KUAT hentaman kereta melanggar pokok. Segalanya hanya dalam sekelip mata. Pandangannya seakan berpinar. Jantungnya bagai mahu luruh. Satu hentaman kuat dari belakang membuat dia gagal mengawal kereta. Keretanya terbabas melanggar pokok. Kepala mula terasa sakit. Pasti kerana terhantuk pada stereng. Ketukan kuat pada cermin kereta membuat dia tersentak. Menggigil. Dia berpaling. Ada wajah berang yang sedang merenungnya. Pintu kereta dibuka perlahan.
“Macam mana awak bawa kereta hah?”
Sekali lagi dia tersentak.
“Tengok kereta saya tu!”
Sekali lagi diherdik dia jadi gerun. Wajah yang menyinga itu menakutkannya.
“Keluar!”
Perlahan dia menggeleng. Bukan kerana tidak mahu akur pada arahan itu, tetapi dia tidak kuat mahu berdiri. Terasa seluruh tubuh menggigil. Terkejut, panik juga takut.
“Apa cerita ni? Awak ingat ni taman ke nak bawa kereta macam bawa kereta lembu? Keluarlah!” Bentak lelaki itu sekali lagi sambil menepuk kuat bumbung keretanya.
Dia tersentak lagi. Kali ini air mata jatuh berjurai. Dia sendirian dan lelaki ini nampak sangat agresif.
“Keluarlah! Settle masalah kau buat ni.”
“Tapi awak yang langgar belakang kereta saya.”
“Menjawab! Kau bawa kereta ada lesen ke tak ni? Aku tak peduli. Kau keluar. Tengok apa jadi kereta aku. Keluarlah!”
Sambil menahan rasa sakit di kepala juga tubuh yang menggigil dia separuh akur apabila lelaki itu sudah menarik kuat lengannya.
“Bayar ganti rugi kereta aku tu.”
“Kereta saya pun teruk. Lagipun, awak yang salah…”
“Salah aku apa? Kau tu bawa kereta macam siput. Kejap brek…kejap brek…”
Dia menggeleng. Menyedari lelaki ini sedang mengambil kesempatan atas ketakutannya. Tetapi untuk melawan dia tidak berani. Liar pandangannya mengharapkan ada manusia yang akan berhenti memberi bantuan.
“Berapa kau ada sekarang?”
Sekali lagi dia menggeleng.
“Kau jangan main-main dengan aku.”
“Assalamualaikum. Kenapa ni?”
Suara itu membuat dia berasa lega. Kalau pun mungkin bukan untuk membelanya dia tetap lega apabila lengannya yang sakit dicengkam terasa melonggar.
“Kenapa apa? Accident lah! Apa lagi? Perempuan. Bawa kereta macam tak pernah belajar undang-undang memandu. Ada lesen ke tak ni? Menyusahkan.”
“Memanglah menyusahkan kalau bawa kereta sambil bergayut dengan telefon.”
Pandangannya mencari empunya suara. Dia menggeleng.
“Saya tak pegang telefon pun tadi…”
Lelaki itu tersenyum. Pandangannya beralih ke wajah lelaki yang nampak seronok memarahinya tadi.
“Bahaya bawa kereta sambil guna telefon. Macam tak pernah belajar undang-undang memandu pula. Ada lesen ke tak ni?”
Lelaki yang muncul sebagai penyelamat ini mengulangi kata-kata yang dihamburkan kepadanya seketika tadi. Dan wajah berang itu nampak sedikit berubah.
“Saya nampak saudara dengan telefon semasa saudara potong saya tadi. Cara saudara bawa kereta pun berbahaya.”
“Biar aku settle dengan budak ni. Kau tak payah masuk campur.”
Nada suara lelaki itu masih meninggi. Dia terus tersandar di kereta. Tidak berani mahu mencelah. Beberapa buah kereta lagi berhenti untuk meninjau barangkali. Membuat dia semakin tidak betah di situ.
“Awak ok tak? Ada cedera kat mana-mana?” Tanpa mengendahkan kata-kata lelaki yang melanggar keretanya dari belakang itu penyelamat itu tenang bertanyakan keadaannya.
Dia mengangkat muka. Menentang wajah yang nampak tenang itu. Tanpa menjawab tangannya menyentuh dahi. Basah. Dahinya berdarah. Daripada sedikit tenang dadanya berombak kencang.
“Da…darah…” bergetar suaranya dan kakinya longlai perlahan-lahan. Hampir terjatuh kalau bahunya tidak dipaut.
“Duduk.”
Pintu keretanya dibuka. Dia akur apabila dipimpin untuk duduk di tempat duduk belakang.
“Hey…hey… drama ni semua buat kemudian boleh tak? Settle kereta aku tu dulu.”
“Saudara, kamu yang langgar kereta dia dari belakang. Bukan nak tanya keadaan dia tapi kamu ambil kesempatan takut-takutkan dia. Lelaki ke macam ni? Settle apa? Report polis lah. Awak macam mana? Saya nasihatkan baik buat report saja. Tak guna bergaduh tepi jalan macam ni.”
Pandangan lelaki itu beralih mencari wajahnya. Dia mengangguk. Memang itu yang bermain di kepalanya.
“Saya nak report.”
“Wah! Sudahnya accident juga kereta ni ya. Dari tadi bawa macam orang gila.” Satu suara mencelah dengan nada sedikit kuat.
Seorang lagi saksi yang mengesahkan pemanduan lelaki itu sememangnya mengundang bahaya.
“TERIMA KASIH banyak-banyak. Kalau encik tak ada tadi saya memang tak tahu nak buat apa-apa. Dia tak bagi peluang langsung untuk saya bela diri. ” Panjang lebar ucapan terima kasih diberikan. Sungguh dia berhutang budi dengan lelaki ini.
Adam tersenyum.
“Dia yang salah, tapi dia nak letakkan salah pada awak. Memanglah dia tak akan bagi peluang pada awak. Dia tahu awak takut. Jadi dia boleh ambil kesempatan kat situ.”
Aisya tersenyum kecil. Perlahan menyentuh dahinya yang sudah berbalut. Semua urusan selesai dengan bantuan Adam. Urusannya terasa mudah dengan adanya seorang manusia sebaik Adam.
“Sekali lagi terima kasih. Bantu saya… memudahkan urusan saya. Saya betul-betul terhutang budi.”
Adam ketawa perlahan sambil menggeleng.
“Jangan begitu. Kebetulan dengan saya. Tapi saya yakin kalau orang lain yang tengok pun pasti mereka akan buat benda yang sama. Cuma satu yang saya nak nasihatkan. Hati tu kena keras sikit. Lagi-lagi dengan orang lelaki. Kena berani. Jangan bagi peluang orang buli kita.”
Pesanan itu besar maksudnya. Dia tahu benar betapa penting untuk dia letakkan berani di hadapan. Buktinya, begitu mudah dia dikuasai oleh lelaki pembuli tadi. Semuanya gara-gara rasa takut yang memenuhi segenap ruang dadanya.
“Insya-ALLAH. Betul kata awak. Bila memandu seorang ni apa-apa terjadi memang kena kuatkan semangat. Kalau tak kena buli macam tadi.”
Adam tersenyum seraya memandang jam di tangan. Tindakan yang tiba-tiba membuat dia berasa bersalah. Begitu banyak masa Adam yang telah dia ambil. Daripada urusan kereta, klinik hingga ke balai polis semuanya dibantu oleh lelaki itu.
“Maaflah. Mungkin saya dah terambil masa penting awak.”
Ada gelak nipis membalas kata-katanya.
“Terambil sikit saja. Macam mana nak balik? Nak saya tolong hantar ke rumah ke?”
Laju Aisya menggeleng.
“Tak payah susah-susah. Banyak sangat dah urusan saya awak mudahkan. Awak baliklah. Saya boleh ambil teksi saja.”
“Betul ni?”
Aisya mengangguk.
“Yakin ke? Dengan dahi yang cedera tu? Masih kuat sakitnya?”
Spontan jemarinya laju menyentuh dahi. Kemudian menggeleng.
“Saya okey.”
“Kalau macam tu, saya pergi dulu.”
Sekali lagi dia mengangguk. Kali ini bersama senyuman yang mengiringi langkah Adam yang nampak sedikit tergesa-gesa. Pasti ada hal mustahak dan musibah yang menimpanya telah membuat agenda lelaki itu mungkin tergendala. Lama dia tercegat memandang kereta Adam yang sudah jauh bergerak.
Ada sesuatu pada Adam yang menarik perhatiannya. Yang mengusik perasaannya. Perlahan dia menggeleng. Tersenyum sendiri pada hati yang sempat berangan. Padahal lelaki itu hanyalah seseorang yang muncul untuk membantu. Muncul seketika tadi dan kini hilang daripada pandangan. Barangkali ini pertemuan kali pertama dan juga kali terakhir.
“Aisya…Aisya… sempat berangan kau ya,” bisiknya perlahan bersama gelak halus.
Kepala berbalut yang terasa sedikit sakit, disentuh perlahan. Langkah diatur ke arah perhentian teksi. Mahu mengambil teksi untuk pulang.
Sambil melangkah dia mengeluarkan telefon. Mahu menghubungi teman serumah untuk berkongsi cerita. Memaklumkan apa yang sudah berlaku kepada Nurhan. Nurhan yang sudah tiga hari berada di Johor. Pasti terkejut besar temannya itu.
PROLOG • BAB 1 • BAB 2 • BAB 3 • BAB 4 • BAB 5 • BAB 6
BELI NOVEL RISIK PADA HATI (PENULIS: HANNI RAMSUL)