0

Risik Pada Hati – Bab 5

BERAT hatinya mahu ke sini. Tetapi memikirkan suami dan ibu mentuanya dia kuatkan semangat. Majlis doa selamat di rumah ibu saudara Adam. Majlis yang menjadi tempat berkumpul semua saudara-mara yang mempunyai seribu satu ragam masing-masing. Ragam yang paling tidak digemarinya adalah ragam tuan rumah sendiri. Sedaya upaya dia cuba mengelak namun empunya diri seakan tahu pula apa yang bermain di hatinya.

“Dari tadi mak ngah perhatikan. Kamu ni, macam lari-lari dari mak ngah? Kenapa ya?”

Hayfa mengurut dada. Tersentak dengan sapaan tiba-tiba dari belakang. Lambat-lambat dia berpaling. Sebaik sahaja berdepan dengan ibu saudara Adam itu dia pamerkan sekuntum senyum manis sambil menggeleng.

“Nak lari ke mana mak ngah? Kalau memang nak lari tak adalah saya datang kan?”

“Baguslah macam tu. Jangan jadi kurang ajar. Jangan ingat mentang-mentang mak ngah ni mak saudara Adam jadi kamu tak payah nak tunjuk hormat. Jangan nampak orang tua buat-buat tak nampak. Takut sangat nak menegur. Kenapa? Orang tua ni makan orang ke?”

Hayfa tersenyum kelat. ‘Makan orang tidak, sakitkan hati orang, ya…’ diam-diam hatinya menjawab soalan itu.

“Dah duduk sini. Mak ngah nak cakap sikit. Tak payah buat sibuk ke sana ke mari.”

Hayfa menahan nafas. Spontan matanya meliar mencari susuk Adam. Dia tidak mahu duduk bersembang dengan wanita ini.

“Kamu cari siapa? Adam? Jangan risaulah. Tak ada ke mana laki kamu tu. Takut benar laki dia hilang. Sayang laki bukan main tapi kedekut sangat nak bagi laki anak.”

Mendengar kata-kata yang bukan main lantang itu mahu tidak mahu perlahan dia melabuhkan punggung ke sofa. Wajah di hadapannya itu dipandang sambil sekali lagi senyum diukir.

“Mak ngah sihat?” Soalnya berbasa-basi.

“Sihat. Dah anak doktor kalau tak sihat tak tahu nak cakaplah ya. Mak ngah sihat je. Kamu ni sihat ke tidak?”

Hayfa diam. Bagai faham ke mana arah ‘sihat’ yang dimaksudkan itu.

“Alhamdulillah. Sihat.”

“Kalau sihat kenapa tak nak mengandung? Nak tunggu Adam cari lain ke? Jaga badan lagi penting daripada suami ya?” Separuh berbisik soalan itu menyentuh gegendang telinga.

Hayfa diam. Senyum pun hilang perlahan-lahan. Tajam dan sinis sangat soalan itu. Terus menusuk kejam ke hati.

“Kalau sayang suami jangan sayang badan.”

Hayfa menghela nafas perlahan. Hati sudah membuak rasa marah di dalam diam.

“Saya tak pernah jaga badan, mak ngah.”

“Hurmm… kalau tak jaga badan apa lagi sebab perempuan ni tak nak anak? Hah?”

“Saya tak pernah cakap saya tak nak anak. Siapa yang kahwin tak nak anak? Semua orang nak anak mak ngah.”

“Kalau macam tu jangan tangguh-tangguh cepat-cepat beranak. Cepat-cepat berubat. Berusaha. Jangan duduk diam saja. Ke… nak tunggu laki tu cari lain baru sibuk nak berubat? Masa tu hanya mampu menangis je kamu. Tahu tak?”

Hayfa sudah tidak senang duduk. Mulut ibu saudara Adam yang seorang ini memang sangat tajam.

“Mana mak ngah tahu saya dengan Abang Adam tak pernah berusaha? Takkan saya nak beritahu semua orang apa yang kami buat untuk dapat anak.”

“Menjawab? Yalah… mulut orang tua ni banyak yang tak betul kan? Tunggulah kamu Hayfa. Satu hari memang meraunglah kamu Adam cari lain. Kamu ingat orang lelaki ni boleh sabar kalau bertahun-tahun kahwin tak juga beranak bininya?”

“Kita memanglah berusaha mak ngah. Tapi tak boleh lupa. Selagi ALLAH belum nak beri rezeki kita tak boleh buat apa-apa.”

“Mak ngah ni cakap aje. Nasihatkan kamu sebagai orang tua. Nak dengar…dengar. Tak nak dengar sudah. Yang makan hati nanti kamu, bukannya mak ngah.”

“Saya nak cari Abang Adam kejap ya.”

“Haaa… itulah dia. Pantang suami tak ada depan mata hati dah fikir yang bukan-bukan, kan?

Orang nasihat tak nak dengar. Asal laki hilang menggelabah takut laki kena kebas. Tahu pun risau.”

“Memanglah ada risau tu, mak ngah. Risau jugalah mana tahu takut-takut Erra teringin nak kebas.” Lebar senyum Hayfa menutup hati yang sudah bergoncang hebat.

Dengan lembut dia membalas sindiran dan cemuhan yang menyapa telinga sambil mengangkat punggung. Berlalu dan pekakkan telinga apabila mak ngah sudah menjerit marah.

“Ehhhh… anak aku tak lapar kat laki orang lah weh. Mulut tu jaga sikit.”

Hayfa tersenyum. Terus berlalu meninggalkan mak ngah Adam terus membebel. Pasti heboh nanti sampai berita ke telinga ibu mentuanya. Berita menantu Hajah Wardah yang mulut celopar. Berita menantu Hajah Wardah yang biadab dengan orang tua.

“Hayfa.”

Dia berpaling. Bertembung dengan satu lagi wajah yang tidak akan membuat hatinya senang. Lari daripada ibu kini berdepan pula dengan si anak.

“Tiba-tiba block aku kat FB. Kenapa? Aku ada buat salah ke? Aku ada sakitkan hati kau ke?”

Hayfa mengerutkan kening. Memandang wajah Erra dengan riak hairan.

“Ya ke? Tak perasan pula aku. Tertekan kut.”

Erra tersenyum. Hayfa turut tersenyum. Dia tahu gadis itu tidak percaya pada alasannya. Dan dia pun tidak kisah sama ada Erra percaya atau tidak. Jawapannya hanya sekadar mahu berlapik bicara. Tidak mahu terang-terang tunjuk rasa hati.

“Macam susah nak percaya je.”

Hayfa jongket bahu.

“Percaya atau tak terserahlah. Mana boleh aku paksa kau percaya kan? Lagipun kenapa pula aku nak block kau?”

“Mana tahu kau cemburu tengok aku berbalas komen dengan Abang Adam. Atau kau sentap ke sebab Khaty usik aku dengan Abang Adam?”

“Nak cemburu buat apa? Nak sentap buat apa?”

Erra jongket bahu sambil berpeluk tubuh.

“Rasa tak selamat kut. Sebab tu kau delete wish Khaty tu kan? Tak baik tau. Tak sempat Abang Adam baca kut wish tu.”

Hayfa tertawa.

“Facebook Abang Adam. Kenapa pula aku yang sibuk-sibuk nak delete post kat wall dia?”

“Hurmm… selalunya isteri kalau tak boleh mengandung ni hatinya curiga je kat suami. Betul tak? Sebelum suami baca baik delete awal-awal. Kan?”

Hayfa tersenyum. Sakit hati tetapi dia tidak berminat mahu menjawab tekaan yang mengarut itu.

“Siapa cakap Hayfa tak boleh mengandung? Dan post tu abang yang delete. Kenapa pula Hayfa nak delete post kat Facebook abang? Seronok kau orang persendakan hidup orang. Buat apa abang nak biarkan benda-benda macam tu menyemak kat wall abang?”

Mendengar suara Adam Hayfa berpaling. Tersenyum pada suami yang sudah berada di sebelahnya. Apabila Adam memaut pinggangnya, dia terasa sangat lega. Adam selamatkan dirinya daripada terus berdepan dengan mulut Erra yang tidak pernah baik kata-katanya. Erra pula terus terdiam.

“Daripada Erra sibuk dengan rezeki anak yang belum TUHAN beri pada kami baik Erra sibuk dengan rezeki jodoh Erra yang tak juga sampai tu.”

Hayfa menoleh. Tidak percaya kata-kata itu meniti di bibir Adam. Adam yang dia kenal tidak pernah bersuara sesinis ini. Erra pula sudah berubah riak wajahnya.

“Apa Abang Adam cakap ni?”

“Cari suami cepat-cepat. Tak adalah sibuk sangat nak jadi pakar sakit puan kat orang yang dah kahwin.”

Hayfa terkebil-kebil. Wajah Erra sudah memerah. Pasti menahan marah.

“Tak pasal-pasal sindir Erra ni kenapa?”

“Lah… terasa ke? Lagi satu abang nak cakap ni Erra. Kalau dah kahwin nanti pastikan sepuluh bulan lepas kahwin terus dapat anak tau.”

“Abang ingat kahwin…dapat anak ni… macam beli barang kat mall?” Erra merengus marah.

Adam ketawa nipis.

“Haa… tahu pun. Jadi, tak payah tanya, cakap, sindir isteri abang lagi lepas ni. Kerja ALLAH kita jangan masuk campur.”

Tanpa membalas kata-kata itu Erra terus berlalu bersama wajah yang mencuka. Adam menggeleng perlahan.

“Kenapa abang cakap macam tu?”

“Salah ke apa yang abang cakap?”

Hayfa menggeleng.

“Selalunya abang diam saja. Kenapa hari ni abang macam ni?”

Adam tersenyum. Wajah isterinya dipandang.

“Dah lama abang diam. Tapi abang diam bukan bermakna abang tak kisah. Bukan bermakna abang akan biarkan semua orang buat sesuka hati pada isteri abang. Abang diam sebab abang harap orang-orang sekeliling kita ni akan faham ada sesetengah perkara bukan kita yang kawal. Tapi nampaknya masing-masing tak nak faham. Jadi abang kena mula buka mulutlah. Sampai bila abang nak tengok isteri abang asyik kena sindir saja?”

Hayfa tersenyum.

“Baiknya suami Ayfa…”

Adam mengangguk.

“Paling baik kan?”

“Paling… paling…baik.”

Adam menghela nafas panjang. Jemari Hayfa digenggam erat.

“Nak balik?”

“Nak sangat-sangat. Ayfa minta maaf. Bukan Ayfa tak suka nak datang majlis keluarga abang. Tapi daripada mula Ayfa sampai semua macam dah berpakat nak tanya soalan yang sama kat Ayfa. Mak ngah abang tu…”

“Abang tahu. Abang nampak. Sebab tu abang tanya ni… nak balik tak?”

“Nanti umi bising tak? Umi pun tengah sibuk sembang tu.”

“Umi faham.”

Perlahan Hayfa mengangguk. Memang dia tidak mahu menghabiskan walau seminit pun lagi di majlis ini.


PROLOG • BAB 1  BAB 2  BAB 3  BAB 4  BAB 5  BAB 6


BELI NOVEL RISIK PADA HATI (PENULIS: HANNI RAMSUL)

  • Share post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *