi dah siap masak pun.”

“So, kita makan kat rumah umilah?”

Hayfa tersengih.

“Tapi tadi abang dengar Ayfa cakap tak sihat?”

“Sekarang dah okey.”

Adam tersenyum sambil mengeratkan pelukan.

“Jangan peduli cakap orang. Okey?”

Hayfa tidak menjawab. Hanya pelukannya semakin dieratkan. Namun diam-diam hatinya tetap membalas. Bagaimana dia boleh tidak pedulikan kata-kata orang kalau setiap kata-kata itu sangat melukakan?


PROLOG • BAB 1  BAB 2  BAB 3  BAB 4  BAB 5  BAB 6


BELI NOVEL RISIK PADA HATI (PENULIS: HANNI RAMSUL)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *